Tuesday, November 16

GAGAL PENDIDIKAN ISLAM?

Keputusan peperiksaan akhir tahun di tangan saya.
"Siapa dapat nombor 5, cikgu?" tanya Jamilah.
"Alex."
"Alex? Pandainya dia.." komen Atirah.
"Alex berjaya dapat nombor 5 dalam kelas kerana markah Pendidikan Moralnya tinggi, 65. Kamu pelajar Islam pula semakn merosot dari segi prestasi kerana markah Pendidikan Islam sangat rendah," saya terangkan.
"Ohhh, faham.." mereka menjawab.
"Mengapa teruk sangat markah subjek Pendidikan Islam kamu? Susahkah soalan?"saya berbual dengan pelajar perempuan.
Markah yang diperolehi mereka dalam subjek Pendidikan Islam kebanyakannya ditulis dengan pen merah, malah ramai yang gagal melepasi 30 markah.
"Soalan susahkah atau kamu tak faham soalan?" saya ulang sekali lagi.
"Tak tahu jawab," jelas Ana.
"Buku teks tak baca?" saya cuba lagi.
Jamilah tersengih.
"Tak baca," dia mengaku.
"Mengapa tak baca?" saya cuba ingat semula rupa buku teks Pendidikan Islam Tingkatan 1.
"Tak tahu baca tulisan jawi, ya?" saya meneka.
"Tahu sikit-sikit aje," kata Hamidah.
"Betul, saya pun tahu sikit-sikit, tak pandai la, cikgu."
Saya mengeluh.
Saya tahu mereka yang berdiri di hadapan saya semuanya dari keluarga miskin dan yang berpendapatan sederhana. Mereka tak mampu membeli buku rujukan. Saya sendiri perlu tunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan bayaran yuran sekolah dan yuran tambahan daripada mereka. Mereka hanya bergantung kepada buku teks dan buku nota guru sebagai sumber maklumat setiap mata pelajaran.
Mereka bukan buta huruf. Mereka boleh membaca tulisan rumi.
Malangnya, ramai di antara mereka yang buta tulisan jawi. Di sekolah, tulisan jawi hanya diajar dalam subjek Pendidikan Islam, dan bagi mereka yang tidak berpeluang belajar di kelas agama [di luar waktu sekolah], mereka tidak dapat menguasai tulisan jawi.
Akibatnya, mereka kerugian. Mereka tidak dapat memahami kandungan buku teks Pendidikan Islam yang rata-ratanya ditulis dalam jawi. Ilmu yang ada dalam buku gagal disampaikan kerana mereka tidak tahu membacanya.
"Apa perkataan ini, Kamariah?" saya cuba uji seorang pelajar saya.
"Allah.." dia menjawab sambil senyum.
"Lagi..?"
"Tak tahu..." dia mengaku, jujur.
"Allah Yang Maha Mengetahui," saya bacakan untuknya.
Kasihan pelajar Islam yang buta jawi. Bagaimanakah mereka dapat menjadi orang Islam yang berilmu dan memahami ajaran Islam sekiranya mereka gagal membaca buku yang dibekalkan secara percuma kepada mereka?
Tatkala kita berhujah bahawa pelajar perlu belajar dalam bahasa ibunda untuk subjek Sains dan Matematik di peringkat sekolah rendah dan menengah, bagaimanakah pula nasib pelajar Islam yang buta jawi?
Bagaimanakah mereka dapat menguasai subjek Pendidikan Islam sekiranya mereka tidak tahu membaca tulisan jawi dalam buku teks Pendidikan Islam, dan hanya tahu menyalin nota tanpa pemahaman?
Sudah tentu kelemahan mereka dalam menguasai tulisan jawi bakal menjadi cabaran untuk mereka terus berminat mendalami subjek Pendidikan Islam, melainkan mereka mendapat guru agama yang baik di sekolah.
Adakah mereka yang buta jawi ini akan terus gagal dalam subjek yang penting ini, sehingga membentuk paradigma bahawa Islam adalah agama yang susah dipelajari?
Kalau pelajar berketurunan Melayu sendiri pun susah nak menguasai jawi [ramai ibubapa mereka sendiri juga buta jawi kerana tidak belajar semasa di sekolah dahulu], bagaimana pula nasib pelajar bukan Melayu tetapi beragama Islam yang tidak mampu ke kelas agama?

8 comments:

  1. Buta jawi?!
    -
    1. Membandingkan dengan Rumi, Jawi lebih indah, lebih mudah, lebih menarik.
    Rumi = 26 +A+B+D+E+G+H+Q+R = 34 bentuk berdiri sendiri.
    Huruf Arab + 6 Jawi - titik-2 = 17 bentuk yang manis + tari-menari.
    http://typophile.com/node/76305
    Tidak seperti Rumi, Jawi suka bercantum.
    Hanya ekor perubahan seperti yang ditunjukkan di sini:
    http://www.arabictypography.com/ani1.html

    2. BM adalah bahasa fonetik, seperti Arab.
    Cara terbaik adalah ditulis (dan dibaca) dalam Jawi
    -
    Tetapi kebanyakan orang Melayu + Indons tidak mengetahui.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Kak Aliya,

    Teringat masa baru2 pindah ke Malaysia. Aja pun buta Jawi dan bahasa Melayu pula ala-kadar saja. Mujurlah ada kawan2 yg ajar membaca, dan suruh masuk sekolah agama. Masa mula2 rasa malu dan janggal pasal kawan2 di sekolah agama darjah 5 atau 6, tapi aja di darjah 1. Tapi Alhamdulillah, dengan dorongan mereka dan keluarga dapat juga baca/tulis Jawi. Mungkin dalam hal ni, sekolah harus membantu pelajar2 tersebut.

    ReplyDelete
  3. salam kak liya.. tringat masa sy di sklh rndah dlu, prnh gagal pndidikan islam & tak tahu jawi adlh fktor utama. lps dh prgi sklh agama, alhamdulillah ada byk improvement. mungkin pihak sklh boleh organize bengkel jawi atau kelas tmbhn utk mngajar bdk2 cara mmbaca & mnulis dlm jawi. atau pun boleh buat aktiviti sprt pembimbing rakan sebaya? pelajar yg mahir boleh mmbntu pljr yg lemah. sklh sy dlu prnh bt program mcmtu tiap2 hari sblm msuk ke kls utk sebjek bhs inggeris & sy prnh jd salah seorg mentor. apa yg sy dpt lihat, mmg ada kmajuan. tak salah kalau kita cuba utk bahasa jawi pula :)

    ReplyDelete
  4. ruginya kalau orang islam tak pandai jawi.. kebanyakan mereka yang tak reti jawi ni adalah pelajar yang belum terlibat dengan j-QAF yang diajar di sekolah rendah bermula 2005. j-QAF merupakan satu kurikulum yg sangat bagus..dapat mengurangkan kadar buta jawi, Quran dan Fardhu ain..Wallahualam

    ReplyDelete
  5. sayangnya..Mujur Alhamdulillah, ustaz saya paksa kami tulis nota dalam jawi dahulu. saya merangkak baca jawi..tingkatan 1 baru mula berdikit. Alhamdulillah, sekarang ni boleh baca dan ajar anak

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam semua,
    Setuju, saya pun dapati Jawi sesuatu yang menarik dipelajari tetapi malangnya kurang konsisten sistem ejaannya - dulu lebih kepada Arab,sekarang sudah dibakukan; saya sendiri pun konfus.
    Saya bertuah kerana berpeluang belajar Jawi walaupun di sekolah convent, dari Darjah 2-6, periksa setiap bulan.Ketika itu Jawi satu subjek tersendiri, bukan termasuk dalam komponen Pendidikan Islam, maka semua murid mesti belajar.
    Pada pendapat saya, Jawi perlu diselitkan dalam komponen Bahasa Melayu, bukan dalam Pendidikan Islam.
    Ya, kelas j-QAF banyak membantu tetapi tiada di sekolah menengah.
    Di sekolah menengah, Pendidikan Islam kurang diketengahkan dan saya pun hanya pemerhati, bukan seorang ustazah.Fokus saya ialah bahasa Inggeris [itupun sudah memenatkan].Benar, baik juga jikalau ada bengkel tulisan Jawi. Semua bergantung kepada tenaga pengajarnya, bukan?

    ReplyDelete
  7. Saya aagak trkejut ramai yg amsih tdk pandai jawi. semasa di bangku sekolah dulu (aliran Inggeris, di Kelantan) saya suka gunakan tulisan jawi apabila ingin menulis sesuatu dgn pantas!

    Kebetulan saya sgt suka mendengar lagu, terutamanya mengetahui lirik lagunya pula, tak kiralah dari Malaysia @pun Indonesia.

    Cara terpantas saya menyalin lirik2 tersebut (@pun mengambil nota dari ceramah2) adalah dgn menggunakan JAWI.

    Pendek kata Jawi merupakan satu kaedah 'terengkas" bagi saya....!

    ReplyDelete
  8. salam,

    sedih saya mendengarnya. ada kawan2 saya yang muslim dan bangsa melayu pun x reti menulis jawi. kalau jawi sudah merangkak pasti akan susah hendak baca Quran dan kitab2 lain. hal ni dah menjauhkan anak2 muda daripada agama kita.

    ReplyDelete