Apabila bernikah dengan suami, saya tahu dia akan menunaikan fardu haji di Mekah. Suami sepatutnya pergi pada tahun 2006 (tahun itu kami baru berkenalan), tetapi entah mengapa, dia tidak tersenarai dalam kumpulan bakal haji pada tahun tersebut. Selepas kami bernikah beberapa bulan, namanya tersenarai semula untuk 2007 dan kami memang bersyukur. Sudah lama suami menanti untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci.
Persiapan menjadi tetamu Allah bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai ujian Allah swt berikan untuk menguji kesungguhan dan ketahanan bakal tetamunya. Sebagai isteri, saya turut menerima tempiasnya. Mahu tak mahu, saya terpaksa akur dengan hakikat akan ditinggalkan lebih sebulan tanpa suami di sisi. Memanglah mudah nak dikata; sepatutnya itu tak menjadi masalah besar kerana saya telah pun menjanda sebelum ini. Namun kerana ini ibadah haji, bukan pergi merantau untuk berkursus atau bekerja, suasana agak berlainan. Ada kemungkinan suami pergi tak akan kembali, dan ada kemungkinan yang ditinggalkan dijemput oleh malaikat Maut pada musim haji. Saya terpaksa akui saya risau dan agak takut dengan pelbagai kemungkinan ini. Hanya mampu bertawakkal padaNya sahaja dan berdoa agar diajuhi perasaan negatif begini.
Kami merancang tetapi Allah yang menentukan. Hanya Allah yang maha mengetahui keperitan hati ini apabila saya dihalang daripada mengiringi suami ke lapangan terbang. Juga hanya Allah swt yang mampu mengadili perbuatan manusia lain terhadap kita yang lebih lemah. Maka terpaksalah kami mengucapkan selamat tinggal di rumah sahaja.
Berjauhan daripada suami bukanlah senang, tambahan kerana dia pergi untuk ibadah haji. Banyak cabaran kerana kawan-kawan sering bertanya khabarnya tetapi saya hanya mampu senyum dan berkata "Sihat". Pada bulan Disember pula , apabila jemaah haji mulai pulang, saya terpaksa pula menjawab pertanyaan kawan-kawan, 'sudah balikkah suami awak?' dengan jawapan "belum lagi...insyaAllah tak lama lagi pulanglah." Saya pula tidak bebas menelefon ke sana kerana hubungan telefon terputus setibanya dia di Mekkah. Dia yang dapat menelefon dan menghantar sms kerana menggunakan talian Arab Saudi. Satu sms berharga RM0.50. Perbezaan masa kira-kira 5 jam antara Mekkah dan Malaysia bermakna sudah tengah malam sedangkan di sana baru masuk solat maghrib. Saya sudah tidur ketika dia selesai solat isyak. Pada waktu pagi, dia pula baru hendak solat subuh. Tambahan tak berani nak berhubung selalu kerana risau mengganggu ibadah hajinya. Dua tiga kali menelefon, bil telefon sudah mencapai Rm100...memang poket kering dengan bayaran bil telefon.
Alhamdulillah sepanjang suami di sana, saya tidak menghadapi sebarang masalah yang serius, malah segala urusan Allah swt permudahkan. Walaupun ada sedikit masalah kesihatan pada awalnya, syukur kerana tidak memerlukan rawatan doktor atau bantuan pihak luar. Semua urusan saya berjalan lancar. Hanya apabila pulang ke rumah, terasa agak kesunyian kerana diri sudah biasa dengan gurau senda suami. Saya gunakan masa dengan menulis blog ini, membaca buku-buku dan menyiapkan kerja kursus pengajian universiti.
Pada ketika inilah, diri saya dekatkan dengan Yang Maha Mengetahui dan Yang Maha Berkuasa. Dialah tempat saya mengadu dan memohon pertolongan. Dialah tempat saya berlindung dan berharap. Segala doa dan harapan untuk suami, saya panjangkan kepadaNya terutama apabila usaha untuk menghubunginya menerusi telefon gagal. Nak tahu erti tabah, masa inilah. Nak menghayati erti sabar, juga masa inilah. Nak belajar kawal emosi dan lidah, masa inilah juga. Kalau dahulu sebelum berkahwin, saya bebas meminta bantuan kawan-kawan tetapi setelah menjadi seorang isteri, saya perlu memikirkan implikasi kepada suami dan keluarganya. Saya tidak mahu lagi menjawab soalan kawan-kawan yang agak pedas ,"Hai, takkan suami awak tak tinggalkan pesan? Famili dia tak tahukah? Tak tolongkah?"
Alhamdulillah suami sudah pulang. Sudahpun kembali ke rutin biasa kami. Saya berjaya 'survive' selama 45 hari, tetapi saya tahu saya bukan berseorangan. Berkat doa suami di Tanah Suci, dan berkat Allah yang memberikan kekuatan diri, mental dan rohaniah. Suami dan isteri bukan milik masing-masing tetapi merupakan amanah daripada Allah swt. Menerima pasangan hidup kita seadanya, bersyukur dengan jodoh yang Allah berikan, dan mempercayai bahawa suami atau isteri yang dinikahi itulah yang terbaik untuk diri kita, menjadi asas dalam sesebuah perkahwinan. Saya hanya mampu berdoa kepada Allah swt, yang menjodohkan kami berdua, agar memberkati rumahtangga kami yang baru dibina setahun yang lalu.
Selamat Ulangtahun Perkahwinan kita, wahai suamiku tersayang.
Asalamualaikum warahmatullahi wabaratuh, Puan Aliya.
ReplyDeleteBahasa Melayu puan sangat baik. Sistem ejaan puan hampir betul 100%. Tatabahasa puan pun elok.
Ungkapan-ungkapan yang puan gunakan amat natural dalam Bahasa Melayu.
Saya cadangkan puan terjemahkan entri-entri puan dalam blog ini ke dalam Bahasa Melayu supaya dapat saya terbitkan dalam bentuk buku.
Puan Ainon Mohd. Pengrusi kumpulan syarikat-syarikat PTS.
ainon@pts.com.my
Waalaikumussalam warahmatullahi warabakatuh,
ReplyDeletePuan Ainon,
Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. InsyaAllah saya dalam proses menterjemahkan pos saya yang lalu kepada BI & BM.
Alhamdulillah, semua selamat & suami anda sudah pun pulang kepangkuan anda.
ReplyDeleteSyabas & tahniah diatas segala pengorbanan dan keteguhan iman anda sewaktu menanti kepulangan suami anda yang tersayang dan berjaya mengharungi kata-kata pedas orang2 yang hanya tahu bercakap tanpa memikirkan emosi orang lain.
It's me bro Azral
Wassalam
assalamualaikum aliya... u write so beautifully!!! i thought it was a post about your husband's spiritual journey but what a surprise to find at the end it was also a remembrance of your anniversary... very touching and lovely. i am so proud to call you a sister. much love, zylia.
ReplyDeleteWaalaikumussalam sis Zylia,
ReplyDeleteThanks for your support. Actually this post is one of the toughest to write. My uncommon marriage (makes another great story, hahaha) is another turnpoint of my life and his. Everything is predetermined by Allah swt, syukur alhamdulillah.