Saturday, October 22

HIMPUN OH HIMPUN

Komen seorang saudara seagamaku di FB,
Salam saudara-saudara yang dirahmati Allah sekalian :)

Saya ingin bertanya kepada diri saya sendiri, dan setiap kita, 4 persoalan, sebelum kita beriya-iya nak cakap pasal HIMPUN, murtad, masalah umat Islam dll...

1. Sudahkah kita menghadiahkan terjemahan Al-Quran, dengan bungkusan yang special dan senyuman manis kepada saudara kita yang bukan Islam?

2. Sudahkah kita bercerita tentang Islam, sekurang-kurangnya kepada seorang bukan Islam, sekali seminggu?

3. Sudahkah kita membantu saudara-saudara baru yang terdekat yang kita kenali? Bantu mereka (hantar/memandu) ke pusat pengajian, belikan buku-buku, tudung, Quran dan lain-lain keperluan?

4. Sudahkah kita menginfaqkan sebahagian wang yang kita ada untuk aktiviti-aktiviti dakwah kepada bukan Islam & institusi-institusinya seperti Hidayah Centre, ABIM Outreach, Macma dll?

Jika sudah selesai ke-empat-empat perkara ini, hanya ada 2 kemungkinan :

1. HIMPUN sudah tidak perlu lagi diadakan...

2. HIMPUN di adakan dengan penuh semangat dakwah & kasih sayang yang merentasi bangsa dan warna kulit. Pertemuan di HIMPUN bukan lagi disajikan dengan pekikan slogan-slogan. Tetapi, dipenuhi dengan warna-warna ukhuwwah fillah dan kasih sayang... In fact di waktu itu, non-muslim pun boleh di alu-alukan hadir ke HIMPUN. HIMPUN menjadi satu medan magnetik dakwah yang besar, ada tea tarik session dalam kumpulan, persoalan-persoalan tentang dakwah dan Islam yang boleh diajukan dan dibincangkan dalam kumpulan-kumpulan kerja, sidang pleno dll.

Dan HIMPUN di waktu itu adalah himpunan kemanusiaan di mana Islam memayungi, sebagai rahmatan lil alamin!

HIMPUN oh HIMPUN...

Allahu'aklam...
Muhamad Zulkarnain 
Tambahan saya: 
5. Sudahkah kita berusaha menegur dan menyelamatkan akidah anak-anak muda beragama Islam yang sudah jelas menyimpang akidah mereka? Mereka yang merempit, bohsia, berpacaran, mengadakan seks rambang, tagih dadad dan lain-lain? Atau kita sekadar melihat dalam diam, anggap taida kaitan dengan agama Islam, marah dalam hati ,' anak siapa mereka tu? mak bapa tak ajarkah?' dan dalam hati berkata, 'kubur masing-masing'?
6. Sudahkah kita mempromosikan rasul kita yang disayangi, Nabi Muhammad saw kepada non-muslim dan sesiapa saja yang kita kenal? Atau kita masih sibuk buat promosi percuma untuk artiste, penyanyi palkon termasuk mereka yang tidak menutup aurat dengan sempurna melebihi yang kita lakukan untuk diri Rasulullah? 
7. Sudahkah kita menjelaskan kepada orang ramai bahawa Islam agama keamanan? Bahawa Islam is not a religion of war, Muslims are not terrorists? Sudahkah kita berusaha mengikis tanggapan negatif di kalangan umum? Di kala agama lain menghulurkan bantuan, menghulurkan kasih sayang, menghulurkan tangan untuk saling menghormati, apakah kita di Malaysia hanya mampu untuk mengecam, mengutuk, menggunakan ancaman dan juga mengugut, demi menyebarkan agama 'Islam' yang salah satu makna literalnya ialah 'kedamaian'? 
8. Adakah HIMPUN akan membantu mendekatkan yang mahu murtad/sudah murtad kepada Islam, mendakwahkan Islam sebagai agama yang benar dan indah kepada non-muslim atau menjauhkan mereka?
9. Adakah aktiviti ini akan membantu saudara baru untuk berdakwah kepada keluarga yang masih non-muslim, atau lebih mengeruhkan keadaan bagi mereka?
10. Adakah selepas HIMPUN, kita akan seronok dan selesa? Beranggapan bahawa kerja dakwah kita kepada non-muslim serta islah kepada muslim sudah selesai, dan puak tertentu sudah gerun?

Friday, October 14

JANGAN TAMAK - RAMAI DAH TERTIPU DENGAN COMPANY INI

"Kak, marilah duduk kejap.. tak perlu beli apa-apa, kami beri mug percuma."
Lelaki itu melambai-lambaikan sekeping kertas promosi ke arah saya di ruangan legar TESCO.
Memandangkan waktu itu baru lpas sekolah dan pasti jam sesak, saya pun ok la.
Saya duduk di kerusi yang disediakan. Lelaki muda itu meminta saya isi maklumat diri dalam borang yang disediakan. Saya sebenarnya dah agak, maka saya pun isi ala kadar saja.
"Saya dapat komisen setiap borang yang diisi," kata lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Farid, dari Negeri Sembilan.
"Tunggu kak, jangan pergi dulu. Saya nak terangkan tentang produk kami," katanya kemudian.
Saya lihat demonstrasi yang dilakukannya pada microwave oven. Ok la, boleh tahan.
Berapa harga barang ni?" saya tanya sekadar nak tahu.
"RM3388 jika cash. Tapi jika boleh bayar dengan kad kredit," terangnya.
Dia kembali dengan 2 keping kad bertampal.
"Kami ada buat promosi. Kak bukalah, boleh dapat diskaun RM100 hingga RM300 jika beli barang kami dengan kad diskaun ni, atau jika naib baik boleh dapat barangan percuma.Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu."
Saya lihat dalam fail yang diletakkan di atas mejanya. Ada contoh kad gores yang mendedahkan diskaun RM100, RM300, induction cooker, atau vacumn cleaner. Semuanya lebih dari RM3000 setiap satu.
Buka-buka kad itu, adalah gambar induction cooker, RM100 dan juga vacumn cleaner.
Si Farid itu terkejut. "Eh, kak... kenapa ada 2 barangan elektrik? Tak pernah ada pun gambar begini, nanti saya kena tanya supervisor."
Dia pun tinggalkan saya sekejap. Saya belek-belek fail di depan mata. Nmpak ada gambar beberapa orang dengan barangan elektrik yang dimenangi. Hmmm...
"Kak, bertuahnya kak. Supevisor kata sekarang kami buat promosi Deepavali, jadi hanya ada 10 saja kad ini yang dikeluarkan syarikat. Kak slaah seorang yang cukup bertuah. "
"Wah dapat 2 barang percuma jika beli satu barang elektrik lain. Tolak vacumn cleaner dan cooker, barang apa yang awak suka?"
Ini pamplet barangan mereka
Saya tunjuk microwave oven. Harga RM3388.
"Lihat, dua barang sudah harga biasa RM6000 lebih, tapi jika bayar RM3288 saja, boleh dapat 3 barang ini. Untung banyak loo," wanita Cina itu menyampuk.
Saya biarkan mereka bersandiwara. Satu senario yang pernah berlaku di tempat lain masih saya ingati lagi. Dalam hati, saya terus berzikir. Biar tenang.
"Ya la"  Farid terus angkat kotak microwave oven dan cooker lalu letak di tepi meja. "Jika beli satu saja barangan lain, boleh bawa balik sekarang," katanya.
Saya senyum.
"Kak boleh beli dengan cash atau kad kredit. Mana kak lebih suka?" tanya wanita Cina itu.
"Tentulah beli cash," saya jawab.
"Wah, pandai kak ni. Beli cash lagi bagus."
"Tapi saya tak perlukan semua tu," saya jawab dengan tenang.
"Eh, kak. Mana boleh kata tak perlu? Barang berkualiti, guna di rumah."
"Saya sudah ada barang-barang ini, tapi jenama lain. Buat apa nak beli lagi. Tadi kamu kata datang dengar saja, dapat mug percuma. Sekarang nak saya beli barang pula dengan harga RM3000 lebih, buat promosi pula, tak boleh jual," saya beri alasan.
"Promosi senang saja," pujuk Farid.
"Saya bincang dengan suami dulu," saya membuat keputusan.
"Kalau kak bagitau suami pun, dia takkan percaya boleh dapat free begini banyak barang," wanita Cina itu pula berkata.
"Dia yang akan bayar maaa, dia suami," saya pula senyum.
Wanita Cina itu tiba-tiba berkata," Kak nak beli atau tidak? Tak nak beli, takpe kita cancel."
"Ok, cancel saja," saya menjawab ringkas. Masih senyum. Saya berlalu pergi dengan mug yang diberi.

Hahahaaaa... ni pengalaman kali kedua dengan wakil syarikat yang sama. Mempromosikan barangan elektrik dan perkakasan rumah jenama AMG itali. Modus operadi yang sama. Barangan yang sama - Mahal tetapi kononnya hebat, environment friendly dan baik untuk kesihatan. Tapi harga sampai lebih RM3 ribu setiap satu.
Pandai mereka... cakap cepat, bijak memujuk, langsung tak berikan masa lama untuk saya berfikir. Tekanan demi tekanan secara psikologi diberi agar orang termakan pujukan lalu membeli, kononnya belian yang berbaloi. Untung bila beli 2-3 barang dengan harga itu. Dapat diskaun lagi. Bila dah tinggalkan mereka, barulah sedar rupa-rupanya mengapa beli barangan sampai RM3000 sedangkan boleh dapatkan benda yang sama tapi jenama lain dengan harga jauh lebih murah?

Syukurlah saya sudah biasa berada di bawah tekanan dengan para pelajar yang nakal dan memeningkan kepala tu. Pengalaman di Beijing dulu juga banyak memberi pengajaran. Alhamdulillah juga, terima kasih pada Allah swt kerana memang poket saya tak berapa berisi pada ketika itu, hehehee.. beg berat dengan susu perah untuk Ihsan.
Sekarang sudah ada 2 mug syarikat itu di rumah. Saya sebenarnya dah lalui pengalaman yang lebih kurang sama di Carrefourre tahun lalu. Kali ini saya kongsi dalam blog.

Mengapa?
Rupa-rupanya syarikat ini telah menipu ramai orang dengan modus operadi yang sama.
Mereka yang tertipu bila balik rumah dan bersembang dengan orang lain barulah sedar bahawa mereka sebenarnya membayar terlalu mahal untuk barangan elektrik.
Kes mereka yang tertipu sejak tahun 2007 masih belum selesai sebab syarikat ini akan gulung tikar dan tukar nama selepas penipuan mereka didedahkan.

Oleh itu, berhati-hatilah jikalau dihampiri oleh promoter syarikat digedung membeli-belah.
Mereka suka kita guna kad kredit sebab mereka akan dapat pulangan lebih.
Ubat untuk melawan mereka hanyalah satu - jangan tamak.
Jangan mudah terpedaya dengan gmik barangan percuma, diskaun dan hadiah promosi.
Bersederhanalah dalam hidup. Bersyukur dengan apa yang ada, buat keputusan membeli barang yang mahal dengan bijak.
Selamat membeli-belah.

nota: foto diambil dari blog  http://ana-mutiarahati.blogspot.com/2011/09/tektik-tipu-product-amg-italy-kat-tesco.html

Wednesday, October 12

SUSU

 “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan seorang ayah karena anaknya, dan warispun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah: 233).

"Nak pam la ni?" tegur Cikgu Dinah apabila saya menjengukkan kepala ke dalam biliknya.
"Apa lagi, hehehee..." saya jawab "Tolong jaga pintu jap, ya. Tak boleh kunci."
Syukur, setakat ini saya masih berpeluang mengepam susu badan di sekolah. 2 kali sehari, antara jam 7.30 pagi hingga 2.30 petang. Lokasi di Bilik Kesihatan sekolah, yang letaknya di tingkat bawah, tengah-tengah sekolah. Tak teruklah saya nak berulang sebanyak 2 kali dari bilik guru untuk tujuan itu. Waktu pengajaran yang ada kekosongan itu memberi peluang saya berehat sekejap sebelum memulakan sesi pengepam.
Pada mulanya, saya sangkakan ada la geng untuk sama-sama mengepam susu badan. Maklumlah ramai juga guru sekolah saya yang melahirkan anak pada tahun ini. Namun saya agak kecewa apabila bertemu dengan mereka yang baru habis cuti bersalin.
"Awak tak pam susu kah?"
"Tak, saya cuma menyusukan anak selama sebulan dalam pantang saja."
"Mengapa kejap saja? Ada masalahkah?"
"Susu tak banyak. Lagipun sekarang ok, senang nak pergi kursus dan mesyuarat," jawabnya bersahaja.
Saya diam. Nak kata apa, itu keputusannya. Patutlah nampak dia relaks saja selepas kembali dari cuti bersalin. Aktif menyertai kegiatan sana sini..huhuhu.
"Aliya pam susu berapa kali di sekolah?"
"2 kali saja, tak banyak pun tapi saja nak bagi biasa, agar susu tak kering," saya jawab.
"Ok la tu, saya satu hari mengepam 2 kali saja, itu pun di rumah," kata Cikgu Ani.
"Mengapa tak buat juga di sekolah?"
"Susu badan tak banyak.Puting pula tenggelam.Lebih selesa buat di rumah"
"Selesa di rumah tapi saya pam juga di sekolah. Alhamdulillah dapat juga 6-8 oz sehari, baik dari tak ada. Teruk juga nak tahan tak ekpres sehingga sampai ke rumah.Sakit dada."
"Awak simpan susu di mana?"
"Bawa bersama, hahahaa... Peti ais bergerak.. ni ha, ada cooler bag siap dengan ice pack.. mudah nak simpan susu."
"Tahankah sampai balik rumah?"
"InsyaAllah, tahan. Setakat ni tak ada masalah."
Ramai yang memberi alasan susu badan tak banyak. Saya faham, sebab dulu ketika kembali ke sekolah selepas melahirkan Ikram juga, saya tak mengepam di sekolah. Memang susu tak banyak tapi gagah jugalah nak teruskan menyusukan anak, walaupun sedikit. Baik daripada takj bagi langsung. Itupun alhamdulillah, dapat berikan sehingga saya mengandung. Selepas itu, susu badan terus berkurangan. Kasihan Ikram, hanya dapat susu saya selama 6 bulan.
Dengan Ihsan, saya usaha lagi. Semasa mengandung, lebih banyak mendapatkan info tentang penyusuan susu badan. Saya beli pam elektrik Medela Swing yang agak mahal, sebagai galakan untuk terus mengepam susu. Tak berbaloi rasanya nak henti mengepam dan menyusukan anak selepas berbelanja beratus-ratus ringgit membeli alat canggih itu. Hasilnya Ihsan dapat susu badan hampir 100% sekarang. Tak berani nak mengaku menyusu secara eksklusif sebab ada kalanya terpaksa berikan juga susu formula.
Di sekolah, saya hanya memerlukan kira-kira 10 minit untuk mendapatkan 3-4 oz susu badan. Susu itu saya simpan dalam cooler bag yang dimasukkan ke dalam beg galas. Masuk ke dalam kelas pun dengan beg itu. Akibatnya, beg tangan dan barang-barang saya yang lain dalam beg galas itu agak sejuk sebab adanya cooler.
Balik saja ke rumah, saya masukkan 2 botol itu ke dalam peti sejuk. Keesokan awal pagi, saya masukkan botol-botol itu semula ke dalam beg untuk diserahkan kepada pengasuh Ihsan di taska, siap dilbelkan dengan nama dan nombor 1 hingga 3. Sebotol lagi itu hasil pengepaman saya pada waktu petang.
Pada mulanya saya nak bekalkan 4 botol ke taska tetapi pengasuh itu memberitahu, buat masa ini, cukup setakat 3 botol 4 oz.

"Aziah, kesian kat saya la.. takde geng. Tunggu awak bersalin dan kembali ke sekolah tahun depan baru dapat member," saya mengadu kepada kawan yang tengah sarat mengandung.
"Mengapa?"
"Nampaknya saya seorang saja yang mengepam susu di sekolah."
"Betul ker? Yang lain tak?"
"Nampak gaya begitulah. Bagilah motivasi pada saya, tak semangat rasanya nak buat seorang-seorang ni."
"Ha.. kak Aliya, fikirkan anak tu. Minum susu badan, insyaAllah anak sihat, tak banyak sakit. Lagipun jimat duit, bukan?"
"Tahulah.. sebab tu dok gagah juga mengepam ni."
"Tahu tak pe," Cikgu Aziah tersenyum.

"Ihsan tak nak susu bancuh," saya mengadu pada suami.
"Tu la, awak bagi banyak sangat susu badan, dia dah tak nak susu lain."
"Nak buat macam mana? Susu badan saya berikan 3 botol 4oz kepada pengasuhnya setiap hari, habis minum di sana. Balik bagi susu badan,Berikan susu formula, dia buat muka, tak suka minum."

Alhamdulillah Ihsan sudah semakin tembam. Banyak minum susu terutama pada waktu malam sebelum tidur. Saya bersyukur sebab dapat menyusukannya sekarang walaupun agak letih sebab terpaksa berulang-alik ke bilik khas itu di sekolah untuk tujuan mengepam. Masa rehat menjadi pendek. Tak payah nak pergi ke London atau New York pun, berjalan ulangalik beigtu oun sudah memadai, hehehe.


"Alamak... macam mana ni?"
Saya dilantik menjaga peperiksaan SPM pula pada tahun ini. Jadual peperiksaan sangat padat, dan kemungkinan untuk saya rehat dan mengepam susu agak rendah. Tambahan pula di sekolah lain. Saya pasti akan terpaksa memilih dalam 30 minit itu, sama ada untuk makan atau untuk mengepam susu. Nak tolak pelantikan ini, tiada guru lain yang mahu ganti tempat saya.
Hmmmm... pening memikirkan strategi agar pengepaman susu dapat terus dijalankan, dan tugas sebagai penjaga periksa dapat dilaksanakn dengan baik. Bagaimana ya?

Friday, October 7

POTONG TANGAN SAJA?

"Hudud tak sesuai di Malaysia laa..." komen Cikgu Lee [bukan nama sebenar] dalam bilik guru.
Saya dan Cikgu Aziah [juga bukan nama sebenar] saling berpandangan.
"Mengapa kata begitu, Lee?" Cikgu Aziah bertanya.
"Kalau semua ikut hudud, nanti ramai la yang akan dihukum potong tangan sebab mencuri," Cikgu Lee menyuarakan pendapatnya.
Saya tersenyum, lalu memberi signal kepada Cikgu Aziah untuk terus berhujah.
"Sebenarnya Lee, hudud itu bukan setakat potong tangan, tau. Menurut hukum hudud, sebelum dijatuhkan hukuman potong tangan pada pencuri, kita kena selidik dulu mengapa dia mencuri. Bila dah sah dia tak ada sebab munasabah yang menyebabkan dia mencuri, dia curi sebab seronok atau nak balas dendam, barulah kita jatuhkan hukuman potong tangannya. Tapi jika didapati dia mencuri sebab dia kelaparan atau sebab dia tak ada kerja untuk beri makan kepada anak-anak di rumah, kita tak boleh hukum dia dengan potong tangan. Sebaliknya pemerintah mesti berikan dia pekerjaan supaya dia boleh dapatkan wang cara halal untuk sara keluarga," terang Cikgu Aziah secara panjang lebar.
"Oh, macam tu kah? Kira kalau dia mencuri sebab nak bagi anak dia makan, tak kena potong tangan laaa?"
"Betul, tapi kita mesti berikan dia pekerjaan supaya dia boleh berdikari. Tapi jika sudah diberi pekerjaan dan dia tak mahu kerja, masih tetap mencuri, maka barulah hukuman itu boleh dijatuhkan ke atasnya."
"Potong tangan mana, kanan atau kiri?" tanya Cikgu Lee lagi.
"Tangan mana yang dia gunakan untuk mencuri," jelas Cikgu Aziah lagi.
"Potong di mana, ya? Di siku kah?" nampaknya Cikgu Lee semakin berminat nak tahu.
Cikgu Aziah yang mengajar Sains itu tetap sabar melayan soalan Cikgu Lee.
"Potong pergelangan tangan."
"Guna apa potong? Pisau atau pedang?"
"Pisau yang paling tajam," jelas Cikgu Aziah lagi.
"Mengapa mesti pisau tajam?"
"Supaya tak sakit dan sekali potong saja. Jika guna pisau tumpul, ia akan mengambil masa dan akan menyeksa orang yang dihukum," saya menjawab.
"Betul, mesti pisau tajam. Sama seperti menyembelih binatang, mesti pisau tajam. Tak boleh pisau tumpul," sokong Cikgu Aziah.
Hanya kami bertiga dalam bilik guru. Perbualan semakin hangat.
"Kalau ikut undang-undang sivil, orang yang ditangkap mencuri akan dihukum penjara walaupun dia buat begitu kerana anaknya kelaparan dan dia takde duit membeli makanan. Kasihan bila baca tentang ibu tunggal dimasukkan ke penjara beberapa bulan kerana mencuri setin susu untuk minuman anaknya. Jika ikut hudud, ibu itu akan diberi pekerjaan, tak perlu masuk penjara, dan tangannya juga tak perlu dipotong," saya sambung lagi.
Cikgu Aziah mengangguk setuju.
"Betul, hudud bermaksud mencega, dan ia sebenarnya sebagai langkah pencegahan, bukan untuk menghukum. Jika kita kaji betul-betul, hudud sebenarnya lebih bersifat perikemanusiaan. Malangnya ramai orang salahfaham dan hanya memandang hudud dari satu sudut saja, iaitu mesti potong tangan jikalau mencuri. Ia sebenarnya lebih kompleks."
"Betul, dalam beberapa situasi, Islam membenarkan seseorang mencuri. Tak percaya? Misalnya seorang isteri dibenarkan mencuri wang suaminya yang kedekut sehingga gagal memberi nafkah kepada keluarga, dengan syarat jumlah yang dicurinya itu tidak lebih daripada yang perlu.Seorang pekerja dibenarkan mengambil upah daripada majikan jika beliau gagal dibayar gaji untuk kerja yang dilakukan. Dalam kedua-dua situasi, mereka tidak akan dihukum potong tangan, tau," saya sambung lagi.
"Oh, begitukah?" Cikgu Lee kelihatan terkejut dengan penerangan kami berdua.
"Ya, betul. Hukuman hudud berniat untuk mencegah jenayah."
"Tapi jika berzina, tentu tak sesuai kerana ia menganiayai kaum wanita. Wanita dirogol akan dihukum sebagai penzina."
"Lee, jenayah hudud ada beberapa saja iaitu berzina, minum arak, mencuri, merompak, dan tuduh orang lain berzina. Orang yang menuduh seseorang itu berzina mesti kemukakan 4 saksi yang boleh dipercayai, yang lihat berlakunya kejadian itu dengan mata mereka sendiri; bukan boleh tuduh suka-suka saja.Jika timbul keraguan pada salah seorang daripada 4 saksi itu bahwa tertuduh itu tidak berzina, dia tidak boleh dihukum ikut hudud lagi sehinggalah dapat tampil saksi baru yang menuduhnya."
Cikgu Lee mengangguk perlahan-lahan, nampaknya semakin faham selepas penerangan kami yang panjang lebar.
"Lee, you jangan risau. Hudud wajib untuk orang Islam saja kerana ia hukum Allah, bukan ciptaan manusia sendiri. Orang bukan Islam tak perlu takut sebab kamu takkan dihukum ikut hudud walaupun bersalah. Yang perlu takut hanyalah orang Islam yang suka melakukan perbuatan terkutuk itu iaitu penzina, pemabuk, perompak, pencuri dan penyebar fitnah. Lagipun belum tentu akan dapat dilaksanakan hudud sebab hanya pemerintah saja yang boleh jalankan hukum hudud. Kami rakyat biasa beragama Islam tak boleh jalankan hukum hudud."
Alhamdulillah.. dua guru bukan opsyen pendidikan Islam, akhirnya berjaya menyakinkan rakan sejawat kami yang nonMuslim untuk tidak takut dengan hudud.

Monday, October 3

THE BALLOONS

His Abah came home with two helium-filled balloons. One blue, the other white.
16-month-old Ikram laughed and was very excited. We gave him the balloons, tied to a long piece of string. The balloons floated to the ceiling and he stared at them in bewilderment.
I pulled them down for him. Once again, he laughed and started to play.
Suddenly, they floated to the living room and up toward the ceiling fan. I rushed to switch off the fan, fearing that the balloons would burst and frighten the children. Fortunately, they didnt burst. Instead, they were entangled to the fan and couldn't be pulled down.
Ikram started to cry.
His Abah had to carry the ladder, climb up to the ceiling, and take down the balloons. He washed them under the tap while Ikram stood and watched.
We thought that he would be happy to get back the balloons.
We handed the clean balloons to him but he simply refused to take them. Instead he was all teary-faced. All attempts for him to hold the balloons were futile. He seemed to be afraid of the two balloons and wouldnt go anywhere near them.

That was four days ago. Ikram still seems fearful of the balloons.
I dont know what goes on in his mind that causes him to be so afraid.
Now I'm having problems trying to coax him to be brave again and to go near the balloons.

One thing for sure, the housephone is on its hook for the first time this year.
Ikram has not touched it since that fateful day.
The reason? The balloons are left next to the phone.

Sunday, October 2

DIA BOLEH LULUS

Cikgu Baharudin tersenyum lebar sambil berjalan masuk ke bilik guru..
"Syamsul (bukan nama sebenar) lulus Matematik," katanya dengan bangga.
Kami semua terkejut.
"Syamsul, budak 6 Harapan yang tak boleh tulis namanya dengan betul tu? Tak caya la," kata Cikgu Kamariah.
"Aku taulah awak takkan 'caya, sebab tu aku bawa slip keputusan UPSR dia," jawab Cikgu Baharudin sambil menunjukkan slip itu kepada kami di bilik guru.
Kami semua yang berada dalam bilik itu segera menerpa ke arah meja.
"Betullah, Syamsul lulus Matematik. Tu saja subjek yang dia lulus dalam UPSR," Cikgu Kamariah akhirnya mengaku. Dia masih terkejut dengan berita itu.
"Din, apa ilmu yang awak pakai? Berbuih mulut aku ajar BM, dia tak lulus pun," ujar Cikgu Rozita pula.
"Dia tu memang lemah, tapi ikut cakap. Aku suruh dia hitamkan semua B dalam kertas jawapan," Cikgu Baharudin ketawa penuh makna.

Bila sebut sahaja UPSR, saya akan terkenangkan kisah Syamsul. Itu tahun 90-an, semasa semua soalan UPSR berbentuk pelbagai pilihan, yang sekadar memerlukan calon menghitamkan jawapan yang betul pada kertas jawapan.
Setiap tahun, kami guru-guru terutamanya yang mengajar kelas Tahun 6 pasti tertekan apabila mengajar pelajar kelas terakhir. Pasti ada yang masih belum menguasai 3M, walaupun mereka dihantar ke kelas pemulihan. Ada yang sampai nama sendiri pun tulis tak betul. Ya lah, itu sekolah luar bandar, dan ramai pelajar hanya bergantung pada guru sekolah untuk peningkatan dalam akademik. Kebanyakan ibu bapa pula serah bulat-bulat kepada pihak sekolah untuk pendidikan anak-anak. Oleh yang demikian, pelbagai kaedah dan teknik digunakan untuk membantu mereka agar lulus dalam peperiksaan umum itu.

Pihak PPD menekan guru besar. Guru Besar pula menekan guru-guru. Guru-guru akhirnya menekan murid. Namun alhamdulillah, sepanjang perkhidmatan saya di sekolah rendah [1992-2006], tak pernah kami warga sekolah menghalang pelajar daripada mengambil UPSR. Walaupun kami tahu bukan semua yang akan lulus.
Sebaliknya kami yang kalut setiap hari sepanjang musim peperiksaan. Takut ada pelajar yang tidak hadir. Membilang dan membilang jumlah mereka yang bakal masuk ke dalam dewan peperiksaan. Malah pernah guru bertugas mengetuk pintu rumah pelajar yang tidak datang ke sekolah pada awal pagi. Dia didapati tertidur. Mujurlah sempat menduduki kertas tersebiut walaupun lewat beberapa minit.

Berita terbaru tentang pelajar-pelajar Tahun 6 yang dihalang daripada menduduki UPSR amat mengecewakan saya. Terdapat guru yang tergamak menghalang anak didik mereka sendiri daripada mengambil peperiksaan umum itu. Semuanya gara-gara nak jaga prestasi sekolah, dan mengejar KPI yang tinggi.
Jikalau itu adalah anak mereka sendiri, apakah perasaan mereka pula?