"Rasa menyesal pula sebab pergi sana," sister mualaf itu mengadu dalam perbualan telefon.
"Mengapa?"
"You pun tahu bukan senang nak bawa dua anak kecil dua tiga tahun ke satu-satu majlis, kena siapkan awal-awal dan berdoa agar mereka kekal kemas dan tak meragam. Saya minta suami tolong temankan kami ke surau, sebab ada program sambutan Maulidur Rasul. Alhamdulillah sempatlah kami dengar ceramah yang disampaikan tentang Rasulullah SAW walaupun pada penghujungnya. Orang agak ramai, dan seperti biasa bila pergi masjid dan surau, kami dipisahkan ikut jantina. Saya bawa anak bongsu masuk ruang muslimah. Memang dah biasa gitu, tak kisahlah. Yang berlaku lepas ceramah tu yang benar-benar made me frust!"
"Apa yang berlaku?"
"Bila habis ceramah, ada jamuan tengah hari. Saya malas nak turut serta sebenarnya sebab maklumlah, bukan senang nak uruskan anak-anak kecil sambil makan di tempat orang. Tambah dengan suasana surau yang masih asingkan lelaki-perempuan. Tapi suami tak setuju; dia nak bertemu dengan orang surau. Katanya bukan selalu dapat berjumpa, jadi mau tak mau saya ikut gak katanya. Saya disuruhnya menyertai muslimah lain untuk makan tengah hari. Ingatkan makan di bawah khemah seperti orang laki tapi bila saya tinjau, rupa-rupanya kami kaum muslimah terpaksa beratur panjang mengambil makanan di dalam bangunan surau."
"Kira berpisah dengan suami gak la?"
"Ya, bayangkan berderet satu barisan panjang semua muslimah yang ada di surau tu beratur menunggu giliran ambil nasi dan lauk. Saya tak nak kecoh, lalu saya pun masuk baris sambil mendukung Hakim. Bila dia tengok orang ramai, dia jadi merap, dan mahu didukung. Saya sempat gak bersembang dengan beberapa muslimah lain yang saya kenal tapi sembang sajalah sambil dukung anak. Hampir 10 minit gak saya beratur sebelum sampai ke meja lauk dihidangkan. Kalau bukan sebab kesiankan anak yang lapar dan dahaga sebab ceramah lama, saya dah tinggalkan surau tu."
"Takde orang tolong bawakan makanan kepada awak ker? Kesiannya, beratur lama sambil dukung anak.."
"Itulah... saya terkilan sungguh. Bayangkan berpuluh orang muslimah yang berada dalam bilik tu tapi tak seorang pun datang tolong saya. Masing-masing buat hal sendiri padahal nampak saya tengah struggle dengan dukung anak dan pegang pinggan kosong. Sampai nak cedok nasi pun saya kena imbangkan anak dengan pinggan atas meja, itupun ada cik-cik muda yang berebut nak cedok nasi dengan saya. Geram betul bila ingat semula peristiwa tu!"
"Habis awak berjaya gak ambil makanan?"
"Tak, saya give up apabila sebahagian nasi yang dicedok dengan tangan kanan terjatuh ke atas lantai bilik. Tambah pula nak cedok lauk dari dulang yang tersedia bukan mudah, dengan si Hakim merengek dalam pelukan saya bila nampak makanan. Saya tinggalkan sepinggan nasi kosong itu atas meja lauk dan bawa anak keluar dari bilik tu. Terdengar suara-suara berkata 'kasian' bila saya keluar tapi saya dah tak endah, sakit betul hati saya.."
"Awak jumpa suami ?"
"Ya, saya berjalan keluar ke khemah tempat makan orang lelaki. Saya minta kunci kereta daripada suami sebab nak masuk kereta dengan anak tapi suami tahan. Mungkin dia boleh baca mimik muka saya. Dia suruh saya duduk di situ lalu ambilkan makanan untuk saya. Akhirnya saya seorang saja muslimah yang makan di bawah khemah dengan suami dan anak-anak. Memang ramai orang laki yang sedang makan di situ yang pandang saya satu macam tapi saya tak kisah dah, saya dok situ makan atas arahan suami gak. Rasa nak menangis saja ketika tu, penat dukung anak sambil nak tunggu makan, kemudian tak dapat nak makan seperti dirancang."
"Sabarlah.. ujian dari Allah jua."
"Tahulah tapi yang buat saya terkilan sangat adalah itu majlis sambutan Maulidur Rasul. Berjam-jam semua dalam surau tu termasuk muslimah dengar ceramah tentang sifat Rasulullah yang disampaikan oleh ustaz jemputan, takkan mereka masih tak tahu cara nak layan orang lain seperti mana dilakukan baginda? Sudahlah diasingkan ikut jantina bila time makan, ini buat don't know pula bila nampak orang lain bermasalah. Siap komen 'kesian' tapi tak bertindak apa-apa pun untuk mengurangkan beban orang. You tahu, saya sebelum Islam, saya biasa pergi jamuan di gereja dan tokong, tak pernah lihat ibu dengan anak kecil dilayan sebegitu rupa. Malah ibu dengan anak kecil yang akan diberi layanan dulu di gereja dan tokong sebab mereka tau masalah ibu muda. Sedih saya, bila fikirkan orang nonmuslim boleh beri layanan baik tak kira bangsa atau agama di tempat ibadat mereka tetapi sesama muslim pun, wujud sikap pentingkan diri sendiri; bila masing-masing lapar, dah tak fikirkan orang lain yang lebih berkeperluan."
"Sabarlah, anggap itu pengalaman.. jangan kita buat gitu pada orang lain."
"InsyaAllah, saya tak akan layan orang lain gitu. Bila bincang dengan suami, dia terkejut. Katanya sepatutnya didahulukan ibu dengan anak kecil, ataupun sediakan ruang makan untuk keluarga dengan anak kecil agar dapat suami isteri dapat makan bersama lalu kurangkan masalah anak-anak kecil meragam. Bila dijemput tapi tak hadir, takut nanti orang tuduh kita sombong tapi bila hadir ke majlis sebegitu, frust pula bila dapat layanan dingin. Bila jadi keadaan begitu, malaslah ibu muda yang ada anak kecil hadir ke majlis ilmu di surau dan masjid. Yang rugipun masyarakat Islam sebab ibu muda juga yang bakal mendidik dan membesarkan anak-anak dengan roh Islam."
"Merajuk la ini?"
"Ya, merajuk gak.. sebab bukan senang nak hadiri majlis ilmu di surau dan masjid dengan suami dan anak-anak. Nampaknya lepas ini, saya akan berfikir banyak kali sebelum hadir lagi ke aktiviti surau, terutama jika terpaksa bawa anak-anak."