Thursday, March 31

PATUTKAH DIA MINTA BEGITU?

Meja saya di tepi pintu di bilik guru kanan. Saya sedang sibuk menyemak buku latihan pelajar.
Tiba-tiba pintu dibuka.Dia masuk.Sekali pandang, dia lelaki Cina.Berbaju-T berkolar dan berseluar panjang.
Saya tidak hiraukannya. Mungkin dia bapa salah seorang pelajar sekolah yang sedang mencari guru kelas anaknya.
Tiba-tiba dia menghulurkan sebuah fail klip kepada saya. Di atas fail itu, terdapat dua keping kertas bercetak. Saya terpaksa membacanya.

Hmmm... Mohamad Ridzuan Lim bin Abdullah... saudara baru.. 
Ahhhh... rupa-rupanya dia masuk ke bilik guru untuk meminta sedekah!
Ya, itulah sebenarnya tujuan dia ke situ.
Kertas sehelai bersaiz A4 putih itu bercetak komputer mengandungi beberapa baris ayat yang menyatakan bahawa si dia itu adalah seorang saudara baru dan ingin meminta bantuan wang. Tidak pula dinyatakan untuk tujuan apa wang itu. Saya belek kertas kedua. Lebih kurang sama saja kandungannya. Tiada nama mana-mana NGO Islam. Tiada cop tauliah mana-mana jabatan agama Islam. Oleh yang demikian, saya berani menganggarkan bahawa dia sendiri yang menulis surat tersebut. Mungkin juga kutipan sedekah itu untuk kegunaan dirinya sendiri.

Dia masih berdiri di tepi meja sambil menunggu tindakan saya.
"Awak dah pernah pergi ke PERKIM?" saya tanya dia dalam bahasa Cina Hokkien.
Dia kelihatan terkejut, gelabah seketika. Serangan daripada Cikgu Aliya!
Saya ulangi,"Awak pernah pergi ke PERKIM?" masih dalam bahasa Cina Hokkien.
Kalau benar dia orang tempatan, sudah tentu dia boleh memahami ayat saya dan mampu menjawab dengan baik!
Saya masih memandang ke wajahnya. Daripada raut wajahnya, saya agak dia berumur 40-an. Rambut masih hitam, badan masih tegap. Orangnya kelihatan sihat.
"Err, saya biasa pergi ke PERKIM di Alor Setar," dia jawab dalam Hokkien yang lancar.
"Jauhnya di Alor Setar! Tak biasa pergi ke PERKIM di Butterworth kah?" saya tegur lagi.
"Butterworth pun ada pergi," dia jawab.
"Awak tinggal di mana?" saya seperti detektif pula. Ahh, biarkan. Lagipun bilik guru itu hanya ada kami berdua.
"Di Bukit Mertajam," jawabnya lalu menghulurkan saya sekeping kad. Kad Masuk Islam. Saya jenguk seketika.. ya, alamatnya di Bukit Mertajam.
"Awak orang Cinakah?" dia tanya saya pula.
"Ya, saya orang Cina," saya jawab ringkas.
"Mana bilik guru? Saya diminta oleh guru besar untuk ke bilik guru," katanya pula. Mungkin mahu mengelak.
"Di bilik sebelah lagi," saya memberitahunya dan dia pun keluar.

Saya menyambung kerja menyemak latihan yang bertimbun. Beberapa minit kemudian, Encik Ridzuan Lim masuk semula ke dalam bilik saya.
Dia menghulurkan kertas dan fail tadi kepada guru wanita Melayu yang duduk di sebelah saya.Cikgu itu terkejut bercampur hairan. Namun, dia mengeluarkan beg tangannya. Saya tak mahu masuk campur.
Bijak, Ridzuan tidak meminta daripada saya.


"Siapa dia tu?" tanya Cikgu Wani (bukan nama sebenar) pada saya setelah Rizduan keluar dari bilik kami.
"Baca tak kertas dia tu?" saya tanya kembali.
"Baca tapi tak fahamlah."
"Dia tu saudara baru (Islam) yang datang ke sini meminta derma. Tak bagitau pula untuk tujuan apa tapi nampak dari segi zahir, dia sihat dan kuat kan? Tu yang saya tak layan dia, sebab dia ambil jalan mudah. Buat malu nama saudara baru, datang sekolah minta derma. Patutnya dia minta zakat atau bantuan dari NGO Islam kalau benar dia orang susah atau nak tolong orang lain yang susah. Ni tidak, mudah saja masuk keluar sekolah dengan sekeping kertas itu untuk meminta belas kasihan orang Islam. Entah-entah semua duit itu nanti masuk poket dia sendiri," kata saya.
"Patutnya pihak pentadbir tak bagi la dia masuk bilik guru," komen Cikgu Wani.
"Nak buat macam mana? Orang seperti tu datang sekolah minta derma, nak tahan? Nanti bos kita pula rasa tak sedap hati, rasa berdosa kalau tak tolong saudara baru. Dia ambil kesempatan atas status saudara baru!"


Kelihatan Ridzuan turut menghulurkan fail dengan kertas meminta sedekah itu kepada seorang lagi guru wanita yang lalu di hadapan bilik kami. Guru tersebut juga berhenti dan mengeluarkan dompetnya.
Saya ingat lagi, kertas minta derma itu sudah mengandungi cop dan tandatangan beberapa pengetua sekolah di kawasan Seberang Perai Tengah. Bayangkanlah jika dia sudah ke 5 buah sekolah dan setiap sekolah dia berjaya mendapat derma daripada 40 guru Islam. Berapakah yang berjaya dikutipnya sekarang?
Untuk tujuan apa kesemua wang itu bakal digunakan?

Saya sibuk, oleh itu saya tidak sempat berbual panjang dengannya.
Kira rezekinya berjaya mendapat bantuan wang dengan cara mudah di sekolah saya. Saya tak pasti berapa orang guru yang menderma padanya.
Tapi jikalau saya jumpa lagi dia di sekolah saya pada tahun hadapan, memang dia akan 'kena' dengan saya!

Monday, March 28

NAMPAKNYA TAKDE JAMINAN ROOMING-IN

Assalamualaikum,

Saya mengandung 19 minggu dan mengidap hipertensen, kini menjalani rawatan pranatal di KK Seberang Jaya dan juga Klinik Pakar 1, Hospital Seberang Jaya. Saya dijadualkan melahirkan anak melalui pembedahan cesarean kerana komplikasi fibroid dan hipertensi.
Ketika melahirkan anak pertama melalui pembedahan dengan general anestesia di Hospital Seberang Jaya pada 24.5.2010, saya diasingkan daripada bayi selepas ia dilahirkan. Saya hanya diberi peluang menyusukan bayi sekali sahaja di bilik bedah sehinggalah ia dikembalikan kepada saya 17 jam kemudian dalam keadaan kenyang. Saya dan anak disahkan sihat dan tidak mengalami sebarang komplikasi kesihatan selepas bersalin. Apabila saya bertanya kepada jururawat bertugas, mereka hanya memberitahu pengasingan ibu-anak kerana saya dalam keadaan lemah dan tidak boleh mendukung bayi untuk menyusu, dan saya masih dimasukkan drip. Keadaan pengasingan tersebut telah menyukarkan penyusuan susu ibu untuk bayi saya seterusnya selepas ia dikembalikan kepada saya kerana kekurangan body-contact dengan bayi saya. Saya juga tidak dibekalkan dengan breatpump oleh pihak hospital untuk membantu saya mengeluarkan susu badan untuk dibekalkan kepada anak.

Kini saya risau kerana berkemungkinan mengalami masalah serupa ketika melahirkan anak kedua. Saya ingin menyusukan anak sebaik sahaja ia dilahirkan. Setahu saya, polisi rooming-in adalah wajib untuk membantu ibu menyusukan anak. Mengapakah anak pertama saya itu perlu diasingkan hanya kerana saya dikatakan lemah untuk mendukung anak? Bukankah jururawat di wad 10 perlu membantu ibu-ibu untuk menyusukan anak?
Adakah polisi rooming-in hanya untuk ibu yang bersalin normal? Apakah pula polisi hospital untuk ibu yang melahirkan anak melalui pembedahan cesarean?

Jawapan daripada pihak anda amat dihargai. Terima kasih.

Pn.Nur Aliya Yeoh bt Abdullah
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Terima kasih kerana menggunakan Portal MyHEALTH.
Salam 1Malaysia.

Terlebih dahulu tahniah dan syabas  kami ucapkan, atas semangat tinggi puan untuk menyusukan bayi.  Polisi penyusuan susu ibu tidak menyebut bila atau berapa jam bayi harus diberikan susu ibu selepas dilahirkan.  Tetapi antara langkah-langkah kejayaan penyusuan susu ibu ialah membantu ibu memulakan penyusuan 1/2 jam selepas dilahirkan dan itulah yang telah mereka lakukan di bilik bedah. Polisi susu ibu juga menyatakan semua ibu digalakkan memberi susu ibu sahaja, susu formula, makanan tambahan dan minuman hanya diberi atas arahan doktor kerana sebab-sebab perubatan.

Semasa di wad Post natal (wad selepas bersalin) pula, memandangkan Puan mengidap darah tinggi adalah tidak wajar memberi bayi kepada puan untuk penyusuan seandainya tekanan darah puan belum stabil.  Ibu yang melahirkan melalui pembedahan general anestesia memerlukan ruang yang mencukupi sebelum sedar sepenuhnya dari kesan general anestesia.  Drip yang diberikan kepada puan mungkin mengandungi ubat untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Kesihatan ibu juga harus diambil perhatian/dipentingkan kerana tekanan darah diharapkan akan turun apabila ibu mendapat rehat yang mencukupi.

Sepatutnya jururawat yang menjaga wad  membantu ibu menyusukan bayi dalam masa 6 jam pertama, tetapi ia tetap bergantung keadaan kesihatan ibu.  Kekangan kerja dan bilangan kakitangan dalam wad juga harus diambil kira kerana kebanyakan Hospital Kerajaan tidak dapat menyediakan perkhidmatan 1 jururawat kepada 1 pesakit.  Walaubagaimana pun kami mencadangkan puan berbincang dengan jururawat menjaga wad post natal/atau breast feeding nurse wad berkenaan, untuk mengelakkan masalah berulang untuk kebaikan bersama.

MyHEALTH
 
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Itulah surat emel yang saya hantar pada 6 Mac ke Kementerian Kesihatan melalui portal MyHealth.
Alhamdulillah mereka membalas dengan cepat [syabas] dan saya terima jawapan emel pada 7 Mac.

Hmmm, nampaknya isu ini masih belum selesai, dan saya perlu berbincang dengan doktor pakar [gyneacologist] hospital berkenaan sebelum saya masuk wad untuk bersalin secara cesarean pada bulan Julai nanti [insyaAllah]. Saya juga berbincang dengan ketua jururawat di Wad 10 serta pakar bius yang bertugas semasa pembedahan saya. Terpaksa bertegas pula dalam isu ini.
Apa nak buat, saya sukar nak menjalani rawatan di hospital swasta kerana mengandung berisiko tinggi. Lagipun sebagai penjawat awam, rasanya tidak berbaloi jika ke hospital swasta, kemudian masih dihantar ke hospital kerajaan jikalau berlaku sebarang komplikasi semasa bersalin.
Hanya mampu berdoa untuk yang terbaik untuk anak dan diri saya sendiri, dan semoga segala urusan dipermudahkanNya kelak.

Pagi tadi semsa membuat scanning, doktor pakar yan memeriksa saya berkata," Umur 40 tahun ni berisiko 200 dalam 1000 untuk mendapat anak Down Syndrome. Tapi scan begini tak dapat kesan. Kalau Aliya nak, boleh jalani ujian ambil sampel air ketuban di Hospital Pulau Pinang. Kos RM500 sebab sampel akan dihantar ke KL. Aliya nak buat?"
Saya senyum padanya. "Tak nak la, kalau ada pun, nak buat camner? Tambah tensen pula nanti."
RM500? Ahhh... lebih baik digunakan untuk membeli barang keperluan baby nombor 2 ini nanti.Belum shopping kerana belum tahu jantina lagi.
Saya dan suami berserah kepada Allah swt.

Sunday, March 27

MASAK MASAK

"Dah siap potong?" saya tanya.
"I dah pening.. tak tahanlah dengan bau ikan mentah!" Lis mengeluh.
"Ok, takpe.. biar saya yang buat," saya tawarkan diri. Kenal sangat dengan amoi yang tidak biasa menyiang ikan. "Lis tolong potong sayur,"
Dia senyum lalu segera pergi ke meja lain.
Kami sepakat memasak pada pagi itu. Istilah sebenarnya adalah 'masak secara rahsia'. Maklumlah kami tinggal di asrama kolej dan ketika itu masa cuti semester. Hanya kami sekumpulan 30 orang itu yang masih menumpang di situ kerana sesi pembelajaran kami lebih lama berbanding kursus lain. Hujung minggu kafe tutup, dan gerai-gerai berdekatkan kolej juga tidak buka. Oleh sebab sudah bosan makan mi segera atau keluar untuk makan tengah hari di gerai-gerai yang agak jauh dari kolej, beberapa rakan telah pergi ke pasar pagi dengan keeta dan pulang dengan makanan mentah.
"Operasi memasak!" kata Jenny apabila dia mengetuk pintu bilik saya.
Ketika itu saya masih belum memeluk Islam. Rakan-rakan lain yang berada di kitchenette itu juga semuanya bukan Muslim. Ada Cina, ada India dan ada juga pribumi dari Sabah. Kami memasak beramai-ramai. Ada nasi putih, ikan goreng, sayur campur, sup sayur dan juga ayam goreng.
Kami tiada tong gas dan dapur memasak. Semuanya kami berjaya lakukan hanya dengan 3 buah periuk nasi yang telah dibasuh dengan bersih.
Kami juga amat berhati-hati supaya tidak meninggalkan sebarang kotoran di kitchenette itu.
Sampah-sarap segera diikat dan dimasukkan ke dalam beg plastik untuk dibuang di luar kolej. "Marilah makan," kami juga menjemput rakan-rakan lain termasuklah rakan Muslim.
Yasmin, Ana dan Wahida [bukan nama sebenar] yang merupakan rakan Melayu Muslim menyertai kami di ruang TV.
Mereka membuka tudung makanan lalu berbisik sesama mereka.
"Kami makan ikan goreng dan sayur saja la, ya, " kata Yasmin.
"Maaf, kami tak pasti sama ada ayam ni disembelih atau tidak, jadi kami tak boleh makan," kata Wahida pula."Ikan bolehlah."
"Oh, ok.." jawab Jenny yang agak terkejut dengan komen tersebut.
"Biar kami non Muslim saja yang makan ayam ni," saya pula menyampuk.
Kami semua makan bersama-sama dengan gembira. Gunakan pinggan sendiri untuk mengisi nasi dan lauk. Komuniti rakyat 1 Malaysia. Tak perlulah masak mi segera pada hari itu. Yasmin, Ana dan Wahida turut menjamu selera walaupun mereka tidak diberitahu lebih awal tentang projek masakan itu.
Tidak ada pertanyaan sama ada bekas makanan yang digunakan atau periuk nasi itu sudah disamak atau belum. Tidak ada pertanyaan sama ada pisau yang digunakan itu pernah digunakan untuk memotong makanan tidak halal atau tidak.Mereka cukup yakin bahawa kami yang memasak tadi tidak memasukkan benda yang tidak halal dalam makanan yang dimasak dan dihidangkan itu.
Saya percaya mereka bukan jahil tentang agama Islam, lebih-lebih Yasmin yang kuat pegangan agamanya.
Mereka juga bukan terlalu lapar sehingga sanggup membelakangkan ajaran agama Islam.
Cuma mereka berpegang pada prinsip bahawa Rasulullah saw sendiri tidak pernah menyamak bekas makanan yang digunakan Baginda ketika Baginda makan di rumah orang bukan Islam.

Thursday, March 24

MARKING

Cuti sekolah selama seminggu merupakan waktu yang sibuk bagi saya. Sepatutnya berehat tetapi pada waktu yang sama, saya perlu menyemak kertas jawapan ujian prestasi yang diadakan sebelum cuti. Itulah tugas seorang guru. Bagi mereka yang bukan dalam bidang perguruan, mungkin mereka akan menganggap guru bertuah kerana sering dapat bercuti. Sebenarnya dalam cuti masih banyak kertas sekolah yang perlu dibereskan.

Menyemak kertas Bahasa Inggeris peringkat SPM, walaupun hanya kelas-kelas Tingkatan 4, sangat memenatkan. Berbanding kertas soalan subjek seperti Sains dan Matematik yang berbentuk fakta atau kiraan, kertas Bahasa memerlukan seorang pemeriksa membaca jawapan esei dan rumusan karangan daripada pelajar berulang kali. Baca sekali lalu, beri markah untuk isi, baca kali kedua baru semak kesilapan tatabahasa lalu beri markah untuk bahagian bahasa. Itu baru bahagian esei, belum masuk bahagian rumusan dan sastera. Kalau semak sambil lewa, bersalah pula kepada para pelajar. Mahu tak mahu, kenalah periksa dengan teliti. Itupun ada pelajar yang mengadu kerana saya dikatakan terlalu cerewet dengan markah, hahahaa..

Saya mengajar sekolah harian biasa. Bukan sekolah elit. Seperti biasa, para pelajar terdiri daripada mereka yang rajin dan bijak sehinggalah mereka yang liat untuk belajar dengan serius. Dan oleh sebab ramai pelajar Melayu yang lulus cemerlang sudahpun mendapat tempat di sekolah-sekolah elit dan sekolah berasrama penuh, yang tinggal di sekolah harian biasa terdiri daripada mereka yang tiada tempat lain untuk dituju. Para pelajar yang cemerlang pula ramai yang terdiri daripada pelajar bukan Melayu, kerana mereka yang jarang ke sekolah berasrama penuh.Oleh sebab itu jugalah, mereka yang lulus cemerlang dalam peperiksaan (8A ke atas) kebanyakannya terdiri daripada pelajar bukan Melayu di sekolah harian biasa. Para pelajar Melayu yang cemerlang di sekolah harian biasa tidak seramai mereka yang bukan Melayu.

Yang menyedihkan, terdapat segolongan besar pelajar Melayu yang seolah-olah tidak kisah akan prestasi mereka dalam peperiksaan, terutamanya dalam subjek Bahasa Inggeris. Mungkin kerana Bahasa Inggeris bukanlah subjek yang wajib lulus dalam SPM. (Malang lagi, ramai juga pelajar Melayu yang gagal dalam subjek Bahasa Melayu SPM - dikira gagal mendapat sijil SPM). Ketika di Tingkatan 4 terutamanya, mereka banyak bermain dan tidak serius dalam pelajaran. Sebagai guru, seringkali saya mendapati kertas jawapan mereka 'kosong' tidak dijawab walaupun berulang-kali diingatkan supaya menjawab semua soalan. Markah yang diterima seringkali merupakan markah daripada bahagian pelbagai pilihan jawapan/objektif sebanyak 15 soalan. Agaknya jikalau kesemua soalan memerlukan pelajar menulis jawapan sendiri, lagi teruklah markah mereka.

Apabila disoal, mereka akan berkata bahawa subjek Bahasa Inggeris susah untuk lulus. Melalui pengalaman saya, sebenarnya tanggapan mereka itu tidak benar. Jikalau seseorang pelajar itu rajin berusaha dan banyak melakukan latihan bertulis, prestasinya akan bertambah baik, tak kiralah bangsa apa sekalipun. Lihatlah pelajar-pelajar yang asalnya di SJKC dan SJKT, di mana waktu mereka mempelajari Bahasa Inggeris  tidak sebanyak waktu yang diperuntukkan untuk subjek itu di sekolah kebangsaan. Namun begitu, ramai bekas pelajar sekolah jenis kebangsaan yang akhirnya berjaya menguasai Bahasa Inggeris lebih baik daripada pelajar dari sekolah kebangsaan.

"Yang lemah pun anak bangsa kita (Melayu). Kita perlu bantu mereka, buat sesuatu supaya prestasi mereka naik dalam subjek BI," seorang pengetua sekolah pernah mengingatkan saya.
Tapi guru hanya mampu melakukan sebaiknya dengan kerjasama para pelajar itu sendiri. Jikalau pelajar tidak berminat dan terus memberikan reaksi negatif, ia umpama cuba menggerakkan sebuah bukit yang besar.
Sikap negatif pelajar terhadap Bahasa Inggeris terutamanya dalam kalangan remaja Melayu sedikit sebanyak merugikan mereka sendiri. Ada yang tak mahu bercakap dalam Bahasa Inggeris kerana dipengaruhi oleh rakan-rakan lain yang akan menuduhnya 'berlagak macam Mat Salleh".Apabila disuruh 'speaking', pandai pula mengaku 'tak pandai'. Malah ada yang menggunakan alasan bangsa lain pun boleh maju dengan bahasa ibunda dijaja sebagai sebab mereka tidak mahu/perlu menguasai Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain dengan baik, dan mencemuh mereka yang berusaha agar semua pelajar berjaya menguasai lebih daripada satu bahasa. Entahlah, saya sendiri pun kadangkala pening dengan keadaan dan sikap pelajar-pelajar begini. Kita nak tolong mereka tetapi jikalau mereka sendiri enggan menolong diri mereka sendiri, yang rugi mereka juga nanti.


Tatkala ada pelajar Cina bukan Islam pun sudah boleh menguasai Tasawwur Islam dengan skor A+ dalam SPM, bagaimana pula nasib anak-anak Islam keturunan yang masih gagal dalam subjek itu? Bagaimana nak amalkan ajaran dengan baik sedangkan pengetahuan pun masih kurang?
Aduhai, kasihan sekali pada mereka yang diberi segala kemudahan untuk belajar (berbanding zaman saya yang terpaksa berjimat untuk membeli buku teks) tetapi masih malas/tidak mahu belajar dengan baik.

Sunday, March 13

BOLEH PERCAYAKAH RAHSIA TARIKH LAHIR?

Semnjak kecil, saya sudah diperkenalkan dengan tahun-tahun binatang dalam kalendar Cina. Malah boleh dikatakan setiap orang yang saya jumpa, pasti akan bertanya saya lahir tahun apa. Tok pula mengajar saya bagaimana menjawab.
Bila sudah kenal huruf, saya sedar orang tua percaya bahawa kanak-kanak yang lahir pada tahun tertentu mempunyai watak tertentu yang dikatakan bersandar pada watak binatang ia dilahirkan.
Kalau lahir tahun rimau, dipercayai orangnya berani, aktif dan suka cabaran. Lahir tahun babi pula dikatakan akan dapat hidup senang pada usia tua.

Masuk sekolah menengah, saya didedahkan pula dengan ramalan horoskop Barat. Capricorn, Aquarius, Taurus dan sebagainya. Anehnya, juga 12 semuanya, sama seperti kalendar Cina. Cuma horoskop Cina berdasarkan tahun, horoskop Barat berdasarkan bulan.
Banyak juga buku yang saya khatam mengenai horoskop Cina dan Barat ini.
Itupun belum termasuk bahan bacaan tentang fengshui, ramalan berdasarkan tahi lalat pada badan seseorang. Oooh, saya memang berminat tentang isu-isu berkenaan. Menarik.

Apabila saya mempelajari Islam, saya belajar bahawa mempercayai ramalan-ramalan begitu adalah berdosa. Boleh jatuh syirik kerana mempercayai ada kuasa lain selain Allah yang menentukan masa depan seseorang. Setelah memeluk Islam, saya buang semua kepercayaan tahyul itu. Tahu tetapi sudah tidak mempercayainya. Faham tetapi tidak amalkannya. Kerana amaran dalam al-Quran.
Namun saya simpan semua buku-buku tersebut dalam kotak untuk dijadikan rujukan bila perlu.

Hairan. Tatkala saya yang tak lagi percayai semua tahyul itu setelah beragama Islam, kini ramai pula orang Islam sendiri di masyarakat kita yang mempopularkan ramalan horoskop. Bukan setakat dalam akhbar tetapi sudah diterbitkan buku. Kononnya personaliti dan masa depan seseorang boleh diramalkan berdasarkan tarikh lahir seseorang. Banyak juga buku yang laris.
Kini bukan setakat tarikh lahir mengikut kalendar Roman tetapi yang terbaru mengikut tarikh lahir bulan Islam yang menjadi sasaran mereka. Kononnya orang yang lahir dalam bulan Ramadhan ada ciri-ciri tertentu. Orang yang lahir pada bulan September ada sifat-sifat lain.
Aduh, siapakah orang Islam yang membuat semua gambar itu? Tak ada kerja lain yang lebih berfaedahkah?

Apakah ini semuanya?
Sudah semakin jahilkah umat Islam di Malaysia?
Apakah bezanya kepercayaan pada ramalan sifat seseorang yang lahir mengikut kalendar bulan Islam dengan kepercayaan masyarakat bukan Islam pada ramalan mengikt kalendar Cina/Roman? Bezakah dengan ramalan masyarakat Jahiliah zaman Rasulullah pada batu dan burung?
Semuanya khurafat.
Pokoknya ia adalah berdosa. Diberi amaran dalam al-Quran. Disuruh agar tidak menduakan Allah.
Bukan mereka tidak tahu. Mereka tahu tetapi mereka masih degil, bukan?

"Barangsiapa yang mendatangi seorang peramal lalu mempercayai apa yang diramalkan, maka ia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam ." (HR. Tirmidzi No. 135, Abu Dawud No. 3904, Ibnu Majah No. 639 dan Ahmad No. 9252)

"Barangsiapa yang mendatangi seorang peramal lalu menanyakan kepada tentang satu ramalan, maka tidak akan diterima shalatnya selama empat puluh malam."
(HR. Muslim 2230)



"A la, suka-suka saja. Bukan percaya pun, takkan itu pun nak marah," itulah alasan yang sering diberi.
Habis kalau bukan percaya,  mengapakah disebarkan dalam Facebook dan emel ? Itu pun suka-suka?
Bukan setakat masuk dalam profil sendiri malah terus ditagkan foto 'ramalan tarikh lahir mengikut bulan' itu dengan nama-nama kawan-kawan lain agar mereka turut membaca dan mempercayainya.
Meluat saya apabila setiap kali membuka emel dan FB dan mendapati pelbagai komen yang masuk semata-mata kerana di-tag begitu tanpa izin saya. Letih pula kerana terpaksa membuang [untag] semula nama saya daripada foto tersebut. Membuang masa saya.

"A la, bukan ramalan pun. Cuma membantu mengenal watak seseorang berdasarkan tarikh lahirnya. Membantu kita mencari pekerjaan yang sesuai," ada pula komen orang lain.
Hmmm, kalau begitu, apakah bezanya kepercayaan itu dengan pandangan horoskop penganut Hindu dan orang Cuna dahulukala apabila mereka cuba mencari jodoh untuk anak masing-masing? Bukankah berdasarkan bacaan tarikh lahir calon untuk membantu mereka mengenal watak dan masa depan bakal pasangan anak mereka?
Begitu banyak alasan yang diberi semata-mata untuk menegakkan hujah, mempertahankan satu kepercayaan yang jelas dilarang dalam agama Islam.
Benarkah kita manusia biasa mampu mengetahui watak seseorang dengan begitu mudah, yakni hanya dengan mengira tarikh lahirnya, atau sekadar bulan apa dia dilahirkan?
Jikalau dia dikatakan seorang yang mudah cemburu/ panas baran/ pendendam, adakah dia akan terus dilabel begitu? Bagaimana jikalau dia sememangnya bukan begitu, tetapi kerana sebuah hujah, dilabel begitu? Tak adil bukan?
Sedangkan kita yang bersandarkan pada ajaran Islam, wajib berusaha untuk menjadi orang yang lebih baik setiap hari, dan mengubah segala sifat mazmumah kepada sifat mahmudah.
Bolehkah kita benarkan sebuah buku atau satu hujah mengubah perspsi kita terhadap seseorang, sedangkan Islam mengajak kita untuk sentiasa berbaik sangka?

Bagi yang masih gemar berbuat begitu ~ mengedarkan foto/emel berkenaan dengan ramalan 'Rahsia Tarikh Lahir' dan mempercayai segala yang disampaikan oleh 'pakar-pakar itu', nasihat saya adalah, berhentilah.
Buang semua kepercayaan karut itu. Jangan hampiri langsung.
Bukan dapat pahala tetapi mengundang dosa dan kemurkaan Allah.
Hanya Allah swt yang berkuasa menentukan masa depan kita semua. Tarikh lahir kita dan masa lahir kita dikongsi bersama dengan berjuta-juta orang lain. Masakan akan mendapat nasib yang sama? Mempunyai watak yang sama?
Tak logik, bukan?

Saturday, March 12

KELUAR MAKAN DENGAN MAK

"Nak makan apa?" saya tanya Mak saya. Kami masih di rumahnya.Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengah hari.
"Makan nasi dengan lauk di kedai makan hujung sana, boleh?" jawab Mak.
Saya mengangguk, faham kedai mana yang Mak maksudkan. Terdapat 2 buah kedai makanan Cina dekat dengan rumah Mak, tetapi dia sering ke kedai hujung untuk membeli makanan tengah hari apabila tidak mahu memasak. Katanya makanan di kedai hujung itu lebih murah dan lebih banyak pilihan.
Saya memandu kereta ke sana dengan Mak dan Ikram.
"Mak belilah apa yang Mak nak makan. Saya tak lapar, masih ada roti yang dibawa dari rumah," saya beritahu Mak.
Saya mendukung Ikram sambil duduk di sebuah meja di dalam kedai makan tersebut. Pelanggan memang ramai kerana ia popular di kalangan pekerja kilang. Mereka akan singgah makan di situ pada waktu rehat. Rata-ratanya pelanggan berbangsa Cina.
"Nak minum apa?" tanya pelayan dalam Bahasa Melayu.
"Bagi air kotak kekwa sejuk," saya menjawab dalam Bahasa Hokkien.
Dia agak terkejut [maklumlah saya bertudung] lalu pergi mendapatkan minuman saya.
"Siapa ni? Kawan awak?" taukeh kedai menegur Mak.
"Ni anak perempuan saya..dan cucu saya," jawab Mak dengan spontan dalam Bahasa Hokkien.
"Oh, comel sekali cucu awak," kata taukeh itu sambil memandang Ikram untuk kali kedua.
Saya hanya senyum padanya.
Alhamdulillah, Mak semakin relaks apabila keluar dengan saya. Dia nampaknya tidak kisah akan reaksi orang ramai apabila mereka bertanya tentang identiti saya, yang bertudung.
Mungkin ada orang Islam yang tidak selesa apabila melihat Muslim yang duduk di kedai makanan tidak halal. Bagi saya, itu terpulang kepada niat masing-masing. Kalau jelas ke sana untuk menikmati hidangan yang tidak halal, memang berdosa. Tapi saya menemani ibu sendiri yang bukan Islam yang mahu makan tengah hari di situ, dan saya sendiri tidak menjamah apa-apa makanan di situ. Takkan pula setiap kali saya bersama Mak, kami perlu ke kedai Melayu padahal Mak sendiri mahu merasa makanan Cina. Tak boleh paksa mereka begitu semata-mata kerana saya sudah beragama Islam. Kalau asyik bertegas menolak untuk menemani ahli keluarga terutama ibu bapa semata-mata kerana sendiri tidak lagi makan [makanan tidak halal] seperti mereka, bukankah itu hanya merenggangkan siratulrahim? Kasihan pula kalau Mak sendiri terpaksa berjalan ke kedai semata-mata kerana saya sudah tidak boleh makan di situ. Bagi saya, kalau nak berdakwah pun, lebih baik secara lembut supaya Mak tak kecil hati.
"Tak nak makan apa-apakah? Laksa dan Chee Cheong Fun di gerai tu sedap juga, rasa-rasanya tak ada unsur babi," kata Mak yang tahu itu makanan kegemaran saya.
"Tak apalah, masih kenyang lagi sebab makan banyak di rumah," saya memberi alasan sambil tersenyum.
Ikram menepuk-nepuk meja makan kerana mulai bosan. Jelingan mata para pelanggan lain pada kami tidak dihiraukan. Mak terus makan dengan berselera. Saya pula bersyukur kerana semenjak memeluk Islam, tidak teringin untuk makan lagi makanan yang tidak halal. Mudah untuk mengelak walaupun ia kelihatan di depan mata. Alhamdulillah..
Selesai makan, kami pun beredar dari situ.

Monday, March 7

MAJALAH I EDISI MAC

Semasa wartawan majalah itu menghubungi saya melalui emel, saya tengah sibuk. Saya kata untuk tujuan dakwah, ok tapi pelbagai masalah keluarga menyebabkan saya lewat membalas emel. Soalan-soalan interviu yang diberikan mengambil sedikit masa untuk dijawab. Tambahan pula, ketika itu saya masuk wad sehari dan Ikram diserang demam campak.
Kasihan dia. Dateline menjelang tiba. Syukur segala urusan berjalan lancar. Saya akhirnya menjawab emel sebelum tarikh yang diberi.
Hasilnya?
Ni ha... terkejut juga apabila diberitahu sudah diterbitkan.
Lagi terkejut apabila mendapati gambar saya dan Ikram di muka depan majalah. Tak dijangka, kerana jarang sekali gambar kolum Hidayah dipaparkan di muka depan.
Aduh, habislah... satu Malaysia nampak. Syukurlah Ikram masih terlalu kecil untuk sedar dirinya di muka majalah. :)
Aduh, saya buat selamba saja ketika membelinya di kedai buku petang tadi. Mungkin kerana sekarang saya bercermin mata (tak sempat nak makai contact lens semenjak kelahiran Ikram), jurujual kurang perasan ketika urusan jual-beli :P
Niat untuk dakwah, bukan nak glamor.. apatah lagi untuk jadi famous.Tapi mungkin itulah yang perlu dihadapi apabila gambar sendiri dah masuk muka depan majalah.
Apa-apa pun, seperti kata suami,"Serah pada Allah.. Dia yang menentukan segalanya."
Hmmm.. komen saya selepas membacanya?
Ok la.. tak banyak jawapan saya yang diedit walaupun ada sedikit kesilapan teknikal.
Nak tau selanjutnya, perlulah baca sendiri :)
Ya Allah, jauhilah hambaMu ni drp sifat riaq, megah dan sombong dan segala sifat mazmumah lain.

Friday, March 4

SHARING SESSION DENGAN WABA

Alhamdulillah, Allah Maha Mengetahui dan Maha Merancang.
Saya ke KK Sbrg Jaya seperti yang dijadualkan pada pagi ini, untuk pemeriksaan rutin tekanan darah. Pelan asal, pergi check sekejap kemudian terus ke sekolah untuk program Merentas Desa.
Itu pelan asal. Yang terjadi seterusnya amat berlainan. Bukan saja saya tertinggal program itu, saya menjadi tumpuan beberapa orang NGO yang mengadakan lawatan ke klinik berkenaan.
"Kak, kak kerja ker? Boleh tak tunggu kejap? Kami ada pelawat dari luar negara, untuk beri ceramah tentang breastfeeding," kata seorang jururawat yang bertugas di kaunter ketika saya kembali ke kaunter selepas ujian air kencing (alhamdulillah semua result OK).
"Lama ker? Saya nak balik ke sekolah,"jawab saya.
" Perlu tunggu kejap, mereka akan sampai pukul 9pagi," beritahu jururawat itu lagi.
"Ok la, tapi beri timeslip, ya."
Saya dan beberapa orang ibu mengandung menunggu di depan kaunter. Masa berjalan tetapi yang ditunggu belum tiba. Sebaliknya kami dijemput ke tingkat atas untuk sarapan pagi. Makanan nasi goreng yang sesuai untuk ibu yang berpantang dan milo panas disediakan. Di sana, kami disertai ibu-ibu dengan bayi kecil mereka. Kumpulan kami semkain bertambah ramai; kira-kira 20 orang semuanya.
Sejam menunggu dan dengan perut kenyang, akhirnya kami didatangi sekumpulan NGO yang turut disambut oleh doktor bertugas dan para jururawat unit ibu mengandung. Rupa-rupanya mereka merupakan ahli WABA (World Alliance for Breastfeeding Action) antarabangsa. Ada yang dari Hong Kong, Eropah dan sebagainya.
Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
Saya dan 2 lagi ibu dibawa ke sebuah bilik untuk sessi taklimat personal.
Di situlah saya mula berkongsi pengalaman sebagai ibu yang pernah menyusukan anak.
Buat pertama kalinya dalam hidup saya ni, saya ceritakan segala masalah yang dihadapi ketika menyusukan Ikram, bermula dengan masalah di bilik pembedahan yang sedikit sebanyak memberi kesan negatif terhadap usaha saya menyusukannya sehinggalah kepada keadaan dia tidak mahu lagi menyusu badan.
Pengalaman pahit dipisahkan selama 17 jam daripada baby yang baru lahir sehinggalah saya menjerit pada staf di wad 10 itu supaya membawa anak kepada saya atau saya akan saman pihak hospital kerana tidak amalkan Rooming-In.
Masalah menyusukan anak pertama yang meraung lapar selepas pembedahan cesarean, dan kurangnya sokongan dan bantuan keluarga terdekat.
Akan keadaan tensen kerana saya sendiri tidak bersedia dengan sebarang susu tambahan/formula 'just-in-case' bayi tak menyusu,kerana begitu yakin akan dapat menyusukan anak.
Akan pelbagai usaha yang dilakukan untuk menambahkan susu badan, dan posisi yang saya gunakan ketika menyusu..
Bagaimana saya 'cope' dengan anak kecil seorang diri di rumah ketika pantang (selepas pulang ke rumah sendiri), dan usaha mengepam susu badan selepas anak lebih menyukai minum melalui susu botol.
Itupun alhamdulillah saya berjaya memberi susu badan selama 6 bulan, walaupun tidak banyak (Ikram sekarang masuk 9 bulan). Susu badan yang diberi walaupun sedikit lebih digemari Ikram berbanding susu formulanya.
Tanpa sedar, meleleh air mata ni.
Kelam kabut pula mereka tu mendapatkan kertas tisu.
Alahai... nak tunjuk 'tough' akhirnya bertakung pula :P
Rupa-rupanya selama ini saya memendam perasaan tanpa saya sedari.
Perasaan dan pengalaman dalam usaha menyusu badankan anak yang kurang difahami oleh mereka yang mendapati ia proses yang 'begitu mudah dan sepatutunya mampu dilakukan oleh setiap ibu tanpa sebarang sokongan dan bantuan moral.
Sebenarnya menyusukan anak bukan satu proses yang mudah, lebih-lebih lagi bagi ibu-ibu yang baru dan menjalani pembedahan cesarean.
Mereka mendengar dan memahami.
Mereka tidak menilai seperti orang biasa.
Mereka turut memberikan penerangan dan tunjukajar. Ternyata banyak yang saya lakukan selama ini betul, walaupun pernah mendapat komen negatif. Mereka juga memberi beberapa tip tambahan untuk membantu penyusuan anak seterusnya.
Kebolehan saya bertutur dengan lancar dalam Bahasa Inggeris juga memudahkan saya berkomunikasi dengan mereka yang datang dari luar negara.
Saya diperkenalkan dengan seorang ibu yang juga menyusukan anaknya, yang juga merupakan ahli kumpulan sokongan Ibu Menyusu Pulau Pinang. InsyaAllah saya akan menyusul ke perjumpaan mereka nanti.

Bersama jururawat and antara 2 orang sukarelawan WABA yang berbincang dengan saya ..
alahai, gemuknya saya mengandung ni :P (gambar diambil dengan handfon)
Mengapa semua ini?
Kerana, insyaAllah saya berazam untuk menyusukan anak yang sedang dikandung ini (dah 19 minggu umurnya- lagi 19 minggu lagi sebelum melihat dunia, dengan izinNya), dengan lebih baik dan lebih lama berbanding untuk Ikram.
Dulu ketika mengandungkan Ikram, saya ingin menyusukannya sehingga 2 tahun tetapi tidak berjaya. Semuanya atas ketentuanNya jua.
Bukan mudah untuk melakukan penyusuan eksklusif dengan jaya, tambahan dengan risiko saya yang berkemungkinan memerlukan general anesthetics lagi semasa cesarean seperti kali pertama (ubat bius tahan sakit tidak berfungsi bagi saya, entah mengapa).
InsyaAllah dengan sokongan yang baru ini, mungkin ia akan lebih berhasil.
Sama-sama doakan, tunggu dan lihat :)