Tuesday, August 30

SALAM AIDILFITRI

Assalamualaikum warahatullahi wabarakatuh,
Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung dan kawan-kawan.
Saya ingin mengambil kesempatan ni memohon maaf jika ada kata-kata terlanjur sama ada sengaja atau tidak sengaja yang tertulis di dalam blog ini yang mungkin telah menyinggung perasaan pembacanya.
Semoga amalan baik kita diterimaNya dan kita semua dirahmati dan diberkati Allah swt.
Maaf Zahir Batin daripada saya, Nur Aliya.



Monday, August 29

MAKIN GLAMOR MAKIN SINGKAT

Pening.
Itulah perasaan saya ketika masuk ke dalam kedai petang tadi. Gara-gara last minute shopping menjelang Aidilfitri [ suami tanya," Apa lagi yang takde? Kasut? Tudung?"]. Maklumlah bukan senang nak keluar rumah dengan 2 anak kecil. Perlu tunggu suami senang baru boleh keluar berombongan ke kedai.
Mencari tudung yang sesuai di kedai yang menawarkan diskaun sepatutnya mudah. Lagipun sudah tahu warna yang dicari. Saya perlu tambah stok tudung 'serkup' sebab dengan 2 anak kecil, tak mungkin saya ada masa panjang untuk pin sana pin sini kain tudung labuh, terutama bila kelam kabut ke tempat kerja nanti.
Malangnya beberapa helai tudung ala Ekin/Ariani-entah-apa-lagi-nama kurang menepati kehendak saya. Sekali pandang memang ok. Malangnya bila dipakai, tak cukup syarat pula. Pendek kerana tidak menutupi dada dengan sempurna. Akhirnya saya terpaksa kembalikan hampir 5 helai tudung yang dipilih, dan membeli cuma satu. Itupun yang paling plain.
Hmmmm, teringat zaman lawat 90an dulu. Masa tu tudung yang trendy adalah jenis kain yang dijahit manik berwarna warni. Saya ingat sebab saya masih menyimpan sehelai tudung itu sebagai bukti saya pernah berminat memeluk Islam. Kemudian ada tudung bawal yang nipis tetapi disulami dengan jahitan bunga yang cantik. -erlu pakai 2 lapis baru tutup leher dengan sempurna ataupun pakai jenis yang tebal/warna gelap. Kemudian ada pula tudung serkup Ekin dan Ariani, hasil daripada pengaruh drama Indonesia.
Trend terkini?
Aduh, pening bahhh. Cantik memang cantik tetapi cukupkah syarat menutup aurat dengan sempurna?
Ada rompol sana sini. Ada bunga sana sini. Ada pelbagai jenis warna dan lapisan. Belang-belang macam warna pelangi ada, beriben-iben pun ada. Lihat sahaja majalah untuk wanita. Banyak jenis tudung yang ditunjukkan termasuklah cara mengikat tudung. Sekali lihat, oooo lawa. Dua kali lihat, errrmmm...kain tudung hanya tutup kepala dan leher. Terlalu banyak rompol sehingga kelihatan agak janggal. Itu tak kira lagi fesyen ikatan yang pelbagai.

Setahu saya, bertudung itu untuk menutup aurat. Itu tujuan utama. Malangnya semakin ramai umat Islam terutamanya remaja yang sudah makin lupa tujuan asal mereka bertudung. Sekarang bertudung menjadi fesyen. Tak kisahlah fesyen pun tapi seharusnya syarat menutup aurat dengan betul itu dipatuhi. Tudung kepala perlulah labuh menutupi kedua-dua dada wanita yang memakainya. Tak boleh nampoak leher dan telinga.

"Cantik tak?"
Dikhuatiri juga dengan semakin bertambahnya rompol-rompol dan bunga-bunga setrta entah apa-apa lagi benda yang ditambah kepada tudung asal itu, pemakai tudung kini lebih suka menunjuk-nunjuk dan menanti untuk dipuji kerana tudungnya cantik. Maklumlah ada yang mencecah sampai beratus-ratus ringgit sehelai tudung. Pakai yang cantik dan yang trendy sebab takut nanti orang komen 'nampak tua' jika pakai yang biasa-biasa saja. Sehingga boleh hilang sebab sebenar bertudung iaitu untuk menutup aurat.
Dikhuatiri juga dengan trend fesyen yang terkini ini, semakin ramai wanita Islam di negara kita yang mempunyai sifat tabarruj. Suka bila dipuji kerana lawa, dan membanding-bandingkan dirinya dari segi kecantikan dengan orang lain.

Wanita...Lihatlah berapa ramai wanita yang akan komen tentang kain tudung kepala anda yang baru dan menarik. Malah ada yang mungkin pegang kainnya sambil bertanya,"beli di mana? berapa ringgit?" Bukankah itu menarik perhatian?

Kini agak susah nak cari tudung labuh yang agak plain di kedai. Banyak kedai yang menjual tudung tak cukup syarat - singkat tak tutupi dada, tinggi seperti bonggol unta, dan banyak perhiasan sehingga menarik perhatian orang lain kepada tudung yang dipakai.
"Tu, baru RM25.." kata suami.
"Pendek, tak tutup dada," saya geleng kepala.
"Yang tu, cantik warnanya."
"Terlalu banyak rompol, nanti tarik perhatian orang yang tak dikehendaki," saya senyum.
Suami mengangguk, tanda faham. Dia dah boring mengasuh anak-anak sementara saya membeli-belah, heheeheee. Cepat-cepat saya bayar dan memberi signal untuk tinggalkan kedai itu sebelum salah seorang hero itu mengamuk.

"Itu baru ikut fesyen. Yang awak pakai tu, dah ketinggalan zaman."
Ahhh... biarlah. Asalkan saya senang hati. Hati tetap bahagia walaupun mungkin tak up-to-date dengan fesyen terkini.Kadang-kadang saya akui , sebagai manusia biasa, saya pernah juga fikir," Tudung baru ni, nanti mesti orang puji cantik., hehehe.." Huhu, pakai tudung untuk tunggu dipuji cantik dan menarik perhatian orang. Bahaya tu.
Takut juga timbul perasaan riak, timbul tabarruj dalam jiwa ini yang baru 5 tahun disemai dengan nilai-nilai Islam, jika terus berpakaian mengikut fesyen tudung terkini yang semakin tak cukup syarat. Tak sanggup nak kutip dosa kecil yang akhirnya akan bertimbun-timbun jikalau tidak dijaga dari awal. Oleh itu, saya pilih jalan selamat - biarlah tudung labuh yang simple dan tak begitu menarik perhatian. Tudung begitupun sudah susah nak dapatkan di kedai [ sukar nak order dari orang sebab ada masanya tak berapa sesuai dengan kepala] sebab tak banyak permintaan.

Entahlah... makin bercelaru nampaknyab umat Islam di Malaysia. Orang lain di Barat makin hampir dengan Islam dengan pemakaian tudung dan niqab, tapi kita seperti makin jauh pula dengan lambakan fesyen yang 'trendy' untuk kaum wanita. Bertudung mahal tapi tak cukup kain. Bertutup tapi tinggi macam bonggol unta. Berbelit tapi maih nampak benjol buah dada, huhuhuuu..bagi yang faham Islam, sakitnya mata memandang.
Renungi semula tujuan anda memakai tudung kepala. 
Ingat-ingat la selalu, menutup aurat bukan setakat menutup rambut daripada pandangan lelaki bukan mahram. Jagalah Islam dalam diri anda, dan insyaAllah Allah swt akan menjaga kita.
Janganlah terikut-ikut dengan fesyen sehingga penutupan aurat dilayan dengan 'cincai' sahaja dengan alasan 'orang lain pun pakai begitu.'
.
Al-Quran memberi amaran yang bermaksud: “dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.” (QS al-nur ayat 30)


nota: Malas nak upload gambar tudung-tudung tak cukup syarat ni. Tengoklah di sekeliling, sudah cukup model-modelnya, bukan.

Thursday, August 25

PAM

Syukur alhamdulillah. Akhirnya benda yang dinanti-nantikan itu tiba juga pada pagi hari Isnin.
Cepat 'Mek Medela' saya itu, Aja kirimkan dengan courier service [eh, Ahad pun bukakah kaunter?]. Maklumlah orang bisnes yang berpengalaman, hehe.
Apa bendanya? Ni ha...
gambar dari internet.. tak sempat nak ambil foto dengan kamera
Breastpump Medela Swing yang saya beli online daripada Aja dari MyBreastPumpShop. Harga istimewa, dapat pula hadiah percuma dan waranty setahun. Ok la tu.
Semasa berpantang dengan Ikram pada tahun lalu, suami belikan breastpump manual sebab Ikram tak kuat menyusu. Tambahan pula saya mahu gunakan di tempat kerja. Dari jenama terkenal. Boleh tahan juga pam tu tetapi saya letih buat lama-lama, sakit tangan menekannya. Masih tak dapat banyak susu. Nak basuh pula satu hal, sebab banyak part yang perlu diceraikan dan dibasuh dengan teliti, kemudian disterilkan pula. Itu pun syukur, dapatlah guna selama kira-kira 6 bulan.

Oleh itu, semasa mengandungkan Ihsan, saya berniat upgrade pam kepada jenis elektrik/bateri. Lebih mudah dan cepat, dan insyaAllah akan dapat lebih. Tambahan pula Ihsan kini mengalami growth spurt, semakin kuat minum susu, setiap kali nak hampir 4oz walaupun dia baru berumur sebulan. Tak dapat cukup, dia meraung dengan kuat. Letih nak penuhi permintaannya, kerja lain terbengkalai.

Pam amat perlu untuk menyenangkan kerja saya, tambahan pada hujung minggu apabila kedua-dua hero ada di rumah, dan suami pula tiada di rumah untuk membantu. Jikalau mendukung Ihsan untuk menyusu badan, susahlah saya nak jaga Ikram yang semakin aktif pada masa yang sama. Setelah survey dalam buku Pa&Ma serta secara online, akhirnya saya jumpa blog ini.

Pembelian secara online dalam keadaan saya masih berpantang lebih memudahkan dan menjimatkan masa serta kos. Tak perlulah suami jadi driver membawa saya dan Ihsan [ke mana saya pergi, tentu dia ikut] ke kedai menbelinya.
Mula-mula nak beli Medela Frestyle tetapi aduh, kosnya terlalu tinggi. Harga hampir sama dengan bonus saya tahun ni, huhu. Akhirnya Swing yang menjadi pilihan, walaupun hanya boleh pam sebelah pada satu-satu masa. InsyaAllah, dengan bantuan pam ni di tempat kerja, bolehlah saya memberi susu badan kepada Ihsan sehingga 2 tahun.

Sekarang sudah 2 hari saya menggunakan Medela Swing. Alhamdulillah, mudah dan menjimatkan masa. Semasa Ihsan lena tidur dan enggan bangun untuk menyusu [bila panggil, dia senyum saja dalam tidur], saya masih boleh mengekalkan supply susu badan dengan mengepam. Boleh duduk sambil membuat kerja lain sementara pam terus berjalan. Saya suka sebab ada 2 mode - satu stimulation dan satu lagi maximum comfort vacumn, tak sakit. Saya tak guna selalu, hanya beberapa kali sehari saja pada waktu siang. Sekali pam [single] boleh dapat 70ml dalam 10 minit, itupun saya tak pam terlalu kuat [anak baru sebulan, ok la]. Yang membuat saya senyum gembira adalah bahagian pam yang perlu dibersihkan setiap kali pam tak banyak, dan mudah sekali jika dibandingkan dengan pam manual saya dulu. Oleh kerana ia kecil dan ringan, bolehlah saya bawa ke sekolah dengan senang apabila tempoh cuti tamat nanti. Cuma saya mesti jauhkan ia daripada Ikram yang teruja dengan segala jenis gajet.

Ni hadiah raya dari suami tercinta. Ihsan senyum puas bila diberi susu yang banyak. Terima kasih, Abahnya.

Tuesday, August 23

SAYA SEKSI?

'Teacher, teacher sebelum masuk Islam dulu, seksi tak?" pelajar lelaki Tingkatan 4 itu bertanya.
Saya terpinga-pinga sekejap. Ketika sibuk memberi penerangan kepada pelajar lain, tiba-tiba soalan itu ditanya. Alahai, pelajar ooo pelajar. Sabar sajalah.
Saya memandangnya dengan senyuman. "Pendapat kamu?"
"Aaaa, teacher mesti seksi sebelum masuk Islam, kan?" dia yang bertanya, dia juga yang membuat kesimpulan.
Saya ketawa sambil menggeleng kepala. Hairan, mengapa dia dengan mudah membuat andaian bahawa saya seksi sebelum memeluk agama Islam.
Adakah saya bukan lagi seksi sekarang setelah beragama Islam?
Atau adakah pada pendapatnya, semua wanita Cina yang bukan Islam seksi?
Fahamkah dia apa maksud seksi?

Mungkin dia bayangkan saya berpakaian seperti guru-guru wanita nonmuslim lain yang ada; yang berbaju blause, berskirt paras lutut dan rambut dibiarkan panjang ke bahu.
Mungkin dia gambarkan saya bersolek tebal dan berminyak wangi.
Mungkin begitulah seksi pada pandangannya,sebagaimana yang selalu dicanangkn di media massa.
Tapi saya dahulu pun bukan seperti itu. Saya tak pernah memakai baju blaus pendek bertali dua serta mini skirt. Saya boleh dikatakan agak konservatif dalam berpakaian sehingga orang yang tak kenal pun boleh agak saya guru dari cara penampilan, hahaha.

Kelemahan saya hanya satu - gincu.Ya, saya suka memakai gincu atau lipstick. Hampir setiap bulan saya akan membeli gincu baru. Gemar bereksperimen dengan warna-warna baru. Dari warna merah terang pada umur 20-an sehingga merah gelap pada umur 30-an, itulah warna gincu yang saya pakai.Jarang sekali keluar rumah tanpa berbedak dan bergincu, selah-olah tak berseri wajah tanpanya.
Oh, itu dulu. Semenjak saya memeluk Islam, saya semakin kurang bersolek. Banyak perkara lebih penting dalam rutin harian saya. Tambahan pula, saya pernah membaca bahawa bersolek tidak digalakkan untuk muslimah. Di samping itu, berita-berita tentang penggunaan merkuri dalam gincu yang berbahaya kepada kesihatan menakutkan saya. Hanya bedak muka yang menjadi teman setia saya; gincu dan celak pula sekalisekala.


Semenjak saya mengandung, saya semakin jarang bersolek. Pertama, risau akan bahan kimia dalam alat solek yang boleh membahayakan kesihatan kandungan. Kedua, tak ada mood setelah berkali-kali muntah 'morning sickness'. Lagipun ada ustaz yang menyatakan bahawa bersolek di luar rumah sebagai haram. Kini alhamdulillah tak bersolek lagi di luar rumah [lagipun tak sempat, tambah nak layan 2 orang anak kecil lagi, hehehe- alasan baik]

Renungilah ayat-ayat berikut:
surah al-Nur, ayat 31:
"Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya, dan hendaklah mereka meletakkan penudung pada dada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka.."

"dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu". (Al-Ahzab:33)


Allah swt Maha Mengetahui. Allah Maha Bijaksana. Larangan bersolek dan berpakaian terdedah [yakni, seksi] sebenarnya baik untuk wanita. Mungkin ada di kalangan muslimah yang tidak bersetuju jikalau saya katakan bahawa bersolek boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. Pengalaman saya sendiri dahulu bukti bahawa berpakaian begitu mengundang masalah [nanti saya cerita dalam pos lain, insyaAllah].

"Tapi jikalau tak bersolek - bergincu, bercelak dll tentu kita akan nampak selekeh, muka pucat.. tentu orang akan anggap kita wanita Islam sebagai tidak kemas, tak berpenampilan profesional."
"Tak bestlah begitu, tak salah kan kika bersolek nipis semata-mata untuk kelihatan kemas dan cantik. Bukankah Allah suka pada kecantikan?"
'Saya bukan nak tarik perhatian lelaki, cuma sekadar tak mahu kelihatan pucat lesi tanpa gincu."
Hahahaaa... saya sendiri pernah berfikiran begitu, kawan. Tapi bacaan demi bacaan, kajian dan kajian, akhirnya saya mengaku, tak ada alasan sebenarnya untuk kita muslimah bersolek di luar rumah.
Wanita Muslimah hanya dibenarkan malah digalakkan bersolek untuk suami di rumah. Teliti perkataan-perkataan ini - untuk suami di rumah. Maksudnya jika keluar berdating dengan suami di luar rumah masih tidak boleh, kerana boleh menarik perhatian lelaki lain.

Bersolek adalah amalan jahiliah. Kalau setakat berbedak  [bukan jenis haruman]untuk mengelakkan wajah kelihatan berminyak, masih boleh diterima kerana bedak benda biasa, digunakan oleh semua peringkat umur, termasuk bayi. Tapi gincu, mascara, eyeshadow, blusher dan lain lain? Itu jika bukan benda solekan orang bukan Islam, siapa punya? Takkan kita Muslimah masih nak tiru amalan jahiliah, walaupun jahiliah moden?

Oh memang seronok bila bersolek [saya tahulah, kan saya katakan saya dulu pun bersolek gak] tambah bila beli benda baru, rasa nak sapu saja setiap masa dan pandang cermin selalu.. tapi gunalah akal fikiran yang Allah berikan kpada kita - masih dijajahikah minda kita oleh pihak Barat/propaganda kafir dengan pendapat bahawa kita hanya kelihatan cantik dan 'presentable' bila bersolek?
Ingatlah, sama ada kita berniat atau tidak untuk menarik perhatian orang lain bila kita keluar rumah memakai solekan walaupun senipis mana, kita masih berdosa jika berjaya menarik perhatian seorang lelaki bukan muhrim. Bayangkanlah berapa dosa yang sudah kita kutip tanpa disedari. Menggerunkan, bukan?

Oleh itu, jika nak selamat dunia akhirat, lebih baik jauhkan diri daripada bersolek. Yang sudah biasa bersolek tu, bolehlah kurangkan sedikit demi sedikit, lama-lama biasalah tanpa selapis lemak berwarna di bibir dan kelopak mata :)
Yang sudah biasa tanpa pernah bersolek itu, alhamdulillah kekalkan begitu.
Jangan pula ketika majlis pertunangan/perkahwinan, ada pula Muslimah yang tidak pernah bersolek disolekkan dengan tebal atas desakan orang lain, dengan alasan kerana para jemputan nak datang tengok !!!

nota: imej dari http://www.updegree.com/makeup-kits/

Thursday, August 18

WAD 10 DAN SUSU IBU

Wad 10, hospital kerajaan. Jam 3 pagi. Kedengaran suara bayi kecil menangis kelaparan.
"Nurse, apa boleh saya buat lagi? Dia tak henti-henti menangis!"
Jururawat senior berumur 30-an itu berpaling ke arahnya.
"Buat apa yang patut untuk dia henti menangis. Itu anak awak, awak yang kena urus. Balik rumah nanti, awak juga yang kena jaga dia."
"Tapi saya takut dia kena tarik, dah lama dia menangis macam ni. Dia tak nak menyusu.Dah puas saya bagi."
"Tak tarik la jika menangis lama."
"Saya ada masalah menyusu badan. Saya dah minta nak jumpa nurse lactasi tapi dia tak datang lagi."
"Lactation nurse itu bukan untuk awak seorang. Kemaskan dia, bedung ketat-ketat macam ni.{jururrawat itu membedung ketat bayi tersebut dengan kain lampin]. Haaa.. tengok, dah diam. Awak kena bagi susu badan, kami tak bagi supplement. Ni dok asyik kata tak cukup susu, balik rumah nanti mesti bagi susu formula!"
Jururawat itu berlalu pergi tanpa menghiraukan ibu itu lagi.
Saya mendengar saja dari katil sebelah. Malas nak campur tangan. Ibu muda itu pun mendiamkan diri setelah ditegur oleh jururawat.
Sudah 3 malam saya di dalam Wad 10, bilik kubikel pemerhatian yang dikhaskan untuk ibu-ibu yang baru bersalin secara cesarean. Saya tidak dibenarkan masuk ke bilik kecil kerana ada darah tinggi. Oleh itu, setiap malam, saya mendengar suara bayi-bayi menangis dan mereka yang ditolak masuk ke kubikel itu sejurus selepas pembedahan kecemasan.
"Kak, saya tak pernah berniat nak bagi anak minum susu formula. Balik rumah nanti pun nak juga bagi susu badan. Cuma saya risau sebab anak asyik menangis tak henti-henti macam dia lapar sangat, susu saya pula kurang. Sampai hati nurse itu tuduh saya macam tu," adu ibu muda di sebelah katil saya seperti hendak menangis.
"Sabarlah, hospital kerajaan memang begini. Tambah syif malam, mereka sibuk," saya cuba tenangkannya. Tapi hati saya juga panas; mana boleh jururawat itu menuduh sebarangan seolah-olah ibu itu tidak akan menyusukan anaknya selepas pulang ke rumah. Sudahlah tidak membantunya/mengajar cara menyusukan anaknya, marah pula dengan kasar. Syukurlah bukan semua jururawat di Wad 10 itu bersikap begitu - hanya seorang dua saja tetapi sudah cukup menyakitkan hati.

Semenjak hospital kerajaan memperkenalkan penyusuan susu ibu, tumpuan difokuskan pada keperluan anak untuk menyusu. Memang murni hasrat ini, namun masalah lain yang timbul kurang diberi perhatian. Keperluan ibu yang menyusukan kurang diberi perhatian, lebih-lebih lagi ibu yang melahirkan anak sulung secara cesarean.
Kasihan saya melihat mereka yang ditolak masuk ke dalam wad dalam keadaan berbaring dan tidak dibenarkan mengangkat kepala dalam tempoh 6 jam selepas pembedahan.
Bayi kecil yang merengek kelaparan dibiarkan begitu sehinggalah ada ibu di katil sebelah atau jururawat yang prihatin tampil untuk meletakkan bayi itu di sebelah si ibu untuk menyusu. Selepas menyusu, terpaksa pula si ibu yang tidak dapat bergerak bebas [tiub kencing masih dipasang] menunggu untuk bantuan orang lain meletakkan semula bayi ke dalam cot.
Kata mak saya yang juga jururawat bersara, dahulu jururawat yang mengendalikan semua urusan penjagaan bayi baru lahir. Mereka lebih sibuk. Kini saya perhatikan selama 5 hari di Wad 10, jururawat sekarang nampaknya lebih berfokus pada paperwork, dengan penulisan laporan harian dalam fail setiap pesakit dalam wad. Kebajikan pesakit kurang diberi perhatian oleh kebanyakan jururawat, terutama bab penyusuan bayi. Bukan saya seorang yang kurang puas hati.
"Kak, kata saja Hospital Rakan Bayi. Saya ibu dengan anak sulung, baru belajar menyusukan anak. Ikut teori nampak senang tapi bila pegang anak, rupa-rupanya tak semudah itu. Nurse bukan bantu tunjuk cara betul nak susukan anak, kita kena marah pula bila mengadu tak cukup susu bila anak menangis," Maznah di sebelah katil saya mengadu.
"Biasalah Maznah. Nurse banyak kerja, lebih-lebih mereka yang syif malam. Tak ada jururuwat pelatih untuk membantu."

"Kesiannya... dah berapa lama menangis?"
"Sudah setengah jam. Susu badan kurang, bila bagi dia menyusu dia tak puas. Jadi macam ni la."
"Bagitau la pada misi.. minta susu tambahan."
"Dah... mereka kata susu badan saya banyak, jadi mereka tak nak bagi susu. Saya pun tak tahu apa nak buat ni, dah puas saya pam susu badan sampai tak boleh dah. Bila saya menyusu badan, anak pula cepat tidur."
"Bawa tak susu tambahan sendiri?"
"Mereka tak bagi bawa. Mereka rampas jika jumpa, jadi [susu] yang saya bawa tu mereka suruh bawa balik. Botol untuk simpan susu perah yang saya bawa dari rumah pun mereka ambil. Jadi saya hanya dapat beri susu badan atau minta supplement dari jururawat."
"Kesian anak menangis tu."
"Tau, tapi nak buat macam mana? Saya dah tanya, mereka kata tak boleh bagi susu tambahan sebab tiada arahan doktor."
"Nanti anak awak dehydrated..."
Begitulah keadaan di Wad 10 bagi ibu-ibu yang baru melahirkan anak.
Polisi Penyusuan Susu Ibu seolah-olah dipaksakan ke atas setiap ibu yang bersalin di hospital kerajaan, tak kiralah sama ada mereka sudah biasa menyusu anak atau tidak [ada ibu yang susu badan lambat keluar kerana stres/sebab kesihatan dll]. Teguran secara kasar oleh jururawat yang kurang cekap pula menambah stres yang sedia ada.

Daripada pembacaan saya, penyusuan ibu hanya akan berjaya dengan sokongan semua pihak, bermula dengan keadaan yang kondusif di wad hospital. Namun dari pengalaman saya yang dua kali bersalin di hospital kerajaan di sini, ia lebih indah khabar dari rupa. Ibu yang menyusu hanya akan dapat menghasilkan susu yang banyak apabila berada dalam keadaan selesa dan relaks. Minda perlu disetkan bahaa susu badannya cukup untuk bayi. Perlu elak stres. Jikalau sudah stres dengan tangisan bayi dan ditegur dengan kasar oleh mereka yang bertugas, bagaimanakah ibu itu dapat menyusukan anak dengan sempurna?
Semoga pihak yang bertanggiungjawab memantau keadaan di hospital-hospital yang ditobatkan sebagai Hospital Rakan Bayi supaya benar-benar merupakan bukan sahaja hospital rakan bayi tetapi juga hospital penyokong ibu menyusu badan.


Tuesday, August 16

TOMAT



Assalamualaikum,
Just want to share this song with you during this holy month of Ramadhan. May Allah swt forgive us for our numerous sins and bless us all, ameen.

Unless I'm mistaken, sobat = hamba Allah/ Allah's servant,  sok= pura-pura/pretend

Dengarlah hai sobat
Saat kau maksiat
Dan kau bayangkan ajal mendekat
Apa kan kau buat Kau takkan selamat
Pasti dirimu habis dan tamat
Bukan ku sok taat Sebelum terlambat
Ayo sama-sama kita taubat
Dunia sesaat Awas kau tersesat
Ingatlah masih ada akhirat
Astafighrullahaladzim
Ingat mati, ingat sakit
Ingatlah saat kau sulit
Ingat ingat hidup cuma satu kali
Berapa dosa kau buat
Berapa kali maksiat
Ingat ingat sobat ingatlah akhirat
Cepat ucap astafighrullahaladzim
Pandanglah ke sana Lihat yang di sana
Mereka yang terbaring di tanah Bukankah mereka Pernah hidup juga
Kita pun kan menyusul mereka
Astafighrullahaladzim
Cepat ucap astafighrullahaladzim

Sunday, August 14

MINGGU YANG SIBUK

Ikram dan Ihsan.. beginilah keadaan setiap kali bila dia balik dari nurseri, dicarinya si adik dulu
Alhamdulillah... Ihsan sudah sebulan umurnya.
Ikut adat Cina, hari ni merupakan hari 'Mua Guik' atau cukup bulan untuk anak kecil ini.
Tapi sebab bulan Ramadhan dan juga saya sudah pun keluar rumah untuk pelbagai urusan, tiadalah upacara khas untuk menandakan peristiwa ini. Lagipun majlis mencukur kepala sudah diadakan.Saya pun masih sibuk.

Minggu ini hanya sehari saja suami berada di rumah. Dia terpaksa ke outstation lagi. Tinggallah saya dengan anak-anak di rumah. Jika keluarga saya yang agak konservatif tentang panatng larang lepas bersalin tu tahu, mungkin akan melenting tetapi saya dah biasa. Cuma agak letih menguruskan 2 orang hero kecil ini terutama pada hujung minggu kerana nurseri tutup. Masak memasak dan sebagainya dilakukan ala kadar mengikut keadaan, lagipun bukan sesiapa pun nak tengok dan pantau.Tidak dinafikan stres memang terasa namun ditabahkan hati dan bersabar dengan keadaan. Jika terlalu melayan diri bahawa saya masih belum habis pantang, teruk jadinya [hahaha].

Pembantu rumah yang tinggal bersama berjaya didapati tetapi dia hanya bekerja selama 7 hari. Tak perlulah saya huraikan mengapa dia diberhentikan. Cuma saya cukup lega dan gembira apabila dia dihantar pulang, kerana memang sah dia tidak layak. Syukur bulan Ramadhan yang mulia ini tidak dicemari dengan kehadirannya di rumah yang benar-benar menguji kesabaran saya, terutama bila melibatkan keselamatan anak-anak. Cukuplah seorang itu; terasa lebih bahagia saya menguruskan rumah dan anak-anak sendiri biarpun agak keletihan.

"Aliya, Allah akan berikan kekuatan, insyaAllah.Kalau anak seorang, kita kuat, bila ada 2 anak pun Allah akan berikan kekuatan yang sama untuk kita, macam kita anak satu."
Begitulah kata-kata semangat yang diucapkan oleh  Kak Lah, jiran sebelah rumah saya yang prihatin.
Saya senyum saja tetapi saya tetap berpegang pada kata-kata itu. Alhamdulillah, benar juga katanya. Selama suami tak ada di rumah, Ikram dan Ihsan kurang meragam. Sakit pula cuma pada awal-awal pemergian Abah mereka, lepas itu terus ok. Mungkin itulah kemudahan yang Dia berikan kepada ibu-ibu yang menguruskan anak seorang diri. Tiada kekuatan selain kekuatan yang datangnya daripada Allah swt.

Saya mula memandu kereta semenjak hari ke 12 selepas bersalin. Alhamdulillah ok saja, tak terasa apa-apa kesakitan. Mungkin sebab saya bersalin secara cesarean, maka tak rasa nyilu seperti ibu-ibu yang bersalin normal. Nak buat macam mana, tiada orang lain yang boleh diharap untuk menghantar dan mengambil Ikram di nurseri Perjalanan selama 10 minit itu pun memerlukan perancangan teliti [huhu] sebab Ihsan harus disusui sehingga kenyang dulu baru dimasukkan kedua-dua anak ke dalam kereta. Ihsan dalam baby carrier [dalam foto] dan Ikram pula dalam car seatnya. Hampir penuh kereta dengan 2 buah kerusi baby, hehehe.

Saya tak mendoakan sesiapapun melalui pengalaman ini. Bukan mudah dan bukan menyeronokkan. Ia memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan paling utama, rohaniah. Tapi saya juga tak menyalahkan takdir kerana terpaksa berdikari dalam tempoh berpantang. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui yang menentukan saya melalui ujian seumpama ini. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Yang penting saya dan anak-anak ok, sihat dan kuat. Jika suami dan anak-anak masih tidak menghargai, entahlah.
Yang penting saya nak berkongsi adalah - Sesusah manapun keadaan kita, ada orang lain yang lebih susah, dan jika kita rasa penat menguruskan rumahtangga, ada lain yang lebih penat. Terima saja apa yang Allah tentukan untuk kita, dan insyaAllah segala urusan akan menjadi lebih mudah, insyaAllah.


Sementara itu, nikmatilah foto yang diambil secara 'candid camera' dengan handfon.

Ihsan dan Abahnya.. ada mirip tak?



Tepuk tepuk... tak habis-habis ditepuknya badan Ihsan setelah diajar oleh Abahnya


Monday, August 8

NAK HABAQ KER TAK ?

"Encik, saya tak tau bagaimana nak bagitahu mereka," saya memandang ke arah lelaki berumur 30an di hadapan saya
"Jangan risau. Jika belum beredia , kami boleh bantu. Kita boleh adakan sesi roleplay untuk membantu kamu," kaunselor itu cuba menenangkan saya.
Saya berada di bilik kaunseling universiti. Pening, kerana semenjak pengislaman saya, saya masih belum mendedahkan status terbaru saya kepada keluarga. Tak tahu bagaimana nak beritahu, kerana yakin bahawa mereka tentu akan mengamuk. Lebih-lebih lagi Bapa. Mak tentu akan membebel. Paling teruk pun saya akan dipukul jika saya balik ke rumah. Paling ringan saya akan dihalau dari rumah. Namun itu semua saya tak berapa kisah. Persoalannya, sampai bila nak sembunyikan hakikat bahawa saya dah masuk Islam, dan hidup sebagai Muslima di kampus USM?
"Bagitau jer, insyaAllah mereka akan terima."
Itu antara nasihat yang pernah diterima daripada rakan-rakan Muslim.
Saya senyum saja. Mereka yang tidak pernah mengalami keadaan seperti saya yang baru memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga tentu tidak dapat menyelami perasaan saya sebagai seorang anak dan seorang Muslimah.

Saya hanya mmapu berdoa kepadaNya yYang Maha Berkuasa. Bagaimanakah cara nak beritahu mereka, tanpa mencetuskan perasaan terlalu marah mereka? Saya bersedia untuk segala kemungkinan - termasuk dihalau atau dipukul - tetapi jikalau boleh, biarlah ia dielakkan.
Allah Maha Mengetahui. Keputusan itu diselesaikan dalam keadaan yang tidak disangka-sangka.
Mak menelefon pada waktu malam, bertanyakan sama ada saya telah memeluk Islam.
Saya tertanya-tanya. "Siapa beritahu?"
"Adalah.. betul awak dah masuk Islam?" Mak minta kepastian.
"Ya, betul."
Mak diam. "Kalau begitu, jangan balik rumah!" terus dia mematikan panggilan.
Saya redha dengan keadaan itu. Redha dengan keputusan Mak. Semuanya adalah ketentuanNya jua.
Dalam keadaan saya teragak-agak dan menyusun strategi terbaik untuk mendedahkan pengislaman saya, Allah swt telah menentukan itulah cara keluarga saya mendapat berita. Sehingga hari ni, saya snediri tidak tahu siapa sebenarnya yang mendedahkan rahsia pengislaman saya itu kepada Bapa dan Mak saya. Biarlah, yang sudah terjadi pun sudah terjadi.

Ramai saudara Muslim revert yang bertanya dan meminta pendapat saya, bagaimana cara terbaik memberitahu keluarga tentang pengislaman mereka. Terus terang, saya tiada jawapan. Itu bukan di bawah kuasa manusia, tetapi Dia yang Maha Berkuasa. Maka saya nasihatkan, berdoa selalu dan merancang seolah-olah anda tidak dapat menjejakkan kaki lagi di rumah keluarga. Pray for the best, but Prepare for the worst. Begitu, anda tidak akan berasa terlalu sedih atau terkilan jikalau keadaan tidak seperti yang diharapkan.

"Tapi kak, saya tak nak nanti ibu saya jatuh sakit kerana sedih dengan pengislaman saya ni."
"Saya takut jika mendaftar sebagai Muslim di pejabat agama, nanti status saya akan didedahkan oleh pihak pejabat agama. Ni dah berlaku kepada kawan saya. Saya belum bersedia lagi untuk keluarga saya tahu."
"Saya perlukan masa lagi untuk merancang strategi terbaik untuk mendedahkan status Islam saya ni."
"Saya tak mahu dihalau dari rumah."
"Saya masih bergantung kepada keluarga untuk kos pengajian kolej."
"Saya tak mahu nanti berlaku kes berebut mayat. Biarlah saya dikebumikan sebagai nonMuslim, asalkan saya sendiri tahu saya dah Islam."
Alasan-alasan tersebut sering dikemukakan oleh brother dan sister yang bertstaus mualaf - berjinak-jinak dengan Islam serta mereka yang sudah memeluk Islam tetapi belum isytiharkan diri.
Saya dengar sahaja. Nak tegur pun susah sebab hanya mereka yang paling arif dengan keadaan dan reaksi ahli keluarga masing-masing. Nak nasihat pun setakat yang mampu saja. Mereka bukan kanak-kanak kecil; sudah dewasa.

"Ginilah... pasang niat bahawa awak akan isytihar pengislaman anda pada jangkamasa tertentu. Mungkin dalam sebulan, setahun atau selepas mendapat pekerjaan tetap. Tak boleh terus hidup dalam persembunyian. Itu menyeksakan jiwa kamu. Ibarat hidup dalam 2 alam yang berbeza-  satu sebgai Muslim, satu lagi berpura-pura sebagai nonMuslim. Tambah lagi awak perempuan, takkan tak nak menutup aurat? Tak nak makan makanan yang haram? Yang tensen, yang teruk nanti awak juga."
"Tapi keluarga saya, bagaimana?"
"Serah pada Allah swt. Teruskan berdoa, insyaAllah akan dipermudahkanNya untuk mereka menerima kamu sebagai seorang Muslim. Jika mereka menentang pun, terima sebagai satu ujian dan dugaan daripadaNya. Yang penting, awak ada perancangan untuk memberitahu keluarga dan orang terdekat tentang pengislaman awak. Tak boleh terus sembunyikan diri sehingga bila-bila."
"Tapi saya bukannya nak murtad! Saya cuma perlukan masa untuk bersedia."
"Saya faham. Awak boleh ambil sebanyak masa yang awak perlu tapi jangan terus kata perlukan masa. Mana perancangan awak, dah tulis dalam kertas atau belum? Dah cari tempat tinggal lain jika awak dihalau dari rumah? Dah simpan cukup wang untuk awak hidup berdikari tanpa bantuan keluarga? Semua ni awak perlu rancang. Bukan selalu kata nanti awak akan buat. Awak perlu ada satu rancangan yang konkrit, barulah awak boleh bebas nanti untuk hidup sebagai seorang Muslim. Melainkan awak nak terus dalam dilema begini."
"Awak seperti mendesak."
"Saya bukan mendesak. Cuma menasihati. Sebab saya sendiri sudah melalui pengalaman ni, sebab itu saya katakan mesti ada perancangan teliti.Mulakan langkah sekarang. Langkah pertama adalah yang paling susah tetapi insyaAllah jika awak berani teruskan, ia akan menjadi senang nanti."
"Saya tak sanggup berpisah dengan keluarga saya."
"Islam tak memisahkan awak dari keluarga yang bukan Muslim. Awak masih boleh tinggal dengan mereka tapi perlulah jaga diri awak sebagai orang Islam yang patuh pada suruhanNya."
"Saya perlukan masa untuk berfikir."
"Banyak masa untuk awak sebenarnya. Cuma saya nak awak jawab soalan ni - Tak mahukah awak hidup bebas sebagai seorang Muslim? Bebas mengerjakan solat di mana-mana tanpa perlu bersembunyi, bebas berpuasa dan bersahur, bebas mengenakan pakaian yang menutup aurat? Bebas menolak makanan yang tidak halal yang dihulurkan kepada awak oleh rakan-rakan dan keluarga yang bukan Islam?"
Dia diam. Berfikir agaknya.

Monday, August 1

KUNING

"Cuba akak mandikan dengan air limau purut," wanita muda itu memberikan petua.
"Aliya mandikan baby dengan air daun liu, insyaAllah turun nanti."
"Boleh cuba guna air mandian asam keping, tapi jangan kena mata, pedih nanti.'
Saya dengar, dan berikhtiar juga.
Boleh dikatakan hampir semua petua yang diberi sudah kami cuba. Malah diberikan juga air zam-zam, air susu, perahan sengkuang cina [kalau ikut cakap doktor, hanya boleh air susu ibu saja] namun masih juga belum sembuh sepenuhnya si kecil ini.
Sudah lebih seminggu Ihsan demam kuning. Penat kami suami isteri berulang ke klinik untuk mengambil bacaan darahnya. Kasihan dia dicucuk di tapak kaki untuk diambil sampel darah.
Ketika ini, banyak urusan pejabat yang perlu dibereskan suami; kasihan, tak berehat dia.
Kadangkala kerana sibuk dan kesesakan lalulintas, terlambat juga kami ke klinik, maka bertawakkal sajalah padaNya yang Maha Berkuasa.
Nampaknya inilah antara ujian Allah pada kami sekeluarga pada Ramadhan ini. Sabar jelah.

Saya pun letih, apatah lagi dengan si Ihsan ini lebih banyak menyusu badan pada awal pagi. Jikalau hanya menyusu badan, alamatnya berjam-jamlah saya mendukung dia kerana dia tidak mahu menyusu dalam posisi berbaring. Terpaksa diampu kepalanya seolah-olah memegang bola ragbi barulah dia nak menyusu, huhu. Lenguh tangan.
Saya terpaksa perah juga susu badan untuk simpanan stok kerana dia akan meraung apabila mahukan susu. Sekali minum lebih daripada 2 oz. Jika menyusu badan saja, tak buat kerja lainlah saya ni. Syukur kali ini susu badan agak banyak, berbanding ketika melahirkan Ikram dulu.
Ni pun syukur abangnya, Ikram kurang meragam. Diperhatikannya sahaja dalam diam ketika saya menyusu Ihsan.
Botol susu masih diharamkan untuk Ihsan. Saya suapkan dengan sudu kecil. Letih kerja ini, tapi apa nak buat, demi kebaikannya, terpaksalah dilakukan. Bimbang apabila diberikan botol susu dengan puting, nanti Ihsan keliru puting, langsung ditolaknya susu badan kerana menyusu dengan botol lebih mudah dan cepat baginya.
Alhamdulillah, setakat ini, Ihsan masih kuat menyusu badan, dan kuat menyusu dengan susu kecil, hehehe.

Kata orang tua-tua, tak boleh guna benda-benda berwarna kuning pada bayi. Kerana akan menaikkan demam kuningnya. Saya setkan minda, tak mahu percayai. Tapi memang kami tak guna pakaian kuning pun bagi Ihsan. Yang ada pun hanya tirai berwarna kuning, itupun tirai bilik tidur.
Takut nanti syirik pula jika percaya bahawa warna kuning boleh menyebabkan penyakit, sedangkan sakit sembuh penyakit di tangan Allah swt. Hanya mampu berdoa padaNya agar disembuhkan anak saya ini daripada segala penyakit yang ada di badannya. Risiko demam kuning yang tidak dikawal memang membahayakan. Saya dan suami dah berikhtiar, selebihnya berserah padaNya yang Maha Berkuasa.
Semoga Dia permudahkan urusan dan sembuhkan Ihsan daripada demam kuning dan segala penyakitnya dengan mudah dan cepat, ameen.

sudah botak la, ummi..

Alhamdulilah, selesai sudah upacara bercukur kepala Ihsan serta 'membelah mulut' yang dilangsungkan pada hujung minggu. Buat cara ekspres juga memandangkan bulan Ramadhan sudah hampir. Hanya kenduri akikah yang masih belum diadakan; insyaAllah mungkin akan dilangsungkan pada Aidiladha kelak.

ustaz sibuk menyuapkan kurma ke mulut Ihsan, Ikram pula 'keipo' melihat gelagat

Kedatangan Ramadhan kurang terasa tahun ni, mungkin kerana sibuk dengan karenah anak-anak dan sebab masih dalam pantang. Walau bagaimanapun, semoga semua pengunjung blog ini diberkatiNya pada bulan Ramadhan, semoga terus kukuh dalam iman,dan sihat serta kuat mengerjakan ibadah sempena bulan yang mulia ini.
Selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak.

Antara petua yang diterima untuk sembuhkan anak dari demam kuning/jaundis:
Mandi dengan - daun limau purut, daun pokok liu, kucai dan kacang kuda, asam keping
Beri minum [jangan beritahu nurse/doktor, k] - air zamzam, titisan susu kambing
Si ibu minum - air sengkuang cina

15/8 = Alhamdulillah... demam kuning disahkan surut semasa membuat lawatan anak umur sebulan di KKSJ.. doktor kata tak payah ambil bacaan jaundis lagi sebab kurang daripada  bacaan kurang daripada 100.