Friday, March 12

SEKEPING KERTAS

Saya terpaksa menahan sebak dan berlakon seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Air mata dah lama dikesat tatkala membaca keputusan SPM setiap seorang. Ada yang gagal.
Sudah ditakdirkan, saya diminta bertugas menyampaikan slip keputusan SPM 2009 kepada bekas pelajar saya, kerana pernah menjadi guru kelas mereka selama beberapa bulan. Guru kelas mereka pula telah diberi tugasan lain.
"Bagaimanakah harus saya hadapi mereka?" hati kecil ini berbisik.
Keputusan yang tidak disangka-sangka itu bakal menguji iman dan kekuatan mereka.
Gagal subjek penting adalah satu tamparan hebat kepada mana-mana pelajar. Mereka tidak akan layak mendapat sijil.
Tiada seorang guru, walaupun marah dan geram sekalipun, yang ingin melihat pelajarnya itu gagal dalam peperiksaan umum.


Media sering memaparkan mereka yang berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan. Ibu bapa bergembira. Pihak sekolah turut berbangga kejayaan anak muridnya.
Jarang sekali media menceritakan satu golongan lain yang terpaksa menerima keputusan yang buruk. Kita tidak tahu bagaimana mereka yang gagal itu menghadapi kenyataan. Adakah mereka akan hanyut dalam kekecewaan atau berusaha untuk bangkit semula selepas kegagalan?
Mereka yang gagal dan terpinggir ini terpaksa menghadapi keadaan bersendirian. Kecewa. Malu. Sedih.
Ada yang terpaksa pula berhadapan dengan sindiran masyarakat, yang beranggapan bahawa mereka gagal kerana kurang berusaha. Namun sebenarnya bukan semua gagal kerana malas. Hanya Allah swt yang Maha Mengetahui. Dia menguji sesiapa yang diinginiNya.

Sekeping kertas boleh mengubah masa depan seseorang. Masyarakat kita terlalu mementingkan nilai sekeping kertas itu sehingga beranggapan ia amat penting kepada seorang pelajar.
Tapi ketahuilah wahai para pelajar dan ibu bapa bahawa sekeping kertas itu bukanlah penentu segalanya. Ia hanyalah satu bentuk penilaian terhadap penguasaan akademik. Ia tidak mampu mengukur ketinggian akhlak, ketaqwaan, dan kemahiran lain yang ada pada seseorang insan. Pada Allah swt jualah kedudukan masa depan kita di dunia dan di akhirat.

"Tahniah bagi yang lulus dengan cemerlang. Untuk yang gagal subjek BM, tolong ambil kertas Julai ni, ya. Jangan tunggu lama-lama."
Pucat wajah mereka yang mendengar kata-kata saya.

4 comments:

  1. salam kak aliya,saya terkenang semasa saya mengambil slip keputusan SPM, ada di kalangan sahabat saya sendiri mengalami kegagalan. lebih 10 thn berlalu, saya dapat lihat mereka telah berjaya dengan kerjaya masing-masing. saya berharap anak didik akak tidak akan putus asa dan menjadi seperti kawan2 saya yg hebat ini..

    ReplyDelete
  2. Saya setuju pendapat sister Alia."gagal" diperingkat SPM bukan bererti gagal dalam hidup. Masih banyak jalan alternatif untuk mencapai kejayaan. Hanya sahaja kita berusaha kuat. Ibu bapa dan guru juga harus faham bahawa kebolehan sesaorang itu berbeza-beza. Cuma Kementerian sahaja yang katanya faham tetapi tidak memberi perhatian yang cukup pada mereka yang hebat kebolehan tetapi tidak semestinya hebat dalam peperiksaan. Jadi masyarakat pun pandang rendah dan tidak memberi perhatian dan sokongan yang wajar pada mereka yang geliga dalam berbagai bidang lain. Kita harus ingat jangan sampai anak-anak kita hilang harga dan kepercayaan pada dri. Nanti ke Pusat Serenti jalannya. Hargai usaha mereka dan beri pujian yang sewajarnya supaya mereka terus mencuba. Kita harus ingat. Dalam apa jua perjuangan, Allah tidak nilai kita dari hasilnya, tetapi dari usahanya. WaAllahua'lam.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikmu,

    Cikgu saya cakap, siapa yang percaya SPM penentu segala-galanya maka dia syirik sebab Allah yang berhak tentukan segala-galanya bukan sekeping kertas itu.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam a Z u, ngasobahseliman, bell,
    Terima kasih kerana memberi komen yang membina. Benar, kita semua mengharapkan kejayaan anak-anak dan anak didik kita tetapi bukan semua yang akan cemerlang dalam bidang akademik. Pelajar ada kecerdasan pelbagai tetapi malangnya yang lebih difokuskan di peringkat sekolah adalah cemerlang dalam peperiksaan. Nasihat dan dorongan ibu bapa serta kesedaran pelajar sendiri sangat penting supaya mereka tidak putus asa apabila gagal mendapat keputusan peperiksaan yang diharapkan.

    ReplyDelete