Friday, December 14

BOLEH PUKUL KAH?

"'Bang, tolong Yang tukar lampu tu, ya," kata Dina kepada suaminya untuk kali keempat.
Lampu kalimantan di ruang dapur rumahnya telah padam semenjak tiga hari yang lalu. Dina tak berani nak tukarkan lampu itu seorang diri, lagipun dia tidak tahu caranya. Selama tiga hari itu juga, dia menyediakan makan minum dalam keadaan gelap sebab suaminya sibuk dengan kerja. Lampu baru telah pun dibeli; sekadar menunggu orang untuk memasangnya sahaja.
Suami Dina, Karim sekadar mengangguk. Selesai sahaja minum petang, Karim terus keluar ke pintu pagar. Hendak berangkat ke pekan Tampin pula.
"Bang, lampu tu..." Dina memanggil suaminya.
Langkah Karim terhenti. Dina memanggil sekali lagi dengan suara yang lebih kuat.
Dina melihat suaminya berpatah balik. Ahh, lega hatinya. Sangkanya panggilannya berhasil - dapur akan kembali terang dengan cahaya lampu.
"Kenapa jerit-jerit tu? Tak malukah dengan jiran-jiran? Isteri apa awak ni, jerit-jerit panggil suami!" Karim dengan marah menyergah isterinya.
"Dina panggil Abang, sebab lampu di dapur tu belum dipasang baru. Jika Dina tak jerit, Abang takkan balik sini. Lampu dapur tu dah berapa lama rosak, masih tak diganti.Susah Dina nak masak dalam gelap. Nak panggil tukang letrik, takut sebab Dina seorang di rumah. Bila Abang ada di rumah, Abang tak tolong pasang."
Pang!
Karim menampar lengan kiri Dina dengan kasar.
"Lawan lagi! Asyik-asyik lawan cakap suami. Awak tu isteri, kena taat pada suami, dengar cakap suami, bukannya lawan cakap suami!"
"Dina minta Abang tolong pasangkan lampu dapur saja, bukannya tak taat! Camnikah ajaran Islam, bila isteri buat salah sikit jer, suami boleh pukul sesuka hati?"
Wajah Karim semakin gelap, Tangan kanannya sekali lagi diangkat, tetapi kali ini Dina bertindak lebih cepat. Kerusi meja makan segera ditolaknya ke arah Karim, sehingga jatuh ke atas kakinya.
Dina mendiamkan diri. Sakit hati atas tindakan suaminya itu melebihi sakit pada lengannya yang mula bengkak dan lebam itu. Tapi dia tahu, jikalau dia terus membalas kata-kata suaminya itu, mungkin dia akan terus dipukul. Lebih baik diam dulu.

Rita mengerutkan muka. Telefon bimbitnya terus berdering. Dia tahu itu pasti panggilan daripada ibunya di kampung. Dia juga tahu suaminya, Wahid tidak menyukai ibunya itu. Rita sedar semenjak dia berkahwin dengan Wahid, ibunya sering menelefonnya meminta bantuan kewangan. Maklumlah ibunya tidak bekerja, bapanya pula asyik berjudi. Tapi perlukah Wahid menghalangnya daripada bercakap dengan ibu kandungnya?
"Rita, buat minuman bagi Abang," kata Wahid yang leka menonton televisyen.
Rita segera ke dapur. Telefon bimbitnya masih berdering. Dia menekan butang 'accept'.
"Ya, Amma? Kenapa?"
Rita tidak sedar tindakannya diperhatikan Wahid. "Ouch! Abang!" Tiba-tiba wajah Rita ditampar dengan kuat. Telefon yang dipegangnya jatuh ke lantai.
"Kan Abang larang bercakap dengan ibu awak, masih nak cakap gak! Degil, tak ikut kata suami, isteri derhaka!" Wahid terus membengis.
Rita tahu suaminya itu panas baran tapi dia tidak terfikir bahawa dia sebagai isteri yang sah terus dipukul dan ditendang di dapur. Rita merayu-rayu meminta maaf pada suaminya sebab tidak mematuhi arahan suami.
"Awak ni degil, tak taat suami. Dah berapa kali Abang kata, jangan jawab panggilan ibu awak, awak tetap nak jawab. Mereka tu kafir, mereka susah suruhlah cari sami Hindu, buat apa nak minta awak tolong?"
Menangis teresak-esak, Rita terus mencangkung di bawah meja makan. Sakit seluruh badannya dipukul dan ditendang suaminya.
"Abang tak rasa kasih sayang awak lagi. Awak suka langgar arahan Abang, lawan cakap Abang. Awak bukan isteri yang taat, Abang kecewa. Kita berpisah sajalah, awak boleh balik ke rumah ibu awak tu, tak payah pedulikan Abang lagi."
Rita terus membisu. Dia tahu suaminya itu akan meminta maaf padanya tak lama lagi.
Betul jangkaannya.
Malam itu Wahid pulang dengan dua peket mi goreng dan mengajak Rita makan. Telefon bimbit Rita terus disimpannya; Rita tidak dapat berhubungan dengan sesiapapun. Dia juga meminta maaf. Malam itu juga mereka bersama. Rita melayan seperti biasa, walaupun badannya masih sakit dibelasah Wahid beberapa jam sebelum itu.

Sakit badan, sakit hati. Keliru. Konfus.
Pelbagai perasaan bermain-main di hati Dina dan Rita.
Penderaan isteri oleh suami mungkin sesuatu yang asing dalam kehidupan keluarga bahagia tetapi di sebalik sesetengah pintu rumah, masih berlaku penganiayaan fizikal dan emosi.
Yang menyedihkan, ada isteri yang berstatus saudara baru/mualaf yang telah diketepikan keluarga masing-masing setelah mereka meninggalkan agama asal. Mereka tiada tempat lain untuk dituju dan bergantung sepenuhnya pada suami. Suka hati suami untuk melayan isterinya bagaimana, apabila isteri 'melawan' terus dihamburkan hadis-hadis kononnya amat berdosa sebab melawan kata suami. Suami memberi pula, jika dia sebagai suami yang tidak berlaku adil pun tidak bersalah/berdosa pada isteri, sebab itu haknya sebagai suami, yang penting isteri mesti menunaikan tanggungjawab sepenuhnya sebagai isteri.
Kini isteri pula didera dan dilabel isteri yang tak taat suami. Isteri nusyuz. Dipukul dan ditendang sesuka hati ketika marah, kemudian disuruh bersama suami pula pada waktu malam, Alasan suami, 'Jika tak layan suami di katil, isteri berdosa dan akan dilaknat malaikat sehingga isteri itu meminta maaf."
Benarkah begitu?
Cuba kita baca hadis berikut:

Rasulullah SAW sangat marah tatkala melihat seorang suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, “Mengapa engkau memukul isterimu?” Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, “Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukullah dia.”
“Aku tidak bertanyakan alasanmu,” sahut Nabi SAW. “Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?”'


dari Muawiyah al-Qusyairi, berkata: “saya datang kepada Rasulullah s.a.w lalu saya bertanya, bagaimana pandanganmu Ya Rasulullah tentang isteri-isteri kami? Sabdanya: “berilah mereka makan dari makanan yang kamu makan, berilah mereka pakaian dari pakaian yang kamu pakai, janganlah kamu pukul mereka dan jangan pula kamu buruk-burukkan mereka (H.R Abu Dawud)


Rasulullah SAW menyebut yang bermaksud, “Tergamakkah seseorang kamu memukul isteri sepertimana memukul seorang hamba abdi, kemudian dia memeluknya pula, tidakkah dia (suami) merasa malu?” (Hadis riwayat Ibnu Saad)

Ramai isteri yang mengadu di alam maya, tetapi malu untuk dibawa kes ke mahkamah. Sayang suami, malu, tak ada bukti kukuh. Lebih teruk lagi, isteri itu betul-betul percaya dia layak dipukul sebab dia yang membuat suami marah, isteri yang melawan dan tidak taat cakap suami. Dengan erti kata lain, 'she deserves it'

Wahai suami yang mendera,
Bayangkanlah jikalau Rasulullah SAW menziarah ke rumah anda ketika anda sedang mendera isteri secara fiikal, mental atau emosi, apakah jawapan anda? Beranikah memberi alasan yang sama yang diberikan kepada isteri anda itu?

nota: Kisah2 benar yang diceritakan kepada saya, diolah untuk kerahsiaan.

2 comments:

  1. Assalamualaikum Aliya.

    Benar apa yang Aliya ceritakan disini. Perkara ini bukan sahaja berlaku dikalangan Muallaf, malah yang sesama Melayu (saya tulis Melayu, kerana jika dia faham tentang Islam dia tak buat)dan yang bukan Islam pun begitu juga. Di Amerika dalam rancangan Oprah juga pernah membincangkan perkara ini.

    Sebenarnya sabagai seorang isteri kita memang tidak boleh hendak mengubah keadaan ini melainkan kita menggunakan kebijaksaan serta ilmu agama yang luas dan jelas, kerana seorang suami juga dikira jahil apabila dia melakukan perkara-perkara tersebut. Seorang isteri harus mengelak, memujuk, membodek atau apa sahaja untuk menyampaikan apa yang diperlukan didalam sesebuah rumahtangga. Selain dari itu masa yang sesuai untuk melakukan nya harus dipilih dengan teliti. Akhir sekali seseorang yang teraniaya, DOA nya makbul....mintalah apa sahaja masa itu, doakan ibubapa, adik beradik atau saudara-mara yang belum Islam diberi petunjuk taufiq dan hidayah dan apa sahaja doa. Bersabar dan anggaplah ianya sebagai jihad sedang Rasulullah juga pernah di hina dan dianaiaya....kita juga dapat merasakan apa yang Baginda lalui...semoga selawat tak pernah lekang dari bibir.

    Wallahu a'lam.

    ReplyDelete
  2. Ujian akan datang tak kira siap. Muslim atau tidak. Dah lama muslim atau baru muslim. Tua atau muda
    Asam garam dalam rumah tangga. Pasangan boleh berubah. Suami yang dulunya penyayang kini menjadi baran. Bersikap positif dengan ujian ini.
    Allah tidak menjadikan sesuatu ujian melainkan untuk tujuan hikmah. Kafarah dosa, menaikkan darjat atau memberikan pahala.
    Semua yg kita lakukan ini ikhlaskan kerana Allah. Jika dapat kita syukur. Jika tidak dapat kita redha.

    ReplyDelete