"Kuih ni berapa sen satu?"
"40 sen," jawabnya ringkas.
Aduh, saya mengeluh. Karipap di tangan itu kecil saja, tak padan dengan harganya 40sen. Sekali 'ngap' masuk mulut dah boleh telan. Kuih-kuih lain yang dijual dikantin sekolah pun semuanya kecil-kecil belaka. Agaknya tauke kantin pun ambil dari orang lain, sebab itu nak dapat balik untung sedikit. Akhirnya saya beli hanya 3 biji kuih. Dah RM1.20.
Teringat saya zaman saya bersekolah rendah dulu. Seronoknya. Pada tahun lewat 70an dan 80an, karipap hanya 5 sen sebiji, besar-besar pula. Kenyang jika beli dua biji. Sebungkus nasi lemak biasa hanya 20 sen. Bihun sup semangkuk cuma 50sen. Paling mahal pun minuman botol F&N berharga 80sen ketika itu. Oleh itu, wang saku yang Mak berikan sebanyak RM20 cukup untuk belanja saya selama sebulan.
Kini? Aduh. Jikalau dibandingkan memang sakit. Tambahan sekarang zaman kegawatan ekonomi. Masuk pasar raya dengan duit sekeping RM100 pun belum tentu cukup. Perlu fikir dua tiga kali sebelum memilih sesuatu barangan dan selepas membandingkan harga dengan jenama lain. Ini pun saya yang dikira bergaji sederhana; yang dikategori miskin sudah tentu lebih susah lagi nak 'hidup;.
"Masa mula-mula masuk Islam dulu pun susah juga, kan?" komen seorang kawan baik saya.
Benar. Dulu mula-mula masuk Islam pun hidup saya susah tapi ada bezanya. Dulu saya seorang saja [sebelum menikah laaa] maka jika tak cukup duit, boleh puasa saja. Jimatlah belanja makan tengah hari dan minum petang. Tinggal di asrama kampus hanya perlu bayar sekali saja sepanjang semester; hari-hari lain tinggal percuma. Pakaian tak beli baru pun tak mengapa.
Sekarang tidak. Keperluan anak-anak kecil yang sedang membesar perlu diutamakan. Tambahan pula Ikram kini memakai baju saiz untuk kanak-kanak 2 tahun [dia baru 18 bulan], dan Ihsan yang baru 4 bulan pula sudah kelihatan sendat memakai baju saiz M [syukur boleh pakai baju Ikram yang masih elok]. Susu Anmum Essential 3 untuk Ikram pula sudah berharga Rm26 sekotak [susu jenama ini yang ok dengannya] dan bertahan selama 6 hari. Alhamdulillah Ihsan masih menyusu badan tetapi perlu juga disediakan susu supplement untuk hari-hari susu tak cukup semasa dia di taska. Ini belum dikira keperluan lampin untuk kedua-dua mereka. Boleh sesak nafas bila memikirkan semua ini, huhu.
Saya pernah duduk menangis sebab duit yang ada tinggal Rm10 sedangkan 2 minggu lagi baru akan masuk wang ke dalam akaun bank. Tak tahu apa yang harus dibuat. Tapi alhamdulillah saya dah berjaya melalui zaman itu dengan tenang. Saya juga pernah menerima wang sumbangan RM100 tanpa disangka-sangka tatkala saya kurang memerlukan. Itu simpanan buat bekal pada hari susah.
Sememangnya rezeki kita ditentukanNya. Terpulanglah pada kita bagaimana memanfaatkan wang itu. Rm10 jika diberikan kepada kanak-kanak dari keluarga kaya tidak membawa erti yang besar, tapi bayangkan jika diberikan kepada kanak-kanak miskin yang seliparnya sudah buruk. Tentu si kecil miskin itu tersenyum riang bila memakai selipar baru RM10, bukan?
Saya pernah membaca dalam Facebook bahawa RM1000 boleh digunakan untuk membantu 34 keluarga miskin. Alhamdulillah seorang rakan FB telah membuktikannya sendiri dengan membuat tempahan berpakej melalui sebuah kedai runcit, untuk diagih-agihkan kepada 34 keluarga miskin di kawasna tersebut. Barang-barang harian yang asas sahaja seperti beras sekampit, gula, garam, minyak masak, 2 tin susu dan tepung. Bayangkan betapa mudahnya untuk membantu saudara seagama kita yang miskin dan memerlukan bantuan. Bagi yang tak ada RM1000, mungkin boleh mulakan dengan membantu sebuah keluarga.
Saya pernah membeli sehelai blaus lengan panjang dengan harga RM10, dan saya juga pernah membeli sehelai baju gaun Rm100 yang 'bare-back' pada zaman jahiliah saya dulu'. Astaghfirullallazim. Bila dikenangkan semula, alangkah membazirnya saya ketika itu. Bila saya berpindah keluar dari rumah lama saya, banyak sungguh baju lama saya yang terpaksa ditinggalkan kerana kurang sesuai. Banyak pakaian saya yang tidak menutup aurat dengan sempurna [skirt pendek, blaus dan baju-T lengan pendek, gaun yang agak seksi] didermakan kepada badan kebajikan bukan Islam yang membuat kutipan baju lama. Yang dapat dibawa bersama-sama saya hanyalah baju kurung yang saya pakai semasa mengajar dulu.
Rm100 bukanlah satu jumlah yang besar sebenarnya pada masa ini. Namun ia sudah cukup melegakan ibu bapa yang agak kesempitan hidup sekarang ini, untuk membeli barang keperluan.
"Jika bagi RM100 tunai, belum tentu mereka nak bayar yuran nanti!" suara sumbang kedengaran.
"Biarlah. Lagipun bukankah tahun depan kerajaan mansuhkan pembayaran yuran sekolah? Yuran PIBG kutipan tahun depan, tunggulah tahun depan."
"Nanti habis belanja untuk benda-benda lain.Buku tulis tak beli."
"Bukan urusan kita untuk menilai. Itu bukan duit kita, kita tak ada hak untuk menilai bagaimana mereka gunakan wang itu. Jika RM100 tu untuk beli makanan bagi anak-anak di rumah, kira baik juga, bukan? Sekurang-kurangnya murid kita itu kenyang makan nasi berlauk lebih mahal pada minggu ini, dapatlah zat dan vitamin yang diperlukan untuk tumbesarannya. Mungkin juga wang RM100 itu untuk membayar bil air dan elektrik yang tertunggak; itupun membantu murid kita secara tak langsung."
"Tapi nanti buku tulis untuk tahun depan tak beli."
"Kita tunggu dan lihat. Jika selama ini murid itu dapat menyediakan buku tulis baru, insyaAllah dia akan dapat buat demikian juga tahun depan."
Kini ramai penjawat awam yang heboh tentang skim gaji baru yang diumumkan PM semasa pembentangan bajet 2012. Ok la. Syukur alhamdulillah jikalau sah dapat kenaikan gaji bulanan. Dengar kata banyak juga penambahan. Tapi selagi belum terima, perlulah berjimat. Dapat pun, jangan boros juga. Perlu ingat siapa yang berikan tambahan gaji itu - Allah SWT Yang Maha Pemurah. DIA yang menentukan rezeki kita sebenarnya. Jika dapat lebihan nanti, jangan lupa pula untuk menyatakan tanda syukur kita padaNya melalui sumbangan atas namaNya. Jangankan RM10, RM100 pun boleh, bukan.
salam kenal..tersinggah disini masa google not rm100..betul tu,kecik sungguh nilai duit kita sekarang beza sgt dgn zaman saya kecik dulu
ReplyDelete