Pilu. Sedih. Membayangkan sekiranya anak sendiri yang diperlakukan begitu.
Terkejut bila membaca berita tentang bayi baru lahir yang pecah kepalanya kerana dicampak seperti sampah dari pangsapuri. Kasihan anak kecil yang baru melihat dunia, terus dibunuh dengan cara yang kejam. Tapi Allah swt yang menentukannya;, mungkin ada hikmahnya untuk kita yang masih hidup. Dia lebih menyayangi bayi kecil itu.
Syukut kita yang membaca tidak berada di tempat kejadian. Tentu hiba dan meleleh air mata melihat mayat itu. Saya tak dapat membayangkan bagaimana perasaan ibu yang telah melahirkannya. Sedarkah dia bahawa anak yang dikandung dalam perut selama 9 bulan itu telah mati dibunuh? Mungkinkah dia sendiri yang melakukannya atau orang lain yang berada di sampingnya?
Bukan itu saja kes buang bayi yang dilaporkan di muka hadapan akhbar dewasa ini.
Saya jadi malas nak baca akhbar terutama akhbar berbahasa Melayu sekarang. Bukan apa, tak tahan bila baca tentang kes terbaru pembuangan bayi di muka depan akhbar.Apa dah jadi dengan masyarakat kita bila anak kecil yang tak berdosa pun diperlakukan seperti itu? Binatang hatta harimau pun tak makan anaknya sendiri.
Kita sering menyalahkan si ibu sebagai orang yang kejam dan zalim kerana sanggup membiarkan anak sendiri mati. Malah ada pula sanggup membunuh anak kecil yang baru lahir itu dengan kedua-dua tangannya sendiri. Lupakah kita siapa yang menyebabkan lahirnya anak itu? Bukan dengan seorang wanita sahaja maka akan wujudnya seorang bayi yang putih bersih. Tentu juga ada si bapanya, yang jarang-jarang orang awam perkatakan. Seringkali menuding jari kepada si wanita yang mengandung serta melahirkan anak itu. Apa pula tugas dan tanggungjawab si bapa? Mana pergi si bapa yang bertanggungjawab membuntingkan si ibu itu?
Kes pembuangan bayi boleh berpunca daripada pelbagai sebab dan masalah. Antaranya adalah kerana kemurungan dan dilema yang dirasai si ibu selepas bersalin. Tambahan bila bayi itu adalah anak di luar nikah yang bakal memalukan keluarga si ibu. Kehamilannya telah berjaya dirahsiakan daripada pengetahuan orang lain termasuk keluarganya. Nak terus dibela dan dibesarkan bayi itu mungkin akan menimbulkan masalah baru, kerana statusnya yang belum berkahwin. Anak yang tidak berdosa itu akan didaftar tanpa nama si bapa, dengan status bapa 'Tidak Diketahui'.
Saya percaya, 99% juga si ibu tidak pernah mendapat rawatan dan penjagaan ante-natal di klinik kesihatan, kerana setiap wanita yang mengandung perlu memberikan salinan surat nikah semasa mendaftar untuk rawatan antenatal. [jika anda berstatus mengandung luar nikah, beranikah menebalkan muka pergi ke klinik setiap bulan dan dengar komen kurang enak daripada jururawat di sana ?] Bila nak bersalin di hospital dan ketika mendaftar untuk membuat surat beranak juga begitu, perlu sediakan salinan surat nikah. Bukankah semua prosedur itu memberi tekanan hebat kepada si ibu yang telah diabaikan/ditinggalkan oleh bapa bayi yang dikandungnya [dan juga mungkin telah dihalau oleh keluarga senfdiri].
Pegawai bertugas di jabatan kerajaan hanya menjalankan tugas ikut prosedur. Malah ada ibu yang memberitahu saya, ketika mengerang sakit nak bersalin, ada pula jururawat bertugas di bilik bersalin komen," Masa buat syok bukan main lagi, masa nak beranak menjerit macam nak mati..."
Masyarakat Melayu kita pula masih kuat dengan pegangan adat. Saya pernah dengar orang tua-tua berkata bahawa anak luar nikah itu akan mewarisi sikap dan perbuatan ibu yang melahirkannya selama 7 keturunan, sebab itu mereka selalu menyiasat betul-betul asal-usul keturunan bakal pengantin. Mereka menghina wanita yang berzina itu termasuk anaknya sekali. Tak pastilah sama ada kepercayaan itu masih diamalkan tetapi bukankah itu juga merupakan satu sebab mengapa masyarakat kita bersikap begitu negatif terhadap status anak luar nikah? Ramai yang mulut lancang mengata itu ini bila tahu si anak itu anak angkat/luar nikah seolah-olah anak itu juga menanggung dosa ibu bapa kandungnya, padahal jika ikut ajaran Islam betul-betul, setiap anak yang dilahirkan itu putih suci dan tanpa sebarang dosa.
Saya sendiri pernah dilanda kemurungan selepas melahirkan Ikram dulu. Alhamdulillah ia tidak lama tetapi tempoh itu walaupun seketika saja sudah boleh membahayakan diri saya dan anak. Saya dihentikan pengambilan ubat darah tinggi atas arahan doktor pelatih di hospital sejurus selepas bersalin, sedangkan saya dilabelkan sebagai pesakit essential hypertension oleh pakar O&G. Kerana mahu mengawal bacaan tekanan darah itu juga supaya saya tidak dimasukkan ke dalam wad, saya ambil sendiri ubat yang masih berbaki dari masa saya mengandung, tanpa mengetahui bahawa ubat methodolpa itu boleh menyebabkan kemurungan jika tidak mengandung. Akibatnya saya tertekan dengan keadaan saya yang kurang sihat dan terpaksa menjaga bayi kecil seorang diri terutama pada setiap malam. Sokongan moral daripada suami pula kurang ketika itu kerana masing-masing sibuk dengan pelbagai hal. Pernah beberapa kali hampir-hampir menyebabkan kecederaan pada Ikram yang masih merah itu tapi alhmdulillah, mungkin berkat doa semua dan iman yang masih kukuh, saya berjaya mengawal diri. Jikalau tidak entah apa yang mungkin berlaku. Itu pun baru untuk seketika kerana selepas mengadu kepada doktor pakar di hospital semasa rawatan susulan, barulah saya diberikan ubat yang sesuai untuk mengawal hypertension saya itu. Bayangkanlah sekiranya ada ibu tunggal yang baru melahirkan anak dan di dalam keadaan sangat tertekan dibiarkan berseorangan dengan bayi kecil tanpa sokongan keluarga dan rakan-rakan, dengan pengetahuan agama yang barangkali cetek, apakah kemungkinan yang boleh berlaku. Eeee, tak berani bayangkan.
Baru-baru ini, saya terima mesej daripada seorang kawan, Ana yang juga sarat mengandung dan ada 2 anak kecil di rumah. Dia mengadu bahawa suaminya ugut akan memberikan anak-anak mereka kepada orang lain untuk dijadikan anak angkat jika Ana dimasukkan ke dalam wad atau ditimpa kecelakaan. Sebab suaminya tidak mahu menjaga anak-anak mereka yang aktif itu dengan alasan banyak lagi tugas lain yang memerlukan komitmennya. Alasan lain diberikan adalah suami itu sendiri tidak mampu membesarkan anak-anak mereka seorang diri, walaupun dia menyayangi mereka. Kasihan Ana. Dah la dia itu tanpa keluarga kandung yang dapat membantu.
Saya tak salahkan Ana kerana mengadu. Dia tertekan dengan sikap lepas tangan suaminya. Saya tahu dia seorang ibu yang baik, anak-anaknya sihat dan ceria, malah suaminya pula kelihatan baik dan peramah. Tak sangka pula ada suami yang nak anak tetapi tak mahu menjaga anak-anak itu sendiri ketika isteri sakit. Sanggup ugut untuk berikan kepada orang lain. Si isteri pula sanggup bersusah payah membesarkan anak-anak dan membantu suami menguruskan perniagaan. Saya pula tak dapat nak tolong Ana, sebab sendiri pun bakal menyambut anak baru. Saya juga harap Ana tak akan buat perkara bodoh semata-mata kerana tiada sokongan suaminya itu.
Semoga Allah swt memberikan kekuatan kepada Ana dan menyedarkan suaminya akan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya itu. Ada juga suami yang begitu mudah mahu lepas tangan jika berlaku kecelakaan pada si isteri, ya? Jika bergaduh pun, tak usahlah sampai begitu sekali. Wallahu'alam.
simpati pada ana. semoga Allah berikan ana kekuatan untuk menjaga anak2 :)
ReplyDeleteSemoga Allah memudahkan kehidupan Ana...
ReplyDeletesy doakan akak dan ana akn sihat, dipermudahkan Allah utk segala urusan.. insya-Allah
ReplyDeleteSatu perkara yg jarang diperkatakan... seorang Perempuan hanya boleh menghasilkan 1, 2, 3 atau paling banyak pun 8 orang anak dlm masa 9 bulan.
ReplyDeleteTapi berapa ramaikah anak seorang Lelaki boleh hasilkan dalam jangka waktu yg sama? Itu baru seorang... yg sekian ramai sama durjana macam mana? Di mana mereka? Tarbiah iman jauh tersasar dari targetnya...
Untuk Ana, semoga Allah memberi Ana kekuatan menghadapi sikap suami. Semoga Allah melembutkan hatinya dan mengisi hatinya dengan ihsan dan kasih-sayang utk Ana dan anak-anak. Amiin...
Semoga Allah mempermudahkan kehidupan Ana..juga kepada aliya...Amin..
ReplyDeletesedih rasanya setiap kali membaca surat khabar mengenai kematian bayi..
ReplyDeleteWaalaikumussalam semua,
ReplyDeleteameen... terima kasih bagi pihak Ana. Terima masih juga kerana mendoakan saya. Semoga Allah swt memberkati hidup kita semua.