Saturday, November 6

CUCU BERAGAMA ISLAM KEBUMIKAN NENEK BERAGAMA BUDDHA

Harian Metro

JOHOR BAHRU: Perbezaan agama tidak menjadi halangan buat satu keluarga besar Islam untuk menyempurnakan mayat mendiang nenek mereka yang beragama Buddha di tanah perkuburan Cina Johor Jaya di sini, semalam.
Atas nama kasih sayang dan pertalian kekeluargaan yang kukuh, pengebumian Liang Ho, 95, yang meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Jalan Landak Batu, Century Garden di sini, kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, diuruskan 16 cucu dan 50 cicitnya yang beragama Islam.

Upacara pengebumian mengikut adat agama Buddha itu turut disaksikan satu-satunya anak perempuan Liang yang masih hidup dan beragama itu, Low Ah Oi, 62. Tiga anak Liang yang lain sudah meninggal dunia, masing-masing seorang perempuan dan dua lelaki memeluk Islam selepas berkahwin dengan pasangan masing-masing berketurunan Melayu manakala suaminya, Low Song meninggal dunia pada 1974.
Menurut cucu sulung mendiang, Hamidah Ahmad, 49, pemergian Liang amat dirasai berikutan hubungan kekeluargaan yang sangat rapat dengan nenek disebabkan sikapnya yang sangat mengambil berat hal keluarga.

“Ketika kecil saya dijaga nenek. Walaupun beragama Islam dan dia Buddha, itu tidak menjadi halangan untuk mencurahkan kasih sayang kepada seorang cucu.

“Nenek seorang yang tegas dan pernah beberapa kali memarahi saya kerana lambat menunaikan solat, menunjukkan dia amat prihatin serta menghormati agama lain.

“Dia sering menghantar saya mengaji al-Quran, jika malas nenek tidak teragak-agak merotan saya,” katanya. Seorang lagi cucunya, Kalsom Ahmad, 43, berkata, neneknya memiliki daya ingatan yang kuat walaupun sudah berusia 90-an dan dia masih boleh mengingati nama cucu-cucunya. “Walaupun tiga daripada empat anaknya memeluk Islam, nenek sangat sayangkan kami malah tidak ada pilih kasih dalam melayan kami.

“Malah, kami semua paling gembira setiap kali menjelang musim perayaan kerana kami menyambut tiga perayaan setiap tahun iaitu Tahun Baru Cina, Aidilfitri dan Aidiladha,” katanya.
Kalsom berkata, nenek juga sering mengingatkan mereka agar bersederhana dalam perbelanjaan harian kerana dia sudah terbiasa dengan kehidupan susah sejak zaman muda.

Sementara cicit pertama mendiang, Marfuaah Mahfuz, 28, berkata, dia dan ahli keluarga lain tidak kekok membantu menguruskan pengebumian moyangnya itu selain turut mengiringi jenazah mendiang hingga ke tanah perkuburan.

Katanya, bukan saja tidak pernah membezakan agama, moyangnya juga melarang mereka daripada menjamah makanan tidak halal hinggakan menu makanan istimewa pada majlis makan besar Tahun Baru Cina turut diubah kepada masakan Melayu.

Moyang yang manja dengan panggilan ‘Mama’ itu juga dianggap istimewa apabila meminati penyanyi Melayu kelahiran negeri ini, Mawi selain gemar menonton drama Melayu dan Indonesia di televisyen (TV) termasuk sinetron Bawang Putih Bawang Merah.

“Oleh kerana tidak mahu terlepas rancangan kegemarannya, Mama sanggup makan malam lebih awal sebelum duduk depan TV.

“Pling menarik, Mama tidak membaca akhbar berbahasa Cina, tetapi memilih Harian Metro sebagai bacaan kegemarannya.

“Saya sentiasa ingat pesan Mama yang tidak suka perbuatan kurang ajar apa lagi menderhaka kepada orang tua atau membuli ahli keluarga,” katanya.

********************************************************************************

Saya tertarik membeli akhbar Harian Metro pagi ini apabila terbaca tajuk seperti yang dipaparkan.
Alhamdulillah, seronok apabila membaca keseluruhan cerita tentang keluarga yang unik ini, dan betapa prihatinnya seorang nenek beragama Buddha memastikan cucu-cucunya mengikut ajaran agama Islam sehingga sanggup merotan mereka sekiranya mereka lalai. [Adakah nenek beragama Islam semuanya berbuat begitu? hmmmm]

Kisah nenek itu mengingatkan saya pada nenek saya sendiri yang kini berusia 88 tahun, dan juga kepada ibu saya yang berusia 65 tahun, bapa berumur 70 tahun. Kesemuanya masih beragama Buddha, sama seperti arwah nenek itu.
Mungkinkah suatu hari nanti saya pula yang perlu bertindak seperti cucu-cucu arwah, iaitu membantu menguruskan pengebumian mereka? Saya tak kisah kerana sudah pun berpengetahuan tentang urusan pengebumian penganut Buddha yang lebih ringkas dan tenang berbanding upacara yang masih diamalkan oleh sesetengah golongan Cina yang mengamalkan ajaran nenek moyang [gambar dalam berita itu menunjukkan arwah nenek itu dikebumikan mengikut cara amalan nenek moyang, bukan ajaran Buddha yang sebenar]

Mungkin ada pihak yang gatal mulut mempertikaikan, mengapa arwah nenek itu masih belum menganut agama Islam walaupun ramai cucu dan cicitnya merupakan Muslim dan Muslimah? Takkan tak dakwah kepadanya?
Namun bagi yang gatal mulut itu, ketahuilah bahawa hidayah itu milik Allah SWT semata-mata. Sedangkan bapa saudara Rasulullah saw sendiri tidak berjaya diIslamkan oleh baginda, apatah lagi manusia biasa yang hanya mampu berusaha dan berdoa?

Pada pendapat saya, mungkin arwah nenek itu sendiri memilih untuk mati dalam keadaan agama asalnya, wallahualam. Teori ini bersandarkan kepada perbualan saya dengan nenek saya dan mertua [mak bekas suami] yang masih mahu kekalkan amalan nenek moyang setakat yang mereka mampu, kerana tidak mahu dituduh derhaka kepada nenek moyang. Malu berjumpa dengan nenek moyang di akhirat nanti kalau gagal pertahankan ajaran nenek moyang. Maklumlah, mereka yang tua-tua ini amat teguh dalam pegangan kepada kepercayaan turun temurun. Mungkin juga ada cucu dan cicitnya yang beragama Islam pernah mengajaknya memeluk Islam tetapi ditolaknya dengan lembut. Hanya ahli keluarganya yang lebih mengetahui.

Sebenarnya tidak salah keluarga beragama Islam menguruskan pengebumian ahlinya yang bukan Islam, tambahan lagi jikalau tiada lagi waris seagama dengan arwah yang boleh berbuat demikian. Hal ini memerlukan sikap toleransi di antara kedua-dua pihak, yang beragama Islam berilmu dalam menjalankan kewajipannya tanpa melibatkan diri dalam amalan syirik, dan saudara mara yang bukan Islam menerima dan menghormati hak mereka yang Islam, untuk berada di situ. Keluarga suami saya pernah melaluinya [bapa ibunya juga beragama Buddha] dan mungkin keluarga saya juga akan melaluinya jikalau mak saya meninggal dalam keadaan bukan Islam, wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment