Thursday, August 18

WAD 10 DAN SUSU IBU

Wad 10, hospital kerajaan. Jam 3 pagi. Kedengaran suara bayi kecil menangis kelaparan.
"Nurse, apa boleh saya buat lagi? Dia tak henti-henti menangis!"
Jururawat senior berumur 30-an itu berpaling ke arahnya.
"Buat apa yang patut untuk dia henti menangis. Itu anak awak, awak yang kena urus. Balik rumah nanti, awak juga yang kena jaga dia."
"Tapi saya takut dia kena tarik, dah lama dia menangis macam ni. Dia tak nak menyusu.Dah puas saya bagi."
"Tak tarik la jika menangis lama."
"Saya ada masalah menyusu badan. Saya dah minta nak jumpa nurse lactasi tapi dia tak datang lagi."
"Lactation nurse itu bukan untuk awak seorang. Kemaskan dia, bedung ketat-ketat macam ni.{jururrawat itu membedung ketat bayi tersebut dengan kain lampin]. Haaa.. tengok, dah diam. Awak kena bagi susu badan, kami tak bagi supplement. Ni dok asyik kata tak cukup susu, balik rumah nanti mesti bagi susu formula!"
Jururawat itu berlalu pergi tanpa menghiraukan ibu itu lagi.
Saya mendengar saja dari katil sebelah. Malas nak campur tangan. Ibu muda itu pun mendiamkan diri setelah ditegur oleh jururawat.
Sudah 3 malam saya di dalam Wad 10, bilik kubikel pemerhatian yang dikhaskan untuk ibu-ibu yang baru bersalin secara cesarean. Saya tidak dibenarkan masuk ke bilik kecil kerana ada darah tinggi. Oleh itu, setiap malam, saya mendengar suara bayi-bayi menangis dan mereka yang ditolak masuk ke kubikel itu sejurus selepas pembedahan kecemasan.
"Kak, saya tak pernah berniat nak bagi anak minum susu formula. Balik rumah nanti pun nak juga bagi susu badan. Cuma saya risau sebab anak asyik menangis tak henti-henti macam dia lapar sangat, susu saya pula kurang. Sampai hati nurse itu tuduh saya macam tu," adu ibu muda di sebelah katil saya seperti hendak menangis.
"Sabarlah, hospital kerajaan memang begini. Tambah syif malam, mereka sibuk," saya cuba tenangkannya. Tapi hati saya juga panas; mana boleh jururawat itu menuduh sebarangan seolah-olah ibu itu tidak akan menyusukan anaknya selepas pulang ke rumah. Sudahlah tidak membantunya/mengajar cara menyusukan anaknya, marah pula dengan kasar. Syukurlah bukan semua jururawat di Wad 10 itu bersikap begitu - hanya seorang dua saja tetapi sudah cukup menyakitkan hati.

Semenjak hospital kerajaan memperkenalkan penyusuan susu ibu, tumpuan difokuskan pada keperluan anak untuk menyusu. Memang murni hasrat ini, namun masalah lain yang timbul kurang diberi perhatian. Keperluan ibu yang menyusukan kurang diberi perhatian, lebih-lebih lagi ibu yang melahirkan anak sulung secara cesarean.
Kasihan saya melihat mereka yang ditolak masuk ke dalam wad dalam keadaan berbaring dan tidak dibenarkan mengangkat kepala dalam tempoh 6 jam selepas pembedahan.
Bayi kecil yang merengek kelaparan dibiarkan begitu sehinggalah ada ibu di katil sebelah atau jururawat yang prihatin tampil untuk meletakkan bayi itu di sebelah si ibu untuk menyusu. Selepas menyusu, terpaksa pula si ibu yang tidak dapat bergerak bebas [tiub kencing masih dipasang] menunggu untuk bantuan orang lain meletakkan semula bayi ke dalam cot.
Kata mak saya yang juga jururawat bersara, dahulu jururawat yang mengendalikan semua urusan penjagaan bayi baru lahir. Mereka lebih sibuk. Kini saya perhatikan selama 5 hari di Wad 10, jururawat sekarang nampaknya lebih berfokus pada paperwork, dengan penulisan laporan harian dalam fail setiap pesakit dalam wad. Kebajikan pesakit kurang diberi perhatian oleh kebanyakan jururawat, terutama bab penyusuan bayi. Bukan saya seorang yang kurang puas hati.
"Kak, kata saja Hospital Rakan Bayi. Saya ibu dengan anak sulung, baru belajar menyusukan anak. Ikut teori nampak senang tapi bila pegang anak, rupa-rupanya tak semudah itu. Nurse bukan bantu tunjuk cara betul nak susukan anak, kita kena marah pula bila mengadu tak cukup susu bila anak menangis," Maznah di sebelah katil saya mengadu.
"Biasalah Maznah. Nurse banyak kerja, lebih-lebih mereka yang syif malam. Tak ada jururuwat pelatih untuk membantu."

"Kesiannya... dah berapa lama menangis?"
"Sudah setengah jam. Susu badan kurang, bila bagi dia menyusu dia tak puas. Jadi macam ni la."
"Bagitau la pada misi.. minta susu tambahan."
"Dah... mereka kata susu badan saya banyak, jadi mereka tak nak bagi susu. Saya pun tak tahu apa nak buat ni, dah puas saya pam susu badan sampai tak boleh dah. Bila saya menyusu badan, anak pula cepat tidur."
"Bawa tak susu tambahan sendiri?"
"Mereka tak bagi bawa. Mereka rampas jika jumpa, jadi [susu] yang saya bawa tu mereka suruh bawa balik. Botol untuk simpan susu perah yang saya bawa dari rumah pun mereka ambil. Jadi saya hanya dapat beri susu badan atau minta supplement dari jururawat."
"Kesian anak menangis tu."
"Tau, tapi nak buat macam mana? Saya dah tanya, mereka kata tak boleh bagi susu tambahan sebab tiada arahan doktor."
"Nanti anak awak dehydrated..."
Begitulah keadaan di Wad 10 bagi ibu-ibu yang baru melahirkan anak.
Polisi Penyusuan Susu Ibu seolah-olah dipaksakan ke atas setiap ibu yang bersalin di hospital kerajaan, tak kiralah sama ada mereka sudah biasa menyusu anak atau tidak [ada ibu yang susu badan lambat keluar kerana stres/sebab kesihatan dll]. Teguran secara kasar oleh jururawat yang kurang cekap pula menambah stres yang sedia ada.

Daripada pembacaan saya, penyusuan ibu hanya akan berjaya dengan sokongan semua pihak, bermula dengan keadaan yang kondusif di wad hospital. Namun dari pengalaman saya yang dua kali bersalin di hospital kerajaan di sini, ia lebih indah khabar dari rupa. Ibu yang menyusu hanya akan dapat menghasilkan susu yang banyak apabila berada dalam keadaan selesa dan relaks. Minda perlu disetkan bahaa susu badannya cukup untuk bayi. Perlu elak stres. Jikalau sudah stres dengan tangisan bayi dan ditegur dengan kasar oleh mereka yang bertugas, bagaimanakah ibu itu dapat menyusukan anak dengan sempurna?
Semoga pihak yang bertanggiungjawab memantau keadaan di hospital-hospital yang ditobatkan sebagai Hospital Rakan Bayi supaya benar-benar merupakan bukan sahaja hospital rakan bayi tetapi juga hospital penyokong ibu menyusu badan.


6 comments:

  1. Salam,
    Saya cadangkan puan hantar aduan ini ke pihak akhbar supaya tindakan yang sepatutnya dapat diambil untuk kepentingan ibu-ibu yang bakal menyusukan bayi. Mungkin masalah ini tidak disedari oleh pihak atasan yang membuat polisi.
    Wallahua'lam

    -Dari seorang doktor yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia (pembuat polisi)dan penyokong kuat penyusuan ibu-

    ReplyDelete
  2. Semua sedia maklum bagaimana kualiti di hospital dan klinik(termasuk 1 Msia).
    Bagaimana hendak mewujudkan suasana kondusif kepada semua. Doktor, nurse, atendant dan pesakit semua tertekan.
    Cadangan saya
    - lantik seorg ust/kaunselor utk beri motivasi keapada pesakit malahan staf.
    - naik taraf hospital Sg Bakap, Bukit Mertajam n Kepala Batas setanding Seberang Jaya dan Penang. Kurangkan kesesakan teruk di HSJ dan HPPP

    ReplyDelete
  3. Saya pernah menghadapi peristiwa yang sama. Kali pertama mahu menyusukan anak, saya mohon tunjuk ajar dari jururawat, tapi mereka buat tak tahu saja. Alhamdulillah dengan dorongan mak dan suami, saya berjaya menyusukan.

    Rakan bayi sepatutnya juga rakan ibu bayi :)

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam ibuaiman,
    InsyaAllah, bila ada masa. Alhamdulillah, semua doktor yang saya temui di hospital kerajaan baik-baik belaka :)

    ReplyDelete
  5. joe penang,
    Sepatutnya tambah lebih ramai staf dan doktor pakar di setiap hospital dan kurangkan paperwork. Sebagaimana yang kita sedia maklum, hanya HSJ dan HPPP yang mempunyai doktor pakar maka semua yang berisiko tinggi dihantar ke situ sehingga kesesakan. Namun begitu, itu bukan alasan untuk pesakit mendapat layanan yang kurang profesional. Aduh, sudahlah bangunan masih lama dan bilik-bilik kecil :(

    ReplyDelete
  6. Humyrah,
    Setuju. Sepatutnya begitu namun itu yang mereka sering lupa. Teringat saya seorang doktor pakar berkata, 'selamatkan ibu dulu sebelum anak dalam kandungan. Berikan pendidikan yang baik kepada si ibu spt kebersihan, kepentingan imunisasi,makanan seimbang dll kerana dia yang akan membesarkan anak-anaknya nanti.

    ReplyDelete