Tuesday, July 9

BUKAN SALAH RAMADHAN

"Assalamualaikum, Ramadhan. Wah, tak lama lagi orang beragama Islam di Malaysia akan menyambutmu, dah bersedia ke belum?" Rejab menegur saudaranya, Ramadhan.

Ramadhan tersengih.

"Waalaikumussalam, Rejab. InsyaAllah, saya memang bersedia," jawabnya ringkas.

"Saya tinggal beberapa hari lagi sebelum menghulurkan baton ini kepadamu, wahai Ramadhan. Seronok saya melihat orang-orang Muslim di negara ini berpusu-pusu ke pasar raya membuat pelbagai persiapan untuk menyambut kedatanganmu," kata Syaaban pula.

"Begitu? Alhamdulillah, suka saya mendengarnya," Ramadhan berkata dengan tenang. "Tapi saya harap mereka tidak terlalu leka dengan membeli-belah sehingga terlebih belanja."

"Betul tu, Ramadhan. Setiap tahun saya perhatikan, ramai kaum Muslimin dan Muslimat yang berpuasa di sini suka berbelanja berlebihan semasa mereka berpuasa wajib. Mereka memberi alasan bahawa mereka lapar sebab berpuasa pada siang hari, maka mestilah makan lebih pada waktu berbuka puasa pula... ganti balik tenaga yang hilang," kata Syaaban.

"Hahahaa.. itu alasan nak makan lebih la tu," ketawa Syawal terbahak-bahak. "Padahal yang sunat sebenarnya adalah makan secara sederhana semasa berbuka puasa, sebab maksud puasa di bulan Ramadhan itu sendiri ialah menahan diri daripada makan dan minum dari terbut fajar sehingga terbenam matahari serTa perkara-perkara yang membatalkan puasa. Jikalau makan berlebihan sehingga senak perut, itu sudah melampaui batas."

"Setuju, tujuan berpuasa pun sebab mematuhi perintah Allah SWT. Saya bersyukur sebab ketika saya bertugas, umat Islam hanya berpuasa sunat sahaja. Mereka jarang dilihat makan berlebihan semasa berbuka puasa, tak seperti amalan mereka semasa bulan Ramadhan."

"Aduh, memang saya susah hati setiap kali tiba giliran saya bertugas, saudara-saudara. Saya lihat ramai manusia yang berbuka puasa dengan pelbagai jenis lauk dan makanan sehingga ada makanan yang tidak dapat habis dimakan. Lepas tu, dibuangnya pula makanan berlebihan tersebut sebab sudah basi. Itu satu pembaziran dan Allah marah pada orang yang membazirkan makanan."

"Betul tu. Malah ada juga manusia yang suka memberi alasan mereka berpuasa untuk menjadi malas semasa bulan Ramadhan al-mubarak ini. Sepatutnya mereka yang berpuasa menjadi lebih rajin, lebih berusaha dan bersemangat sebab mahu mengejar pahala bekerja dengan baik semasa berpuasa. Ini sebaliknya pula; beri alasan letih sebab berpuasa untuk curi-curi tidur dan membuat kerja lambat-lambat," komen Syaaban lagi.

"Saya serba salah setiap kali saya bertugas sebab saya sendiri tak dapat tegur mereka yang menjadi lalai. Mereka yang berpuasa  tetapi bersikap malas itu sepatutnnya tahu bahawa perbuatan mereka itu salah dan mengundang dosa. Tambahan lagi, bila umat Islam yang berpuasa sengaja menjadi malas dan kurang bersemangat atas alasan mereka berpuasa, apa tanggapan yang mereka berikan kepada kawan-kawan dan rakan sekerja mereka yang bukan beragama Islam? Tentu sekali gambaran negatif bahawa berpuasa itu meletihkan, puasa tu satu masa untuk membuat kerja dengan ala kadar dan bulan Ramadhan juga mesti balik awal untuk membeli-belah juadah berbuka di bazaar Ramadhan. Rosak nama baik saya pula sebab orang bukan Islam akan kaitkan saya dengan bulan umat Islam di sini menjadi malas dan kurang produktif," terang Ramadhan dengan nada sedih.

"Jangan begitu, Ramadhan. Bukan salah awak. Salah manusia beragama Islam yang masih kurang kesedaran tentang amalan semasa bulan mulia ini. Sebenarnya umat Islam ketika zaman Rasulullah tetap kuat semasa bulan Ramadhan; mereka berpuasa tetapi masih boleh menang Perang Uhud. Sekarang umat Islam negara ini pula suka mengaitkan bulan puasa dengan amalan berterawih pada waktu malam, amalan berbuka puasa beramai-ramai tetapi tak ramai pula yang kaitkan puasa dengan amalan rajin dan produktif. Sayang sekali, sebab sekiranya mereka sedar dan melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan baik walaupun semasa berpuasa, insyaAllah pahala yang mereka terima tentu berganda."

"Ya, benar tu. Bagi pelajar, mestilah rajin belajar seperti selalu. Jangan pula lupa bersahur dengan alasan bangun lewat sebab bersahur adalah wajib bagi umat Islam yang berpuasa. Ramai remaja yang boleh main game sehingga awal pagi tapi bila disuruh bangun bersahur, ada pula alasan tak larat. Teruklah cam tu! Ada pula pelajar yang enggan membuat latihan bertulis yang diberi guru dalam kelas dengan berkata mereka letih berpuasa. Semua itu alasan yang tidak sepatutnya digunakan semasa berpuasa," Syawal menyampuk.

"Kasihan sungguh Ramadhan melihat umat Islam di sini. Ketika awal bulan, masjid masih penuh dengan Muslim yang mahu menunaikan solat terawih tetapi menjelang akhir bulan, semakin susut pula bilangan mereka. Ke mana mereka pergi? Rupa-rupanya banyak yang berada di pasar raya selepas berbuka untuk membeli belah barang persiapan Aidilfitri.Siang mereka tak mahu pergi membeli-belah sebab letih dan mahu tidur, lepas berbuka puasa barulah mereka bertolak keluar rumah. Padahal ketika akhir-akhir bulan barulah mereka boleh menyambut Lailatuqadar."

"Betul. Sebaik-baiknya mereka bersedia mulai bulan Syaaban lagi untuk sambutan Aidilfitri. Tak perlulah bersusah payah membeli-belah sehingga terlepas solat terawih terutama bagi lelaki Islam."

"Saya amat berharap biarlah tahun ini ada semakin ramai umat Islam di sini yang berubah sikap dan pemikiran mereka. Sambutlah saya dengan baik dan lakukan segala amalan yang boleh menambah pahala, jauhilah segala yang boleh mengundang dosa dan fitnah."

***************************************************************************
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK.



Monday, July 8

PENING DENGAN FESYEN TUDUNG !!!

"Dik... berapa harga tudung ni?" saya membelek-belek tudung merah jenis instant yang tergantung di gerai.
Operasi membeli tudung sebagai cenderahati kepada guru yang bertukar menjadi tugasan terbaru saya baru-baru ini. Cikgu itu gemar memakai tudung 3 lapis, lalu saya sangka mudahlah untuk mendapatkan sehelai yang baru untuknya.
Wanita muda yang menjaga gerai tudung itu tersenyum. "Tujuh puluh ringgit saja," jawabnya.
"RM70?" saya melihat tudung merah yang disulami batu berwarna-warni. Fesyen terkini. Hmmm, tak jadi nampaknya. Bajet yang diberikan kepada saya itu kurang daripada harga itu.
"Yang ni pula?" saya memilih pula tudung 3 lapis yang agak pendek.
"Yang tu baru RM55, kak. Saiz M."
"Saiz L takde ker?"
"Ada tapi harga RM70."
"Oh" saya terdiam.
Aduh, pening juga. Setelah lama tidak membeli-belah tudung dengan fesyen yang terbaru, rupa-rupanya harga sehelai tudung terkini sudah melambung naik sehingga RM70 sehelai. Itupun belum kira lagi tudung yang 'branded'.
Saya membelek-belek lagi tudung-tudung berwarna-warni yang ada di gerai itu. Jam telah menunjukkan pukul 4 petang. Saya ada sejam lagi untuk mendapatkan sehelai tudung yang sesuai dijadikan hadiah. Akhirnya saya mengambil keputusan ke gerai lain.
Gerai kedua dan ketiga juga tidak membuahkan hasil sepertimana yang dikehendaki. Mahal satu hal, ada tudung yang agak pendek pula. Tidak cukup syarat untuk sehelai tudung yang diperlukan untuk menutup aurat seorang Muslimah. Say tak mahu mengundang dosa pula dengan menghadiahkannya tudung yang tidak menutupi asetnya dengan sempurna.

Hampir sedozen helai tudung yang saya keluarkan daripada rak, sebelum berjaya mendapatkan yang sesuai. Syukur, akhirnya wang bertukar tangan dan tudung yang dibeli selamat dimasukkan ke dalam beg.
Membeli-belah selama 2 jam itu menyedarkan saya betapa peningnya seseorang wanita yang pergi membeli tudung. Jikalau dahulu hanya perlu pilih warna yang sesuai, kini perlu juga pilih samada nak tudung syria, tudung siti, tudung yuna, tudung bawal berjahit bunga reben, tudung 3 lapis yang bersulam batu kristal, shawl pashmina yang panjang, tudung lycra twisted, tudung dubai dan macam-macam yang saya sendiri tak ingat namanya. Semuanya harga boleh tahan gak, ada yang mencecah beratus ringgit walaupun pada mata kasar saya, tak cantik mana pun. Silap masuk mesin basuh automatik, hancur juga.

Hmm, setahu saya [maaf nooh jikalau apa yang saya bakal tulis ni tak disukai sesetengah pihak] tujuan tudung adalah untuk menutup aurat, terutamanya rambut dan bahagian dada seorang Muslimah. Maka jika memakai tudung yang terlalu menyerlah dengan batu-baru kristal yang bersinar-sinaran, dan warna-warna terang yang menarik perhatian, adakah ia bakal mengundang perhatian yang tidak diingini?
Memakai tudung yang mahal sehingga beratus ringgit, apakah agaknya reaksi si pemakai jika ada orang tidak sengaja tertumpah kari ke atas tudung ekslusif itu? Mungkin menjerit dan marah-marah?

Hairan juga, ada tudung yang mahal tetapi tidak menepati syariat Islam, iaitu ia tidak menutup bahagian dada si pemakainya. Dengan kata lain, aurat wanita itu masih terdedah.
Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka..”[surah an-Nur:31]
Mungkin ada yang akan berkata, " A la, asalkan dah tutup rambut.. itu lebih baik daripada tak pakai langsung!"
Benar, pakai tudung itu memang lebih baik daripada tidak memakai tudung langsung. Tapi saya mahu mengingatkan, jika dah pakai tu, sendiri maulah beringat. Buat yang terbaik, tutup yang wajib. Bukan bertudung sebab semua orang pun bertudung; bukan bertudung sebab mahu ikut peredaran fesyen. Sebagai Muslimah berpengetahuan, janganlah kita jadi hamba fesyen. Tutuplah apa yang patut, belilah mengikut kemampuan sendiri.

Satu lagi, bila dah bertudung tu [tudung mahal dan cantik pula], janganlah pandang semacam ke atas saudara seagama kita yang masih belum bertudung. Elakkan daripada memandang sinis, mengkritik di hadapan dan di belakang, mencaci dan menghina semata-mata sebab mereka orang Melayu Islam [saya tulis melayu sebab susah nak kenal Muslimah bangsa lain jikalau mereka tidak bertudung] yang masih bebas freehair. Anggap sahaja mereka itu golongan yang masih belum cukup kuat untuk menyarungkan tudung kepala; oleh itu berdoalah agar mereka diberi hidayah dan kekuatan oleh Allah untuk menutup aurat. Ataupun berusahalah berdakwah kepada mereka terutama ahli keluarga dan kawan-kawan yang masih freehair dengan berbuat baik dengan mereka, dan menghadiahkan tudung yang cukup syarat.
Sedarilah kawan-kawan, Allah berikan kita hidayah untuk bertudung, dan untuk anak-anak gadis kita bertudung supaya kita boleh menjalankan dakwah kepada orang lain pula - bukannya dengan berlagak sombong dan alim dan mengata mereka sebagai degil sesat, dll di belakang mereka. Tak baik macam tu, Allah dan Nabi tak suruh kita buat begitu.

InsyaAllah, buatlah perubahan sempena Ramadhan ini - tak kiralah tudung apa anda dan keluarga anda pakai - dengan mengajak semua kenalan kita agar menutup aurat dengan sempurna.
Yang paling dibenci didengari dan patut dielakkan adalah mendengar orang lain berkata," Eleh, pakai tudung  tetapi malas bekerja, sombong dan mengumpat orang!"

p/s : Lepas ni, saya nak beli tudung saji.. tak pening beli tudung jenis ni, hehehe.





Tuesday, July 2

BILA BEKERJA SEBAGAI MUSLIMAH, INILAH DIKATAKAN CABARAN...

Dulu sebelum masuk Islam saya tak kisah sangat, janji hati senang, kerja jalan.
Namun tahun ini, di tempat kerjaku kini, semakin terasa cabaran bekerja sebagai seorang Muslimah. Sebagai seorang wanita pekerja beragama Islam.
Apa hal ni, Aliya?
Ya lah, tatkala orang lain masih sibuk bersembang tentang itu dan ini, saya dah sibuk angkat beg untuk ke kelas. Takut pelajar buat hal dalam kelas tanpa pengawasan guru. Takut pada hari saya terlewat, pengetua masuk dulu untuk memantau [alhamdulillah, tak pernah berlaku]. Yang utama, takut duit gaji masuk untuk bulan itu kurang halalnya sebab saya sengaja lewat masuk mengajar. Aduh, bukan senang nak jadi pekerja Muslimah.

Semasa orang lain seronok bersembang macam-macam hal di meja lain, kepala saya belum angkat dari tugas menyemak buku latihan, menulis rekod mengajar, mencari bahan mengajar, menyelak fail untuk data pelajar, dan sebagainya. Siapa yang duduk dekat saya di bilik guru jangan marah ya jika saya tak bersembang dengan anda sepanjang hari. Bukan tak mahu tapi ada masanya sibuk sangat-sangat.

Jangan marah ya jikalau saya memilih jalan yang paling kurang disukai untuk proses kerja harian. Maksudnya jika saya buat kerja mengikut SOP yang telah disenaraikan itu, jangan marah, ok. Sebab saya tahu ia menyusahkan, banyak karenahnya dan ramai yang tidak suka. Ramai lagi yang suka ambil jalan mudah.

Jangan marah juga ya, jikalau saya pilih untuk lakukan sesuatu yang anda sendiri tidak mahu dan tidak sanggup buat walaupun itu sebenarnya dalam senarai tugas anda. Alasan anda bahawa tiada siapa yang akan ambil peduli bukanlah alasan yang baik bagi saya. Mungkin manusia biasa tak ambil peduli tapi Allah Maha Mengetahui. Saya mahu semua yang saya lakukan dalam pekerjaan saya itu diberkati Allah.Jikalau itu disenaraikan dalam tugas yang telah diamanahkan kepada saya, insyaAllah saya akan lakukan dengan sebaik mungkin sebab saya mahu setiap sen yang saya terima sebagai gaji itu halal. Jikalau terpaksa menghampakan anda atau membuat anda terkena 'tempias' yang selama ini anda terlepas, anggaplah itu juga satu proses kerja. Maaf ya.

Jikalau saya telah melakukan perkara-perkara yang selama ini tiada orang lain yang juga bergelar Muslimin dan Muslimat lakukan demi menjaga silaturahim dan semangat setiakawan, harap terimalah ia dengan hati yang terbuka. Nak marah pun marahlah tapi tolong jangan cakap di belakang saja, mengata-ngata kepada orang lain padahal saya sebenarnya telah membantu anda melakukan kerja yang sepatutnya anda sendiri lakukan. Saya buat semua sebab saya mahu ada perubahan demi kebaikan anak murid dan nama baik tempat kerja kita. Saya lakukan juga atas arahan. Nak marah marahlah depan saya; berdosa mengumpat di belakang tau. Ingat tu.

Saya bekerja bukan untuk mendapat kawan baik. Bukan untuk menjadi orang yang paling popular di tempat kerja. Saya kerja sebab memang itu tugas saya. Amanah yang diberikan wajib dipikul dengan penuh tanggungjawab. Bukan dengan mencuri tulang. Bukan dengan menggaji pula orang-orang kecil tertentu untuk melakukan kerja saya, sebagaimana yang anda suka lakukan dengan alasan terlalu banyak kerja -padahal anda sebenarnya sibuk bersembang.

Jikalau dah 'meluat' melihat muka saya, tak apa. Saya tak marah pun; saya tetap senyum manis.
Jikalau terasa hati dengan teguran saya yang tidak berlapis, anggaplah ia teguran tajam tapi benar.
MasyaAllah, jikalau saya perlu menjaga hati anda-anda semua setiap masa, tak berani melakukan perubahan sbab anda adalah orang lama di tempat kerja... mungkin makin mundurlah anak bangsa dan generasi pelapis kita.
Saya masih sedar, saya dan anda semua adalah hamba Allah.
Wang gaji, rezeki kita terima Dia yang bagi.
Silap-silap nanti, Dia berikan kita dalam bentuk gaji, Dia jua tarik balik duit itu dalam bentuk lain sebab kita tak melakukan kerja dengan amanah. Nauzu'billah.
Marilah berubah sekarang, sebelum terlambat.