"Pagi-pagi dah jadi belatuk," usik cikgu Mat yang melihat saya menggunakan mesin taip untuk membuat kertas soalan tambahan kepada pelajar.
"Kenapa nak susah-susah, ajar teruk-teruk pun bukan semua akan pandai," komen salah seorang daripada warga sekolah.
" Ya betul juga kata awak tu," balas kawannya sambil tersengih-sengih. "Work smart, not work hard. Kerja dengan bijak, bukan dengan rajin."
Saya tarik nafas panjang."Bukankah tugas kita ni menyampaikan ilmu? Saya tak nak disoal di akhirat nanti kenapa tak buat kerja betul-betul. Biarlah susah sekarang asalkan kita puas hati dengan ilmu yang kita sampaikan. Kalau tak buat dengan baik, nak jawab apa di akhirat nanti."
Cikgu-cikgu lain ketawa.
"Aiikk, nyonya pun percaya pada akhiratkah?"
" Sudah tentulah," saya menjawab sambil tersenyum.
Sebagai seorang cikgu, saya tahu saya mempunyai tanggungjawab berat mendidik anak murid. Mengajar Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua khasnya kepada mereka yang bergantung sepenuhnya kepada pihak sekolah untuk mendapatkan ilmu bukanlah perkara yang mudah. Tambahan lagi, mengajar anak murid yang bukan daripada bangsa sendiri.
"Kenapa buat kerja banyak? Awak tu mengajar anak-anak Melayu, bukan anak Cina. Buat sikit-sikit sudahlah," saya pernah ditegur oleh nenek saya.
" Tapi Ah-Mah, saya dibayar untuk mengajar tanpa mengira siapa anak murid saya. Bagi saya, anak Cina, anak Melayu atau anak India sama sahaja. Mereka juga ada hak yang sama untuk belajar." saya cuba menerangkan kepada nenek saya.
Sebagai cikgu, hendak mendapat gaji memang mudah. Masuk kerja jam 7.30 pagi, masuk bilik darjah ikut jadual dan memberi kerja bertulis kepada pelajar sebagai bukti murid belajar. Apabila loceng berbunyi jam 1.30 petang, kita sudah dikira bekerja selama sehari. Pada akhir bulan, gaji tetap akan diterima.
"Kamu tak hendak belajar pun saya tetap diberi gaji," komen cikgu kepada pelajar yang malas.
"Walaupun murid sekelas hanya 27 orang, gaji saya tetap sama seperti mengajar murid 50 orang," komen cikgu yang lain.
Anak murid bukan bodoh. Walaupun semuda 7 tahun, mereka sudah pandai menilai guru-guru mereka; cikgu yang rajin, cikgu yang malas, cikgu yang cantik, cikgu yang baik, atau cikgu yang garang. Kalau mereka suka kepada seseorang cikgu, mereka akan menunggu di depan pintu bilik darjah, malah ada yang akan menjemput cikgu yang disayangi di bilik guru apabila tiba giliran beliau masuk mengajar.
" Teacher, kenapa tak datang ke sekolah semalam? Teacher sakit ya?" begitulah prihatinnya seorang anak murid terhadap gurunya.
Kalau cikgu yang garang atau yang malas tidak masuk mengajar, mereka berpesta sesama sendiri.
"Teacher, Cikgu Samad tak datang ya? Dia kursus berapa hari?" tanya ketua darjah yang tersenyum riang.
Sebenarnya ada murid yang menjadi kurang ajar dan kurang diajar di sekolah kerana cikgu kurang mengajar. Hanya kesedaran bahawa kerja juga adalah satu bentuk jihad dan keikhlasan dalam bekerja yang dapat membantu guru untuk sentiasa memberikan yang terbaik kepada anak didiknya.
Sebenarnya, kejujuran dan keikhlasan seorang guru mengajar dan menyampaikan ilmu hanya boleh dinilai oleh anak muridnya sendiri di samping Allah yang Maha Mengetahui. Kesan hasil pengajaran seorang guru bukan untuk sehari tetapi untuk seumur hidup pelajar berkenaan. Kalau guru silap mengajar murid akan belajar perkara yang salah. Kalau cikgu bersikap tidak adil terhadap pelajarnya, pelajar akan belajar memberontak dan membenci subjek yang diajar oleh guru tersebut. Kalau cikgu tidak mengajar langsung tetapi menerima gaji buta, cikgu sudah membunuh minat pelajar terhadap pelajaran dan menjejaskan masa depannya. Tanggungjawab guru amat berat tetapi pahalanya cukup besar sekiranya guru bijak menggunakan segala peluang yang ada untuk menyampaikan ilmu dan menjalankan dakwah.
"Teacher, ini macam mana nak jawab?"
Saya pening setiap kali diminta menjaga kelas ketika ujian Pendidikan Agama Islam.
Ketika itu, saya belum memeluk Islam tetapi berkat usaha cikgu sekolah rendah dan hidayah daripada Allah swt, saya masih boleh membaca dan menulis dalam Jawi.
" Isi tempat kosong dengan perkataan yang diberi," saya bacakan untuk mereka.
" Teacher pandai baca Jawi," bisik pelajar kepada kawannya.
"Patutnya kamu lebih pandai," saya nasihati pelajar Tahun 2."Kamu orang Melayu beragama Islam, tetapi Teacher bukan. Tetapi Teacher boleh baca dan tulis Jawi, jadi sebagai orang Melayu yang beragama Islam, kamu kenalah belajar Jawi dengan lebih rajin lagi. Jawi ini adalah warisan orang Melayu. Malulah kalau kamu orang Melayu tak pandai Jawi."
Mereka tunduk. Yang pergi sekolah agama tersenyum sesama sendiri. Entahlah. Mungkin ada juga anak murid yang mendoakan saya masuk Islam. Wallahualam.
Hadiah terbesar seseorang guru adalah melihat pelajarnya menjadi orang yang berjaya dan berguna kepada masyarakat. Guru bagaikan mendapat durian runtuh apabila ditegur dengan mesra oleh bekas pelajarnya.
"Tumpang tanya," seorang wanita bertudung litup mendekati saya di universiti.
"Ini Teacher Yeoh kah?" dia teragak-agak.
" Ya, betul." Saya sudah biasa ditegur bekas pelajar yang mengecam saya tetapi itulah kali pertama selepas saya memeluk Islam dan menutup aurat. Saya cuba mengecam mukanya tetapi tidak dapat mengingatinya daripada beratus-ratus pelajar yang pernah saya ajar. Tahun bila? Kelas apa?
"Saya Zamirah, anak murid Teacher di Batu Kurau dulu. Teacher mengajar saya Pendidikan Seni semasa saya di Tahun 4."
MasyaAllah! Itu sepuluh tahun yang lalu. Bagaimana dia boleh mengingati nama saya seterusnya mengecam saya?
"Saya ingat Teacher lagi. Saya nampak Teacher beberapa kali tetapi saya tak berani tegur, takut tersilap orang.Saya kini belajar di sini"
"Mengapa Teacher pakai tudung?" dia terus bertanya.
"Saya sudah masuk Islam," saya menjawab ringkas.
Terus saya dipeluknya erat.