Saturday, March 30

SATU LARUT MALAM DI KELANTAN

"Drive sampai Jeli.." saya kuatkan semangat. Suami telah letih memandu dan saya mengambil keputusan mengambilalih tugasnya sebagai driver.
Percutian 2 hari seolah-olah tidak mencukupi, dan negeri Kelantan seperti tidak mahu kami pulang ke Penang. Letih selepas seharian berpusing-pusing sekitar bandar KB, kami bercadang meninggalkan KB pada jam 5 petang. Ikram dan Ihsan pun sudah keletihan dan tertidur dalam kerusi keselamatan anak dalam kereta.
Kekurangan papan tanda menunjukkan arah di bandar KB sedikit sebanyak menyebabkan kami yang telah bertahun-tahun tidak menziarah ke Kelantan tersilap selekoh. Kami terlencong sehingga ke Kuala Kerai sebelum berjaya berpatah balik ke Machang.
Walaupun sudah malam, kenderaan yang menyusuri jalan ke arah utara itu masih banyak. Saya tetap memandu Viva dengan kelajuan 60-70km/j. Maklumlah jalan kampung dan waktu malam pula.
Saya mengekori kereta di hadapan dengan jarak yang selamat.
Tiba-tiba satu dentuman kuat kedengaran dari belakang kereta.
"Tayar masuk lubang," saya menganggak lalu memberitahu suami yang hanya mendiamkan diri. Dalam hati, saya berdoa agar tiada kerosakan teruk pada tayar yang baru ditukar dan dipasang sport rim baru pada
tahun lalu.
Kira-kira 100 meter kemudian, saya mendapati susah untuk mengawal stereng kereta terutama di selekoh.
"Alignmen lari la 'Bang.." saya bersuara lagi, sambil menguatkan genggaman pada stereng. Agak mencabar juga sebab jalan yang dilalui itu bengkang bengkok dan kenderaan berderet di belakang.
200 meter lagi, stereng mula bergoncang sambil kedengaran bunyi dari bawah kereta. Saya menekan brek, memberi isyarat ke kiri lalu menghentikan kereta berdekatan sebuah pondok perhentian bas.
"Kena henti.. Abang, tolong check tayar belakang, sat.. " Hati saya mula berdebar-debar.
Suami saya yang masih mengantuk itu segera membuka pintu kereta.
"Lya, tayar belakang pecah!"
Ya Allah!
Saya segera keluar. MasyaAllah, memang tayar kiri itu pecah. Tinggal sport rim saja yang menampung berat kenderaan.
"Drive terus ke gerai sana," kata suami sambil menunjuk ke arah deretan gerai yang sudah ditutup di tepi jalan. Tidak jauh dari situ, kelihatan sebuah gerai makan masih dibuka.
"Tak boleh tutup enjin pula, anak-anak tengah tidur," kata suami sambil membuka boot kereta untuk mengeluarkan peralatan.
Dalam kami tengah kalut, tiba-tiba datang sebuah motosikal.
"Apa hal?" tegur seorang lelaki berbadan tegap yang saya perhati duduk bersendirian di pondok perhentian bas tepi jalan itu tadi.
"Tayar pecah," jawab suami saya.
"Nak balik mano?" tanya lelaki itu lagi.
"Nak balik Penang, dari Kota Bahru."
"Saya Cikgu Laen," lelaki itu kenalkan dirinya. "Saya cuba cal tauke tayar."
"Mana tempat ni?" saya nampak papan tanda 'Wilayah sempadan Tanah Merah.'
Kampung itu terletak kira-kira 10km dari pekan Jeli.
Walaupun susah hati dengan musibah yang tidak disangka-sangka itu, kami tetap tenang sebab kehadiran beberapa orang good samaritan itu.
Cikgu Lan berjaya mendapatkan bantuan kawan-kawannya. Ikram dan Ihsan yang bangun tidur tidak lama kemudian juga tidak meragam walaupun air cond kereta telah dihentikan.
Alhamdulillah, tiga orang yang tidak pernah kami kenali sebelum itu tampil membantu kami sekeluarga pada malam itu. Cikgu Lan telah membawa tayar tambahan dari kereta saya untuk diisi angin. Kemudian Encik Jefri, yang juga mekanik telah membantu menukar tayar dan Cikgu Lan juga memandu mengiring kami ke kedai tayar. Kasihan tauke kedai tayar, dia dikejutkan dari tidur untuk membantu menggantikan tayar yang pecah itu dengan sebiji tayar baru.

Jam 12.30 tengah malam, kami sekeluarga selamat meninggalkan kedai tayar.
Terima kasih tidak terhingga kepada Cikgu Razlan, yang bertugas di SMK Jeli kerana sudi meluangkan masa berjam-jam bersama kami. Dia hanya meminta diri untuk pulang apabila tayar baru berjaya dipasang pada kereta saya. Hanya Allah yang dapat membalas jasanya.

Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana.
Dia yang menentukan segalanya. Dia juga yang telah merancang sebagai ujian kami.
Apabila ditanya, Cikgu Lan yang berpakaian sukan itu menerangkan bahawa dia berada di kawasan tersebut pada malam itu sebab permainan futsalnya dibatalkan.
Wang yang ada dengan kami juga cukup-cukup untuk membayar harga tayar baru. [syukur, sebab atm agak jauh]
Saya tidak berani membayangkan apa yang berlaku sekiranya tiada orang datang membantu kami. [kenderaan-kenderaan lain yang lalu di sepanjang jalan itu tidak berhenti walaupun kami memasang lampu kecemasan]

Terkejut dengan kejadian itu, suami saya membuat keputusan memandu semula sementara saya duduk di sisi sebagai co-driver. Kami membuat keputusan meneruskan perjalanan yang tergendala itu walaupun waktu sudah jauh malam. Lagipun bukan mudah mendapatkan penginapan yang selesa pada tengah malam pada tengah malam di kawasan itu, lebih-lebih lagi dengan dua anak kecil.
Alhamdulillah, kami sekeluarga selamat tiba di rumah jam 5.30 pagi hari Jumaat.

Walaupun agak kecewa sebab gagal berjumpa kawan-kawan sebagaimana yang telah dirancangkan lebih awal, syukur Allah datangkan kawan-kawan baru yang sanggup bersusah payah membantu kami sekeluarga. Syabas orang Kelantan :)

Pengajaran dari pengalaman ini:
1. Jangan panik jikalau berlaku masalah semasa memandu
2. Hentikan kenderaan rosak sekiranya boleh di tempat yang ada orang dan bercahaya lampu
3. Pastikan peralatan lengkap dalam kereta untuk masa kecemasan termasuk spanar memukar nut sport rim.
4. Teruskan berdoa untuk bantuan Allah dan hambaNya

8 comments:

  1. alhamdulillah... bantuan Allah datang dalam pelbagai bentuk dan cara.

    ReplyDelete
  2. Such an incident will leave an indelible mark in your memory of that visit. Way back 60 ago I had a trip to Penang by air. To return home to KT I took the normal route by Kelantanese, by RAIL via Padang Besar,Haadyai to Tumpat where my family was waiting. Incidents encountered by a small boy travelling alone on that first ever rail journey are not likely to be forgotten.

    ReplyDelete
  3. Syukur Alhamdulillah Alya sekeluarga selamat!

    ReplyDelete
  4. Jalan raya di Jeli memang merbahaya. Namun itu sahaja cara kita ke pantai timur jika datang dari negeri Utara dan Perak. 2 tahun lepas pun macam ni.
    Saya pun baru pulang dari Kota Bharu. Pergi hari Khamis 28/3 balik pada Jumaat keesokannya. Alhamdulillah selamat pergi dan kembali. Beberapa kali gak kereta terlambung masuk lopak-lopak ditengah jalan.
    Alhamdulillah segalanya selamat

    p/s: suami isteri dg44 dan ds46(atau 54) pi jalan naik viva je..? Kurang-kurang city atau vios. Barulah selesa kit. Hehehe...

    ReplyDelete
  5. Hikaru Yu, Ahyad, Haji Zainol Abideen, Al-Hussaini.. ya, alhamdulillah. Tak dapat bayangkan bagaimana sekiranya kejadian berlaku di tengah hutan pada malam itu.

    joe penang.. ameen, nak juga naik DG54.. kami naik viva je la sebab anak-anak masih kecil, boleh muat lagi, hahaha.. lagipun dah cacat selepas memandu kereta auto ni, tak pandai drive kereta manual suami dahhh..

    ReplyDelete
  6. Pakcik Hassan,
    I remember my first train ride back in late 70s. Just from Sg Petani to Alor Setar but it was memorable nonetheless. We are training both sons to be accustomed to long journeys by car. One thing for sure, they enjoy exploring the hotel rooms :)

    ReplyDelete