Tuesday, November 22

9 JAM SAJA?

"Aku tak setuju! Mana boleh kerja 9 jam sehari? Ni buat sampai 2 petang pun dah nak setengah mati."
"Awak ok lagi, kerja samapi 1.30 petang saja, saya ni, ha.. kerja sampai 2.30 petang hari-hari kecuali hari Jumaat. Kalau mesyuarat, bersambunglah sampai 4-5 petang. Lepas tu, kalau ada latihan sukan, sambung lagi sampai 6 petang. Mana ada kerja 9 jam? Lebih dari 10 jam dah, dah over! Esok pagi kena bangun awal pergi sekolah mengajar lagi."
"Hahahaa.. siapa suruh korang jadi cikgu? Tengok macam aku ni, kerja kat ofis jer, 8 to 5 hari-hari, tak merungut pun."
"Mestilah awak tak merungut, dok mengigil dalam bilik aircond jer.. saya pun boleh. Cuba awak kerja macam saya, berjalan turun naik tangga 4 tingkat ke kelas-kelas, lepas tu mengajar dalam bilik yang sesak dengan pelajar 35 orang. Baru awak tau tau seronok tak kerja sampai 9 jam sehari."
"Betul tu, mereka senang-senang dok hayun kaki dalam bilik aircond tu bolehlah buat saranan suruh cikgu kerja sampai 9 jam. Mereka tak pernah kerja di bilik darjah macam kita, tak pernah usaha mendisiplin remaja belasan tahun yang tak boleh duduk diam lepas 12 tengah hari."
"Korang apa kurangnya. Kerja separuh hari jer, dapat pula cuti panjang beberapa kali setahun. Mana ada jabatan kerajaan lain yang bagi cuti sebanyak tu kecuali pada cikgu?"
"Cuti panjang diberi pun sebab anak-anak korang gak yang perlu berehat. Kami cikgu-cikgu masa cuti sekolah pun masih bekerja, tau. Kena semak kertas periksa, kena jaga SPM dan STPM, kena hadiri kursus masa cuti sekolah, kena bawa pelajar pergi perkhemahan badan beruniform. Kira-kira balik, masa cuti sekolah pun sebenarnya ramai cikgu yang bekerja, bukan berehat."
"Saya sokong. Korang kerja di ofis, tamat saja waktu kerja, dah boleh tumpu pada keluarga. Kami cikgu mana boleh? Kena rancang bagaimana nak mengajar esok, buat persiapan.. buku latihan perlu disemak, soalan peperiksaan perlu digubal, minit mesyuarat perlu ditaip dan sebagainya yang tak sempat siap di sekolah perlu disiapkan di rumah."
"Takkan waktu di sekolah mengajar saja dari 7.30 pagi hingga 2.30 petang pun tak cukup untuk semua tu? Tipulah."
"Memang ada waktu rehat tak perlu mengajar tapi itu untuk paperwork yang bertimbun. Tambah sekarang ni setiap pelajar kena buat ujian berasaskan sekolah dan kerja projek. Yang nak masukkan markah setiap seorang ke dalam sistem komputer sekolah dan sistem analisis kementerian pelajaran, cikgu jugak.Yang kena hadiri mesyuarat berkala dengan pihak pentadbir cikgu jugak."
"Tu tak termasuk waktu relief bila ada cikgu sakit atau hadiri mesyuarat di luar sekolah. Habis waktu free kita itu digunakan untuk relief kelas cikgu yang tidak hadir itu."
"Dengar kata sudah ada pembantu guru di sekolah, bukan?"
"Hahahaaa... mana dia? Kesatuan guru bertahun-tahun minta tapi belum ada. "
"Kita ni cikgu, tak boleh banyak bersuara, nanti dituduh melawan boss. Apa-apa arahan pun perlu patuh, saya yang mengikut perintah.Tapi situasi tempat krja cikgulah yang paling menyedihkan berbanding penjawat awam lain."
"Gaji korang kan banyak, komplen apa lagi?"
"Gaji cikgu pun tak sepadan dengan kerja pelbagai yang cikgu buat, tau. Korang keja pejabat jadi kerani, kerja kerani je. Cikgu kena standby jadi tukang kebun untuk jayakan projek taman herb, tukang kayu untuk baiki perabot rosak, driver untuk hantar pelajar sakit/cedera ke hospital, pengasuh untuk pelajar yang belum balik ke rumah sebab mak bapa belum datang ambilnya di sekolah, dan macam-macam tugas sampingan."
"Ya la, setuju. Orang pejabat dapat alat tulis seperti pen dan kertas percuma tetapi cikgu-cikgu terpaksa beli semua alat tulis sendiri. Sudahla tu, kena pakai baju seragam KRS atau unit beruniform lain setiap hari Rabu, keluar duit sendiri. Hari Khamis pakai baju batik, duit sendiri juga."
"Orang lain asyik kata cikgu dapat gaji tinggi. Tapi mereka tak tahu, kita kerja tak mengira waktu. Claim OT tak ada. Bagi yang sekolahnya jauh dari rumah, terpaksa keluar rumah awal, sampai rumah lewat, juga tak dapat claim satu sen pun mileage. Bertahun-tahun mohon tukar ke sekolah yang berdekatan tetapi tak diluluskan dengan alasan tiada guru berkelayakan untuk menggantikannya di sekolah lama."
"Saya tak kisah jika kerajaan elokkan prasarana untuk cikgu-cikgu di sekolah. Jika nak cikgu-cikgu kerja 9 jam sehari, tolong pastikan setiap bilik guru dipasang dengan aircond yang selesa. Dirikan lebih banyak bangunan di sekolah supaya bilik guru yang ada tidak sesak seperti di kebanyakan bilik guru sekarang ni. Biar cantik dan kemas seperti bilik di jabatan pelajaran negeri. Ada bilik air untuk cikgu-cikgu ambil wuduk atau mandi. Ada coffee corner di bilik guru. Ada surau yang selesa untuk kami mendirikan solat. Sediakan juga taska kerajaan berdekatan dengan setiap sekolah supaya kami ibu-ibu muda boleh terus menyusukan anak dengan selesa walaupun bekerja sehingga 5 petang."
"Lebih penting lagi, selepas ini jangan minta cikgu-cikgu kerja pada hari Sabtu dan Ahad. Tak boleh arahkan cikgu-cikgu buat kelas tambahan hari Sabtu, tak boleh buat lagi aktiviti kokurikulum pada hari Sabtu dan Ahad. Jika cikgu-cikgu perlu bekerja selama 9 jam sehari sama seperti penjawat am yang lain, kami juga perlu diberi cuti beristirehat yang sama iaitu hanya 5 hari bekerja seminggu."
"Isshhh mana boleh? habis jika cikgu tak buat semua tu, siapa lagi nak uruskan perkhemahan pelajar?"
"Boleh, tapi setiap minit selepas jam 4.30 petang, cikgu mesti dibayar elaun kerja lebih masa atau OT sama seperti penjawat am yang lain, baru adil. Selama ini pun memang cikgu-cikgu berkorban hari Sabtu dan waktu petang untuk mengendalikan semua aktiviti demi kebaikan pelajar dan sekolah tapi tak pernah dihargai. Mas orang lain beristirehat bersama keluarga, cikgu-cikgu pula terpaksa berkorban menghabiskan hujung minggu bersama pelajar. Hari Isnin pula, terpaksa hadir ke sekolah seperti biasa untuk terus mengajar di kelas. Jika nak cikgu kerja 9 jam, bayarlah O.T untuk kerja lebih masa pula."
"Kerajaan dah banyak berikan layanan istimewa pada cikgu-cikgu laaa.. apa lagi korang nak? Gaji pun akan naik nanti, bersyukurlah."
"Gaji kakitangan kerajaan semua naik, bukan kami cikgu saja. Dengki betul kamu dengan cikgu."
"Setahu saya, mereka yang mengajar di kolej komuniti dan institut perguruan juga bekerja selama 9 jam. Tak bising pun. Mengapa cikgu juga yang bising? Manja sangatlah cikgu-cikgu zaman sekarang."
"Betullah pensyarah semua bekerja selama 9 jam, tapi tahukah awak bahawa jika mereka tiada kelas, mereka masih bebas untuk keluar masuk pejabat? Asalkan mereka berada dalam kuliah pada waktu yang ditetapkan dan punch-in pukul 8 pagi serta punch-out pada 5petang, tiada siapa yang bising. Tapi cikgu? Bolehkah keluar sekolah untuk pelbagai urusan jika bukan waktu pengajaran ketika itu? Sekarang jika perlu mendapatkan rawatan di klinik pun, terpaksa berbaris menunggu untuk mengadap pengetua supaya dapat kebenaran keluar."
"Betul. Lagipun pensyarah di kolej setiap seorang ada bilik sendiri yang berhawa dingin, selesa dan berkarpet. Bolehlah duduk selama 9 jam sehari. Tak sama dengan cikgu di sekolah, ada yang terpaksa berhimpit, duduk berkongsi meja sebab bilik guru yang ada itu sempit."
"Ya, saya syorkan mereka yang buat proposal untuk cikgu kerja sehingga 9 jam sehari tu berada ke sekolah selama sebulan. Ada kalanya bila dah lama tak mengajar di sekolah, seorang pegawai pelajaran pun sudah tak tahu senario di sekolah sekarang. Mereka tak perlu mengajar, mengiring cikgu-cikgu masuk kelas setiap hari pun dah ok. Biar mereka rasa sendiri keadaan panas di dalam bilik darjah yang berhabuk. Biar mereka sendiri lihat gelagat anak-anak remaja yang mula meroyan selepas waktu rehat. Biar mereka yang selama ini duduk atas kerusi empuk rasa pula keenakan duduk di atas kerusi plastik dan kipas yang rosak dalam bilik darjah pada waktu tengah hari. Biar mereka cium bau badan remaja-remaja yang tengik selepas bermain bola sepak di padang pada waktu PJ. Lepas itu tunggu di sekolah dalam keadaan letih untuk sambung buat kerja paperwork pula sehingga 4.30 petang. Baru mereka kenal, tahu dan faham mengapa cikgu-cikgu membantah disuruh bekerja 9 jam selagi keadaan prasarana di sekolah masih belum dinaiktaraf."
"Aku nak jadi cikgu, bukan jadi pengasuh. Kalau nak aku kerja sampai 4.30 petang hari-hari, lebih baik aku henti kerja dan buka taska."
"Bila pula cikgu kena jadi pengasuh?"
"Habis, jika cikgu perlu bekerja sehingga jam 4.30 petang, pelajar kena berada di sekolah sehingga pukul berapa? Adakah masih biasa iaitu sehingga 2.30m petang saja? Kokurikulum terutama sukan bagaimana pula? Aku tak percaya cikgu dibenarkan dok goyang kaki dari 2.30 hingga 4.30 petang."
"Errr... pelajar pun balik 4.30 petang? "
" Tentulah, untuk apa cikgu di sekolah jika tiada pelajar? Buat paperwork saja hari-hari pada waktu petang? Banyak mana paperwork hingga perlu berada di sekolah sampai 4.30? Tambahan pula sekarang dah ada program 1murid 1 sukan. Kenalah suruh pelajar bermain bola di padang pada pukul 2.30 petang. Saya dulu balik berehat seketika, makan tengah hari, mandi dan solat sebelum ke sekolah mengajar bola baling pada 4.30 petang. Nak suruh saya terus ke padang selepas 9 jam terus-menerus di sekolah, saya tak sanggup la.. takut nanti saya pula yang jatuh sakit sebab letih."
"Awak kena ingat, bila berada di sekolah sehingga lewat petang, pelajar pun kena makan tengah hari. Sekarang ni pun mereka dah mengadu lapar pada waktu tengah hari, sebab rehat pada pukul 10.30 pagi, Jika trus sehingga 4.30 petang, pelajar juga perlu berbelanja lebih di sekolah sebab tak dapat makan tengah hari di rumah. Kalau sekarang abwa duit poket RM4, perlulah tambah sehingga RM8 sehari sebab dua kali makan."
"Ya tak ya juga. Aduh, duit lagi...."
"Tau tak pe.. anak awak yang lima orang di sekolah tentu perlukan lebih banyak duit poket, kan. Mereka akan balik jam 4.30 petang gak, sama seperti cikgu. Nampaknya kelas agama dan kelas tusiyen anak-anak awak hanya boleh dijalankan pada waktu malam jika semua warga sekolah perlu berada di sekolah 9 jam sehari."
"Ingat, pendidikan agama juga sama penting. Pastikah awak nanti anak remaja awak tu cukup solatnya di sekolah? Makan minum cukup dan berkhasiatkah? Jika di rumah, boleh awak dan isteri awak pantau. Waktu petang sempat awak hantar mengaji, malam ke kelas tuisyen. Jika berada di sekolah sehingga 4.30 setiap hari, bermakna awak serahkan tanggungjawab mendidik anak kepada cikgu di sekolah. Ini satu risiko sebab maklumlah cikgu pun manusia biasa, rasa penat gak mengajar dan mengawal semua pelajar."
"Ya, bimbang juga gejala buli makin bertambah sebab waktu terlalu lama di sekolah."
"Betul, baik kaji semula. Jangan asyik jadikan sistem pendidikan sebagai ekperimen. Minta pandangan pihak guru dulu sebelum melaksanakan sesuatu program yang bakal memberi kesan jangka panjang."
" Setuju. Kita cikgu bukannya tak sokong kementerian, cuma kita kurang setuju dengan syarat ketat wajib kerja berterusan dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang. Sekarang pun ramai cikgu kerja lebih daripada 9 jam, jika dikira beban kerja yang dibawa pulang ke rumah untuk diselesaikan. Selama ini pun cikgu jarang komplen tentang beban kerja yang semakin bertambah terutama selepas bermulanya KSSR dan KSS."
"Ya, jika ada penjawat awam lain yang dengki dan beri alasan tugas guru mendidik anak mereka, ingin saya ingatkan bahawa tugas mendidik anak sebenarnya terletak pada bahu bapa, bukan cikgu. Tugas memantau aktiviti anak-anak juga bukan tanggungjawab cikgu tetapi tanggungjawab ibu bapa. Usahlah suka menyalahkan cikgu apabila berlakunya gejala sosial melibatkan anak-anak. Tugas utama cikgu di sekolah adalah mengajar pelajar agar mahir dalam sesuatu bidang atau subjek, bukan mengasuh mereka sehingga tamat waktu persekolahan. Janganlah lepaskan tanggungjawab anda sebagai ibu bapa kepada guru dan mendesak agar guru bertugas mengasuh anak mereka di sekolah sehingga 4.30 petang semata-mata kerana anda sendiri gagal melaksanakan tanggungjaab yang diamanahkan oleh Allah."

nota:  sembang cikgu berikutan dengan berita Guru Bekerja 9 jam dan berita pembatalan projek perintis ini

RM100 DAN RM10

"Kuih ni berapa sen satu?"
"40 sen," jawabnya ringkas.
Aduh, saya mengeluh. Karipap di tangan itu kecil saja, tak padan dengan harganya 40sen. Sekali 'ngap' masuk mulut dah boleh telan. Kuih-kuih lain yang dijual dikantin sekolah pun semuanya kecil-kecil belaka. Agaknya tauke kantin pun ambil dari orang lain, sebab itu nak dapat balik untung sedikit. Akhirnya saya beli hanya 3 biji kuih. Dah RM1.20.
Teringat saya zaman saya bersekolah rendah dulu. Seronoknya. Pada tahun lewat 70an dan 80an, karipap hanya 5 sen sebiji, besar-besar pula. Kenyang jika beli dua biji. Sebungkus nasi lemak biasa hanya 20 sen.  Bihun sup semangkuk cuma 50sen. Paling mahal pun minuman botol F&N berharga 80sen ketika itu. Oleh itu, wang saku yang Mak berikan sebanyak RM20 cukup untuk belanja saya selama sebulan.

Kini? Aduh. Jikalau dibandingkan memang sakit. Tambahan sekarang zaman kegawatan ekonomi. Masuk pasar raya dengan duit sekeping RM100 pun belum tentu cukup. Perlu fikir dua tiga kali sebelum memilih sesuatu barangan dan selepas membandingkan harga dengan jenama lain. Ini pun saya yang dikira bergaji sederhana; yang dikategori miskin sudah tentu lebih susah lagi nak 'hidup;.

"Masa mula-mula masuk Islam dulu pun susah juga, kan?" komen seorang kawan baik saya.
Benar. Dulu mula-mula masuk Islam pun hidup saya susah tapi ada bezanya. Dulu saya seorang saja [sebelum menikah laaa] maka jika tak cukup duit, boleh puasa saja. Jimatlah belanja makan tengah hari dan minum petang. Tinggal di asrama kampus hanya perlu bayar sekali saja sepanjang semester; hari-hari lain tinggal percuma. Pakaian tak beli baru pun tak mengapa.
Sekarang tidak. Keperluan anak-anak kecil yang sedang membesar perlu diutamakan. Tambahan pula Ikram kini memakai baju saiz untuk kanak-kanak 2 tahun [dia baru 18 bulan], dan Ihsan yang baru 4 bulan pula sudah kelihatan sendat memakai baju saiz M [syukur boleh pakai baju Ikram yang masih elok]. Susu Anmum Essential 3 untuk Ikram pula sudah berharga Rm26 sekotak [susu jenama ini yang ok dengannya] dan bertahan selama 6 hari. Alhamdulillah Ihsan masih menyusu badan tetapi perlu juga disediakan susu supplement untuk hari-hari susu tak cukup semasa dia di taska. Ini belum dikira keperluan lampin untuk kedua-dua mereka. Boleh sesak nafas bila memikirkan semua ini, huhu.

Saya pernah duduk menangis sebab duit yang ada tinggal Rm10 sedangkan 2 minggu lagi baru akan masuk wang ke dalam akaun bank. Tak tahu apa yang harus dibuat. Tapi alhamdulillah saya dah berjaya melalui zaman itu dengan tenang. Saya juga pernah menerima wang sumbangan RM100 tanpa disangka-sangka tatkala saya kurang memerlukan. Itu simpanan buat bekal pada hari susah.

Sememangnya rezeki kita ditentukanNya. Terpulanglah pada kita bagaimana memanfaatkan wang itu. Rm10 jika diberikan kepada kanak-kanak dari keluarga kaya tidak membawa erti yang besar, tapi bayangkan jika diberikan kepada kanak-kanak miskin yang seliparnya sudah buruk. Tentu si kecil miskin itu tersenyum riang bila memakai selipar baru RM10, bukan?

Saya pernah membaca dalam Facebook bahawa RM1000 boleh digunakan untuk membantu 34 keluarga miskin. Alhamdulillah seorang rakan FB telah membuktikannya sendiri dengan membuat tempahan berpakej   melalui sebuah kedai runcit, untuk diagih-agihkan kepada 34 keluarga miskin di kawasna tersebut. Barang-barang harian yang asas sahaja seperti beras sekampit, gula, garam, minyak masak, 2 tin susu dan tepung. Bayangkan betapa mudahnya untuk membantu saudara seagama kita yang miskin dan memerlukan bantuan. Bagi yang tak ada RM1000, mungkin boleh mulakan dengan membantu sebuah keluarga.

Saya pernah membeli sehelai blaus lengan panjang dengan harga RM10, dan saya juga pernah membeli sehelai baju gaun Rm100 yang 'bare-back' pada zaman jahiliah saya dulu'. Astaghfirullallazim. Bila dikenangkan semula, alangkah membazirnya saya ketika itu. Bila saya berpindah keluar dari rumah lama saya, banyak sungguh baju lama saya yang terpaksa ditinggalkan kerana kurang sesuai. Banyak pakaian saya yang tidak menutup aurat dengan sempurna [skirt pendek, blaus dan baju-T lengan pendek, gaun yang agak seksi] didermakan kepada badan kebajikan bukan Islam yang membuat kutipan baju lama. Yang dapat dibawa bersama-sama saya hanyalah baju kurung yang saya pakai semasa mengajar dulu.

Rm100 bukanlah satu jumlah yang besar sebenarnya pada masa ini. Namun ia sudah cukup melegakan ibu bapa yang agak kesempitan hidup sekarang ini, untuk membeli barang keperluan.
"Jika bagi RM100 tunai, belum tentu mereka nak bayar yuran nanti!" suara sumbang kedengaran.
"Biarlah. Lagipun bukankah tahun depan kerajaan mansuhkan pembayaran yuran sekolah? Yuran PIBG kutipan tahun depan, tunggulah tahun depan."
"Nanti habis belanja untuk benda-benda lain.Buku tulis tak beli."
"Bukan urusan kita untuk menilai. Itu bukan duit kita, kita tak ada hak untuk menilai bagaimana mereka gunakan wang itu. Jika RM100 tu untuk beli makanan bagi anak-anak di rumah, kira baik juga, bukan? Sekurang-kurangnya murid kita itu kenyang makan nasi berlauk lebih mahal pada minggu ini, dapatlah zat dan vitamin yang diperlukan untuk tumbesarannya. Mungkin juga wang RM100 itu untuk membayar bil air dan elektrik yang tertunggak; itupun membantu murid kita secara tak langsung."
"Tapi nanti buku tulis untuk tahun depan tak beli."
"Kita tunggu dan lihat. Jika selama ini murid itu dapat menyediakan buku tulis baru, insyaAllah dia akan dapat buat demikian juga tahun depan."

Kini ramai penjawat awam yang heboh tentang skim gaji baru yang diumumkan PM semasa pembentangan bajet 2012. Ok la. Syukur alhamdulillah jikalau sah dapat kenaikan gaji bulanan. Dengar kata banyak juga penambahan. Tapi selagi belum terima, perlulah berjimat. Dapat pun, jangan boros juga. Perlu ingat siapa yang berikan tambahan gaji itu - Allah SWT Yang Maha Pemurah. DIA yang menentukan rezeki kita sebenarnya. Jika dapat lebihan nanti, jangan lupa pula untuk menyatakan tanda syukur kita padaNya melalui sumbangan atas namaNya. Jangankan RM10, RM100 pun boleh, bukan.

Friday, November 18

MEREKA HARAPAN IBU DAN AYAH

Penat. Itulah yang saya rasa setiap kali bila selesai tugas mengawas spm.
Penat berjalan dan penat menahan sabar. Mengawas peperiksaan awam perlu meronda. 2 jam 30 minit pun merondalah.
Alhamdulillah spm telah selamat berjalan selama 4 hari. Tiada insiden yang mencemaskan. Tidak perlu dikuarantin [insyaAllah tiada sehingga tamat spm]
Pelbagai ragam boleh dilihat. Ada calon yang serius. Ada yang datang lewat. Ada yang tak datang langsung. Ada yang tidur. Ada yang balik awal.
Namun mereka sama; mereka harapan ibu dan ayah. Setiap ibu bapa berharap anak-anak yang sudah besar panjang itu lulus spm dengan cemerlang. Harap mereka mendapat pekerjaaan yang baik yang dapat menjamin masa depan yang lebih baik, lebih baik daripada kehidupan ibu bapa sendiri.
Saya hanya mampu memerhati. Nak bantu tak boleh. Nak betulkan jawapan yang nyata silap sudah tentu melanggar peraturan. Hanya mampu senyum, angguk-angguk geleng-geleng. Sekali-sekala mengingatkan calon untuk membaca arahan dengan teliti untuk menjawab kertas-kertas tertentu.
Sungguh...
Kelalaian calon membaca arahan dengan teliti boleh membawa padah.
Kecuaian calon yang tidak membaca soalan dan menjawab mengikut kehendak soalan boleh menyebabkan perbezaan antara lulus dan gagal.
Remaja memang remaja. Mudah gopoh. Mudah terpengaruh. Kelam-kabut.

Teringat saya, seorang kawan saya pernah mengaku, dia akan mengambil cuti setiap kali anak-anak mengambil peperiksaan awam. Terutamanya pada hari-hari subjek penting.
"Mengapa?"saya bertanya.
"Nak baca yassin untuk anak supaya dia tenang jawab soalan," begitulah jawapannya.
Itulah pengorbanan seorang ibu. Alhamdulillah sehingga kini, anak-anaknya cemerlang dengan straight-As.

Selamat mengambil peperiksaan spm bagi pelajar tingkatan 5, dan bagi ibu bapa yang anak mereka calon spm tahun ini, teruskan doa dan usaha anda. Semoga Allah kabulkan doa dan permintaan kita, ameen.
 
p/s: Alhamdulillah, saya mengawas di dewan sekolah. Ada bilik persalinan yang bersih dan selesa untuk mengepam susu badan :)

MEREKA KAKAKKU

Pada ketika saya mula-mula memeluk Islam, saya masih perlu berulang dari USM Penang ke Taiping beberapa kali atas sebab urusan peribadi yang perlu diselesaikan. Perlu mengambil dokumen penting dari rumah yang ketika itu masih didiami oleh bekas suami dan juga urusan rasmi di sekolah lama saya mengajar.Masalahnya, di manakah saya nak tinggal ketika di sana?
Nak sewa bilik hotel, takut juga seorang-seorang. Nak ajak kawan lain, susah juga sebab mereka pun ada hal masing-masing. Tambahan lagi, dengan gaji separuh masa itu membuatkan saya perlu berjimat selagi boleh.
" Boleh saya tumpang di rumah kak?"
Terasa berat untuk menelefon tetapi terpaksa dilakukan.Setelah mencongak-congak dan menimbangkan keadaan kawan-kawan Islam yang berada di Taiping, saya mengambil keputusan menghubungi 2 kawan yang saya yakin mempunyai katil kosong di rumah dan selamat untuk saya menumpang.
Alhamdulillah, kedua-dua mereka sudi menerima kehadiran saya di rumah mereka.


Rumah pertama saya menumpang setelah memeluk Islam milik rakan baik satu sekolah, Cikgu Zakiah. Dialah yang banyak memberi sokongan dan nasihat setelah saya bergelar Muslimah. Niat saya untuk memeluk Islam telah lama diketahuinya tetapi dirahsiakan atas permintaan saya sendiri.
Kehadiran saya di rumahnya selama 2-3 hari disambut dengan mesra oleh suami, anak-anak dan ibunya.
Saya bersyukur. Semua urusan yang perlu dibuat berjalan dengan baik. Mereka banyak membantu memberi panduan dan nasihat yang berguna pada saya yang ketika itu masih agak terumbang-ambing setelah bergelar Muslim.

Saya juga menumpang di rumah Cikgu Rohani. Di sana, saya diberi bilik tetamu yang selesa sebab anak-anaknya telah dewasa dan bekerja di tempat lain. Oleh sebab dia pun telah bersara, dia dapat turut menemani saya untuk beberapa urusan rasmi sementara suaminya ke pejabat. Dari Cikgu Rohani saya kenal erti sabar dan bersikap proaktif dalam segala hal.

Alhamdulillah, segala urusan saya di Taiping berjaya diselesaikan dengan mudah dengan bantuan kedua-dua kawan yang saya anggap sebagai kakak. Memang pun mereka saudara seagamaku. Walaupun saya bergelar janda, status itu tidak pernah dijadikan alasan untuk mereka berasa gusar dengan kehadiran saya itu selama beberapa hari. Malah saya dilayan dengan baik sebagai tetamu mereka. Makan minum saya mereka sediakan sehingga saya segan. Bukan mudah nak dapat layanan begitu. Pernah saya dengar cerita mualaf wanita dihalau dari rumah yang dia menumpang, dikritik dan sebagainya. Syukur alhamdulillah saya tidak diuji sebegitu. Mungkin sebab saya sendiri telah meneliti latar belakang mereka berdua dan keadaan keluarga mereka sebelum saya memohon bantuan menumpang. Memang ada ramai lagi kawan-kawan beragama Islam di bandar itu tetapi memikirkan mereka sibuk dengan anak-anak kecil, rumah yang disewa, anak-anak lelaki remaja dan sebagainya, saya tidak mahu mengganggu mereka. Cikgu Zakiah dan Cikgu Rohani juga menjawab permohonan saya dengan cepat dan secara positif. Nyata sekali mereka ikhlas menerima kehadiran saya di rumah mereka walaupun diberi notis lewat.

Saya tahu bukan mudah untuk seseorang itu menerima orang luar walaupun kawan, menumpang beberapa hari di rumah mereka, tidur di bilik anak-anak/tetamu dan sedikit sebanyak menganggu rutin harian mereka sekeluarga. Mereka yang menjadi tuan rumah itu perlu berkorban sedikit sebanyak. Tentu sekali mereka menerima saya atas nama Islam, kerana saya saudara seagama mereka. Dengan ringkasnya, mereka menerima saya menumpang kerana Allah. Syukur alhamdulillah. Semoga Allah swt memberkati mereka.

Friday, November 11

KEM REMAJA GEMILANG



 OBJEKTIF
Apakah yang akan diperolehi oleh anak-anak yang menyertai program ini?
- Peserta akan memahami tentang asas akidah Islam serta hal-hal yang merosakkan akidah
- Peserta akan memahami tatacara solat dengan dalil-dalil dari hadis yang soheh, bahaya meninggalkan solat, serta tatacara solat ketika sakit, musafir dan sebagainya.
- Peserta akan memahami zikir dan doa harian yang diamalkan Rasulullah SAW, adab-adab sehariannya.
- Memahami akhlak Islamiah khususnya akhlak dengan ibu bapa
- Peserta mampu mensolatkan jenazah, mengkafaninya, serta memandikan jenazah
Apa kelebihan program ini?
- Lebih 80% aktiviti di dalam kumpulan, dan hanya sekitar 15-20% sahaja kuliah
- Nota-nota disokong dengan hadis-hadis yang sahih dengan rujukan kitab-kitab yang muktabar
- Peserta turut akan dilatih bergerak secara berkumpulan, melakukan ‘presentation’ sekaligus melatih teknik komunikasi mereka.
- Rekod kemajuan peserta akan diberikan pada majlis penutup. Sesi perjumpaan ibu bapa dan fasilitator yang jarang-jarang ditemui di dalam program-program motivasi yang lain

Maklumat lanjut: http://www.intisonline.com/aktiviti/kem-remaja-gemilang-2011-muncul-lagi

Tuesday, November 8

HAJI MALBORO?

"Orang lain balik haji jadi lebih baik, tapi dia tu balik haji jadi lebih teruk. Sombong!"
Saya diam saja. Susah nak jawab apabila yang memberi komen itu orang tua.
Tapi biasa kan dengar komen seperti itu tentang orang yang balik dari menunaikan fardu haji?
Biasanya mereka yang akan diperhatikan oleh orang di sekeliling setibanya dari menunaikan haji. Sudah bergelar Pak Haji dan Mak Hajjah. Pantang silap sikit, pasti ada komen yang kurang menyenangkan. OK juga jika disebut depan mata, tapi bila sok-sek di belakang, susah juga.
Saya sendiri belum menunaikan haji. InsyaAllah satu hari nanti. Dahulu pernah juga berhasrat pergi haji ketika umur 40 tahun ,  tapi hasrat itu belum tercapai. Sebaliknya Allah anugerahkan 2 zuriat lelaki kepada saya sebagai amanah untuk dibesarkan dan dididik.

"Biar dapat haji mabrur, bukan haji malboro!"
Walaupun ungkapa  itu sering disebut sebagai jenaka, sebenarnya berapa ramikah yang betul-betul dapat haji mabrur?
Bagi saya yang memerhati dan membaca komen mereka yang balik dari Makkah, ujian sebenar mereka yang bergelar haji/hajjah itu bukan semasa sedang menunaikan haji di sana. Ujian besar adalah apabila mereka kembali ke tanah air.
Mengapa?
Memang lah, di Makkah semasa musim haji, semua keadaan susah. Orang ramai bersesak-sesak. Cuaca panas terik. Keadaan tak selesa. Tapi mereka yang berada di situ sabar sahaja sebab mereka tahu mereka adalah tetamu Allah. Maka semua kesusahan itu ditahan dengan penuh kesabaran sebab takut akan kemurkaan Allah. Tambahan mereka berada di tanah suci. Berpakaian ihram. Kena bayar dam jika berlaku kesilapan.
Balik-balik ke sini selepas musim haji, ahhhh...bebas. Bukan lagi di tanah suci. Bukan lagi berpakaian ihram. Tak perlu tahan panas terik dan sakit tekak. Seronok juga bila orang lain panggil 'Tuan Haji atau Hajjah." Balik ke tempat kerja, bermula semula rutin harian yang sentiasa menyebabkan kesuntukan masa untuk itu dan ini. Jikalau dulu di Makkah terpaksa bersekang mata untuk bangun awal pergi untuk solat subuh di Masjidil Haram, kini tak perlu lagi. Itulah antara ujian yang dihadapi oleh setiap lepasan "Universiti Kaabah".

"Mengapa orang yang buat korban setiap tahun pun masih tak baik sepenuhnya?"
Pernah seorang kawan nonMuslim bertanya pada saya. Dia beranggapan mereka yang membuat korban menyembelih lembu setiap musim haji sama dengan mereka yang memecahkan kelapa pada Thaipusam - untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa yang dilakukan sepanjang tahun.
Saya terangkan kepadanya bahawa konsep korban Aidiladha itu tidak sama seperti Thaipusam Hindu.
Korban dilakukan semata-mata kerana Allah. Memang dari segi agama ada kebaikan untuk diri sendiri tetapi lembu yang disembelih diberikan kepada orang ramai, sepertiganya untuk fakir miskin.
"Habis mengapa mereka yang bergelar haji dan buat korban masih buat jahat? Tak takut pada Tuhankah?" soalan yang lebih bersifat kritikal.
Ahhh, susah juga nak jawab.

"Sebenarnya takut pada Allah juga. Mereka yang membuat dosa ramai yang masih percaya pada Allah, sebab tu ada mereka masih sembahyang dan melakukan kebaikan yang lain. Tapi beza mereka dengan yang tidak melakukan maksiat seperti mereka itu adalah yakin. Orang yang baik dan takut pada Allah yakin ada balasan di akhirat nanti, jika jahat dan tak ikut suruhan Allah mereka akan dihukum nanti."
"Macam itu, sama lah dengan Tuhan kita orang, cuma cara sembahyang saja tak sama. Kami pun ada sembah makanan seperti ayam dan babi pada tuhan kami. Kami pun yakin ada balasan untuk setiap perbuatan, ada karma."
"Oh, bukan itu saja. Sebagai Muslim, binatang yang boleh disembelih untuk buat korban hanyalah lembu, kambing dan unta. Wajib sebut nama Allah semasa sembelih, sebagai mengingati bahawa Allah yang berikan rezeki kepada kita. Orang Islam juga yakin bahawa setiap kejahatan akan dibalas pada akhirat nanti, dan mereka yang berdosa akan masuk neraka jika tidak diampunkan Allah. Dan setiap perkara yang dilakukan oleh kita, sama ada baik atau jahat, direkodkan oleh malaikat yang sentiasa melihat. Malaikat-malaikat itu tidak boleh dirasuah dengan makanan, penyembahan dan sebagainya".
"Kalau macam itu, setiap tahun setiap Muslim mesti buat korban la..?"
"Tak semua, hanya Muslim yang mampu sahaja. Demi memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup korbankan anak tunggalnya, Ismail kerana patuh perintah Allah. Allah balas ketaatannya dengan minta dia sembelih haiwan menggantikan anaknya."
"Korban Islam mesti 3 jenis binatang itu saja? Bukan berkorban apa saja, harta atau nyawa, ikut lagu P.Ramlee? Mengapa itu 3 saja? Ayam tak bolehkah, sebab di Arab takde ayam?"
"Versi P.Ramlee tak digunakanlah. 3 jenis binatang yang disembelih pada raya Qurban tu sebab memang tertulis dalam alQuran dan disetujui oleh para ulama Islam. Mana boleh suka-suka sembelih binatang apa-apa pun. Lembu, kambing dan unta untuk korban pun mesti yang istimewa, yang cukup syarat, yang tak ada kecacatan."
"Itu macam kah? Baru saya faham. Saya fikir korban orang Islam untuk bersihkan diri daripada dosa, untuk tebus dosa tahun itu. Rupa-rupanya sebab ingat pengorbanan Nabi Ibrahim dulu. Jadi korban Islam sekarang sebab apa?"
"Dalam al-Quran telah disebut tentang korban dalam surah al-Haj. Orang Islam mengadakan korban Aidiladha sebab korban itu satu simbolik kepada pengorbanan yang perlu dilakukan setiap manusia. Bagi Allah, daging dan arah korban itu tidak sepenting nilai ketakwaan mereka yang melakukan ibadah korban itu."

[ surah al-Haj 22:37. Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.  Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.]. 

"Maksud kamu, ibadah korban dan caranya sudah ditulis dalam alQuran?"
Ya. Dalam Islam, konsep korban yang sebenar bukan dari segi fizikal tetapi dari segi sikap.Attitude.Muslim perlu berkorban serba sedikit untuk patuh pada perintah Allah. Tak bebas sepenuhnya untuk melakukan maksiat, tak boleh berbelanja sepuasnya sehingga lupa tanggungan keluarga, tak boleh menindas yang miskin semata-mata kerana kita berharta dan berkuasa. Setiap orang Islam perlu mengorbankan sedikit benda yang disukainya jika mahu terus berada di landasan Islam dan mendapat rahmat dari Allah."
"Saya tak berapa faham lah.."
"Orang Islam mesti sanggup berkorban kerana Islam. Kami bukan sahaja percaya pada Allah, bahkan lebih penting lagi, kami sedar bahawa kami adalah hamba Allah. Hamba mesti patuh semua perintah dan suruhan Allah seperti yang terkandung dalam alQuran dan Hadis.Sama seperti Nabi Ibrahim yang sanggup berkorban menyembelih anak kandungnya sendiri sebab patuh perintah Allah"
"Jadi orang Islam yang buat dosa juga macam mana? Tuan Haji yang masuk penjara sebab kes jenayah, macam mana?"
"Itu mungkin sebab mereka belum bersedia sepenuhnya menjadi hamba Allah. Mereka lupa bahawa mereka adalah hamba Allah yang wajib patuh pada suruhanNya, bukan buat sesuka hati di dunia ini. The spirit of sacrificing for Allah and Islam is still not there. Hanya Allah yang Maha Mengetahui."


Selamat Hari Raya Aidiladha kepada Muslimin dan Muslimat. Semoga semua saudara Islam kita yang menunaikan fardu haji dianugerahkan haji mabrur, ameen.

Tuesday, November 1

ITU DAN INI

Minggu-minggu yang sibuk.
Macam-macam kerja perlu diselesaikan dalam tempoh yang diberi.
Di samping itu, perlu layan hero ini yang semakin aktif dan mahukan 100% perhatian Umminya.
Sengih sebab dapat makan biskut kegemarannya.. diamlah sekejap

Perlu juga melayan adiknya yang semakin membesar.
baru kenyang minum susu.. mulalah bersembang

Ditambah lagi dengan kertas-kertas peperiksaan yang perlu ditanda dan dimasukkan markah ke dalam komputer pada minggu ini juga.
4 kelas = 8 set kertas soalan termasuk 4 set esei untuk disemak

Hujan dan ribut petir pada waktu petang menyulitkan saya untuk terus online.
Maaf sebab saya tak sempat nak update blog ini yang sudah bersawang.
InsyaAllah akan kembali blogging selepas selesainya beberapa kerja sekolah.