Thursday, December 24

4 JAM

"Nurse, lama lagikah? Kalau lama lagi, saya nak keluar makan dulu, lapar la."
Jururawat di kaunter Pesakit Luar melihat nombor yang terpapar di skrin. Jam menunjukkan 11.00 pagi.
"Buku kamu dah dihantar ke bilik doktor. Nanti balik sini semula, ya."
Saya mengangguk, lega. Sudah 2 jam saya berada di klinik luar bandar itu. Saya memilih untuk mendapatkan rawatan di klinik kerajaan kerana keadaan saya yang mengandung berisiko tinggi. Lagipun sebagai pegawai kerajaan, saya berhak mendapat rawatan percuma.
Pengambilan sampel darah sudah pun dilakukan pada pukul 9.00 pagi di unit Ibu Mengandung. Kini terpaksa pula menunggu untuk berjumpa doktor di unit pesakit luar, untuk memastikan saya perlu meneruskan pengambilan ubat darah tinggi ataupun tidak. Bekalan ubat yang diberi oleh hospital tempoh hari sudah hampir kehabisan.

Malang sekali, klinik tersebut tiada gerai untuk pesakit membeli makanan dan minuman. Terpaksalah para pesakit yang menunggu giliran bersabar dalam keadaan lapar dan dahaga.
Setelah sepinggan roti canai dan secawan teh di restoran kira-kira 300 meter dari klinik, saya kembali ke kaunter. Nombor masih bergerak perlahan. Hanya seorang doktor yang bertugas pada hari itu; rakannya tiada, mungkin berkursus atau bercuti. Teruknya, sedangkan berpuluh-puluh pesakit sedang menanti untuk mendapatkan rawatan. Mengapakah tidak dibekalkan seorang doktor dari hospital atau klinik lain untuk menggantikannya?
Mujurlah saya telah membeli suratkhabar harian. Maka saya menghabiskan tempoh sejam lagi dengan membaca berita semasa.

Pada pukul12.30 tengah hari, barulah giliran saya.
"Ubat tak boleh dikurangkan kecuali dengan kebenaran hospital, kena sambung makan. Sila ambil di farmasi, ya," kata doktor wanita yang masih kelihatan ceria walaupun sudah bertugas tanpa henti dari awal pagi.
Tepat 12.40 tengah hari, barulah saya meninggalkan perkarangan klinik. Slip pendaftaran menunjukkan saya tiba jam 8.40 pagi. Ah,4 jam lamanya di situ. macam-macam urusan yang boleh diselesaikan dalam 4 jam itu.

Kalau disuruh para pelajar duduk menanti di sekolah selama 4 jam lamanya, tentu mereka akan menimbulkan pelbagai masalah disiplin. Bosan. Tapi para pesakit yang menunggu untuk berjumpa doktor mampu melakukannya. Sabar menanti walaupun bosan. Sanggup menahan lapar dan dahaga berjam-jam kecuali mereka yang berkenderaan dan boleh bergerak bebas seperti saya. Tidak kedengaran sesiapa pun bersungut atau marah-marah. Semua sedia maklum bahawa hanya seorang doktor yang bertugas dengan dibantu oleh beberapa pembantu perubatan dan jururawat. Itulah kekuatan yang diperolehi ketika keadaan memaksa.
Bersabar menunggu giliran.
Bersabar menjalankan tugas walaupun dihimpit tekanan kerja dan berasa keletihan.
Bersabar menghadapi sakit dan masalah kesihatan yang lain tanpa menyalahkan Tuhan.
Bersabar dengan karenah orang lain.

4 jam di klinik, alhamdulillah saya belajar sesuatu tentang erti sabar.

No comments:

Post a Comment