Monday, August 8

NAK HABAQ KER TAK ?

"Encik, saya tak tau bagaimana nak bagitahu mereka," saya memandang ke arah lelaki berumur 30an di hadapan saya
"Jangan risau. Jika belum beredia , kami boleh bantu. Kita boleh adakan sesi roleplay untuk membantu kamu," kaunselor itu cuba menenangkan saya.
Saya berada di bilik kaunseling universiti. Pening, kerana semenjak pengislaman saya, saya masih belum mendedahkan status terbaru saya kepada keluarga. Tak tahu bagaimana nak beritahu, kerana yakin bahawa mereka tentu akan mengamuk. Lebih-lebih lagi Bapa. Mak tentu akan membebel. Paling teruk pun saya akan dipukul jika saya balik ke rumah. Paling ringan saya akan dihalau dari rumah. Namun itu semua saya tak berapa kisah. Persoalannya, sampai bila nak sembunyikan hakikat bahawa saya dah masuk Islam, dan hidup sebagai Muslima di kampus USM?
"Bagitau jer, insyaAllah mereka akan terima."
Itu antara nasihat yang pernah diterima daripada rakan-rakan Muslim.
Saya senyum saja. Mereka yang tidak pernah mengalami keadaan seperti saya yang baru memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga tentu tidak dapat menyelami perasaan saya sebagai seorang anak dan seorang Muslimah.

Saya hanya mmapu berdoa kepadaNya yYang Maha Berkuasa. Bagaimanakah cara nak beritahu mereka, tanpa mencetuskan perasaan terlalu marah mereka? Saya bersedia untuk segala kemungkinan - termasuk dihalau atau dipukul - tetapi jikalau boleh, biarlah ia dielakkan.
Allah Maha Mengetahui. Keputusan itu diselesaikan dalam keadaan yang tidak disangka-sangka.
Mak menelefon pada waktu malam, bertanyakan sama ada saya telah memeluk Islam.
Saya tertanya-tanya. "Siapa beritahu?"
"Adalah.. betul awak dah masuk Islam?" Mak minta kepastian.
"Ya, betul."
Mak diam. "Kalau begitu, jangan balik rumah!" terus dia mematikan panggilan.
Saya redha dengan keadaan itu. Redha dengan keputusan Mak. Semuanya adalah ketentuanNya jua.
Dalam keadaan saya teragak-agak dan menyusun strategi terbaik untuk mendedahkan pengislaman saya, Allah swt telah menentukan itulah cara keluarga saya mendapat berita. Sehingga hari ni, saya snediri tidak tahu siapa sebenarnya yang mendedahkan rahsia pengislaman saya itu kepada Bapa dan Mak saya. Biarlah, yang sudah terjadi pun sudah terjadi.

Ramai saudara Muslim revert yang bertanya dan meminta pendapat saya, bagaimana cara terbaik memberitahu keluarga tentang pengislaman mereka. Terus terang, saya tiada jawapan. Itu bukan di bawah kuasa manusia, tetapi Dia yang Maha Berkuasa. Maka saya nasihatkan, berdoa selalu dan merancang seolah-olah anda tidak dapat menjejakkan kaki lagi di rumah keluarga. Pray for the best, but Prepare for the worst. Begitu, anda tidak akan berasa terlalu sedih atau terkilan jikalau keadaan tidak seperti yang diharapkan.

"Tapi kak, saya tak nak nanti ibu saya jatuh sakit kerana sedih dengan pengislaman saya ni."
"Saya takut jika mendaftar sebagai Muslim di pejabat agama, nanti status saya akan didedahkan oleh pihak pejabat agama. Ni dah berlaku kepada kawan saya. Saya belum bersedia lagi untuk keluarga saya tahu."
"Saya perlukan masa lagi untuk merancang strategi terbaik untuk mendedahkan status Islam saya ni."
"Saya tak mahu dihalau dari rumah."
"Saya masih bergantung kepada keluarga untuk kos pengajian kolej."
"Saya tak mahu nanti berlaku kes berebut mayat. Biarlah saya dikebumikan sebagai nonMuslim, asalkan saya sendiri tahu saya dah Islam."
Alasan-alasan tersebut sering dikemukakan oleh brother dan sister yang bertstaus mualaf - berjinak-jinak dengan Islam serta mereka yang sudah memeluk Islam tetapi belum isytiharkan diri.
Saya dengar sahaja. Nak tegur pun susah sebab hanya mereka yang paling arif dengan keadaan dan reaksi ahli keluarga masing-masing. Nak nasihat pun setakat yang mampu saja. Mereka bukan kanak-kanak kecil; sudah dewasa.

"Ginilah... pasang niat bahawa awak akan isytihar pengislaman anda pada jangkamasa tertentu. Mungkin dalam sebulan, setahun atau selepas mendapat pekerjaan tetap. Tak boleh terus hidup dalam persembunyian. Itu menyeksakan jiwa kamu. Ibarat hidup dalam 2 alam yang berbeza-  satu sebgai Muslim, satu lagi berpura-pura sebagai nonMuslim. Tambah lagi awak perempuan, takkan tak nak menutup aurat? Tak nak makan makanan yang haram? Yang tensen, yang teruk nanti awak juga."
"Tapi keluarga saya, bagaimana?"
"Serah pada Allah swt. Teruskan berdoa, insyaAllah akan dipermudahkanNya untuk mereka menerima kamu sebagai seorang Muslim. Jika mereka menentang pun, terima sebagai satu ujian dan dugaan daripadaNya. Yang penting, awak ada perancangan untuk memberitahu keluarga dan orang terdekat tentang pengislaman awak. Tak boleh terus sembunyikan diri sehingga bila-bila."
"Tapi saya bukannya nak murtad! Saya cuma perlukan masa untuk bersedia."
"Saya faham. Awak boleh ambil sebanyak masa yang awak perlu tapi jangan terus kata perlukan masa. Mana perancangan awak, dah tulis dalam kertas atau belum? Dah cari tempat tinggal lain jika awak dihalau dari rumah? Dah simpan cukup wang untuk awak hidup berdikari tanpa bantuan keluarga? Semua ni awak perlu rancang. Bukan selalu kata nanti awak akan buat. Awak perlu ada satu rancangan yang konkrit, barulah awak boleh bebas nanti untuk hidup sebagai seorang Muslim. Melainkan awak nak terus dalam dilema begini."
"Awak seperti mendesak."
"Saya bukan mendesak. Cuma menasihati. Sebab saya sendiri sudah melalui pengalaman ni, sebab itu saya katakan mesti ada perancangan teliti.Mulakan langkah sekarang. Langkah pertama adalah yang paling susah tetapi insyaAllah jika awak berani teruskan, ia akan menjadi senang nanti."
"Saya tak sanggup berpisah dengan keluarga saya."
"Islam tak memisahkan awak dari keluarga yang bukan Muslim. Awak masih boleh tinggal dengan mereka tapi perlulah jaga diri awak sebagai orang Islam yang patuh pada suruhanNya."
"Saya perlukan masa untuk berfikir."
"Banyak masa untuk awak sebenarnya. Cuma saya nak awak jawab soalan ni - Tak mahukah awak hidup bebas sebagai seorang Muslim? Bebas mengerjakan solat di mana-mana tanpa perlu bersembunyi, bebas berpuasa dan bersahur, bebas mengenakan pakaian yang menutup aurat? Bebas menolak makanan yang tidak halal yang dihulurkan kepada awak oleh rakan-rakan dan keluarga yang bukan Islam?"
Dia diam. Berfikir agaknya.

3 comments:

  1. Smoga urusan mereka dipermudahkan Allah.. Ameen

    ReplyDelete
  2. semoga urusan kawan kak liya utk memberitahu berita pengislamannya dipermudahkanNya :) amin..

    ReplyDelete
  3. Spt kata pepatah...
    Berat mata memandang...berat lagi bahu yg memikul,

    InsyaAllah, Dia akan memberi balasan yg setimpal & maha adil....
    Bersabarlah menempuh ujian/dugaan...
    Anda semua tergolong dlm org2 yg terpilih!!!

    ReplyDelete