Friday, March 16

DIA PUKUL SAYA!!!

"Bolehkah suami saya pukul saya?" sister mualaf itu minta pendapat.
Soalan yang saya tak suka baca dalam emel mahupun ruangan facebook. Tapi jika dibiarkan, nanti mungkin lebih teruk lagi keadaan. Saya terus taip, walaupun jam 3 pagi.
Bukan seorang dua saudara baru mualaf bergelar isteri yang dipukul suami mereka. Walaupun bilangan mereka tidak ramai, itu tidak bermakna gejala pukul bini tidak berlaku dalam rumahtangga, cuma jarang dilaporkan dan diketengahkan sehingga ke balai polis.

Biasanya si isteri akan mendiamkan diri. Sebab biasanya, dia yang akan dipersalahkan. Oleh suami, sebab kononnya suami pukul sebab dia yang mulakan, dia yang menaikkan kemarahan suami. Oleh mentua, sebab dia yang bersalah, sebab tak pandai layan suami. Oleh ustaz, sebab dia yang menaikkan kemarahan suami. Oleh masyarakat, sebab dia tak patut membuat suaminya marah.
"Suami dia pukul dia pun, mesti dia buat salah. Takkan suami nak pukul suka-suka."
"Ni mesti dia banyak membebel, leter kat suami... suami mana yang tahan bila isteri berleter lama-lama.."
"Ni mesti dia menjawab. Kalau tak, takkan suami dia pukul."

Nak balik mengadu kepada keluarganya yang masih belum Islam?
"Tu la, siapa suruh dia kahwin laki Melayu? Siapa suruh dia masuk Islam? Ha, padan muka, kena pukul!"
"Dia sendiri yang pilih suami, dia sendiri yang selesaikan la."

"Suami saya pukul saya semasa saya tengah solat. Dia marah sebab telefon saya berdering, ganggu dia tidur. Saya terkejut, saya minta maaf padanya tapi dia terus pukul dan tendang saya. Ini bukan kali pertama dia pukul saya. Tapi ini kali pertama saya dipukul semasa saya sedang mengerjakan solat. Saya tahu saya bersalah sebab ganggu dia tidur, tapi bolehkah dia pukul saya begitu? Sakit badan saya dipukulnya."
"Suami saya pukul saya sebab saya tanya dia mengapa balik lewat. Dia tak suka saya tanya. Dia kata saya takda hak nak tahu. Dia tuduh saya cuba control dia."

"Saya panggil suami saya sebab dia tak tinggalkan wang beli susu anak. Susu di rumah dah habis, saya takda duit nak beli. Dia buat tak dengar, terus hidupkan enjin kereta nak keluar pagar rumah. Saya pun jerit panggil dia, ingatkan tentang susu anak. Dia masuk rumah, terus pukul saya. Saya malukan dia, katanya sebab jerit-jerit. Tapi saya buat pun demi anak, takkan saya nak biarkan anak lapar takde susu untuk minum. Minta dia belikan, dia pula tak jawab langsung, tak tahu sama ada dia akan beli atau tidak."
"Kadang-kadang rasa menyesal sebab berkahwin dengan dia. Bila dia suka, dia nak bermesra. Bila dia tak suka, dia pukul sesuka hati. Dulu dia janji nak jaga saya, dia cinta saya sebab tu saya percayakan dia, sanggup tinggalkan keluarga sebab kahwin dengan dia, masuk Islam.. sekarang bukan saja dia pukul saya bila dia marah, dia langsung tak ajar saya tentang agama Islam."

Izinkan saya untuk bertanya kepada para suami budiman, adakah Islam membenarkan suami memukul isteri sebab isteri banyak berleter? Seba isteri tak layan dia? Sebab isteri tak kemas rumah, tak hormat dia?


Tak pasti, nah mari sila semak balik al-Quran dan al-sunnah.
Ini dalam hadis :
Rasulullah SAW sangat marah tatkala melihat seorang suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, “Mengapa engkau memukul isterimu?” Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, “Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukullah dia.”
“Aku tidak bertanyakan alasanmu,” sahut Nabi SAW. “Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?”'
Rasulullah SAW menyebut yang bermaksud, “Tergamakkah seseorang kamu memukul isteri sepertimana memukul seorang hamba abdi, kemudian dia memeluknya pula, tidakkah dia (suami) merasa malu?” (Hadis riwayat Ibnu Saad)


Rasulullah SAW tidak pernah memukul para isteri baginda:
 1. Aishah ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah memukul pesuruh atau isteri Baginda, dan Baginda tidak pernah memukul sesiapa dengan tangan Baginda sendiri.
Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda bahawa, “Yang paling baik di kalangan kamu adalah mereka yang paling bersopan terhadap isterinya.”

2. Dari Abu Hurairah r.a ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “pergaulilah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-benkoknya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskannlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut”. (H.R Bukhari dan Muslim)

Lihatlah Umar al-Khattab yang terkenal garangnya pun tak bersuara bila dileteri isterinya. Dia sekadar mendiamkan diri.
Seorang lelaki pergi ke rumah Amirul mukminin Umar al-Khattab untuk mengadu kepadanya perihal isterinya. Maka dia berhenti di hadapan pintu rumah Umar al-Khattab menunggu beliau keluar. Ketika itu lelaki tersebut terdengar isteri Umar al-Khattab meleteri beliau dan Umar hanya berdiam sahaja. Melihat yang demikian pulanglah lelaki tersebut ke rumahnya sambil berkata sendiri: “jikalaulah begitulah tindakan Umar terhadap isterinya sedangkan umum mengetahui sikap Umar yang garang dan tegas, maka siapalah aku ini.” Akan tetapi Umar ternampak lelaki ini melewati hadapan rumahnya dan lantas memanggil lelaki tersebut bertanyakan gerangan apakah dia mencarinya. Berkata lelaki tersebut: “wahai Amirul mukminin aku datang ke rumahmu untuk mengadu perihal isteriku yang suka meleteriku, akan tetapi aku terdengar isterimu juga meleterimu, sedangkan engkau seorang amirul mukminin. Maka Umar al-Khattab memjawab: “wahai saudaraku, aku berdiam ketika isteriku meleteriku kerana isteriku telah menunaikan segala haknya ke atasku, dialah yang memasakkan untukku, membuat roti untukku, membasuh segala bajuku dan menyusukan kesemua anak-anakku, sedangkkan kesemua itu bukanlah perkara yang wajib dilakukannya. Apabila aku ingat kembali kesemuanya itu aku tidak memarahinya kerana meleteriku. Berkata lelaki itu: “begitu jugalah perihal isteriku”. Jawab Umar: “ingatlah segala jasanya padamu, sesungguhnya keadaan itu hanyalah sementara”. (Khalid Abdul Rahman al-cAk.1997.178)

Dalam alQuran alKarim, dinyatakan dalam surah an-Nisa ayat 34,
“….hendaklah kamu beri nasihat dan kamu tinggalkan sendirian di tempat tidurnya dan kamu pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakiti badannya). Jika perempuan itu telah taat kepadamu, janganlah kamu mencari jalan untuk menganiayanya.”
Di dalam ayat ini ternyata terdapat prosedur-prosedur yang perlu diikuti oleh seorang suami sebelum dia boleh memukul isterinya:
1. Perundingan di antara pasangan tersebut haruslah dilakukan terlebih dahulu.

2. Waktu perpisahan boleh dilakukan. Ia juga memberi maksud berpisah tempat tidur dari segi waktu dan ruang, sekurang-kurangnya selama satu malam.
3. Pukulan dengan kayu sugi atau sapu tangan terlipat sebagai langkah terakhir untuk memberi pengajaran kepada isteri JIKALAU kedua-dua prosedur di atas gagal.

Suami TIDAK BOLEH sekali-kali pukul isterinya dengan tapak tangan si suami ataupun dengan benda keras yang boleh menyebabkan kesakitan dan kecederaan. Apatah lagi menendang, menyepak atau memijak badan isteri.

Perbuatan suami yang memukul isteri boleh dianggap sebagai suatu penganiayaan. Perbuatan ini adalah salah di bawah Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Sekiranya suami disabit kesalahan menganiayai isterinya maka beliau boleh dihukum denda sehingga seribu ringgit atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali. Ini adalah terturut di dalam Seksyen 127 Akta.
Perkara ini juga boleh dijadikan sebagai satu alasan untuk memohon perceraian secara takliq atau fasakh.

Oleh yang demikian, ketahuilah hak-hak anda sebagai seorang isteri. Ketahuilah juga apa sebenarnya ajaran Islam tentang layanan seorang suami Muslim terhadap isterinya.

Suami tidak ada hak untuk memukul isteri, dengan apa jua alasan sekali pun.
Walaupun isteri mungkin nusyuz, suami tetap tidak ada hak memukul isterinya mengikut ajaran Islam dan undang-undang syariah.
Dan kita sebagai jiran-jiran, ipar, mentua mahupun masyarakat prihatin, tak boleh dengan mudah membuat spekulasi bahawa "She deserves to be beaten", "memang patut dia dipukul sebab banyak berleter", "itu suami baik, didik isteri sebab isterinya tu degil tak dengar cakap," "isteri tu tak hormat suami, sebab tu dipukul,' dan sebagainya.
Berdosa kita bersangka buruk pada isteri yang disakiti itu dan tidak cuba meleraikan keadaan, ataupun cuba membantunya.
Entah-entah esok lusa, yang dipukul nanti adalah adik perempuan, atau anak perempuan kita.
Ingatlah, tatkala suami memukul isterinya, yang bertepuk tangan adalah iblis dan syaitan.

No comments:

Post a Comment