Friday, May 31

PAPERWORK DAN ONLINEWORK

"Senanglah kerja cikgu, boleh balik 1.30 petang."
Hah?! Siapa yang kerja sampai jam 1.30 petang sekarang ni melainkan cikgu-cikgu yang mengajar di sekolah dua sesi? Itupun belum tentu tepat 1.30ptg mereka boleh balik ke rumah sebab mungkin ada mesyuarat yang melibatkan mereka, aktiviti kokurikulum yang mereka perlu hadir semula ke sekolah 2 jam kemudian.
Masyarakat amnya masih menganggap para guru bekerja hanya separuh hari. Oh mungkin itu hakikatnya 20 tahun lalu (masa saya mula masuk perkhidmatan, memang punch-out 1.30 ptg) tapi sekarang itu tinggal kenangan. Tambah jika mengajar di sekolah menengah. Waktu balik 2.40 petang. Jikalau sekolah tersebut ada kelas khas seperti vokasional, tamat kelas jam 3.10 petang.

Saya cukup marah bila ada pihak yang menyamakan kerja guru zaman dulu dengan sekarang. Contohnya,
" Dulu orang kerja cikgu gak, anak 6 orang tapi boleh buat part-time lagi. Sekarang ada pelbagai kemudahan untuk cikgu tapi banyak kerja cikgu tak beres-beres pula."
Itu dulu. Semua buat manual. Nak tipu pun tak ada orang tahu, tak buat pun ada orang tak kisah langsung. Janji bila guru besar minta, paperwork itu dah ada. Cikgu pergi lewat pun hanya pengetua yang marah sebab belum ada punch-card di sekolah. Kertas ujian buat sehari sebelum periksa pun orang tak marah asalkan semua pelajar dapat diuji mengikut jadual peperiksaan ( cikgu gelek kerta soalan sendiri secara manual).
Zaman serba canggih ni tak mungkin lagi cikgu begitu boleh terlepas. Kena ada di sekolah sebelum 7.25 pagi, lebih awal lebih bagus sebab perlu berbaris depan mesin punch-card ( tak kiralah cikgu tinggal di mana). Semua soalan peperiksaan perlu disiap sebulan lebih awal sebelum dihantar ke bilik cetakan untuk dicetak dengan mesin. Semua dokumen bertulis mesti ada fail sendiri dan disimpan di bilik-bilik khas untuk semakan berkala.
Dulu tak ada sistem data markah peperiksaan dalam internet. Sekarang ada. Cikgu-cikgu wajib key-in secara online, siap kena ingat password masing-masing. Jika setahun 3 kali periksa, masuklah ke laman web itu sekurang-kurangnya 3 kali juga.
Dulu semua rekod peribadi pelajar isi dalam kad biru. Sekarang perlu masukkan secara online juga. Cikgu kelas juga yang kena key-in. Siap kena marah lagi jika lupa masukkan data pelajar baru sebab semua data online itu ada link ke unit lain.
Dulu ajar PJ senang. Suruh lari dan main bola saja. Sekarang perlu jalankan ujian kecergasan 2 kali setahun. Lepas tu isi borang bagi setiap pelajar tingkatan 1 dan 2, beri kepada guru kelas untuk diisi secara online bagi PBS. Kerja guru kelas lagi.

Dulu ajar ikut sillibus sahaja, bebas buat pengayaan dan pemulihan untuk kelas masing-masing, asalkan pelajar boleh jawab soalan peperiksaan dengan baik semasa peperiksaan. Sekarang ada pula PBS dengan deskriptor subjek masing-masing. Wajib jalankan PBS untuk semua evidens, tak kiralah pelajar itu boleh lulus atau tidak. Cikgu juga yang kena rancang dan siapkan bahan untuk PBS sebab tak boleh ambil terus daripada buku di pasaran. Cikgu juga kena beri amaran kepada pelajar kaki ponteng untuk hadir semasa PBS dijalankan dalam kelas sebab semua pelajar perlu diuji dalam PBS. Jika tak hadir, dia perlu disuruh buat juga pada hari lain (tambah pening kepala cikgu sebab kena luangkan masa P&P untuk uji dia pula).
Syukur untuk Bahasa Inggeris hanya 24 evidens yang perlu diuji. Untuk subjek lain? Fulamak, ada sampai 100 evidens... memang fening.
Dulu dikatakan akan kurang beban paperwork di sekolah. Hahahaaa..lawak benar ni. Dengan bermulanya PBS, makin banyak kertas yang digunakan. Nak uji lisan pun kena ada evidens bertulis daripada cikgunya menyatakan si Suparman bin Autaman sudah diuji B1 DL1 E1 dan lulus. Jikalau satu tingkatan ada 200 pelajar, sudah berapa keping kertas digunakan untuk satu evidens?
Alamak! Mana pelajar si Ana ni? Semak punya semak, rupa-rupanya namanya belum dikemaskini dalam sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) yang ada link dengan SPPBS. Sudah maklumkan kepada guru kelasnya sebab hanya guru kelas yang boleh betulkan kesilapan dalam APDM tetapi sehingga hari ini namanya masih belum ada dalam senarai kelasnya. Takde namanya, tak boleh key-in evidens yang dia lulus.. adoiii satu masalah pula!

Kerja secara online tetap perlu dilakukan walaupun menggunakan line internet rumah. Ha, dah pening sungguh ni. PBS, SAPS, APDM, NILAM - semua ada website tersendiri dan ada password masing-masing untuk seorang cikgu. Hari tu harddisk lama saya mengamuk, terus mati.. habis semua password saya hilang bersama-samanya. Susah juga untuk saya cari semula semua password tu, kemudian baru nak key-in setiap satu evidens bagi PBS, semak data pelajar dalam kelas dan ibubapa mereka, keyin data bilangan buku yang dibaca oleh setiap pelajar dan sebagainya. Ni pun baru kerja online melibatkan pelajar. Belum masuk lagi website yang perlu diisi oleh setiap warga bergelar cikgu : e-pangkat, e-operasi, splg, dll.

Bukankah mereka dah hantar guru pembantu ke sekolah?
Hah? Guru pembantu? Siapa? Mana? Betulkah untuk membantu cikgu atau membantu di pejabat sekolah saja? Sedangkan ada sekolah masih belum cukup lagi bilangan guru terlatih dan memerlukan khidmat guru GSTT yang kadangkala ibarat chipsmore (sedang menunggu posting, ada pula berhenti selepas 2 bulan kontrak), saya berpendapat khidmat guru pembantu mungkin hanya wujud di sekolah-sekolh elit tertentu sahaja :P


"Sudahlah tu. Kan cikgu sekarang dapat gaji tinggi?"
Ya, benar. Jikalau dibandingkan dengan gaji saya mula-mula kerja dulu, memang gaji cikgu sekarang boleh 'tahan la'. Namun, beban kerja juga bertambah. Harga barangan, dan bil harian pun dah melambung naik, tak rasa pun gaji tu.
Gaji kakitangan kerajaan lain pun naik tapi samakah beban kerja mereka dengan kerja cikgu?

Ada cikgu yang terpaksa berulang-alik sejauh 30 km atau lebih, dari rumah ke sekolah setiap hari sebab tak berjaya dapat bertukar ke sekolah yang lebih dekat. Tak boleh claim perjalanan pula tu.
Cikgu tak dapat pun sebarang diskaun daripada TM walaupun semua cikgu perlukan perkhidmatan internet sepanjang masa, termasuk di rumh masing-masing sebab sewaktu di sekolah, cikgu sedang sibuk mengajar dan menyemak buku latihan pelajar.
Cikgu sekarang juga, macam di sekolah saya, terpaksa guna printer sendiri untuk semua kerja printing kertas ujian dan bahan P&P sebab "kerajaan sudah berikan elaun untuk kamu, belilah printer dan cartridge sendiri."
Cikgu sekarang kerja dari 7.30pagi hingga 2.45 petang setiap hari, tak termasuk hari yang ada mesyuarat yang tamat jam 4 atau 5 petang. Tak termasuk hari ada latihan sukan, kelab, permainan dan sebagainya yang tamat 6 petang.
Cikgu terpaksa jadi pemeriksa kertas PMR, SPM dan STPM atau dipaksa menjadi invigilator di dewan peperiksaan SPM dan STPM semasa cuti sekolah dan hanya dapat bercuti seminggu bersama keluarga sebelum perlu balik ke sekolah untuk tugas rasmi selepas cuti krismas (siapa kata semua cikgu dapat cuti panjang akhir tahun?).


Komplen?
Ya, mengapa tidak? Komplen sebab mahukan perubahan yang lebih positif, supaya pelajar dalam kelas mendapat cikgu-cikgu yang lebih sihat, kurang stres dan boleh merancang P&P dengan lebih baik (sebab ada lebih masa).
Komplen bukan semestinya buruk. Bayangkan jikalau tidak komplen kita sakit dan di mana, bolehlah kita sembuh dengan baik, dan doktor berikan ubat yang sesuai?
1 Aspirasi, 1 Agenda... memang aspirasi semua guru adalah untuk melihat kejayaan semua pelajar, dan agar mereka mendapat pembelajaran yang seimbang.
Nak tambah juga, satu harapan - kurangkan paperwork.
Selamat Hari Guru untuk semua - setiap hari adalah hari guru.

Tuesday, May 7

SAYA CINA MUSLIM, APA MASALAH AWAK?

"Babi!" kata itu keluar dari mulut seorang pelajar lelaki Tingkatan 2.
"Babi tak salah apa-apa..Babi binatang kejadian Allah juga," saya tegur dia dengan lembut.
Dia memandang saya satu macam tapi tidak bersuara lagi.
"Mengapa orang Melayu suka marah orang dengan gelaran babi?" saya tanya pelajar-pelajar Melayu lain. "Itu ajaran Islamkah, menggelar manusia lain dengan nama binatang? Ibu bapa kamu kurang ajar kamu atau kamu sendiri yang seronok gelar orang macam itu?"
Mereka tiada jawapan.
"Cikgu, jangan kata ibubapa saya kurang ajar!" jawab seorang pelajar yang kelihatan agak marah.
"Saya tak tuduh ibubapa kamu kurang ajar, saya tanya adakah kamu suka panggil orang lain itu 'babi sebab ibubapa kamu kurang meng-ajar kamu untuk guna bahasa yang lebih baik?"
Semua diam tak menjawab. Tapi saya dan mereka tahu, 'babi' itulah perkataan paling 'teruk' yang mereka tahu untuk memanggil orang yang dibenci.
Apa salah babi sehingga binatang yang Allah jadikan itu dianggap begitu hina oleh orang Melayu amnya? Begitu juga dengan anjing; menggelar seseorang itu babi dan anjing merupakan penghinaan paling teruk boleh diberikan pada orang lain.
Itukah ajaran Islam untuk gelar orang lain 'babi' atau 'anjing'?
Tentu bukan, tapi mengapa ada orang Melayu Islam yang suka guna istilah itu bila marah orang?

Saya dah lama tak baca akhbar bahasa Melayu. Bosan dengan pelbagai isu yang cuba diketengahkan. Lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan isu bangsa dan agama.
Hello saudara seagamaku.
Tanahair kita dah berapa tahun merdeka? 5 tahun? 55 tahun?
Mengapakah masih ada orang yang menganggap semua orang bangsa Melayu = Islam= dapat masuk syurga, semua orang bangsa Cina dan India = kafir = masuk neraka?
Sudah berpuluh ribu rakyat Malaysia berketurunan Cina Muslim tapi masih ada yang beranggapan semua orang Cina itu kafir dan makan babi. Alangkah kasihannya dia itu sebab masih tak sedar perkembangan semasa!

Bila ada orang Islam Melayu yang menggelar dengan kesat seperti 'Cina babi, Cina bangsat', apakah perasaan saudara saudari sekiranya anda sememangnya berbangsa Cina seperti saya? Saya, begitu juga saudara Islam bukan berbangsa Melayu di Malaysia, tidak minta untuk dilahirkan dalam keluarga bukan Islam. Allah yang tentukan begitu, dan syukur alhamdulillah kami yang kini seagama dengan orang Melayu lain di bumi bertuah ini mendapat hidayahNya untuk memeluk Islam.

Tak sedarkah media massa dan sebilangan warganegara ini akan kewujudan kumpulan rakyat yang beragama Islam tetapi bukan berbangsa Melayu, dan berstatus bukan bumiputera? Kami golongan saudara baru yang tidak mahu me-melayukan diri kami dan mahu kekal sebagai orang India muslim, cina mslim, kadazan muslim, bidayuh muslim dan sebagainya. Kami bersyukur diberi hidayah olehNya dengan memeluk Islam sebagai agama kami. Tapi setiap kali ada pihak tertentu melaungkan, 'demi bangsa dan agama' saya geleng kepala. Bukan cemburu, oh bukan cemburu. Cuma saya tahu slogan itu bukan untuk diri saya dan saudara mualaf saya yang lain. Saya juga sedih sebab di zaman ini, masih wujud assabiyah di kalangan muslim di negara ini. Kasihan sebab itu juga yang cuba dihapuskan oleh Rasulullah saw.

Maka, bila ada pihak tertentu mendakwa orang Cina itu dan ini, saya terasa hati juga terutama bila saya tahu bukan semua dakwaan itu benar. Ingatlah, mahu atau tak mahu, segala perbuatan dan percakapan kita sebagai orang Islam akan dinilai oleh orang bukan Islam. Kita adalah cermin agama kita iaitu Islam. Jikalau kita berbahasa teruk, berkelakuan buruk, orang bukan sahaja akan kutuk diri dan keluarga kita, bahkan agama kita juga. Islam juga yang akan mendapat nama buruk. Maka dengan ini jugalah, alQuran mmberi garis panduan kepada umat Islam supaya kita tidak mengutuk agama lain dan cara sembahan mereka.

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (al-An'am [6:10]).

Maaf sekiranya tulisan saya ini menyinggung mana-mana pihak tapi saya tidak boleh mendiamkan diri dan menganggap ini masalah politik semata-mata. Apabila ada pihak yang membuat 'general perception' bahawa orang Cina = makan babi [ tahukah ramai Cina adalah vegetarian?] = menyembah tokong [ ada Cina beragama kristian] = kaya [ jika semua Cina kaya, along takde bisnes] = kafir [ ramai kenalan saya di Selangior dan K.Lumpur adalah Cina Muslim] = tidak bersyukur sebab tinggal di Malaysia dan menolak parti politik tertentu, saya sebagai rakyat berbangsa Cina dan beragama Islam perlu membetulkan kesilapan itu.

Apa Cina mahu? Apa India mahu? Apa Melayu mahu? Apa semua rakyat negara ini mahu?
Kami semua mahukan keamanan. Kami inginkan kemakmuran yang boleh dikongsi bersama. Kami idamkan penghapusan korupsi sebab sejarah lama di tanah besar China mengajar kami bahawa korupsi di peringkat pentadbiran boleh menghancurkan negara. Kami mahu dilayan sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat, dan bukan disuruh 'balik Cina! Balik India!' hanya sebab menyuarakan pendapat yang tidak popular di kalangan bangsa tertentu. Kami tidak mahu dilayan seolah-olah tidak boleh berfikir sendiri dengan disuakan lambakan poster yang berat sebelah.Sebab itulah survival parti politik yang tertentu kini tenat sebab ditolak oleh mereka yang bencikan rasism. Marahkan orang Cina amnya bukannya jalan penyelesaian untuk krisis tertentu. Itu hanyalah 'excuse' yang dicipta untuk mengelak daripada mengakui kelemahan sendiri.Menuduh orang Cina amnya sebagai bangsa yang tidak tahu membalas budi hanyalah mencerminkan kecetekan mindanya.

Apa kena mengena hal ini dengan saya, seorang Cina Muslim?
Sudah tentu ada. Sebab saya masi berbangsa Cina walaupun kini saya menyembah Allah dengan arah kiblat yang sama dengan orang Melayu yang lahir Islam. Keistimewaannya, saya dapat menyelami perasaan dan sentimen bangsa saya lebih baik daripada mereka yang hanya melihat dari tepi, dan membuat kesimpulan yang tak tentu betul itu.
Ada yang tanya saya - adakah artikel itu pendapat orang Melayu umumnya? Orang Melayu semua fikir macam itukah, bila beri minta balas; bila tak undi pihak tertentu dituduh rasis?
Hmmm, bukankah negara kita Malaysia ini asyik dijulang sebagai negara demokrasi? Rakyat bebas membuat pilihan dan mengundi siapa sahaja yang menjadi calon pilihanraya? Mengapa pula sekarang bila ada pihak yang kurang kerusi empuknya, dituduhnya pula hanya bangsa tertentu sahaja sebagai rasis?

'Itukah ajaran Islam?' tanya seorang kawan bukan Islam. 'Bila pilihanraya nak diadakan, disuruh orang undi calon tertentu supaya selamat bangsa dan agama, siap dengan manifestonya tersendiri untuk hanya bangsa tertentu sahaja diberi 75% tempat di ipta. Itu bukan rasis kan? kan? kan? ' soalnya yang mahir berbahasa Melayu.
'Itukah ajaran Islam? Bila tamat pilihanraya, ada satu bangsa yang dijadikan kambing hitam sebab menolak parti tertentu. Siap dituduh rasis pula.'
Saya hanya mampu memberi ayat-ayat tertentu dalam alQuran yang menyatakan perlu berlaku adil pada semua orang. Dakwah kepada keluarga dan rakan nonMuslim menjadi semakin mencabar apabila orang Islam sendiri menyulitkannya dengan tuduhan rasis begitu rupa.

Saya benci dan menolak rasism. Saya cintakan keadilan.
Saya ada anak murid pelbagai bangsa dan agama - Melayu, Cina, India, Chindian,Kadazan, dan lain-lain. InsyaAllah, saya tak pernah amalkan prejudis terhadap mereka walaupun mereka anak orang Islam, misalnya memberi markah lebih hanya berdasarkan bangsa pelajar itu [saya tahu ada yang lakukannya, mereka jawablah depan Allah nanti]
Tapi untuk seketika ini, menjadi seorang warganegara Malaysia berbangsa Cina dan beragama Islam bukanlah satu gabungan yang mudah dipikul.

Surah al-maaidah ayat 8 bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

2 BULAN KEBELAKANGAN INI

Assalamualaikum,
Sudah bersawang nampaknya blog ini sebab lama tak update. Bukan tak mahu tapi pelbagai masalah dan urusan kerja tidak membolehkan saya duduk diam seketika untuk menaip pada papan keyboard komputer.
Tambahan pula, komputer lama ini yang amat berjasa kepada saya dihantar untuk dibaiki pada bulan lalu ; harddisk rosak setelah 7 tahun digunakan.

Alhamdulillah, banyak urusan telah berjaya diselesaikan dan selebihnya hanya perlu sedikit masa lagi, insyaAllah untuk dibereskan. Penyediaan bahan untuk pelajar kelas-kelas SPM dan penyediaan bahan PBS untuk Tingkatan 2, serta pengumpulan data NILAM juga dilakukan secara berperingkat supaya saya tidak terlalu stress dan menyebabkan masalah darah tinggi yang masih ada selepas kelahiran Ikram ini terus meningkat. [akan saya ceritakan tentang PBS ini nanti, insyaAllah]

Saya juga mengikut perkembangan politik tanahair semenjak pembubaran parlimen baru-baru ini. Alhamdulillah pilihanraya ke13 berjaya dijalankan dalam keadaan selamat. Saya akui, saya agak risau dan telah memastikan cukup bekalan makanan dan keperluan anak-anak di rumah untuk sekurang-kurangnya seminggu selepas pilihanraya. Tak kisahlah apa orang lain nak kata; bagi saya, keselamatan keluarga dan memastikan keperluan mereka cukup penting sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Hmm, tak perlulah cakap tentang politik di blog ini. Sudah banyak blog lain yang membincangkan hal politik pra dan pasca pilihanraya.



Saya doakan semua kawan-kawan yang membaca blog ini dalam keadaan sihat walafiat dan ceria selalu. Semoga Allah berkati anda semua dan permudahkan segala urusan, ameen.








p/s: Sesiapa tahu cara terbaik untuk halau/tangkap tikur besar di rumah? Seekor tikus pun sudah cukup membuatku pening kepala..