Thursday, February 14

SOLAT BERJEMAAH DI MASJID

Sejak memeluk Islam, saya berpendapat salah satu perkara yang mencabar tetapi amat berkesan kepada seseorang mualaf adalah mengerjakan solat berjemaah di masjid. Bayangkanlah mengerjakan solat bersama-sama dengan orang lain, berdiri dalam satu saf, rukuk dan sujud pada waktu yang sama, dan berdoa bersama-sama. Ia amat menenangkan jiwa. Mudah dikerjakan kerana hanya perlu mengikut imam.

Namun cabaran pertama tentu sekali memberanikan diri untuk menjejakkan kaki ke masjid tersebut. Bagi orang yang sudah biasa ke masjid, tak akan berasa apa-apa tetapi bagi saya yang sudah biasa lalu di sana tetapi sebagai orang baru yang hendak masuk ke sana untuk mengerjakan solat, macam-macam perasaan bermain di jiwa. Takut, risau, segan dan macam-macam lagi. Entah mengapa, saya tidak pernah diajak ke masjid untuk solat berjemaah oleh kawan-kawan mahupun oleh ustazah. Mungkin di peringkat universiti, para pelajar perempuan lebih selesa mengerjakan solat di surau atau bilik masing-masing. Maklum sahaja, bila tamat kuliah masing-masing sudah letih. Malas nak berjalan jauh ke masjid untuk solat maghrib dan solat isyak, tambahan tidak wajib bagi wanita bersolat di masjid.

Solat berjemaah saya di masjid bermula pada bulan Ramadhan 2006. Niat di hati hendak mengerjakan solat terawih. Alhamdulillah ada juga adik yang mengajak, dan selepas berbuka puasa beramai-ramai di masjid, kami pun masuk ke masjid menanti bermulanya solat terawih. Saya agak kalut juga pada mulanya. Kalau di rumah, ambil wuduk seorang demi seorang (boleh relak sedikit) tetapi di masjid ambil beramai-ramai, kena cepat dan betul. Selepas itu kena cepat-cepat menyarungkan telekung dan kain sembahyang, baru mencari ruang di saf yang paling hampir dengan baris pertama yang sudah penuh dengan makmum. Terasa pula banyak mata yang memerhati dari kanan, kiri dan belakang. Aduhai… berdegup jantung kerana risau membuat silap depan orang ramai. Maklum sahaja baru belajar mengerjakan solat tak sampai empat bulan. Lagipun saya memang tak biasa dengan disiplin ketika solat berjemaah. Kena tunggu imam memberi arahan. Kena duduk rapat-rapat. Setiap gerak-geri ketika solat kena seiring dengan orang di sebelah. Tambah ketika solat terawih, kena berulang lapan atau sebelas kali. Kalut juga.

Namun niat hendak berjemaah di masjid tidak pernah luput. Hanya kekangan masa kerana tugas dan pengajian sepenuh masa ini yang sedikit sebanyak menghalang niat daripada menjadi realiti. Sebenarnya salah satu kebaikan mengerjakan solat berjemaah adalah kerana dapat berkenalan dengan muslimin dan muslimah lain yang tinggal di kawasan yang sama. Jadi saya hanya mampu berdoa dan berharap agar diberi peluang mengerjakan solat berjemaah di masjid dengan selamat.

“Jom kita ke masjid untuk solat maghrib/ isyak,” kata khalifahku selepas kami bernikah. “Jangan lupa bawa telekung dalam beg.”
"Kita singgah di masjid ### untuk solat, ok. Tak sempat nak sampai rumah ni."
Alhamdulillah rasa risau dan gerun mengerjakan solat berjemaah di masjid sedikit-sebanyak berkurangan apabila kerap melakukan ibadah ini. Beg berisi kain dan telekung siap tergantung di rumah untuk dibawa bersama pada bila-bila masa. Rasa seronok pula menziarah masjid bersama khalifahku. Banyak juga masjid yang kami ziarah sekitar Pulau Pinang dan Kedah. Ada yang memberikan suasana yang menyenangkan apabila kami masuk, dan ada yang kurang dari beberapa segi. Saya suka tempat yang menyediakan ruang berasingan dan bertutup untuk jemaah wanita mengambil wuduk; kalau bersebelahan dengan ruang solat wanita lebih bagus. Juga tempat yang menyediakan telekung dan kain sembahyang yang mencukupi dan bersih untuk mereka yang memerlukannya. Di samping itu, penyediaan cermin yang mencukupi untuk jemaah wanita memakai kembali tudung mereka dengan kemas dan sempurna amat dihargai. Sudah tentu masjid yang berjaya menyediakan pelbagai kemudahan yang sesuai bagi jemaah mencerminkan keprihatinan para makmum yang memakmurkan masjid berkenaan.

Aneh, kalau singgah di masjid atau surau pada waktu selepas waktu solat, amat susah hendak berjumpa dengan imam atau penjaga tempat itu. Ke manakah mereka? Kalau seseorang hendak meminta bantuan atau nasihat, ke manakah dia hendak merujuk? Tidak kelihatan pula notis bagaimana menghubungi imam masjid mahupun penjaga masjid. Lagipun masjid atau surau biasanya lenggang pada waktu petang selepas solat zohor. Kalau bukan hari raya, mereka yang memakmurkan masjid setiap kali solat pun tidak ramai, kebanyakan hanya mereka yang agak berumur. Hanya Allah s.w.t yang Maha Mengetahui sebabnya.

2 comments:

  1. aslm wbt

    hukum asal utk pmpuan ialah afdhal atau lbih baik solat dirumah, bkn di masjid. berbeza dgn laki hatta ada ulama berpendapat laki wajib solat jemaah di msjid.

    صلاة المرأة في بيتها أفضل من صلاتها في حجرتها وصلاتها في مخدعها أفضل من صلاتها في بيتها

    “Seorang wanita bersolat didalam rumahnya lebih baik dari dia bersolat dihalamannya, dan solat didalam bilik kecil lebih baik dari bersolat dirumahnya” [Hadith Riwayat Abu Daud]

    maka solat dirumah lg afdhal.

    cuma jika dimasjid ada majlis ilmu, atau kita baru nk bljr solat etc. di mana dgn ke masjid lg byk manfaat dpt, maka pergilah ke masjid.

    heh masjid mmg gi2, mcm kmpung saya. saya suh wat rak utk library, bkn nak buat, at least kalau xd officer masjid, adale bhn2 bacaan yg leh diberi kalau ada org cari info psl Islam.

    agak2 kalau ada org cari info psl Islam di masjid jumpa x?

    ReplyDelete
  2. W'salam wbt,
    Memang diakui muslimah lebih sesuai bersolat di rumah. Namun hakikat dunia sekarang, muslimah turut keluar ruamh kerana pelbagai urusan, ada yang menemani suami dan tidak kurang pula kerana tugas. Jadi solat di masjid menjadi satu cara untuk menentukan diri tidak terlepas waktu solat, selagi diri tidak mengundang fitnah.
    Lagipun hari ini, banyak masjid yang menayangkan ceramah agama di antara waktu maghrib dan waktu isyak untuk tontonan semua, maka yang pergi ke masjid akan turut mendapat ilmu.
    Pada pendapat saya, tak perlu diminta daripada ajk masjid, buat saja semampu kita sendiri. Kalau hendak sedekah sejadah, buku dll letakkan sahaja di sana. Niat suci kita Allah yang maha mengetahui, bukan begitu?

    ReplyDelete