Monday, July 2

BUKAN SALAH MAK BEKERJA

"Berapa yuran sebulan?" tanya mak mertua saya.
"Maksud Mak, yuran taska mereka?" saya minta kepastian.
"Yalah, yuran taska."
Saya memandang si Ikram dan adiknya, Ihsan yang sedang bermain.
"Bagi Ikram, Rm270 sebulan, tak termasuk OT. Ihsan pula, RM250 sebulan."
"Mengapa lain harga?"
"Taska berbeza, Mak.Taska Ikram hanya terima kanak-kanak lebih 6 bulan pada akhir tahun lalu, dan Ihsan baru 5 bulan ketika tu. Saya terpaksa hantar dia ke taska lain yang berdaftar."
"Berapa jam?'
"Hantar pukul 7 pagi, ambil semula sebelum 6.30 petang."
"Oh, gitu. Jadi semuanya RM520 sebulanlah, ya? Mahal gak,"
"Nak buat macam mana, Mak. Kita ni kerja, jika hantar kepada pengasuh pun sama juga harganya. Malah lebih risau lagi saya sebab jika pengasuh seorang itu sakit, terpaksa saya ambil cuti untuk jaga anak. Sekarang alhamdulillah mereka walaupun berlainan taska, mereka masih dijaga dengan baik."
Mak mertua saya mengangguk.

Bulan lalu, Mak saya ketika bersembang tentang penghantaran anak ke taska pula menyatakan bahawa yuran taska cucu-cucu kesayangannya ini murah. Katanya, yuran di taska kepunyaan pengusaha Cina boleh mencecah sehingga RM500 sebulan. Tak termasuk susu dan lampin.
"Adik sepupu kamu bayar RM900 sebulan kepada pengasuh anaknya, jaga 5 hari 5 malam," kata nenek saya pula.
Hmmm, semuanya duit.

Jikalau diberi pilihan, saya lebih suka tinggal di rumah daripada bekerja di luar rumah. Tambahan dengan keadaan sekolah sekarang yang mewajibkan seseorang guru berada di kawasan sekolah dari jam 7.30 pagi sehingga 3 petang [jika ada mesyuarat, sehingga 5 petang], kerja hari Sabtu sekurang-kurangnya 2 kali sebulan, saya lebih rela berada di rumah dan membesarkan anak-anak. Tapi apakan daya, desakan hidup dan keperluan lain memerlukan saya turut sama bekerja dan membantu suami dari segi pendapatan isi rumah. Mahu tak mahu, anak-anak kecil terpaksa dihantar ke taska.

Setiap kali meninggalkan si Ikram dan Ihsan di taska mereka, saya hanya mampu berdoa dan bertawakkal agar mereka dijaga dengan baik dan selamat di sana. Susah untuk bekerja jika hati tidak tenang memikirkan keadaan anak di bawah jagaan pengasuhnya, lebih-lebih lagi apabila mereka kurang sihat. Untuk saya sebagai ibu mengambil cuti menjaga anak yang sakit, hanya boleh ambil 7 hari setahun, itupun selepas meminta daripada pengetua sekolah. Jikalau tak diberi cuti, terpaksa juga saya tinggalkan anak dan bekerja, melainkan mahu dambil tindakan tatatertib.

"Apa? Esok taska tutup? Mengapa?"
Saya tertanya-tanya apabila melihat notis yang digantung di pintu pagar taska Ihsan. Petang itu baru kami ibu bapa diberitahu bahawa taska itu akan ditutup selama 3 hari. Terpinga-pinga saya seketika sebab maklumlah, saya tidak ada 'second home' untuk anak-anak melainkan taska mereka. Berlainan dengan kebanyakan ibu bapa lain, saya tiada 'support system' untuk hari-hari kecemasan. Mak sendiri dan mak mertua masing-masing uzur dan tidak mampu menjaga cucu-cucu yang tengah membesar dan aktif.
"Mengapa tutup taska esok?" saya tanya.Dalam hati berkata, janganlah sebab ada jangkitan yng serius atau atas arahan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Jabatan Kesihatan.
Pengasuh muda itu kelihatan kalut. Akhirnya saya diberitahu bahawa disebabkan pengusaha taska itu lewat membayar gaji pekerjanya, mereka sepakat mahu mengambil cuti. Dengan erti kata lain, sebab tiada orang mahu mengasuh, maka taska itu akan ditutup beberapa hari.
"Mengapa tak beri notis awal-awal? Habis anak saya nak dihantar ke mana pula, dah kamu petang ni baru beritahu, esok kamu nak tutup," saya menyuarakan rasa tak puas hati.
"Erm, puan boleh hantar anak puan esok seperti biasa," tiba-tiba penyelia taska pula menberitahu.
Dipendekkan cerita, mungkin sebab ramai lagi ibu bapa yang mengadu, taska itu dibuka seperti biasa juga. Namun, para pengasuh taska tesebut ramai yang berhenti kerja pada akhir bulan. Saya tak terkejut pun. Dalam tempoh 10 bulan Ihsan di sana, sudah beberapa orang pengasuhnya yang berhenti, sehingga saya sendiri tidak pasti lagi siapa sebenarnya yang menjaga Ihsan.
Bukan tak ada taska lain sebenarnya tetapi di kawasan perumahan saya ni, hanya 3 buah taska sahaja yang buka pada hari Sabtu. Taska yang sebuah lagi saya dapati seorang pengasuh mengendalikan 6 bayi, maka saya tak berani nak hantar anak ke situ. 4 buah taska lain hanya beroperasi dari hari Isnin sehingga hari Jumaat. Disebabkan saya perlu ke sekolah untuk program-program tertentu pada hari Sabtu, mahu tak mahu saya terpaksa menghantar juga Ihsan ke taska yang sedia ada sekarang. Itulah masalah menjadi seorang guru sekolah - terpaksa berkorban hujung minggu dan memilih taska yang juga dibuka pada Sabtu.

"Mengapa tak hantar kepada pengasuh di rumah saja?" tanya kawan.
"Bukan saya tak mahu tetapi susah nak cari pengasuh yang baik dan keadaan rumah pula bersih. Dengan taska, sekurang-kurangnya ada ramai yang tolong menjaga, tak beranilah mereka nak dera atau buat aniaya pada anak. Lagipun jika pengasuh seorang sakit, masih ada lagi pengasuh lain di taska yang boleh tolong jaga, tak seperti pengasuh rumah yang mungkin tidak pernah menghadiri sebarang kursus atau tahu bantuan pertolongan cemas. Lebih risau lagi saya jikalau tinggalkan anak kecil yang aktif dan masih tak pandai bercakap dengan seorang pengasuh yang juga menjaga 2-3 anak kecil lain di rumahnya."
"Anak-anak seronokkkah berada di taska?"
"Alhamdulillah, mereka nampaknya gembira di sana, terutamanya Ikram. Dia dah biasa dengan rutin di taskanya. Bila saya hantar pagi-pagi, dia akan kata 'bye', berikan 'flying kiss' kepada saya, dan terus berjalan tanpa menoleh lagi ke dalam taskanya itu. Sekurang-kurangnya mereka tak menangis semasa saya hantar dan ketika saya ambil semula pada waktu petang."

Berita-berita sedih tentang anak-anak kecil terutamanya bayi didera pengasuh menambah kerisauan saya untuk meninggalkan anak dengan seorang wanita yang tidak dikenali. Kasihan apabila melihat gambar bayi-bayi yang dianiayai para pengasuh mereka sedangkan sebenarnya anak itu merupakan amanah kepadanya untuk dijaga dengan baik sehingga diambil balik oleh ibu bapanya.
Saya percaya, dalam kes terbaru di akhbar Metro hari ni, ibunya yang juga guru pasti terkilan dan susah hati melihat keadaan anaknya yang didera. Apabila si ibu bekerja menjaga dan mendidik anak orang lain sedangkan anak kandungnya sendiri terpaksa ditinggalkan dan akhirnya menerima nasib didera sehingga patah tangan, entah apa lagi yang nak dikata.
Nak marahkan pengasuh yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah itu sudah terlewat.

Alangkah baiknya jikalau pihak kerajaan mengambil inisiatif menubuhkan taska di dalam kawasan sekolah memandangkan hampir setiap sekolah mempunyai guru-guru muda yang sama ada mengandung atau mempunyai anak kecil Sepatutnya boleh diadakan, memandangkan guru-guru wanita rata-rata terpaksa menghantar anak sekecil 3 bulan kepada pengasuh atau ke taska jauh dari rumah. Hanya sebilangn kecil saj yang bertuah mempunyai ibu atau ibu mertua yang sanggup dan boleh menjaga cucu. Sekurang-kurangnya dengan adanya sebuah taska dalam kawasan tempat kerja itu sendiri, para guru wanita lebih mudah berulang-alik ke sekolah [tidak perlu lagi beratur panjang di depan taska setiap pagi sebelum ke sekolah] dan kami akan lebih tenang menjalankan tugas, sebab anak berada berdekatan dan dalam keadaan selamat. Tatkala jabatan kebajikan masyarakat dan kerajaan sendiri sanggup memberi sokongan dan pelbagai kemudahan bagi agensi kerajaan yang membuka taska di kawasan tempat kerja mereka, saya tak nampak mengapa sekolah kerajaan tidak termasuk dalam skim galakan ini. InsyaAllah jikalau ada taska di kawasan sekolah, saya percaya lebih ramai lagi guru wanita yang boleh menyusukan anak mereka dengan lebih baik dan lebih lama.
Dalam pada guru-guru disarankan bersifat kasih sayang dengan anak didik mereka, mengapakah ketua jabatan pula seolah-olah bersikap lepas tangan dan kurang prihatin dalam soal penjagaan anak-anak para guru itu sendiri?

8 comments:

  1. Kerajaan sekarang x nampak keperluan mengadakan taska di pejabat2 kerajaan. Yang dibelanjakan berjuta2 utk program permata negara.
    Payah la nak cari taska/pengasuh yang 100% kita suka. Ada pro n kontranya. Selagi kita boleh terima kekurangan depa ok la. Jika x carik lain la..

    ReplyDelete
  2. betul.saya setuju sgt.ada kompeni mmg sediakan nurseri utk anak2 pekerjanya..so mak mak yg ada anak ni dapat bekerja dgn tenang.itulah nasib ibu2 bekerja.

    anak saya 3 org//semua hantar pengasuh belakang rumah je..tapi dah 3 kali bertukar..ada jugak mslh cuma tak kritikal ;)

    ReplyDelete
  3. blog awak menarik utk dibaca
    tapi kalau buang verification code tu lebih senang nak komen..maaf ye kalau tak suka saya komen mcm tu

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum, saya setuju dengan saranan puan supaya setiap tempat kerja (tak kira jbtn kerajaan,swasta,universiti,sekolah) semuanya mesti ada tempat asuhan kanak2, sebab hampir semua pekerja (kecuali bujang) yang pastinye mempunyai anak. Lantaran sikap tidak endah dan tidak peduli 'majikan', maka pelbagai masalah timbul.Di tempat saya bekerja, tempat asuhan kanak2 sangat kecil, muat untuk 30 orang saja (kalau tak silap), padahal ia sebuah universiti, tak kan lah staf cume 30 orang jika setiap staf mempunyai sekurang-kurangnya 1 anak.fikir2kanlah, banyak pengabaian dalam pentadbiran negara malaysia. moga anak2 kita dilindungi Allah walau kat mana pun kite tempatkan mereka.wassalam.

    ReplyDelete
  5. adakah mereka kisah akan kesusahan kita, kak?

    ReplyDelete
  6. Sangat setuju dengan cadangan tu. Actually benda ni common sense...kalau ibubapa senang hati, tau akan keadaan anak2 mereka terbela time mereka bekerja..secara tak langsung produktiviti pun meningkat, rasa sayang dan loyal kat company pun meningkat.

    ReplyDelete
  7. Waalaikumussalam,
    joe penang, saya pilih taska sebab (1) keselamatan anak sebab lebih ramai pengasuh di sana (2)lebih mudah anak belajar bersosial, taklah jadi terlalu manja. Hmmm, kalaulah semua taska buka juga pada hari Sabtu, lebih banyaklah pilihan yang ada. Program permata kasih? Malas nak komen tentang tu, huhu.

    Irfa, bila asyik bertukar pengasuh, yang kasihan adalah anak; mereka mungkin rasa tak selamat dan keliru.Ihsan pun dah kira dapat pengasuh yang ke5 dalam tempoh 10 bulan, walaupun di taska yang sama. Alhamdulillah, taska Ikram ok setakat ni.
    Maaf ya, verification code terpaksa diadakan untuk mengelak spam dan pengacau blog yang anonymous.

    Hamba Allah,ameen ameen. Nampaknya perlu besarkan pusat asuhan di tempat anda atau dapatkan bangunan baru. Setahu saya, setiap taska yang berdaftar dgn JKM ada had ratio pengasuh-anak, tak silap saya 1-5. Sebab itu jugalah saya tak dapat masukkan Ihsan ke taska yang sama dengan abangnya, sebab tempat baby dah penuh, ada 10 baby cot, 10 anak, 2-3 pengasuh. Taska yang Ihsan pergi pun had bilangan baby yang diterima.

    akuzle ayu, nampaknya tidak.. mungkin sebab anak-anak mereka semua dah dewasa.

    Along, betul kata anda tu.Majikan yang ambil berat kebajikan pekerja-pekerjanya akan berjaya mendapat pekerja yang berkualiti.

    ReplyDelete
  8. Saya terkejut membaca berita kematian anak seorang guru yang lemas dalam kereta ibunya di kawasan sekolah. Itu satu tragedi yang amat menyayat hati.
    Sekiranya terdapat taska di tempat kerja, mungkin perkara itu dapat dielakkan. Sebagai guru, saya faham keadaan yang boleh menyebabkan seorang ibu terlupa akan anaknya dalam kereta. Bila satu rutin biasa tiba-tiba tidak diikuti, dan tugas lain mendesak, kita boleh menjadi seorang yang pelupa pada ketika itu.Semoga Allah SWT tidak menguji kita dengan ujian seberat itu, ameen.

    ReplyDelete