Hari ini saya akan tulis dalam B.M kerana pada pendapat saya, perkara yang disentuh lebih mudah dinyatakan dalam bahasa ini.
Tape apakah yang saya maksudkan?
Bukan tape pelekat tetapi karenah birokrasi yang saling berkait, berlingkaran, dan mengambil masa lama untuk diurus.
Tape pertama: Mendaftar di Jabatan Agama Islam
Saya pergi ke sana dengan dua orang ustazah yang menjadi saksi pengislaman saya tempoh hari. Mereka juga ingin tahu prosedur yang perlu dilalui oleh seseorang yang hendak memeluk Islam. Ya la, bukan semua orang tahu tentang perkara ini. Kebetulan kami tiba agak lewat, maka proses yang dijalani kurang rumit.
Pertama, mendengar penerangan ringkas tentang konsep Islam. Saya angguk faham, mudah apabila dua orang ustazah memberitahu pegawai bertugas bahawa mereka telah memberi penerangan lengkap kepada saya lebih awal lagi.
Kedua, mengisi Borang Maklumat Diri. Sekali lagi dinasihati agar kekalkan nama keluarga.
Ketiga, diberi Surat Perakuan Masuk Islam Sementara yang mempunyai tarikh luput satu bulan. Surat ini penting, satu-satunya dokumen yang membuktikan keIslaman seseorang.
Keempat, diminta hadir kursus Fardu Ain untuk sebulan. Alamak, susah sebab saya tak ada pelepasan daripada pihak universiti, maklum saja semester baru bermula. Alhamdulillah ustazah-ustazah saya menawarkan diri untuk mengajar. Kelonggaran diberi dengan syarat kembali ke situ untuk ditemuduga dalam tempoh sebulan.
Saya pulang dengan satu beg barang saguhati peralatan ibadah untuk saudara baru iaitu sejadah, pakaian sembahyang, terjemahan al-quran, buku asas fardu ain, serta buku asas mengerjakan sembahyang. Terima kasih.
Tape kedua: Kena lulus temuduga untuk dapat Sijil Masuk Islam
Haiyah!! Kena belajar ekspres pula sebelum diakui orang Islam oleh Jabatan Agama Islam. Dalam tempoh 30 hari pula tu. Banyak pula yang kena tahu. Rasa-rasanya bukan semua orang Islam yang lahir dalam keluarga Islam yang boleh lulus temuduga klau disoal semua perkara berikut. Tak bolehkah beri tempoh lebih lama atau kurangkan topik yang perlu diketahui? Tensen jadinya, tambahan saya juga merupakan mahasiswi sepenuh masa.
Saya petik daripada Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Isla Negeri PPinang:
Kaedah Jagaan Dan Pengajaran Orang Masuk Islam Dan Cara Pendaftarannya
(2) Mana-mana orang yang telah menghadiri mana-mana kelas Fardhu Ain di bawah perenggan 5 (1) (b) hendaklah ditemuduga bagi memastikan tahap kefahaman Islam orang tersebut dan soalan-soalan yang perlu dikemukakan ialah –
(a) pengertian Iman dan Islam menurut bahasa dan istilah syarak;
(b) huraian rukum Iman dan Islam;
(c) pengertian bersuci dalam Islam seperti Istinjak, jenis-jenis air dan jenis najis/cara- cara mandi wajib@ mandi hadas besar;
(d) pengertian wudhu’ dan rukun-rukunnya;
(e) cara-cara melaksanakan sembahyang 5 waktu dan sembahyang Jumaat;
(f) Bacaan-bacaan wajib dalam sembahyang (Tabiratul Ihram, Surah Al-Fatihah, Tahiyat/Tasyahud dan Taslim/Salam)
(g) Pengertian hukum dan pembahagiannya.
Tape ketiga: Dapatkan Sijil Masuk Islam
Alhamdulillah saya lulus. Disuruh oleh ustaz untuk membaca Tahiyat akhir daripada ingatan. Malangnya pegawai yang sepatutnya menandangani Sijil Masuk Islam saya bercuti dan tiada pegawai yang diamanahkan menggantikan tugasnya. Terpaksalah saya jadi orang Islam tak berdokumen pengenalan Islam selama dua minggu . Itu pun syukur kerana saya sudah bertudung. Andai kata ditakdirkan maut dalam keadaan tiada dokumen dan mayat diambil oleh keluarga saya yang bukan Islam, jadi pula kes rebut mayat. (huhuhuuu). Selepas menelefon ke sana ke mari meminta bantuan, barulah sijil yang ditunggu-tunggu sampai ke tangan.
Tape keempat: Surat Akuan
Terpaksa pula mencari Pesuruhjaya Sumpah untuk mengangkat sumpah bahawa saya telah memeluk agama Islam, dan bahawa saya telah menggugurkan penggunaan nama lama untuk dikenali dengan nama Islam saya dalam segala perkara. Wajib ada surat akuan ini barulah permohonan unutk kad pengenalan baru boleh diproses. Khidmat ini tidak disediakan di Pejabat Agama Islam.
Oleh sebab kesibukan studi dan kesuntukan masa untuk mendapatkan Pesuruhjaya Sumpah, akhirnya Sijil Masuk Islam dari negeri lain, Surat Akuan dari negeri lain.
Tape kelima: Borang Permohonan Pindaan Butiran Dalam Kad Pengenalan
Sudah tentu saya mahu membuat kad pengenalan yang mempunyai nama baru saya dan perkataan Islam tertera di bawah gambar foto. Lagipun tak elok gambar lama yang tidak menutup aurat dilihat setiap kali saya mengeluarkan MyKad. Saya sudah mulai letih menerangkan mengapa saya memeluk Islam setiap kali orang membaca nama lama saya dan melihat saya memakai tudung. Masyarakat kita masih belum bersedia menerima wanita bernama Cina yang memakai tudung, melainkan dia rakyat negara China.
Borang ini terhad di Jabatan Agama Islam. Saya minta juga kerana hendak menjimat masa dan tenaga pergi ke Pejabat Pendaftaran Negara, dan diberi borang terakhir dalam simpanan mereka. Borang ini perlu dilengkapkan dan dihantar kepada Bahagian Pendaftaran Negara di Putrajaya. Kalau pergi ke Pejabat Pendaftaran Negara yang terdekat pun, borang yang sama tetap perlu diisi. Dokumen-dokumen lain perlu dikepilkan sekali, iaitu:
- Surat Akuan Berkanun Asal
- Salinan Sijil kelahiran
- Sijil Memeluk Agama Islam
- Wang Pos RM10
Saya diberitahu oleh seorang saudara baru ketika menerima wang sumbangan zakat bahwa MyKad barunya mengambil masa selama 6 bulan untuk siap. Saya tak mahu tunggu begitu lama, jadi pada waktu cuti, saya turun sendiri ke Putrajaya. Alhamdulillah walaupun buat kali pertama sampai ke sana, dengan bantuan kawan saya Ija, saya berjaya menghantar sendiri borang ini dengan dokumen yang diperlukan kepada pegawai bertugas. Permohonan saya diluluskan dalam tempoh sebulan tetapi surat tiba dua bulan kemudian. Tak kisah lah, dua bulan lebih baik daripada enam bulan.
Tape keenam : Menunggu MyKad baru
Kena tunggu dua bulan lagi untuk siap. Sabar sajalah dan senyum simpul setiap kali apek teksi tanya, “eh, lu Cina atau Melayu ahh?” bila nampak pas masuk ke dalam kampus saya yang masih bernamakan nama lama. Nak senang, saya jawab, “Apek, bapa saya Cina.” “Oh, jadi lu masuk Melayu kah?” Nak selamat, senyum tak perlu jawab…
Alhamdulillah sekarang MyKad baru dah dapat, pas baru dah dapat. Lega sungguh kerana urusan seharian yang memerlukan pengenalan diri seperti urusan bank, paspot, dan sebagainya mudah dilakukan menggunakan MyKad baru. Tak banyak soal lagi.
Selepas melalui semua tape ini, barulah saya sedar mengapa masih terdapat saudara baru yang masih belum mengutip Sijil Masuk Islam mereka dari Pejabat Agama Islam. Mengapa ada yang dikatakan murtad, dan ada yang masih belum diketahui pengislamannya oleh ahli keluarga kerana pertukaran dokumen pengenalan diri merupakan pilihan individu itu sendiri. Juga mengapa masih ramai yang tidak menukar kad pengenalan untuk menyatakan secara tulis bahawa mereka sudah beragama Islam, kerana tak tahu prosedur dan tak dibantu. Sebenarnya kalau tak umumkan pertukaran agama, tiada siapa yang tahu atau ambil kisah, sehingga orang berkenaan meninggal dunia di hospital. Tape itu satu proses yang rumit, panjang dan lama. SEMUANYA KENA URUSKAN SENDIRI.
Two roads diverged at thirty-five, and I - I took the one less travelled by, and that has made all the difference.
Monday, December 3
PANJANGNYA TAPE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Assalamualaikum Nur Aliya,
ReplyDeleteTerlalu byk tape yg perlu di lalui ya. Sepatutnya kerajaan memudahkan lagi proses ini,terlalu byk sgt kerenah birokrasi.
Apa2 pun syukur dan tahniah sdr berjaya melaluinya.
*terima kasih link kan blog sy disini
Waalaikumussalam abg KS,
ReplyDeleteBiasa dah, bukan saja tape di pejabat agama & kerajaan saja, mana-mana pun sama. Hanya kesabaran yang membantu mengurangkan stres.
*sama-sama kasih.
assalamualaikum wbt.. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan sisa-sisa hidup di dalam iman dan taqwa, semoga segala rintangan tidak mematahkan iman. Ingatlah disebalik tangan manusia adalah 'tangan' Allah
ReplyDeleteWaalaikumussalam wbt,
ReplyDeleteTerima kasih abechique. Ya benar, bukankah di sebalik tangan manusia sudah tertulis perkataan 'Allah'?