Wednesday, January 4

BERTAMBAH

Assalamualaikum semua,
Maaf sebab sudah lebih seminggu tak update blog ini. Sibuk memanjang dengan pelbagai hal.
Kata orang yang bukan guru, kerja guru seronok,dapat ebrcuti panjang tetapi hanya kami warga guru yang lebih memahami. Sebenarnya cikgu tiada office hour - kerja tetap dibawa balik ke rumah untuk diselesaikan jikalau perlu disegerakan. Seperti saya yang perlu mengawas peperiksaan SPM, cuti sekolah sebenarnya hanya 2 minggu iaitu selepas akhirnya kertas akhir SPM pada 13 Disember. Mesyuarat di sekolah berderet setiap hari dari 27.12.2011 sehingga 31.12.2011.

Alhamdulillah, selamat juga kita semua melangkah ke tahun masihi 2012.
Ramai yang tanya, 'Apa azam tahun baru?"
Bagi saya, tiada azam baru. Setiap hari, tetap berazam untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik lagi berbanding hari sebelumnya. Perbaiki kelemahan diri dari semua segi, dengan berkat dan bimbinganNya, insyaAllah.

Syukur juga, saya selesai mengajar untuk hari pertama persekolahan pada tahun ini. Hanya sekelas saja pada hari ini sebab kelas Tingkatan 4 masih menjalani minggu orientasi pemilihan subjek.
Ramai pelajar yang nampaknya belum bersedia untuk belajar pada hari pertama ini. Masih dalam 'holiday mood'. Buku latihan baru nak beli, buku teks baru nak ambil dari bilik SPBT padahal waktu panjang diberikan sebelum cuti persekolahan 2011 lagi untuk mereka melakukan semua itu. Seperti biasa, saya tegur. Pelajaran tetap berjalan seperti selalu, dan kerja bertulis serta kerja rumah tetap saya berikan mengikut rancangan mengajar. Biar berkeras sedikit pada hari pertama, lama-lama pelajar itu akan biasa dengan kerja yang lebih banyak dan mencabar, insyaAllah.

2012. Tambah satu kepada 2011. Bermakna bertambahlah umur kita semua. Makin dekat dengan kubur, huhu.
Sebagai guru, Tahun Baru saya bermula dengan hari pertama sesi persekolahan. Oooh, seronok juga mula menulis atas buku baru, masuk kelas baru, mengajar pelajar-pelajar baru. Jika boleh ingin semua serba baru, tapi saya juga berharap agar semangat baru untuk berjaya menjadi guru terbaik bagi pelajar insyaAllah biarlah tetap tinggi, hehehe...
Semoga pada tahun 2012 ini, kita semua akan menjadi lebih matang, lebih banyak bersabar, lebih banyak beramal ibadah dan lebih banyak mendekati Allah Yang Maha Esa, ameen.

No comments:

Post a Comment