Thursday, June 17

TAK MIMPI BOLA LAGI

"Tahun ni World Cup la... 2010!" kata saya pada awal tahun.
Saya peminat bola sepak. Bukan pandai pun main bola sepak di padang. Tapi tetap berminat menonton aksi perlawanan bola sepak di tv. English Premier League. Spanish League. Italian football. Piala Malaysia. World Cup. Semuanya saya tonton apabila ada masa terluang.

Malah pada musim Piala Dunia tahun 2002 dan 2006, saya sanggup berjaga malam semata-mata untuk menonton siaran langsung Piala Dunia. Bangun jam 2.00pagi untuk menyaksikan perlawanan bola sepak seorang diri. Entah apa yang menarik sangat, tapi saya tetap mahu menontonnya. Sudah cukup puas hati apabila tahu skor gol pasukan yang berlawan itu. Bonus kalau dapat menonton jaringan yang cantik. Puas hati kalau ada pemain yang bermain kasar diberi kad kuning atau kad merah pada perlawanan tersebut.
Dan setiap kali perlawanan akhir Piala Dunia, saya akan menyokong pasukan underdog. Bukan Brazil.
Itu dulu.Dulu sebelum saya memeluk Islam. Sebelum saya bergelar ibu.
Sekarang?
Kalau tahu keputusan perlawanan pun, sudah dikira baik, hahahaa...
Kelahiran Ikram beberapa minggu sebelum bermulanya Piala Dunia menyebabkan saya terpaksa berjaga malam untuk menyusu dan menukar lampinnya yang kotor sehingga 4 kali semalaman. Menonton tv? Ahhh... nak ke tandas pun kadang-kadang tak sempat, huhu.
Dan ia sekaligus mengubah perspektif saya terhadap Piala Dunia.

Biasanya isteri-isteri akan mengadu bahawa musim Piala Dunia mengasingkan mereka daripada suami masing-masing. Suami memberi lebih perhatian pada si kotak segiempat itu daripada isteri yang dikahwini.
"Apa yang menarik sangat tentang 22 lelaki berseluar pendek mengejar sebiji bola di padang?" adu mereka sambil menggeleng kepala.
Ahhh.. sebenarnya ada magik yang tidak dapat dihuraikan oleh si suami yang meminati bola sepak. Hanya yang berminat yang akan faham maksud saya.

Cuma sekarang, sebagai seorang Muslimah yang sudah diubati demam Piala Dunia 2010 [hahaha] saya ingin mengingatkan para peminat Piala Dunia tentang beberapa perkara:
1. Kalau diri sanggup berjaga malam/ bangun pada awal pagi untuk menonton siaran langsung Piala Dunia, tanamlah hasrat untuk meneruskan tabiat ini selepas musim Piala Dunia, dengan melakukan solat tahajjud pada dua pertiga malam.

2. Awas daripada membuat betting/pertaruhan dengan kawan-kawan dan ahli keluarga. Ya, walaupun bertaruh secawan teh untuk pasukan yang menang. Walaupun alasan sekadar bersuka-suka. Tindakan bertaruh itu masih dikira berjudi. Berjudi tetap haram.

3. Kawallah diri supaya tidak terlalu leka dengan Piala Dunia. Banyak lagi sebenarnya tugas dan tanggungjawab kita sebagai umat Islam di dunia sementara ini. Bayangkanlah, kita boleh habiskan waktu selama 90 minit hanya menonton satu perlawanan. Sanggupkah kita habiskan waktu yang sama itu untuk mengaji, membaca buku atau mengerjakan solat? Tambahan lagi, sekarang sudah masuk bulan Rejab. Dua bulan lagi, kita akan berpuasa wajib pada bulan Ramadhan. Sudah sediakah bekalan kita untuk berpuasa pada bulan Ramadhan? Sudah berapa kali kita berpuasa sunat pada bulan Rejab ini?

4. Berapa banyakkah pengetahuan kita tentang pasukan yang bertanding dalam Piala Dunia 2010? Berapa banyakkah yang kita tahu pula tentang keadaan penduduk Palestin, perjuangan dan penderitaan mereka? 4 tahun akan datang, kita akan lupa hampir semua adegan menarik Piala Dunia 2010, kerana segalanya akan menjadi insignifikan. Namun, segala yang kita sumbangkan [termasuk doa kita] untuk meringankan penderitaan saudara kita di Semenanjung Gaza amat bererti dan sangat signifikan.

5. Suami, berilah perhatian pada isteri dan anak-anak. Tak kira betapa setianya anda pada sesebuah pasukan, anda masih 'nobody' pada pasukan tersebut. Mereka tidak kenal anda, mereka tidak akan menyayangi anda dan menjaga kesihatan anda apabila anda sakit. Layanan baik penuh kasih sayang hanya daripada isteri dan anak-anak anda. Hiburlah hati isteri dan anak-anak, lihatlah mereka tersenyum gembira sebelum anda menghiburkan diri dengan aksi perlawanan Piala Dunia pada hari itu.

6. Isteri, bersabarlah dengan demam Piala Dunia yang dihidapi si suami tersayang yang memang kaki bola. Ia berjangkit 4 tahun sekali, untuk beberapa minggu sahaja. Kalau anda tidak berminat menonton, belajar sedikit tentang bola sepak supaya anda boleh mengikuti perlawanan itu dengan suami. Paling tidak pun, bancuhlah segelas minuman panas untuk si kaki bola itu supaya dia bertambah sayang pada anda. Apa-apa pun, jangan disorok kad Astro atau remote control tv itu, ya. Kalau tidak, nanti dia bakal bermalam di restoran mamak yang ada tayangan Astro :P

Selamat mengharungi musim Piala Dunia.
Selamat menyambut bulan Rejab.
Semoga Allah SWT menerima segala ibadah dan amalan kita, ameen.

7 comments:

  1. salam kak aliya,

    saya pon minat bola jugak, tapi sekarang dah tak larat berjaga malam, surf web pon ok gak ;)

    thanks for the reminder though...

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah.. kepada Allah lah segala puji dan puja..Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dia suka..Alhamdulillah kerana kesedaran baru anda ini.. Selamat menjalani kehidupan seorang ibu.. Semuga di berkati Allah

    ReplyDelete
  3. Salam hormat, puan Aliya...
    ..alhmdlLah, Ikram membwa perubahan...
    ...itulah hikmtnya...

    Hujah Puan amat bernas, bersalut pula dgn nasihat yg baik/berguna...

    Teringat pula ttg hobi saya sewaktu remaja...
    ..saya begitu gilakan muzik & nyanyian...
    ...sehingga membuang waktu yg terlalu banyk dlm aktiviti ini...hatta memasuki "talentime" sewaktu di Universiti...
    (mujurlah tidak sampai menjejaskan tugas mencari ilmu)

    Kini, alhmdllah...kegilaan terhadap hiburan2 telah kian reda...dan digntikan pula dgn aktiviti2 yg lebih berfaedah...(termasuklah yg dinyatakan oleh puan..)

    Sama2lah kita berubah kpd amalan2 yg lebih baik, dari hari ke hari...insyaAllah

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam Wan Sharif & nas,
    Ya, benar, kelahiran Ikram banyak membawa perubahan positif dalam hidup saya..alhamdulillah.

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam knitfreak-to-be,
    You are welcome. Dulu saya kaki karoake gak, tetapi sudah diubati, hahaha.. itu cerita lain.

    ReplyDelete
  6. Ingat kata2 nasihat ust pagi tadi
    Jadikan bangun tengok bola spjg ni sebagai latihan untuk qiamulail bulan ramadhan nanti..

    ReplyDelete
  7. joe penang,
    InsyaAllah.. semoga begitulah hendaknya

    ReplyDelete