Sunday, April 17

BANDING

"10 bulan belum berjalan lagi? Anak akak 9 bulan dah boleh berjalan."
Saya tersenyum.
"Takpa, tak lama lagi berjalanlah dia."

Ikram kelihatan cuba menolak stroller yang didudukinya supaya bergerak. Saya segera menolak stroller meninggalkan pintu pagar rumah jiran.
"Pergi dulu, kak."
Hmmm, baru 10 bulan tetapi sudah beberapa kali Ikram dibandingkan dengan anak-anak orang lain. Saya tak berapa suka sebenarnya tetapi apakan daya, sudah menjadi kebiasaan agaknya orang lain pula membandingkan perkembangannya dengan anak-anak mereka. Syukurlah Ikram belum faham perkara yang dibualkan; kalau dia faham, mungkin dia akan merajuk seperti umminya dahulu.

Perkembangan Ikram masih dikira normal. Pada usia 10 bulan, dia sudah boleh berdiri tanpa bantuan [walaupun tak lama]. Merangkak dengan cepat ke seluruh ruang tamu yang menjadi tempat mainannya. Memanjat tangga rumah dengan saya mengikut di belakang. Bertepuk dan mengangkat tangan mengikut arahan. Saya tak berinya guna walker lagi setelah walker yang digunakan dulu tercabut salah satu rodanya [kerana terlalu buas] InsyaAllah tak lama lagi, akan bertatihlah dia. Ketika itu, saya pula yang tak menang tangan menjaganya di rumah. Oleh sebab itu, saya tak berapa kisah berapa lama dia ambil untuk belajar berjalan walaupun saya berdoa, biarlah dia dah pandai berjalan apabila sudah bergelar "Along" nanti.. Asalkan dia gembira dengan setiap aktiviti yang dilakukan, saya sudah berpuas hati.

Mengetap bibir..Makin dilarang makin nak panjat.. hero ni dah boleh naik 7 anak tangga sekaligus
Saya lebih memberatkan perkembangannya dari segi minda, emosi dan rohaniah. Alhamdulillah, setakat ini dia kelihatan ceria dan aktif, dan mudah mesra dengan orang yang dikenalinya. Semua yang menjaganya bersetuju bahawa dia mudah diuruskan dan tak banyak kerenah. Dia boleh bermain sendirian tanpa terlalu mengharapkan orang dewasa menemaninya. Larangan 'No' atau "Jangan" pula jarang digunakan bila bersamanya walaupun ada kalanya timbul risiko tertentu. Oleh yang demikian, alhamdulillah Ikram mempunyai keyakinan diri yang positif. Mungkin kerana di nurseri dia diajar Bahasa Melayu, di rumah pula saya bertutur dalam B.Inggeris, Ikram agak lambat menyebut perkataan tapi ia bukanlah sesuatu yang merunsingkan saya, walaupun saya sendiri dikatakan mula bercakap pada usia sebayanya. Biarlah Ikram seronok bermain sambil belajar ketika ini.

Ikram juga suka melihat Abah dan Umminya mengerjakan solat. Jikalau tidak dihalang, dia akan duduk di atas sejadah ketika saya atau suami bersembahyang sambil memerhatikan gerak-geri kami. Bagi saya, itu merupakan perkembangan yang positif. Saya membiarkannya menarik-narik kain sejadah yang terhampar di lantai rumah walaupun ia mungkin dianggap tidak sesuai oleh orang lain. Alasan saya, kalau selalu dilarang, mungkin dia akan anggap kain sejadah sebagai sesuatu yang negatif dan tidak boleh disentuh langsung. Susahlah nanti bila mahu diajar sembahyang jikalau tanggapannya begitu.

"Nora dah tumbuh 8 gigi... Ikram baru 4? Lambat gak ya.."
" Tengah tumbuh gigi yang kelima. Nora 2 bulan lebih tua daripada Ikram, bukan?"
"Ya.. agaknya.. mengapa?"
"Saja tanya. Ikram baru 5 batang tapi syukur, air liurnya tak meleleh setiap kali tumbuh gigi baru," saya senyum, terbayangkan wajah si Nora yang asyik dilap mulutnya.
Wanita itu terus mendiamkan diri. Mungkin kurang senang dengan komen saya yang jahat tu. Hehehee.. ibu yang suka menengahkan 'kehebatan' anaknya pasti kurang senang hati apabila diingatkan pula akan kekurangan anaknya.
Tapi bukankah setiap anak itu ada kelebihan dan kekurangannya sendiri? Terima sajalah segala yang dianugerahkan Allah padanya.. dan berilah dorongan padanya agar dia akan terus berusaha menjadi lebih hebat, bukankah itu yang sebaiknya? Tak payahlah nak mengecil-ngecilkan pula perkembangan anak orang lain.

Bagi saya, asalkan Ikram masih dalam graf pertumbuhan yang normal, tak perlu dirisaukan. Graf milestone yang disyorkan oleh pakar kanak-kanak pula harus dijadikan sebagai panduan sahaja tetapi bukan semestinya wajib diikuti. Perlu diingatkan setiap kanak-kanak berkembang pada tahap yang berbeza.

walker diterbalikkannya pula sebab lebih berminat main roda walker
Hai.. mengapalah ibu-ibu suka sangat membandingkan anaknya dengan anak orang lain?
Di hadapan ibu-ibu lain, suka menceritakan kelebihan anaknya dan merendah-rendahkan anak orang lain.
Di hadapan anaknya pula, suka menceritakan kehebatan anak orang lain, sehingga si anak merajuk marah kerana menganggap ibunya tak menghargai dirinya.
Saya berdoa agar saya sendiri tidak terikut-ikut dengan gejala ini apabila membesarkan Ikram dan adik-adiknya.[sebab sendiri pun benci selalu dibandingkan dengan anak-anak kawan ibu ketika saya bersekolah dulu - tak ada apa yang dibuat itu sempurna].

Saya pernah baca dalam sebuah buku bahawa gejala suka membandingkan anak dengan anak orang lain merupakan satu cara merosakkan anak-anak. Islam juga melarang kita membandingkan anak-anak kita atau memberi layanan berbeza kepada mereka. Kita sebagai ibu bapanya yang akan mencorakkan hidupnya. Saya percaya bahawa setiap anak yang dilahirkan itu seorang yang unik, maka tidak adil untuk membandingkannya dengan individu lain.
Jikalau semua anak itu membesar pada kadar yang sama dan pada tahap IQ yang sama, tentu sekali tidak ubah seperti robot, bukan?
Serlahkanlah keunikan anak-anak kita, insyaAllah akan wujudlah bakal Einstein atau Ibn Sina yang baru, insyaAllah..

Nota: Agak mencabar untuk mengambil foto Ikram sekarang kerana dia anggap handfon dan kamera sebagai alat mainan yang menarik, dan pasti akan merangkak ke hadapan untuk merampasnya dari tangan saya.

8 comments:

  1. subhanallah. comelnya ikram.. :) xpe kak liya, stiap org potensi nya lain2... cabaran lain2.. tpi akn jadi sama hebat dn sama saja pandangan dimata Allah..
    :)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Aliya,

    dah besar Ikram ye...alhamdulillah. Memang ramai orang seperti itu, Aliya. Sabarlah. Sekurang2nya kita lebih menitikberatkan perkembangan keempat2 fakulti insan anak2 kita. Kita tidak sekadar mengira berapa batang gigi anak kita ada atau anak kita ni dah pandai buat apa...ia lebih dari itu. Yang paling utama kita tanamkan rasa kebesaran Allah dalam diri anak2 kita seawal mungkin...ini termasuklah membiarkan anak2 kita 'mengacau' kita sewaktu kita solat. Ada orang yang tidak suka anak2 kecilnya mengganggu ketika mereka solat, lalu bersolat dalam bilik...macamana anak nak nampak contoh dari ibubapa? Itu belum perkara2 lain yang sepatutnya ibubapa menunjukkan contoh2 yang baik kepada anak2. Wallahua'lam. Salam untuk Ikram :)

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam atieshariffuddin,
    Tak kecil hati pun dengan komen orang pada anak, cuma nak kongsi cerita.
    Ya, benar tu :)

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam ROS,
    InsyaAllah, sabar selalu hendaknya.Ya, alangkah ruginya jika tidak dapat mengajar anak mengenali Allah semenjak kecil lagi, bila dah besar tentu lebih susah hendak dibentuk peribadinya. Salam juga kepada anak-anak di rumah, ya.

    ReplyDelete
  5. adat manusia suka membuat perbandingan ada yg baik ada yg tidak. jika bab anak2, mereka adalah perhiasan dan permainan.mereka juga adalah amanah yg lahirnya putih bersih. sbg ibu pastikan perhiasan anda itu indah dan bermakna buat agamanya insyaallah. apabila sampai suatu ketetapan utk sesuatu perubahan maka jadilah ia....-kunfayakun.
    perbandingan dgn org lain bagi saya itu biasa. bukan itu yg diukur dimata-NYA

    ReplyDelete
  6. Salam puan!
    Glad we share the same thought!Ya, saya sangat tidak suka ibu2 yang membandingkan perkembangan anaknya dengan anak orang lain. Setiap anak perkembangannya berbeza. I guess Umar pun lebih kurang sama macam Ikram, dari segi fizikal perkembangan dia agak lambat. Tetapi dari segi mental dan perkembangan sosial Alhamdulillah. Kami suami isteri pun praktikkan perkara yang sama spt puan berdua iaitu membiarkan anak melihat kami bersolat jemaah, menarik telekung atau sejadah, duduk di celah2 Mummy dan Papa bila kami duduk tahiyat etc. Semoga anak-anak kita semua membesar menjadi hamba yang beriman, Amin

    ReplyDelete
  7. Waalaikumussalam tenang_aku,
    Terima kasih atas pandangan yang diberi..insyaAllah akan sentiasa peringatkan diri. Sedang mengajar Ikram berdoa dan meng-amin.. alhamdulillah dia seronok lakukannya :)

    ReplyDelete
  8. Waalaikumussalam mummy umar,
    Ameen, semoga anak-anak kita menjadi anak soleh/solehah dan penyejuk hati ibu bapa:)

    ReplyDelete