Tuesday, February 2

PELAJAR DAN BELAJAR, DULU DAN SEKARANG


"Cikgu... chak!"
Cikgu Yasmin (bukan nama sebenar) yang sibuk mengajar menoleh ke pintu. Dilihatnya pelajar nakal kelas sebelah, Saiful (bukan nama sebenar) mengintai dari belakang pintu. Main-main pula dengannya. Mungkin baru kembali dari tandas.
Alahai, angin apa pula yang menimpa si Saiful tu? fikir Cikgu Yasmin.
Cikgu Yasmin ada pilihan - marah Saiful atau tidak menghiraukannya.
Namun, Cikgu Yasmin membuat perubahan. Dia mengambil pilihan ketiga.
"Geli-geli-geli-geli Saiful...!" jawab Cikgu Yasmin dengan kuat dan selamba.
Kahkahkahkahkaahhhh... ketawa pelajar-pelajar dalam kelas Cikgu Yasmin. Saiful terpinga-pinga, niatnya untuk mengusik Cikgu Yasmin akhirnya terkena dirinya sendiri.
"A la Cikgu... apa geli-geli ni?" dia berkata dengan nada merajuk.
"Ya lah, dah kamu main chak-chak belakang pintu dengan saya. Kalau saya dengan anak saya, dia kata chak, saya jawab geli-geli-geli.. nak main lagi Saiful?" balas Cikgu Yasmin sambil tersenyum.
Saiful turut ketawa lalu melarikan diri kembali ke dalam bilik darjahnya. Esok masih ada.
Pengajaran berlangsung dengan tenang selepas itu.

Jam menunjukkan pukul 1.25 petang.
Cikgu Fauziah (bukan nama sebenar) melangkah masuk ke dalam kelas Tingkatan 4 Hero.
Ketua tingkatan memberikan salam, sambil mengisyaratkan agar rakan-rakan lain turut berdiri memberi hormat. Cikgu Fauziah segera menjawab salam mereka.
Kelihatan pelajar-pelajar lelaki dalam kelas itu sedang usik-mengusik sambil berlegar-legar di dalam bilik darjah. Mereka sudah 6 jam berada di sekolah dan akan pulang hanya selepas pukul 2.45 petang.
"Bawa bertenang. Sila duduk."
Beberapa pelajar lelaki masih berlegar-legar tanpa tujuan di belakang kelas.
Cikgu Fauziah mengeluh. Letih setelah mengajar sebanyak 3 kelas. Tambahan pula, susah hendak bertindak garang dengan pelajar lelaki yang terkenal dengan sifat nakal dan mulut celupar mereka itu; silap haribulan cikgu juga yang ditimpa penyakit darah tinggi kerana stres dengan mereka.
"Tolong duduk. D-u du.. d-u-k, duk... duduk. Apa maksud duduk?" Cikgu Fauziah mengeluarkan telefon bimbitnya untuk candid camera.
"Duduk bermaksud meletakkan punggung di atas kerusi. Siapa yang masih belum duduk, bermakna punggungnya berbisul dan sakit bila diletakkan di atas kerusi.. Punggung siapa yang berbisul dan tidak boleh duduk?" kata Cikgu Fauziah dengan kuat.
Pelajar perempuan tersengih-sengih. Pelajar-pelajar lelaki pula kelam-kabut mencapai kerusi masing-masing, apatah lagi apabila mendapati telefon bimbit dihalakan ke arah mereka.
Kertas lembaran kerja segera diagihkan kepada mereka dan pembelajaran berlangsung dengan lancar selepas itu.

Pelajar tahun 80an[zaman saya remaja] tidak sama dengan pelajar sekarang. Kalau guru mengeluh bahawa pelajar mereka hari ini lebih nakal, lebih degil dan lebih susah diasuh berbanding zaman mereka belajar di sekolah dahulu, renung-renungkanlah semula.
Dulu kelas bermula 7.30 pagi, berakhir 1.30 petang. Balik ke rumah boleh rehat, bermain badminton, menonton televisyen dan pergi memancing sehingga senja. Malam baru buat kerja sekolah.
Sekarang kelas bermula 7.45 pagi, berakhir 2.40 petang di dalam bilik darjah tanpa penghawa dingin [untuk sekolah satu sessi]. Sambung dengan kelas tambahan pukul 3.30 petang [bagi kelas peperiksaan], dengan latihan sukan dan kokurikulum pada 4.30-6.00 petang, malam kena siapkan kerja sekolah dalam keadaan letih dan kurang rehat.

Kalau dulu cikgu yang menjadi pelajar tahun 80an mengeluh dan berasa mengantuk pada waktu tengh hari, begitu jugalah pelajar mereka pada hari ini. Subjek-subjek yang berlangsung pada waktu selepas rehat memerlukan kreativiti guru untuk mencipta satu kelainan agar pelajar masih dapat menumpukan perhatian sehingga berakhirnya kelas pada 2.00 atau 2.45 petang.
Kalau gagal, jangan marah atau merajuk sekiranya pelajar meragam, tidur atau menimbulkan masalah disiplin kerana bosan, lapar dan mengantuk. Mereka pun manusia juga.

Dulu saya belajar hanya menggunakan buku teks, jarang ada buku rujukan. Peperiksaan setakat baca dan pergi jawab. Tiada projek bertulis. Ujian lisan hanya sekali sebelum peperiksaan awam.
Sekarang pelajar belajar bukan dengan buku teks saja, ada yang diwajibkan membeli buku kerja [bagi sekolah-sekolah tertentu]. Kena buat dan hantar hasil projek untuk subjek-subjek tertentu. Kena membuat persediaan untuk diuji lisan B.Melayu dan B.Inggeris sekurang-kurangnya 3 kali sebelum peperiksaan awam.
Isi kandungan subjek yang dipelajari juga sudah berubah dari tahun 80an hingga sekarang. Ada subjek yang lebih menarik, tidak kurang pula yang menjadi semakin hambar. Ada subjek yang saya sendiri tidak pernah belajar semasa di sekolah menengah seperti Sivik dan Kemanusiaan, Sejarah [saya pelajar sains tulen] dan Pendidikan Moral.

Dulu pelajar lebih hormat dan takut pada guru, kerana ibubapa lebih menyokong dan menyebelahi guru. Kini ada guru yang lebih takut pada pelajar kerana ibu bapa yang kononnya lebih berilmu dan lebih bijak menyebelahi anak-anak mereka, walaupun anak mereka sendiri yang bermasalah.
Dulu apabila cikgu suruh siapkan kerja/isi borang dan bawa esok, pelajar akan lakukan seperti yang diminta. Sekarang cikgu yang berulang-alik berhari-hari meminta hasil kerja/borang lengkap daripada pelajar yang fizikalnya berumur 17 tahun tetapi ingatan mungkin 71 tahun. "Lupalah, cikgu!" dijawabnya sambil tersengih pada hari ketiga.

Pada hari ini, saya menyemak esei pelajar Tingkatan 4.
"Adakah tajuk lagu [lagu Inggeris] ini?" tanya saya kepada seorang pelajar. Tak pernah dengar pun.
"Ada tecer [10 kali ajar pun inilah yang diejanya, trend sekarang], lagu best!" jawabnya.
Alahai... terasa diri ini sudah tua dan ketinggalan zaman! huhuhu... banyak lagu kegemaran mereka yang saya tak pernah dengar.
Apa nak dikata ... lagu 'Love Story' zaman saya tidak sama dengan lagu 'Love Story' zaman remaja sekarang :P

Berdedikasi, berkesungguhan, berempati.

No comments:

Post a Comment