Monday, July 23

DEWAN BEDAH DAN WAD

"Hello?"
"Mak di hospital," suara Mak yang agak sayu itu berkata dalam telefon.
"Mengapa?" saya cuba tenangkan diri.
"Jatuh pagi tadi. Patah kaki."
Saya lihat jam di dinding. Sudah hampir 8.45 malam.
"Mengapa tak telefon awal-awal? Boleh saya pergi hospital tengok Mak pagi tadi. Sekarang dok di wad ya?"
"Tak nak ganggu awak kerja."
Itulah Mak saya, dalam keadaan sakit pun masih fikirkan keselesaan anak-anaknya yang bekerja. Setelah memastikan keadaannya stabil dan selamat di hospital, saya dan suami bergegas ke sana sejeurus selepas menghantar anak-anak ke taska keesokan harinya.

Dipendekkan cerita, Mak dijadualkan menjalani pembedahan kaki seminggu kemudian.
Risaukan keadaannya, saya mengambil cuti untuk ke hospital.
Mak dimasukkan ke dalam dewan bedah pada hampir jam 9 pagi. Pembedahannya selesai dan dia ditolak keluar 5 jam kemudian, pada 2.05 petang.

Selama 5 jam itu, saya duduk di hadapan Dewan Bedah HBSP, berbekalkan sedikit kuih dan sebotol air mineral [belum bulan Ramadhan ketika itu].
Bukan saya seorang saja yang menunggu di sana.
Ramai juga, tapi sayalah yang duduk paling lama dan memerhatikan gelagat orang ramai.

Ada yang ditolak masuk dalam keadaan berdarah, sebab kemalangan jalan raya.
Ada yang ditolak masuk untuk bersalin secara cesarean.
Ada yang ditolak dengan kerusi roda, mungkin untuk pembedahan membuang cataract.
Kata Mak, Dewan Bedah itu besar, dan ada sebanyak 8 bilik pembedahan kesemuanya.

"Hamidah binti Mahmud [bukan nama sebenar]. Siapa warisnya?"
Jururawat yang memanggil menolak keluar trolli dengan bayi yang baru lahir diselimuti kain warna hijau.
Berdirilah sepasang suami isteri Melayu dengan senyuman lebar, yang saya agak adalah datuk dan nenek kepada bayi kecil itu.
Hmmm, saya perhatikan gelagat mereka. Bayi terus dibawa pergi setelah jururawat menunjukkan jantinanya kepada pasangan itu. Hanya seorang bapa yang mendukung bayinya dan mengazankannya.
Hairan saya pula, bukankah semua bayi beragama Islam wajib diazankan sejurus selepas dilahirkan?
Empat bayi Melayu Islam dilahirkan di dalam Dewan Bedah dalam tempoh 5 jam itu.

"Hello, ni Phing?" seorang wanita tua menegur saya.
Saya tersenyum. Ah Erm, makcik iaitu isteri sepupu ayah datang ke hospital itu tanpa notis awal kepada saya.
Mujurlah dia masih dapat mengecam saya, walaupun saya sudah bertudung.
Dia ditemani empat orang kawan-kawan Mak. Saya terus memberitahu mereka yang baru mendapat berita kemasukan Mak ke hospital itu akan keadaan Mak.
Memanglah, mereka asyik merenung saya [sebab saya nampak lain dalam tudung, agaknya], dan orang ramai yang rata-rata Melayu di luar dewan bedah itu juga mendengar perbualan rancak kami dalam bahasa Hokkien.
Jam 1.3o petang, mereka meminta diri untuk pulang.

"Siapa waris Rohana binti Abdullah? [bukan nama sebenar]"
Kami semua yang duduk menunggu di depan dewan bedah itu berpaling ke arah bayi kecil dalam trolli yang ditolak keluar. Lain keadaannnya, sebab disambungkan kepada sebuah mesin.
Seorang lelaki yang mendukung seorang anak kecil 2 tahun lantas berdiri dan menghampiri bayi itu.
"Ikut saya ke ICU. Bayi awak ni ada masalah," kata jururawat itu sambil menolak trolli.
Lelaki itu terus berjalan pergi, meninggalkan anak lelakinya itu dengan ibu tua yang turut menunggu di situ.
Saya sempat berbual dengan si ibu yang kelihatan resah menunggu menantunya keluar dewan bedah.

"Sabar makcik, biasanya sejam lagi sebab doktor kena pastikan si ibu selamat dulu," saya tegur wanita tua itu dengan lembut.
"Ya, ya," jawabnya.
"Anak ni tunggu siapa?" soalnya pula.
"Saya tunggu mak saya, dia bedah kaki."
"Oh.. yang tadi tu siapa? Pandai cakap Cina."
"Yang tadi makcik saya dan kawan-kawan mak saya."

Alhamdulillah, ketika itu Mak kelihatan diusung keluar ke lobi.
Mak nampak tersenyum. Saya dipanggil masuk pula ke dalam lobi.
"Mi, ingat anak saya? Ni dia, dah besar," kata Mak kepada seorang attenden hospital yang sedang berjenaka dengannya.
Aahhh, kawan lama rupanya. Sebab Mak merupakan seorang jururawat yang bekerja di HBSP selama lebih daripada 20 tahun lamanya, dia amsih ada beberapa rakan sekerja yang masih berkhidmat di sana.
'Uncle Suhaimi' kelihatan terkejut melihat saya yang bertudung berdiri di tepi katil Mak. Saya hanya tersenyum, malas nak mengganggu perbualan mereka.

Kata Mak, pembedahannya lama sebab besi yang ingin disambungkan itu tidak muat dan terpaksa ditukarkan ketika dalam bilik bedah.
Saya bersyukur sebab pembedahan itu boleh dikatakan berjaya.

"Mak, nak makan apa?"
"Tak nak apa-apa, awak di mana?"
"Di lobi hospital la"
"Hmmm, mengapa tak telefon? Makcik awak di sini, nanti nampak awak, masam pula mukanya."
Saya menggeleng kepala. Makcik iaitu sepupu Ayah seorang yang negatif terhadap orang Melayu dan Islam, dan semenjak saya memeluk Islam, dia tidak pernah bertegur sapa dengan saya. Kata Mak, dia tak suka saya memeluk Islam. Apabila saya telefon Mak ketika dia di wad, makcik menarik muka masam sebagai tanda tidak gembiranya.
"Jika makcik tak suka saya datang, dia boleh pergi tempat lain," saya beritahu Mak dalam telefon.

Susah apabila masih ada saudara mara yang berpandangan negatif terhadap Islam dan kami saudara baru yang dikatakan membelakangi keluarga untuk hidup sebagai Muslim.
Ditunjukkan muka masam dan ketidakpuasan hati kepada Mak sehingga Mak yang sudah menerima pengislaman saya, jadi serba salah.
Bagi saya pula, terpulanglah dia nak marah atau benci tapi dia tiada hak untuk halang saya melawat mak saya sendiri di mana-mana pun.
Apa salahnya beragama Islam, sebab bukankah setiap orang ada hak untuk memilih jalan hidup masing-masing? Biasanya orang Cina tak berapa kisah jikalau ada saudaranya yang bertukar agama ke Kristian tetapi jika Islam, pasti ada yang memboikot atau bermasam muka apabila bertemu.
Bagi saya, itu bukan masalah saya, itu masalah mereka. Jikalau mereka tidak mahu terima atau hormat saya sebagai saudara mereka lagi, saya tak rugi apa-apa.Mereka yang rugi sebab mereka menolak peluang mengenali Islam dan cara hidup Islam.

Agaknya Mak berjaya memujuk makcik sebab apabila kami sekeluarga tiba di katil Mak, orang itu tiada. Mak seronok melihat gelagat cucu-cucunya yang aktif.
"Jomlah ikut kami balik," saya usik Mak sambil mendukung Ihsan.
"Bagi saya RM1000 pun, saya tak nak laaa pi rumah awak... pening," jawab Mak melihat Ikram yang tak henti-henti berjalan sekeliling katilnya.
Saya tahu rumah saya dengan 2 anak kecil yang aktif bukanlah tempat yang sesuai untuk Mak berehat untuk sembuh daripada pembedahannya. Oleh  itu, saya tak memaksa.

Mak berada di hospital selama beberapa hari.
Kini dia dah keluar wad, dan berehat di pusat jagaan, masih di bawah jagaan jururawat.
Semoga pembedahan ini berjaya membolehkan Mak berjalan semula selepas 2 bulan, insyaAllah.

*** Keadaan kesihatan diri sendiri dan anak-anak yang tidak menentu, kerja serta keadaan Mak yang berada di HBSP lebih seminggu menyebabkan kesibukan yang amat sangat sehingga tiada masa untuk membuka blog ini. Maaf kepada semua yang mengunjungi blog tanpa sebarang update.

Selamat Menyambut Ramadhan al-mubarak kepada semua musliman dan muslimin.
Semoga ibadah puasa kita dipermudahkan dan diberkatiNya.


7 comments:

  1. salam ramadhan..semoga mak awak cepat baik yer

    ReplyDelete
  2. Saya masih berharap. Agar kaum bapa dibenarkan melihat isterinya bersalin. Bagi azan terus pas tu keluaq pun xpe. Xnampak itu akan jadi harapan dengan Menteri Kesihatan yang sedia ada. Mungkin perlu tukar menteri ni kepada menteri fikrah islam?

    Off topic
    17 Ramadhan = 6/8/12 Paksi Kerian akan mengadakan ziarah pesakit di Hosp Sg Bakap. Kalu pun boleh joint sekali? Selain menyelami pesakit islam, non muslim juga ingin disantuni.
    p/s: ada pm puan mtk no tel. No dulu hilang

    ReplyDelete
  3. saya doakan akak , keluarga and ur parents sihat walafiat... :) semoga Allah berikan ketenangan dan kemudahan...

    always interested to read your story....

    ReplyDelete
  4. en.joe penang..
    sy boleh je masuk dlm dewan bersalin.
    Masa isteri sy melahirkan, doktor siap suruh syg yg sambutkan bayi, tp cepat2 dia akn ambil sebab nk potong tali pusat dan jolok tekak dgn tube(untuk buang lendir..).. Alhamdulillah sy dpt terus azan dan iqamat kan ank sy..

    bestnya, masa isteri tgh bersabung nyawa tahan sakit, sy boleh tenangkan beliau dan ajarkan beliau mengucap dan lafazkan ayat2 doa.. alhamdulillah beliau lebih tenang..

    :::
    ::: - mungkin arahan kebenaran suami masuk ke dewan bersalin bukan dari kementerian, tetapi atas arahan dan kuasa pengarah hospital. Isteri sy bersalin di Hospital Sultanah Nurzahirah, Kuala Terengganu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mungkin ada kebenarannya. Kuasa benar suami masuk tu atas kebenaran Pengarah Hospital.
      Sy bercakap berdasarkan fakta sendiri. 2x kelahiran anak sy hanya menunggu di luar. 2-3 jam setelah bersalin barulah baby dibawa keluar utk diazankan. Ketiga2 baby(yg sulung kembar) xde masalah masa kelahiran.
      2005 dan 2009. Di Hospital Seberang Jaya

      Delete
  5. tapi mungkin kementerian berwajib kne n patut keluarkan pekeliling, membolehkan suami yg nak masuk ke dewan bersalin bpleh masuk utk memberi semangat kepada istri, dan secara x langsung, suami dpt tau betapa pengorbanan isteri ketika melahirkan. Selain tu, suami boleh terus azankan bayi mereka..betol x?..

    insya'allah dgn doa.. sy harap saudara joe penang, dpt dipenuhi impian itu...

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam warahmatullah,
    Ifa, terima kasih atas ucapan selamat. Alhamdulillah Mak saya dah beransur pulih. Tapi kata doktor perlu tunggu 2 bulan lagi baru boleh cuba berjalan.

    Joe penang, minta maaf banyak-banyak. Hati kata nak join, tapi tanggungjawab lain menanti. Hari Nuzul alQuran cuti umum, taska pun cuti, anak perlu dijaga di rumah.
    Hospital Seberang Jaya memang tidak benarkn bapa menemani ibu bersalin. Antara sebabnya dewan bersalin sempit dan katil pun kadangkala tidak cukup.Semua kes yang ada sedikit saja kesulitan akan terus ditolak oleh hospital lain ke HSJ, menyebabkan kesesakan serius. Jika boleh bersalin normal, bolehlah ke Hospital Bukit Mertajam sebab polisi hospital BM benarkan bapa masuk ke dewan bersalin dengan si ibu.

    the shutterblades, ameen.. semoga dibolehkan

    ReplyDelete