Sunday, January 23

KALAU BUKAN KITA, SIAPA LAGI?

'Ok, thank you, class..."
Loceng berbunyi menandakan tamatnya waktu persekolahan. Saya memberi isyarat untuk mereka bersurai. Masing-masing sudah mula bergerak, menggalas beg dan menuju ke pintu.
Beberapa pelajar perempuan Tingkatan 1 menghampiri saya, lalu bersalaman.
"Hidayat... tak boleh salam dengan cikgu perempuan lagi. Kamu dah besar!" saya terkejut apabila seorang pelajar lelaki tiba-tiba mencelah masuk dan turut mencium tangan saya. Tak sempat saya nak elak, lalu terkeluarlah kata-kata tadi.
Saya perhatikan dia pergi dengan segera. Mungkin dia malu dan terkejut dengan reaksi saya. Ahhh, nampaknya saya perlu memanggilnya semula keesokan hari dan memberi sedikit tazkirah kepadanya.
Hmmmm, pelajar Tingkatan Satu.
Sudah 3 minggu di sekolah menengah. Mereka masih menyesuaikan diri dengan suasana dan kaedah pembelajaran di sini. Amalan di sekolah rendah kadang-kala terbawa-bawa sehingga ke sekolah menengah.
Para pelajar di dalam kelas saya itu saya susunkan mengikut jantina. Satu barisan lelaki, satu barisan perempuan dan begitulah seterusnya sehingga 4 baris meja berkembar. Pelajar pula disyaratkan untuk duduk bersebelahan dengan pelajar berlainan kaum. Daripada pengalaman, jikalau dibiarkan mereka memilih partner sendiri, akan terjadilah kumpulan-kumpulan mengikut kaum masing-masing - sesuatu yang saya mahu elakkan.

Saya bersyukur kerana ditempatkan bertugas di sebuah sekolah yang terdiri daripada pelajar berbilang kaum. Tidaklah hanya memandang pelajar satu kaum dan satu agama sahaja pada setiap hari. Di samping itu, saya dapat terus menggunakan bahasa Mandarin untuk situasi tertentu terutama kepada pelajar Cina yang kurang fasih bahasa Melayu.
Di samping itu, dapat juga berdakwah secara halus. Bukan mengajak pelajar masuk Islam tetapi lebih kepada memberi penerangan kepada semua, apakah itu cara hidup Islam dan ajaran Islam.

Berita-berita yang kurang memuaskan baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat kita masih kurang sensitif terhadap fahaman dan amalan penganut agama lain. Tak perlulah saya jelaskan; baca sahaja berita politik atau tentang PLKN, sudah faham, bukan?
Kita nak salahkan siapa dalam hal ini?
Semua tahu dan suka berkata, pendidikan bermula dari rumah. Selepas rumah, sekolah.
Tapi... sudah cukupkah pendidikan yang kita berikan kepada anak-anak dan ahli keluarga kita sehingga mereka bukan sahaja berjaya hidup dengan amalan agama Islam, bahkan turut menghormati kepercayaan penganut agama lain?


Kalau anak-anak kita memanggil anak-anak penganut agama lain 'Babi' ketika bergaduh, adakah kita menegur? Atau kita membiarkan saja?
Kalau anak-anak mengejek mereka yang mengangkat kavadi dan upacara agama lain, adakah kita halang? Atau kita sendiri yang menambah minyak?
Kalau anak-anak hanya mempunyai kawan-kawan yang sebangsa dan seagama dengannya, adakah kita berusaha mendekatkan mereka dengan anak kawan-kawan yang beragama lain?
Sebagai guru, saya sudah melihat segala tindak-tanduk kanak-kanak dan remaja yang kadang-kala menaikkan darah, memburukkan nama baik agama Islam sendiri, dan secara tidak langsung, menjauhkan orang lain daripada melihat Islam secara positif.
Ya la, orang sering mengaitkan amalan dan kepercayaan agama melalui tindak-tanduk kita.

Ibu bapa di rumah mempunyai peranan penting untuk memberi pengajaran dan tunjuk ajar yang sesuai dengan peringkat umur dan kematangan anak-anak. Kalau sudah masuk ke sekolah menengah yakni Tingkatan Satu, perlulah ajar tentang batas-batas pergaulan lelaki dan perempuan. Tak boleh lagi bertepuk-tampar dengan kawan-kawan berlainan jantina. Kalau lelaki, tak boleh lagi bersalaman dan mencium tangan cikgu perempuan.

Guru-guru juga perlulah prihatin lebih-lebih lagi guru yang mengajar Pendidikan Islam. Tegur dan beri penerangan kepada pelajar yang masih kelihatan 'kurang matang'. Pelajar perempuan terutama yang memakai pinafore yang duduk secara 'kedai terbuka'. Pelajar Islam yang bertudung mini dan tidak memakai baju dalam yang sesuai. Fahamkan para pelajar tentang amalan dan kepercayaan agama lain -
mengapa perempuan Islam tidak berjabat tangan dengan lelaki lain,
mengapa wanita Islam bertudung,
mengapa lelaki Sikh berturban,
mengapa lelaki Islam bersongkok/berkopiah ke masjid,
mengapa ada perayaan Thaipusam,
mengapa penganut Hindu menjadi vegetarian pada hari Selasa,
mengapa kolam dilukis di hadapan rumah orang Hindu,
mengapa rambut penganut Sikh tidak boleh dipotong,
mengapa perempuan Hindu tidak ke sekolah pada kali pertama dia datang bulan,
mengapa jam tidak boleh dijadikan hadiah hari lahir untuk orang Cina,
dan sebagainya.
Saya percaya, kalau disoal kepada remaja Tingkatan 4 sekalipun, bukan semua yang mampu menjawab dengan betul.
Memang perkara-perkara tersebut disentuh dalam subjek-subjek tertentu di sekolah tetapi kadang-kala kerana kesuntukan masa, ada yang diberi sekadar 'touch-and-go'.
Hasilnya?
Lihatlah sahaja kecelaruan yang berlaku pada hari ini.

Kesensitifan kaum juga perlu dibincangkan secara halus kepada anak-anak dan para pelajar. Terangkan mengapa perlu menghormati amalan dan kepercayaan agama lain, dan bukannya mencaci mahupun menghina mereka.
Sudah banyak buku dan majalah yang menerangkan amalan dan kepercayaan agama lain.
Membaca dan menerangkan bukan bermaksud akan mendedahkan anak-anak kepada risiko murtad. InsyaAllah, kalau dilakukan dengan betul, anak-anak kita akan lebih mencintai agama Islam, serta menunjukkan sikap hormat terhadap penganut agama lain.
Hasilnya, mungkin dengan sikap dan tingkahlaku anak-anak kita yang begitu sopan dan hormat pada uncle-uncle dan auntie-auntie itu, dapat menarik minat mereka pula untuk mengetahui dengan lebih dekat ajaran Islam pula.

15 comments:

  1. salam...
    maaf bertanya..
    kenapa tak boleh hadiahkan kaum cina dengan jam?
    mungkin boleh share dengan saya yg masih banyak tak tahu ini?
    terima kasih~
    =)

    ReplyDelete
  2. Menjadi guru bukan takat mengajar subjek akademik je, tapi peranan yang lebih besar mendidik akhlak dan adab. Memang mencabar di zaman cyber ni, tambahan pula di sekolah yang pelajarnya berbilang kaum. Mana nak habiskan sukatan pelajaran lagi, mana nak menghadap tugas2 bukan akademik lagi. Syabas kat semua insan bergelar guru, yang kadang2 macam the unsung heroes, orang tak berapa pandang. InsyaAllah, besar rahmat Allah kepada guru yang ikhlas macam Aliya.

    ReplyDelete
  3. salam..

    dokturah mumul, sbb ikut kprcayaan org cina, nnt pendek umur. correct me if i'm wrong..
    sy prnh hadiahkn slipper yg pki dlm bilik tu pd sorg kwn cina. ada dia ckp ssuatu ttg kahwin. sy pun dah lupa. hmm.. byk kan pantang, kdg2 fikir panjang jugak nak beli hadiah yg mcm mana :/

    ReplyDelete
  4. waalaikumussalam dokturah mumul dan azween,
    Bagi orang cina, jam simbol masa. Jikalau terima jam sebagai hadiah hari lahir, seolah-olah pendek umur. Orang tua-tua cukup pantang dalam hal ini.

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  6. Salam Kak Aliya,

    Kita dah tak punya banyak masa di akhir zaman ini. Kadang-kadang saya tertanya-tanya di mana keikhlasan kaum-kaum bukan Melayu yang lain termasuk segelintir mereka yang mengaku "Melayu liberal / moden" selepas lebih 50 tahun merdeka dan diberikan hak kerakyatan tanpa syarat "jus soli".

    Mengaku orang "Malay"sia tapi apa benda yang "Malay / Melayu" tentang mereka pun saya tak tahu? Takde inisiatif langsung untuk mempelajari sejarah Tanah Melayu dan memahami serta mendekatkan diri dengan budaya Melayu. Yang peliknya, kalau nak jadi doktor ke... arkitek ke... engineer ke atau profession-profession tertentu pandai pulak ambik inisiatif belajar dan mendekati diri pada budaya profession masing-masing. Jadi sebenarnya salah siapa?

    Sedangkan di dalam perlembagaan tiada langsung dinyatakan rupa, warna kulit atau asal usul keturunan sebagai syarat untuk memenuhi takrif "Melayu". Syaratnya hanya:-
    1. Beragama Islam
    2. Bertutur dalam Bahasa Melayu
    3. Mengamalkan budaya dan cara hidup Melayu

    Suruh ubah diri tak nak... tapi hak sama rata nak. Cuba kita berikan hak sama rata kepada pemungut-pemungut sampah di dalam BAR COUNCIL... tak melenting semua peguam-peguam termasuk Karpal Singh dan anaknya? Tau pulak mereka menjaga integriti identiti profession mereka dan faham pula mereka kenapa tak boleh diberi hak sama rata kepada pemungut-pemungut sampah di dalam majlis peguam-peguam kerana identiti profession yang berbeza. *chuckles*

    Dasar bangsa keturunan "Pemikiran Pendatang" yang tok nenek moyang mereka lari dari negara asal namun degil tak juga mahu diserap mahupun berterima kasih kepada negara yang berbuka hati menerima keturunan mereka sebagai warganegara tanpa syarat. Penyudahnya negara asal pun reject... negara baru pun macam jadi kera sumbang.

    Alahamdullillah, moyang saya yang berasal dari China tak begitu. "Pemungut sampah" pun tahu untuk berusaha keras agar keturunannya satu hari nanti dapat menyandang profession-profession yang lebih baik seperti profession "Peguam". Inilah senario yang boleh dijadikan sebagai perumpamaan kepada pengorbanan moyang saya dari tanah asing yang menyaksikan keturunannya diterima sebagai rumpun Melayu yang selari dan serasi dengan kesinambungan sejarah rantau ini. Nak menjaga kesinambungan sejarah bangsa Cina... buat di Cina, bukan di sini. Nak menjaga kesinambungan sejarah bangsa India juga bukan di sini... buat di India. Barulah kena pada tempatnya. Ini tidak dengan kebanyakan kaum bukan Melayu di Malaysia... bagaikan "Pemungut Sampah" tetap melahirkan generasi "Pemungut Sampah" seterusnya tanpa ada usaha memperbaiki diri untuk mengecapi hak kesamarataan yang telah tersedia terbentang sekiranya mahu berubah. Mana ada dalam dunia ni benda "free"? Nakkan sesuatu... perlu melalui proses perubahan / pengkondisian.

    Kebanyakan mereka langsung tak sedar bahawa mereka amat berpotensi untuk menggantikan golongan yang mengaku diri mereka sebagai "Melayu" tetapi sebenarnya haprak. Mereka hanya tahu complain pemimpin "Melayu" korup, tak amanah, pemalas... etc. Takat complain semua orang boleh complain. Kalau nakkan keadilan, sendiri mau berubah laa.

    Memang sesuai laa dengan topik akak kali ini, "KALAU BUKAN KITA (diri sendiri), SIAPA LAGI?" untuk menjaga kesinambunagan sejarah Melayu-Islam di rantau Nusantara ini? Takan nak harapkan orang-orang cina di benua China atau orang-orang india di benua India plak dak? *chuckles*

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum warahmatullah kepada puan dan rakan seiman sekelian!

    Saya kurang setuju menyalahkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Tiada sesiapa pun yang berbuat salah, mungkin sesetengah kita jahil dan tidak terdedah.

    Ia boleh diusahakan berbanding dengan kita hanya menyalahkan sesama kita. Sebab kita tak cuba masuk ke tempat orang lain dan merasa sendiri dicaci dan dimaki hamun oleh mereka yang tidak memahami. Kalau mereka mencaci kita pun, ia adalah masalah salah komunikasi sahaja. Janganlah diambil hati.

    Cuba lah letakkan diri kita pada tempat mereka maka kita akan faham, sama lah juga seperti kita mahu orang memahami kita. Masalah semua kita, kita cepat mengadili orang lain. Saya juga pernah meminta pandangan kawan-kawan terhadap diri saya dan hasilnya saya juga tidak terlepas dari sikap sebegitu. Maka saya catatkannya di dalam catatan saya agar saya ingat perkara tersebut.

    Saya berasa bahawa keadaan di Malaysia ini adalah unik. Ia adalah anugerah Allah walaupun kita mungkin tidak nampaknya. Kalau negara kita seragam sahaja seperti Indonesia maka kita akan lihat rakyat yang akan tertutup sahaja. Saya berpengalaman melihat rakan seasrama dari Indonesia berasa hairan melihat saya berbahasa Cina sedangkan saya berbaju Melayu. Saya tak fasih berbahasa Melayu baku kerana saya penutur bahasa Melayu Kedah walaupun sudah dua puluh tahun lah tinggal di negeri orang lain sebagai kediaman.

    Saya tak pernah mengakui diri saya orang Melayu melainkan hanya sebagai rakyat kesultanan Kedah dan Malaysia kerana keimanan saya pada zaman remaja rendah saya berdasarkan kehidupan orang Buddha.

    Keturunan bapa dan ibu sendiri bukan keturunan bumiputera etnik Melayu. Kami cuma orang peranakan yang diserap menjadi Melayu kerana berbahasa Melayu dan kebetulan beragama Islam.

    Kita bersyukur sahajalah dengan apa yang kita ada. Usahakan dakwah dan dekatkan jurang. Belajarlah mengenai sesama sendiri. Buanglah ego kita jauhi kekeruhan. Jauhi juga permusuhan dan persengketaan. Tak usahlah jadikan agama sebagai penghalang berhubungan baik selagi ia tidak menghalang iktikad kita. Hal negara-bangsa, perkara tersebut sebenarnya adalah berdasarkan pengelasan politik (baca sistem Westphalia).

    Kita boleh jadi bangsa apa pun kalau kita bertutur dalam sesuatu bahasa. Kalau jadi orang Melayu pun tak berbahasa Melayu, hanya setakat darah sahajalah Melayu. Budaya dan adat bukan lagi budaya adat Melayu. Etnik dan bangsa adalah jelmaan dari rasa kita dipunyai oleh sesuatu kumpulan.

    Ambil sahaja orang Hindu, berbahasa Tamil. Tapi dalam sistem kasta ada pula pengelasan jati dan bangsa. Ada orang yang berbahasa Tamil berketurunan Yunani pada zaman purba. Ada yang berketurunan Pallava (Parsi lama), maka kastanya jatuh kepada kasta Kesatria beragama Hindu.

    Tiada apa pun yang seragam. Dunia ini berwarna-warni kerana Allah memang menciptakan-Nya begitu.

    Wallahua'alam.

    ReplyDelete
  8. Ya benar "sinner in repentance"... setiap rantau ada budaya dan undang-undangnya yang tersendiri yang tersurat mahupun yang tersirat yang harus dihormati. Kalau tak suka dengan budaya atau undang-undang sesuatu rantau itu, maka tinggalkan saja rantau tersebut. Kita ada pilihan bukan? Allah bukan jadikan kita pokok atau tunggul kayu yang tidak boleh bergerak.

    Nabi Muhammad SAW sendiri berhijrah ke Madinah setelah menyedari kehadirannya tidak disenangi penduduk Mekah suatu ketika dahulu. Kenapa dia tak berdegil sahaja untuk terus menetap di Mekah sambil tidak berganjak dari pendiriannya? Kerana baginda bukan dasar orang yang mengamalkan budaya yang suka meminta-minta diterima oleh masyarakat setempat tanpa mahu berubah. Sebaliknya, kerana baginda mengetahui dirinya tidak boleh berganjak dari pendiriannya maka itulah baginda menerima permintaan orang-orang Madinah untuk bertapak dan mentadbir di sana lalu baginda pun berhijrah ke Madinah.

    Ini jauh sekali perbezaannya dengan sejarah kaum pendatang di bumi Melayu. Melayu tidak pernah menjemput tok nenek moyang kaum pendatang untuk datang ke sini. Melayu hanya menerima mereka sebagai warganegara atas dasar simpati dan belas kasihan sesama insan setelah mereka ditinggalkan oleh penjajah dan mungkin menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri sekiranya mereka kembali ke negara asal. Orang dah terima pun dah cukup baik. Sendiri mau faham dan sendiri mau ingat laa... kalau nakkan lagi keselesaan, sendiri mau berubah laa mengikut acuan masyarakat setempat sebelum boleh diterima sepenuhnya. Takkan itupun nak ajar? Kenalah guna akal fikiran yang Allah berikan.

    Satu persoalan dan peringatan buat kita semua umat Islam. Andai kata ada satu bencana besar berlaku di bumi nusantara ini dan kita diberi hanya dua pilihan... berhijrah ke negara bukan Islam yang banyak sumber dan peluang seperti Amerika / Eropah atau berhijrah ke negara Islam yang padang pasir kering-kontang seperti Arab Saudi? Tapi sendiri mau ingat laa... kalau di negara bukan Islam takkan kita nak berharap disajikan dengan makanan yang halal setiap masa dan jangan haraplah dapat perlepasan pergi solat Jumaat... kalau nak berkeras juga maka bersiap-sedialah untuk menghadapi tentangan daripada masyarakat setempat di sana. Kalau di negara Islam yang lain pula, mungkin sukar untuk mencari mahupun sebutir nasi. Identiti "Melayu" juga mungkin tidak relevan lagi tapi setidak-tidaknya agama Islam itu tetap menjadi teras maka keselesaan untuk beribadah itu sendiri tiada hadapi tentangan... Jadinya tepuk dada, tanya selera. Allah takkan menyebelahi orang-orang yang bodoh. Takde penyakit, pergi cari penyakit... siapa suruh? Kerana pertamanya, Allah telah berikan pilihan. Keduanya, Allah telah kurniakan kita dengan akal fikiran supaya dapat membuat pilihan dengan sebaik-baiknya. Hanya manusia itu sahaja yang degil tidak mahu menggunakan akal fikiran. Kalau tak suka dengan sesuatu tempat sila tinggalkan tempat berkenaan dan carilah tempat yang sesuai yang memenuhi citarasa masing-masing, jangan pula meminta-minta itu dan ini berubah mengikut citarasa bangsa pendatang masing-masing. Kajilah sejarah... maka itu tak timbul isu "Cuba lah letakkan diri kita pada tempat mereka", sebaliknya merekalah yang wajib menyesuaikan diri kepada acuan kita.

    Kita beruntung kerana kita dilahirkan di rantau yang masih menjadi benteng perbatasan "Melayu" yang terakhir. Kalau kita tak reti bersyukur dan tiada semangat untuk menegakkan kesinambungan sejarah Melayu-Islam di bumi nusantara ini, mungkin saja Allah akan turunkan bala dan rampas bumi ini daripada kita Melayu-Islam yang akhirnya menyaksikan keturunan kita menempah nasib yang sama seperti kaum pendatang cina dan india di bumi ini. Di mana negara asal mereka pun tidak mahu menerima mereka... di bumi ini pun umpama "kera sumbang".

    ReplyDelete
  9. Aik?? bila masa pulak org bkn melayu kene jadi melayu pulak ni.. hehe..

    dah dciptakn jadi bangsa Cina/India/Arab/Australia etc.., takkan nak me-melayu-kan dia pulak..

    hidup kat ngara bkn islam pun steady je.. org islam kt sini solat je jumaat.mkanan pn byk je yg halal, bley je masak sndri kt rmh..

    zaman Nabi dulu pn byk je bangsa & suku kan.. tp okey je.. ape salahnye diorg nk kekalkan budaya bangsa diorg.. Islam is 4 every race right..melayu pn pendatang jugak kalo tak silap saya.

    hmm sori la kalo blainan pndapat, just bkongsi.

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum Sis Alia,

    Maafkan saya tak sempat nak balas mesej akak. BTW baby sihat dan wife dah semakin sihat. Alhamdullilah. Teringat jugak nak balas mesej Bro Iqqhuan.

    Tertarik apabila membaca apa yang ditulis Nazri.
    Saya berasa penulisannya agak mengelirukan dan dalam banyak hal saya tidak setuju lansung.

    1. Saya rasa Bro Nazri tidak patut 'paint all the non-Malays with the same brush'. Ramai sahaja bukan Melayu yang menghormati dan mengakui perlembagaan Malaysia.

    2. Saya tidak mahu sama sekali untuk berusaha menjadi orang Melayu. Melayu seperti yang disebut dalam Perlembagaan Malaysia termasuklah budaya Melayu dan dalam banyak segi saya memang tidak menyukainya.

    3. Berusaha menjadi Melayu tidak membuatkan seseorang itu menjadi rakyat yang lebih baik dari apa-apa segi sekalipun.

    4. Saya mengakui orang Melayu dan bumiputera ada hak-hak istimewa mereka dan memang kita harus mengakui dan menghormati hak-hak mereka ini. Walaupun begitu, orang bukan Melayu juga ada hak-hak mereka dan ini termasuklah kebebasan mereka untuk beragama dan amalkan budaya mereka asalkan tidak melanggar perlembagaan dan undang2.

    5. Saya bersetuju dengan Bro Nazri yang bukan Melayu yang sentiasa mahu hak yang sama dengan orang Melayu itu tidak menghormati Perlembagaan dan mungkin mereka tidak tahu sejarah negara kita. Kebanyakkan masa, semua itu hanyalah permainan politik sahaja, tanya sahaja rakan-rakan saya yang bukan Melayu, tiada pun antara mereka yang berasa ketidakadilan berlaku dalam perlembagaan kita.

    Kenapa nak me'Melayu'kan sesuatu kaum yang begitu kaya dengan budaya mereka. Pastinya tiada satu kaum pun yang mahukan begitu. Orang Cina amalkan budaya Melayu tu pada saya seperti seekor kucing diminta untuk menyamar menjadi tikus. Identiti bangsa memang tidak bileh diubah tetapi identiti agama memang boleh.

    Daripada memperjuangkan supaya seseorang menjadi Melayu, lebih baik memperjuangkan supaya seseorang itu menjadi Muslim.
    Menjadi seorang Muslim tidak bermaksud menjadi orang Melayu.

    ReplyDelete
  11. Waalaikumussalam Nazri, SIR, and ahong,
    Wah, panjang lebar diskusi kalian, tapi tahniah kerana masih berjaya mengekalkan kesopanan sebagai komentator Muslim :)Syukur dan gembira kerana saya terlalu sibuk untuk memantau komen yang masuk baru-baru ini.
    Nazri, sebenarnya kalau baca pos saya ini, takde la berkaitan dengan usaha Me-Melayu-kan yang bukan Melayu. Isu yang saya ingin ketengahkan adalah tentang keprihatinan kta sebagai penganut Islam yang juga merupakan warga Malaysia yang rakyatnya mempunyai pelbagai kaum dan agama.

    Oleh itu, pada pendapat saya, Allah sengaja jadikan Malaysia negara pelbagai kaum dan agama. Tentu banyak hikmahnya lebih-lebih lagi diperintah oleh majoriti rakyat beragama Islam. Tak perlulah kita persoalkan lagi mengapa ada rakyat yang tak mahu menerima keMelayuan di negara ini, sudah begitu keadaannya sejak sekian lama.Itu takdirNya. Daripada mempertikaikan soal menerima cara hidup Melayu dll yang hanya akan menegangkan suasana harmoni yang sedia ada,lebih berbarakah sekiranya kita yang 70% Islam yang hidup bebas mengamalkan ajaran Islam ini berusaha meng-Islamkan mereka yang belum Islam - insyaAllah pahala itu sampai ke syurga.

    Lagipun, setahu saya, Rasulullah saw berhijrah ke Madinah bukan kerana reaksi orang Makkah yang menolak Islam tetapi atas perintah Allah swt untuk berhijrah.

    ReplyDelete
  12. ahong,
    Alhamdulillah, syukur dan gembira mengetahui keadaan keluarga saudara sihat.. semoga terus diberkati dan dilindungi Allah swt.
    Ya, kita yang pernah dan masih bergelar bukan Melayu tetapi berkahwin dengan orang Melayu tidak pernah terlintas di kepala untuk Me-Melayu-kan diri sendiri, walaupun selepas memeluk Islam.
    Kita selesa bergelar Cina Muslim, itupun satu usaha dakwah Islamiah :)

    ReplyDelete
  13. Salam...

    Saya bekerja di Jabatan Perpaduan Negara, telahpun banyak didedahkan kepada isu perkauman dan pemikiran dari lapisan masyarakat yang berbeza-beza.

    Memang tidak boleh dinafikan segolongan orang menganggap masuk Islam=masuk Melayu. Sekiranya ada persepsi tersebut adalah disebabkan kejahilan mengenai Islam yang sebenarnya. Kerana Islam tidak pernah mengutuskan Nabi Muhammad SAW kepada kaum Arab atau salah satu kaum di atas bumi malah Islam adalah Universal.

    Perlembagaan adalah undang-undang Malaysia, tetapi ia tidak boleh diguna pakai atas kaum cina yang memeluk Islam, kerana asal usul cina tetap cina, DNA seseorang tidak akan berubah dengan teknologi yang secanggih mana pun.

    ReplyDelete