Friday, November 18

MEREKA KAKAKKU

Pada ketika saya mula-mula memeluk Islam, saya masih perlu berulang dari USM Penang ke Taiping beberapa kali atas sebab urusan peribadi yang perlu diselesaikan. Perlu mengambil dokumen penting dari rumah yang ketika itu masih didiami oleh bekas suami dan juga urusan rasmi di sekolah lama saya mengajar.Masalahnya, di manakah saya nak tinggal ketika di sana?
Nak sewa bilik hotel, takut juga seorang-seorang. Nak ajak kawan lain, susah juga sebab mereka pun ada hal masing-masing. Tambahan lagi, dengan gaji separuh masa itu membuatkan saya perlu berjimat selagi boleh.
" Boleh saya tumpang di rumah kak?"
Terasa berat untuk menelefon tetapi terpaksa dilakukan.Setelah mencongak-congak dan menimbangkan keadaan kawan-kawan Islam yang berada di Taiping, saya mengambil keputusan menghubungi 2 kawan yang saya yakin mempunyai katil kosong di rumah dan selamat untuk saya menumpang.
Alhamdulillah, kedua-dua mereka sudi menerima kehadiran saya di rumah mereka.


Rumah pertama saya menumpang setelah memeluk Islam milik rakan baik satu sekolah, Cikgu Zakiah. Dialah yang banyak memberi sokongan dan nasihat setelah saya bergelar Muslimah. Niat saya untuk memeluk Islam telah lama diketahuinya tetapi dirahsiakan atas permintaan saya sendiri.
Kehadiran saya di rumahnya selama 2-3 hari disambut dengan mesra oleh suami, anak-anak dan ibunya.
Saya bersyukur. Semua urusan yang perlu dibuat berjalan dengan baik. Mereka banyak membantu memberi panduan dan nasihat yang berguna pada saya yang ketika itu masih agak terumbang-ambing setelah bergelar Muslim.

Saya juga menumpang di rumah Cikgu Rohani. Di sana, saya diberi bilik tetamu yang selesa sebab anak-anaknya telah dewasa dan bekerja di tempat lain. Oleh sebab dia pun telah bersara, dia dapat turut menemani saya untuk beberapa urusan rasmi sementara suaminya ke pejabat. Dari Cikgu Rohani saya kenal erti sabar dan bersikap proaktif dalam segala hal.

Alhamdulillah, segala urusan saya di Taiping berjaya diselesaikan dengan mudah dengan bantuan kedua-dua kawan yang saya anggap sebagai kakak. Memang pun mereka saudara seagamaku. Walaupun saya bergelar janda, status itu tidak pernah dijadikan alasan untuk mereka berasa gusar dengan kehadiran saya itu selama beberapa hari. Malah saya dilayan dengan baik sebagai tetamu mereka. Makan minum saya mereka sediakan sehingga saya segan. Bukan mudah nak dapat layanan begitu. Pernah saya dengar cerita mualaf wanita dihalau dari rumah yang dia menumpang, dikritik dan sebagainya. Syukur alhamdulillah saya tidak diuji sebegitu. Mungkin sebab saya sendiri telah meneliti latar belakang mereka berdua dan keadaan keluarga mereka sebelum saya memohon bantuan menumpang. Memang ada ramai lagi kawan-kawan beragama Islam di bandar itu tetapi memikirkan mereka sibuk dengan anak-anak kecil, rumah yang disewa, anak-anak lelaki remaja dan sebagainya, saya tidak mahu mengganggu mereka. Cikgu Zakiah dan Cikgu Rohani juga menjawab permohonan saya dengan cepat dan secara positif. Nyata sekali mereka ikhlas menerima kehadiran saya di rumah mereka walaupun diberi notis lewat.

Saya tahu bukan mudah untuk seseorang itu menerima orang luar walaupun kawan, menumpang beberapa hari di rumah mereka, tidur di bilik anak-anak/tetamu dan sedikit sebanyak menganggu rutin harian mereka sekeluarga. Mereka yang menjadi tuan rumah itu perlu berkorban sedikit sebanyak. Tentu sekali mereka menerima saya atas nama Islam, kerana saya saudara seagama mereka. Dengan ringkasnya, mereka menerima saya menumpang kerana Allah. Syukur alhamdulillah. Semoga Allah swt memberkati mereka.

4 comments:

  1. alhamdulillah masih ada insan yang sudi menyayangi sesama sendiri~~

    *anak sihat cikgu?

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah:) memang itu tanggungjawab umat islam, berbuat baik sesama insan. memperkuatkan habluminannas.

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah. This is truly true friendship. :)

    ReplyDelete
  4. bujal X & FaceMyMusic,
    Alhamdulillah. Saya masih berhubung dengan mereka, Cikgu Zakiah jumpa setahun sekali, Cikgu Rohani dalam FB :)

    ReplyDelete