Tuesday, July 31

PROJEK BUKU I'SLAM UNTUK SEMUA'



BUKU TUHAN UNTUK SEMUA TELAH KELUAR CETAKAN KETIGA PADA 24 APRIL 2012
SINOPSIS
"Kenapa hanya Allah sahaja yang dianggap Tuhan? Bukankah itu tidak adil? Kenapa Allah ciptakan syurga dan neraka? Jika Allah itu berkuasa, kenapa tidak jadikan semua manusia baik-baik? Adakah benar al-Quran datang daripada Allah? Bukankah ia dilihat sebagai sebuah buku yang boleh ditulis oleh sesiapa?"
Buku ini mengupas persoalan dan dakwaan Non Muslim kepada Islam dan menjawab persoalan ini menurut neraca Islam, sains dan logik akal.

Turut membincangkan sifat-sifat Tuhan, kewujudan Tuhan, kesahihan al-Quran, kerasulan Nabi Muhammad, wanita dalam Islam dan Jesus menurut Islam.
Sesuai dibaca oleh semua Muslim yang sentiasa berhadapan dengan persoalan yang biasanya timbulkan kalangan Non Muslim dan Muslim yang mempunyai tahap penguasaan agama yang asas. Juga sesuai untuk Non Muslim dan Awal Islam yang menghadapi pelbagai persoalan yang tidak dapat dijawab oleh Muslim secara mudah dan konkrit.
Tuhan untuk Semua muncul berasaskan huraian sumber al-Quran dan hadis bagi membuktikan kebenaran yang terselindung di sebalik tohmahan kepada Islam.
Harga Semenanjung termasuk Kos penghantaran menggunakan Pos Berdaftar RM15, sabah dan Sarawak RM17.
SESIAPA YANG BERMINAT MEMBACA BUKU INI DAPAT MEMBUAT TEMPAHAN MELALUI MESEJ KE NO HP 019 3568 602 ATAU EMAIL KE cikmu06@yahoo.com


PROJEK BUKU ISLAM UNTUK SEMUA

Projek ini bertujuan untuk mengajak anda semua membeli sambil menderma buku ISLAM UNTUK SEMUA dan TUHAN UNTUK SEMUA!
Description
Jika anda berminat dengan projek ini, anda boleh membeli buku ISLAM UNTUK SEMUA dan TUHAN UNTUK SEMUA, buku yang anda belikan akan di dihadiahkan kepada;
· Perpustakaan dan Pusat Kesihatan di IPTA & IPTS (3 salinan untuk setiap perpustakaan)
. Perpustakaan Sekolah Menengah Kerajaan (3 salinan untuk setiap perpustakaan)
. Klinik-klinik di setiap Hospital kerajaan (3 salinan untuk setiap perpustakaan)
· Non-Muslims
· Saudara Muslim (yang baru melafazkan Syahadah)

Harga setiap naskah buku ISLAM UNTUK SEMUA adalah RM20 dan buku TUHAN UNTUK SEMUA rM13 (termasuk kos penghantaran). Jumlah buku yang diperlukan buat masa sekarang adalah 1000 naskah.

Sesiapa yang berminat dengan projek dakwah ini, boleh hubungi;
· Faisal Abdurrahman (019 356 8602)
. Abdul Hafiz (019-2163344)
· Ikhwan Ng (014 3055 326)
· Nazifah (019 2364823) 

Tuesday, July 24

BILA SUDAH BERBANGGA DIA TAK PUASA...

"Tak sahurkah?" saya tanya seorang pelajar lelaki Tingkatan 5.
"Tak,"jawabnya ringkas.
"Kenapa tak sahur?"
"Tak puasa!" dia tersengih.
"Awak datang bulankah?" komen saya itu disambut dengan gelak ketawa pelajar-pelajar perempuan.
"Setahu saya, hanya wanita yang datang bulan saja yang tak perlu berpuasa.. kamu ni lelaki tulenkan?" saya sengaja mengusiknya.
'Teacher ni la, tentulah saya lelaki tulen!" jawabnya dengan nada merajuk. 
Lagi riuh kelas itu dengan ketawa pelajar perempuan.
"Habis tu, sebagai lelaki beragama Islam, kenalah berpuasa pada bulan Ramadhan ni. Bukan dengan bangga mengaku diri tak berpuasa. Jika tak puasa, kamu berdosa. Tambah dosa lagi bila kamu mengaku tak puasa depan pelajar bukan beragama Islam. Menjatuhkan imej agama Islam depan orang bukan Islam itu berdosa, tau tak?"
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Arghhh... I hate it when muslim students proudly declare that they don't fast, especially in front of their nonmuslim classmates :(

Monday, July 23

DEWAN BEDAH DAN WAD

"Hello?"
"Mak di hospital," suara Mak yang agak sayu itu berkata dalam telefon.
"Mengapa?" saya cuba tenangkan diri.
"Jatuh pagi tadi. Patah kaki."
Saya lihat jam di dinding. Sudah hampir 8.45 malam.
"Mengapa tak telefon awal-awal? Boleh saya pergi hospital tengok Mak pagi tadi. Sekarang dok di wad ya?"
"Tak nak ganggu awak kerja."
Itulah Mak saya, dalam keadaan sakit pun masih fikirkan keselesaan anak-anaknya yang bekerja. Setelah memastikan keadaannya stabil dan selamat di hospital, saya dan suami bergegas ke sana sejeurus selepas menghantar anak-anak ke taska keesokan harinya.

Dipendekkan cerita, Mak dijadualkan menjalani pembedahan kaki seminggu kemudian.
Risaukan keadaannya, saya mengambil cuti untuk ke hospital.
Mak dimasukkan ke dalam dewan bedah pada hampir jam 9 pagi. Pembedahannya selesai dan dia ditolak keluar 5 jam kemudian, pada 2.05 petang.

Selama 5 jam itu, saya duduk di hadapan Dewan Bedah HBSP, berbekalkan sedikit kuih dan sebotol air mineral [belum bulan Ramadhan ketika itu].
Bukan saya seorang saja yang menunggu di sana.
Ramai juga, tapi sayalah yang duduk paling lama dan memerhatikan gelagat orang ramai.

Ada yang ditolak masuk dalam keadaan berdarah, sebab kemalangan jalan raya.
Ada yang ditolak masuk untuk bersalin secara cesarean.
Ada yang ditolak dengan kerusi roda, mungkin untuk pembedahan membuang cataract.
Kata Mak, Dewan Bedah itu besar, dan ada sebanyak 8 bilik pembedahan kesemuanya.

"Hamidah binti Mahmud [bukan nama sebenar]. Siapa warisnya?"
Jururawat yang memanggil menolak keluar trolli dengan bayi yang baru lahir diselimuti kain warna hijau.
Berdirilah sepasang suami isteri Melayu dengan senyuman lebar, yang saya agak adalah datuk dan nenek kepada bayi kecil itu.
Hmmm, saya perhatikan gelagat mereka. Bayi terus dibawa pergi setelah jururawat menunjukkan jantinanya kepada pasangan itu. Hanya seorang bapa yang mendukung bayinya dan mengazankannya.
Hairan saya pula, bukankah semua bayi beragama Islam wajib diazankan sejurus selepas dilahirkan?
Empat bayi Melayu Islam dilahirkan di dalam Dewan Bedah dalam tempoh 5 jam itu.

"Hello, ni Phing?" seorang wanita tua menegur saya.
Saya tersenyum. Ah Erm, makcik iaitu isteri sepupu ayah datang ke hospital itu tanpa notis awal kepada saya.
Mujurlah dia masih dapat mengecam saya, walaupun saya sudah bertudung.
Dia ditemani empat orang kawan-kawan Mak. Saya terus memberitahu mereka yang baru mendapat berita kemasukan Mak ke hospital itu akan keadaan Mak.
Memanglah, mereka asyik merenung saya [sebab saya nampak lain dalam tudung, agaknya], dan orang ramai yang rata-rata Melayu di luar dewan bedah itu juga mendengar perbualan rancak kami dalam bahasa Hokkien.
Jam 1.3o petang, mereka meminta diri untuk pulang.

"Siapa waris Rohana binti Abdullah? [bukan nama sebenar]"
Kami semua yang duduk menunggu di depan dewan bedah itu berpaling ke arah bayi kecil dalam trolli yang ditolak keluar. Lain keadaannnya, sebab disambungkan kepada sebuah mesin.
Seorang lelaki yang mendukung seorang anak kecil 2 tahun lantas berdiri dan menghampiri bayi itu.
"Ikut saya ke ICU. Bayi awak ni ada masalah," kata jururawat itu sambil menolak trolli.
Lelaki itu terus berjalan pergi, meninggalkan anak lelakinya itu dengan ibu tua yang turut menunggu di situ.
Saya sempat berbual dengan si ibu yang kelihatan resah menunggu menantunya keluar dewan bedah.

"Sabar makcik, biasanya sejam lagi sebab doktor kena pastikan si ibu selamat dulu," saya tegur wanita tua itu dengan lembut.
"Ya, ya," jawabnya.
"Anak ni tunggu siapa?" soalnya pula.
"Saya tunggu mak saya, dia bedah kaki."
"Oh.. yang tadi tu siapa? Pandai cakap Cina."
"Yang tadi makcik saya dan kawan-kawan mak saya."

Alhamdulillah, ketika itu Mak kelihatan diusung keluar ke lobi.
Mak nampak tersenyum. Saya dipanggil masuk pula ke dalam lobi.
"Mi, ingat anak saya? Ni dia, dah besar," kata Mak kepada seorang attenden hospital yang sedang berjenaka dengannya.
Aahhh, kawan lama rupanya. Sebab Mak merupakan seorang jururawat yang bekerja di HBSP selama lebih daripada 20 tahun lamanya, dia amsih ada beberapa rakan sekerja yang masih berkhidmat di sana.
'Uncle Suhaimi' kelihatan terkejut melihat saya yang bertudung berdiri di tepi katil Mak. Saya hanya tersenyum, malas nak mengganggu perbualan mereka.

Kata Mak, pembedahannya lama sebab besi yang ingin disambungkan itu tidak muat dan terpaksa ditukarkan ketika dalam bilik bedah.
Saya bersyukur sebab pembedahan itu boleh dikatakan berjaya.

"Mak, nak makan apa?"
"Tak nak apa-apa, awak di mana?"
"Di lobi hospital la"
"Hmmm, mengapa tak telefon? Makcik awak di sini, nanti nampak awak, masam pula mukanya."
Saya menggeleng kepala. Makcik iaitu sepupu Ayah seorang yang negatif terhadap orang Melayu dan Islam, dan semenjak saya memeluk Islam, dia tidak pernah bertegur sapa dengan saya. Kata Mak, dia tak suka saya memeluk Islam. Apabila saya telefon Mak ketika dia di wad, makcik menarik muka masam sebagai tanda tidak gembiranya.
"Jika makcik tak suka saya datang, dia boleh pergi tempat lain," saya beritahu Mak dalam telefon.

Susah apabila masih ada saudara mara yang berpandangan negatif terhadap Islam dan kami saudara baru yang dikatakan membelakangi keluarga untuk hidup sebagai Muslim.
Ditunjukkan muka masam dan ketidakpuasan hati kepada Mak sehingga Mak yang sudah menerima pengislaman saya, jadi serba salah.
Bagi saya pula, terpulanglah dia nak marah atau benci tapi dia tiada hak untuk halang saya melawat mak saya sendiri di mana-mana pun.
Apa salahnya beragama Islam, sebab bukankah setiap orang ada hak untuk memilih jalan hidup masing-masing? Biasanya orang Cina tak berapa kisah jikalau ada saudaranya yang bertukar agama ke Kristian tetapi jika Islam, pasti ada yang memboikot atau bermasam muka apabila bertemu.
Bagi saya, itu bukan masalah saya, itu masalah mereka. Jikalau mereka tidak mahu terima atau hormat saya sebagai saudara mereka lagi, saya tak rugi apa-apa.Mereka yang rugi sebab mereka menolak peluang mengenali Islam dan cara hidup Islam.

Agaknya Mak berjaya memujuk makcik sebab apabila kami sekeluarga tiba di katil Mak, orang itu tiada. Mak seronok melihat gelagat cucu-cucunya yang aktif.
"Jomlah ikut kami balik," saya usik Mak sambil mendukung Ihsan.
"Bagi saya RM1000 pun, saya tak nak laaa pi rumah awak... pening," jawab Mak melihat Ikram yang tak henti-henti berjalan sekeliling katilnya.
Saya tahu rumah saya dengan 2 anak kecil yang aktif bukanlah tempat yang sesuai untuk Mak berehat untuk sembuh daripada pembedahannya. Oleh  itu, saya tak memaksa.

Mak berada di hospital selama beberapa hari.
Kini dia dah keluar wad, dan berehat di pusat jagaan, masih di bawah jagaan jururawat.
Semoga pembedahan ini berjaya membolehkan Mak berjalan semula selepas 2 bulan, insyaAllah.

*** Keadaan kesihatan diri sendiri dan anak-anak yang tidak menentu, kerja serta keadaan Mak yang berada di HBSP lebih seminggu menyebabkan kesibukan yang amat sangat sehingga tiada masa untuk membuka blog ini. Maaf kepada semua yang mengunjungi blog tanpa sebarang update.

Selamat Menyambut Ramadhan al-mubarak kepada semua musliman dan muslimin.
Semoga ibadah puasa kita dipermudahkan dan diberkatiNya.


Monday, July 2

BUKAN SALAH MAK BEKERJA

"Berapa yuran sebulan?" tanya mak mertua saya.
"Maksud Mak, yuran taska mereka?" saya minta kepastian.
"Yalah, yuran taska."
Saya memandang si Ikram dan adiknya, Ihsan yang sedang bermain.
"Bagi Ikram, Rm270 sebulan, tak termasuk OT. Ihsan pula, RM250 sebulan."
"Mengapa lain harga?"
"Taska berbeza, Mak.Taska Ikram hanya terima kanak-kanak lebih 6 bulan pada akhir tahun lalu, dan Ihsan baru 5 bulan ketika tu. Saya terpaksa hantar dia ke taska lain yang berdaftar."
"Berapa jam?'
"Hantar pukul 7 pagi, ambil semula sebelum 6.30 petang."
"Oh, gitu. Jadi semuanya RM520 sebulanlah, ya? Mahal gak,"
"Nak buat macam mana, Mak. Kita ni kerja, jika hantar kepada pengasuh pun sama juga harganya. Malah lebih risau lagi saya sebab jika pengasuh seorang itu sakit, terpaksa saya ambil cuti untuk jaga anak. Sekarang alhamdulillah mereka walaupun berlainan taska, mereka masih dijaga dengan baik."
Mak mertua saya mengangguk.

Bulan lalu, Mak saya ketika bersembang tentang penghantaran anak ke taska pula menyatakan bahawa yuran taska cucu-cucu kesayangannya ini murah. Katanya, yuran di taska kepunyaan pengusaha Cina boleh mencecah sehingga RM500 sebulan. Tak termasuk susu dan lampin.
"Adik sepupu kamu bayar RM900 sebulan kepada pengasuh anaknya, jaga 5 hari 5 malam," kata nenek saya pula.
Hmmm, semuanya duit.

Jikalau diberi pilihan, saya lebih suka tinggal di rumah daripada bekerja di luar rumah. Tambahan dengan keadaan sekolah sekarang yang mewajibkan seseorang guru berada di kawasan sekolah dari jam 7.30 pagi sehingga 3 petang [jika ada mesyuarat, sehingga 5 petang], kerja hari Sabtu sekurang-kurangnya 2 kali sebulan, saya lebih rela berada di rumah dan membesarkan anak-anak. Tapi apakan daya, desakan hidup dan keperluan lain memerlukan saya turut sama bekerja dan membantu suami dari segi pendapatan isi rumah. Mahu tak mahu, anak-anak kecil terpaksa dihantar ke taska.

Setiap kali meninggalkan si Ikram dan Ihsan di taska mereka, saya hanya mampu berdoa dan bertawakkal agar mereka dijaga dengan baik dan selamat di sana. Susah untuk bekerja jika hati tidak tenang memikirkan keadaan anak di bawah jagaan pengasuhnya, lebih-lebih lagi apabila mereka kurang sihat. Untuk saya sebagai ibu mengambil cuti menjaga anak yang sakit, hanya boleh ambil 7 hari setahun, itupun selepas meminta daripada pengetua sekolah. Jikalau tak diberi cuti, terpaksa juga saya tinggalkan anak dan bekerja, melainkan mahu dambil tindakan tatatertib.

"Apa? Esok taska tutup? Mengapa?"
Saya tertanya-tanya apabila melihat notis yang digantung di pintu pagar taska Ihsan. Petang itu baru kami ibu bapa diberitahu bahawa taska itu akan ditutup selama 3 hari. Terpinga-pinga saya seketika sebab maklumlah, saya tidak ada 'second home' untuk anak-anak melainkan taska mereka. Berlainan dengan kebanyakan ibu bapa lain, saya tiada 'support system' untuk hari-hari kecemasan. Mak sendiri dan mak mertua masing-masing uzur dan tidak mampu menjaga cucu-cucu yang tengah membesar dan aktif.
"Mengapa tutup taska esok?" saya tanya.Dalam hati berkata, janganlah sebab ada jangkitan yng serius atau atas arahan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Jabatan Kesihatan.
Pengasuh muda itu kelihatan kalut. Akhirnya saya diberitahu bahawa disebabkan pengusaha taska itu lewat membayar gaji pekerjanya, mereka sepakat mahu mengambil cuti. Dengan erti kata lain, sebab tiada orang mahu mengasuh, maka taska itu akan ditutup beberapa hari.
"Mengapa tak beri notis awal-awal? Habis anak saya nak dihantar ke mana pula, dah kamu petang ni baru beritahu, esok kamu nak tutup," saya menyuarakan rasa tak puas hati.
"Erm, puan boleh hantar anak puan esok seperti biasa," tiba-tiba penyelia taska pula menberitahu.
Dipendekkan cerita, mungkin sebab ramai lagi ibu bapa yang mengadu, taska itu dibuka seperti biasa juga. Namun, para pengasuh taska tesebut ramai yang berhenti kerja pada akhir bulan. Saya tak terkejut pun. Dalam tempoh 10 bulan Ihsan di sana, sudah beberapa orang pengasuhnya yang berhenti, sehingga saya sendiri tidak pasti lagi siapa sebenarnya yang menjaga Ihsan.
Bukan tak ada taska lain sebenarnya tetapi di kawasan perumahan saya ni, hanya 3 buah taska sahaja yang buka pada hari Sabtu. Taska yang sebuah lagi saya dapati seorang pengasuh mengendalikan 6 bayi, maka saya tak berani nak hantar anak ke situ. 4 buah taska lain hanya beroperasi dari hari Isnin sehingga hari Jumaat. Disebabkan saya perlu ke sekolah untuk program-program tertentu pada hari Sabtu, mahu tak mahu saya terpaksa menghantar juga Ihsan ke taska yang sedia ada sekarang. Itulah masalah menjadi seorang guru sekolah - terpaksa berkorban hujung minggu dan memilih taska yang juga dibuka pada Sabtu.

"Mengapa tak hantar kepada pengasuh di rumah saja?" tanya kawan.
"Bukan saya tak mahu tetapi susah nak cari pengasuh yang baik dan keadaan rumah pula bersih. Dengan taska, sekurang-kurangnya ada ramai yang tolong menjaga, tak beranilah mereka nak dera atau buat aniaya pada anak. Lagipun jika pengasuh seorang sakit, masih ada lagi pengasuh lain di taska yang boleh tolong jaga, tak seperti pengasuh rumah yang mungkin tidak pernah menghadiri sebarang kursus atau tahu bantuan pertolongan cemas. Lebih risau lagi saya jikalau tinggalkan anak kecil yang aktif dan masih tak pandai bercakap dengan seorang pengasuh yang juga menjaga 2-3 anak kecil lain di rumahnya."
"Anak-anak seronokkkah berada di taska?"
"Alhamdulillah, mereka nampaknya gembira di sana, terutamanya Ikram. Dia dah biasa dengan rutin di taskanya. Bila saya hantar pagi-pagi, dia akan kata 'bye', berikan 'flying kiss' kepada saya, dan terus berjalan tanpa menoleh lagi ke dalam taskanya itu. Sekurang-kurangnya mereka tak menangis semasa saya hantar dan ketika saya ambil semula pada waktu petang."

Berita-berita sedih tentang anak-anak kecil terutamanya bayi didera pengasuh menambah kerisauan saya untuk meninggalkan anak dengan seorang wanita yang tidak dikenali. Kasihan apabila melihat gambar bayi-bayi yang dianiayai para pengasuh mereka sedangkan sebenarnya anak itu merupakan amanah kepadanya untuk dijaga dengan baik sehingga diambil balik oleh ibu bapanya.
Saya percaya, dalam kes terbaru di akhbar Metro hari ni, ibunya yang juga guru pasti terkilan dan susah hati melihat keadaan anaknya yang didera. Apabila si ibu bekerja menjaga dan mendidik anak orang lain sedangkan anak kandungnya sendiri terpaksa ditinggalkan dan akhirnya menerima nasib didera sehingga patah tangan, entah apa lagi yang nak dikata.
Nak marahkan pengasuh yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah itu sudah terlewat.

Alangkah baiknya jikalau pihak kerajaan mengambil inisiatif menubuhkan taska di dalam kawasan sekolah memandangkan hampir setiap sekolah mempunyai guru-guru muda yang sama ada mengandung atau mempunyai anak kecil Sepatutnya boleh diadakan, memandangkan guru-guru wanita rata-rata terpaksa menghantar anak sekecil 3 bulan kepada pengasuh atau ke taska jauh dari rumah. Hanya sebilangn kecil saj yang bertuah mempunyai ibu atau ibu mertua yang sanggup dan boleh menjaga cucu. Sekurang-kurangnya dengan adanya sebuah taska dalam kawasan tempat kerja itu sendiri, para guru wanita lebih mudah berulang-alik ke sekolah [tidak perlu lagi beratur panjang di depan taska setiap pagi sebelum ke sekolah] dan kami akan lebih tenang menjalankan tugas, sebab anak berada berdekatan dan dalam keadaan selamat. Tatkala jabatan kebajikan masyarakat dan kerajaan sendiri sanggup memberi sokongan dan pelbagai kemudahan bagi agensi kerajaan yang membuka taska di kawasan tempat kerja mereka, saya tak nampak mengapa sekolah kerajaan tidak termasuk dalam skim galakan ini. InsyaAllah jikalau ada taska di kawasan sekolah, saya percaya lebih ramai lagi guru wanita yang boleh menyusukan anak mereka dengan lebih baik dan lebih lama.
Dalam pada guru-guru disarankan bersifat kasih sayang dengan anak didik mereka, mengapakah ketua jabatan pula seolah-olah bersikap lepas tangan dan kurang prihatin dalam soal penjagaan anak-anak para guru itu sendiri?

TANYA SAMA ANGIN, MENGAPA BERHABUK..

Assalamualaikum,
Maaf kepada sahabat-sahabat yang berkunjung ke sini. Kebelakangan ini, saya sibuk sehingga tak sempat pun nak pasang komputer untuk online. Macam-macam hal termasuklah kesihatan yang kurang memuaskan.

Di sekolah pula, saya sibuk dengan minggu temasya sukan sekolah. Alhamdulillah dah selesai, walaupun keadaan agak merimaskan sebab terpaksa adakan temasya sukan tersebut di padang terbuka [padang sekolah tidak dapat digunakan sebab sedang dinaiktaraf] dalam cuaca panas dan berjerebu pada Sabtu lalu. Tak tahulah berapa bacaan Indeks Pencemaran Udara pada ketika itu, sebab selagi tiada arahan bertulis daripada Jabatan Pelajaran, temasya sukan tetap dijalankan. Program sekolah bukan mudah nak ditangguh atau dibatalkan. Perlu ada surat menyurat. Memang diakui, kehadiran para pelajar agak kurang pada tahun ini tetapi saya lega, temasya tersebut dah berlangsung. Sekurang-kurangnya tidak perlu adakan latihan sukan pada waktu petang lagi. InsyaAllah, pelajar pun sudah boleh tumpukan perhatian pada pelajaran masing-masing.

Dalam bab jerebu ini. saya tak faham. Seingat saya, dah lama masalah ini berlaku tetapi setiap tahun, kita di utara Semenanjung Malaysia khasnya juga yang sering menjadi dilanda keadaan cuaca yang berjerebu. Hampir setiap tahun, kita sesak nafas apabila ruang udara dicemari habuk dan asap tebal. Bukankah kita sepatutnya semakin bijak dan belajar dari kesilapan lampau? Selalunya kita suka menyalahkan pihak lain, yakni warga asing yang membakar hutan di seberang sana tetapi jikalau ia tetap berulang pada setiap tahun,adakah itu juga sebab kemungkinan kita juga yang lalai sehingga membiarkan ia berulang? Saya masih melihat pihak-pihak tertentu yang membakar sampah-sarap walaupun tindakan itu boleh dikompaun pihak berkuasa tempatan. Nak tegur, nanti silap hari saya pula dibakarnya.. lebih baik diam dan marah dari jauh.

Saya masih ingat, pada lewat tahun 90an, masalah jerebu terlalu dahsyat sehingga pernah berlaku keadaan orangramai keluar rumah dengan memakai topeng, dan semua aktiviti di luar kelas terpaksa dibatalkan di sekolah. Saya masih ingat lagi situasi ketika itu, yang amat menyusahkan semua pihak. Pesakit asma dan kanak-kanak yang paling merana sebab kesihatan mereka yang mudah terjejas. Semoga keadaan itu tidak berulang lagi.

Alhamdulillah, keadaan di Seberang Jaya sudah semakin elok lagi walaupun setiap pagi ketika memandu ke tempat kerja, saya hampir sesak nafas [secara psikologi] melihat langit pagi yang agak suram disebabkan tebalnya jerebu. Terik matahari pula tidak seperti hari-hari biasa. Panas lain macam, seolah-olah di dalam sauna. Tak tahulah bagaimana di tempat lain, tetapi jikalau Jambatan Pulau Pinang pun tak nampak dari seberang, dah dikira teruk la.

buah luohanguo diambil dari http://blog.chinatraveldepot.com
Semenjak diserang laryngitis [jangkitan kerongkong] baru-baru ini, saya adakan stok tertentu di rumah. Beli di kedai sinseh. Alhamdulillah, semenjak amalkan minum segelas sehari, dah berkurangan panas badan. Minuman daripada buah Luohanguo [dalam bahasa Inggeris, dipanggil Buddha's fruit] ni bertindak menyejukkan panas. Tambah dengan bunga kekwa kering, boleh menguatkan sistem pernafasan terutama dalam keadaan berjerebu sekarang, insyaAllah. Hanya masukkan sebiji buah ni dan segenggam bunga kekwa kering, reneh dengan sedikit gula merah.
Hasilnya manis dan sedap.
Oleh sebab ia adalah buah kering dan dikategorikan sebagai herba, tiada masalah tentang halal haram memakannya. Oh ya, jika malas nak reneh setiap hari, sekarang sudah ada paket 3-in-1 yang dijual di kedai sinseh, hanya perlu tambah air panas saja.


Semoga Allah SWT berikan kesihatan yan baik kepada kita semua,ameen.
untuk bacaan Indeks pencemaran udara - singgah di sini http://www.doe.gov.my/apims/