Thursday, November 22

'TUHAN AWAK TAK TOLONGKAH?"

'Jika Tuhan mereka itu maha berkuasa, sudah tentu sudah lama musuh mereka dah dihancurkan! Mengapa tuhan mereka tak tolong?'

Maaf, tapi itulah pendapat saya ketika masih belum bergelar Muslim.
Pada tahun 1980-an, saya tidak berminat dengan berita peperangan di Semenanjung Gaza. Malah tak langsung ambil tahu.Sebagai remaja biasa waktu itu, saya lebih berminat dengan perkara lain, dan sibuk dengan rutin pembelajaran di sekolah. Bagi saya ketika itu, peperangan tersebut terlalu jauh untuk mengancam kehidupan saya. Lagipun, ia tidak membabitkan orang yang saya kenali. Peperangan antara dua negara yang hanya dikhabarkan dalam laporan beritadari masa ke semasa.
Lagipun, kata anggota keluarga saya yang lebih dewasa (dan kononnya lebih bijak) itu hanya peperangan yang ada kaitan dengan agama mereka dan tanahair mereka. Biarlah mereka yang bereskan sendiri, biarlah tuhan mereka yang mana lebih berkuasa menangkan mereka.
Itu kata orang tua saya.

Namun siapa jangka, sekarang pun peperangan masih belum selesai. Belum ada titik tamat. Yang ada hanya semakin banyak kematian yang turut melibatkan orang awam.

Dan maaf sekali lagi saya pohon, sebab saya masih belum berupaya membantu. Malah saya sendiri sudah tak pasti hari keberapakah hari ini semenjak Gaza diserang semula. Dah tak larat nak kira. Ada masanya saya tukar siaran apabila terpampang berita kematian penduduk Palestin dan bangunan yang dibom lagi. Bukan tak kasihan dengan nasib penduduk Palestin, tetapi terlalu sebak melihat keadaan sana seperti mana yang ditunjukkan dalam siaran televisyen. Saya dah tak larat nak tonton lagi.
Bila lihat bangunan yang roboh, saya cuba tak fikirkan berapakah manusia yang telah meninggal dunia di bawah runtuhan itu.
Bila lihat paparan kanak-kanak yang terbunuh, saya lagilah sedih sebab mereka anak orang lain, sedih saya sedih lagi ibu bapa mereka yang masih hidup.
Bila lihat tayangan kanak-kanak yang cedera/cacat anggota badan akibat serangan tidak berperikemanusiaan itu, saya fikir, bagaimana nasib mereka nanti?

"Allah awak tak sayangkah orang Palestin? Mengapa biarkan mereka dibunuh? " pernah seorang kawan nonMuslim bertanya kepada saya.
"Bukankah orang Palestin itu orang Islam? Mengapa tak bagi mereka menang perang seperti dalam Perang Uhud?" tanya pula seorang pelajar saya beragama Hindu yang belajar tentang perang Uhud dalam subjek Sejarah.
Saya pening nak jawab. Maklumlah ketika itu saya baru bergelar Muslimah. Tiada tempat nak rujuk untuk menjawab soalan begitu. Nak tanya ustaz dan ustazah pun, ada yang cuba mengelak. Minta rujuk orang yang lebih arif, lebih-lebih lagi jika soalan dituju oleh yang bukan Islam.
Takkan saya nak cerita kisah-kisah keajaiban di Perang Gaza sebagaimana yang saya pernah dengar kepada mereka yang masih bersikpa skeptikal terhadap kekuasaanNya?

Satu yang saya amat pasti.
Mana suara agung orang ramai yang cintakan keamanan? Senyap atau sudah serak sebab masih melaungkan nasihat yang sama berpuluh-puluh tahun lamanya? Atau masih ditenggelami bunyi bom-bom?
Mana dia negara-negara yang kaya dengan minyak petroleum, yang mengaku sebagai negara Islam? Masih berfalsafahkan Oh-i-see?
Dan tak payahlah nak harapkan Pak-B*-bi yang sudah lama kehilangan giginya. Buang masa je asyik bersemuka di meja rundingan.

Mengapakah Allah tak tolong penduduk Palestin yang dilanda kesusahan demi kesusahan?
Hmm... pastikah kita yang Allah SWT tak tolong mereka?
Itu juga soalan yang saya tujukan kembali kepada mereka yang menyoal saya.
"Awak betul-betul pastikah yang Allah tak tolong mereka?"
"Bukankah penduduk Palestin dibunuh dengan kejam? Jika tuhan awak kuat dan paling berkuasa, sudah tentu dah lama dia hentikan peperangan itu, bagi Palestin menang."
"Memang sebagai manusia saya pun harapkan penduduk Palestin akan menang perang. Tapi semua atas izinNya. Peperangan lama ini pun atas ketentuanNya, saya pasti ada sebab mengapa sampai ke hari ini pihak Zionis masih gagal mendapatkan tanah Palestin, masih gagal bunuh semua penduduk sana. Bagi saya, itu sudah satu kemenangan Islam sebab walaupun dengan kuasa ketenteraan hebat pun, perang berdekad-dekad lamanya mereka masih belum berjaya menawan tanah Palestin."
"Tapi sudah ramai rakyat sana terbunuh!"
"Itu memang tak dapat dinafikan. Tapi tahukah awak, kami orang Islam anggap mereka yang mati mempertahankan bumi Palestin itu sebagai mati syahid. Sebab orang Islam Palestin bukan saja berjuang untuk kebebasan mereka sendiri tapi mereka turut mempertahankan kota suci orang Islam iaitu Baitul-Maqdis dan Masjid al-Aqsa iaitu masjid ke3 terpenting untuk orang Islam. Dan jikalau awak pergi Palestin dan awak tanya ibu-ibu sana sedihkah mereka anak mereka mati dibunuh, ibu-ibu itu akan menjawab bahawa mereka bangga anak mereka mati syahid, iaitu cara kematian idaman semua yang beragama Islam. Bagi mereka mati seorang anak kerana Islam, insyaAllah akan lahir dua lagi anak untuk menggantikan tempat saudara mereka untuk meneruskan perjuangan."


"Bukankah negara Arab itu kaya? Sama-sama Islam? Tak mahu tolongkah orang Palestin? Haiyah, ada duit bina bangunan tinggi maa, boleh tolong bagi duit untuk tolong laaa..."
" Itulah... susah mau cakaplah. Rambut sama hitam hati lain-lain maaa. Bagi kami orang Islam yang faham, ini perang bukan saja mahu uji iman orang Palestin sana, tapi juga mahu tengok siapa orang Islam di seluruh dunia yang mahu bantu saudara seagamanya. Ini test juga untuk semua orang Islam supaya bersatu sebagai satu jemaah, tapi sayang sekali, sampai hari ini, belum ada kekuatan yang dikehendaki untuk tewaskan musuh."

"Saya bukan Islam, mengapa saya perlu bersimpati dan tolong orang Palestin? Ini perang orang Yahudi versus Islam maaa!"
"Betul, ini lebih kepada perjuangan orang Islam untuk bersatu mempertahankan Palestin. Tapi mahukah awak lihat orang awam yang tak bersalah dihalau dari tempat tinggal mereka, turut terbunuh dalam bedilan bom? Perang tak kenal siapa dewasa, siapa kanak-kanak.. semua mati. Jika awak cintakan keamanan, awak takkan suka perang yang berat sebelah. Satu pihak guna senjata serba canggih, satu pihak lagi ditindas dan dihalang daripada terima bantuan makanan, guna kayu dan senapang patah pertahankan diri tetapi dilabel sebagai terrorist. Adilkah?"
"Oooh, saya tak pernah pula fikir macam itu. Betulkah apa awak katakan ni?"
"Betul. Tapi awak takkan tahu jika awak hanya baca suratkhabar harian, tonton berita CNN."
"Mengapa mereka serang Palestin? Itu negara padang pasir saja.Buat apa kita susah-susah nak pergi bantu Palestin?"
"Cuba awak fikirlah, jika tanah Palestin itu jatuh pada tangan orang Barat, tentu mereka akan lebih berani lagi untuk menceroboh ke negara lain selepas itu. Negara kita pun akan terdedah kepada ancaman pencerobohan. Lagipun, sana banyak gas petroleum yang belum dilombong. Bayangkan la, jika semua itu jatuh ke tangan pihak yang serang tu, bila-bila saja harga petroleum akan naik ikut suka mereka."
"Wah, itu macam kah? Bahaya loh!"
"Tau tak pe."
"Sekarang apa awak orang Islam buat untuk bantu Palestin? Saya tengok dalam TV, ada yang mahu derma untuk hantar barang ke sana. Ada suruh boikot barangan tertentu. Apa awak nak buat?"
"InsyaAllah, buat semua yang saya mampu. Sekarang saya bagitau awak tentang hak orang Palestin dan mengapa kami orang Islam perlu bantu mereka, itu sudah kira bantuan juga. Awak walaupun nonMuslim boleh tolong rakyat Palestin sebab ini melibatkan hak kemanusiaan sejagat. Sanggupkah awak lihat dan tahu ada manusia yang kebuluran sebab disekat makanan sampai padanya, sakit tetapi dihalang ubat sampai untuknya? Itulah yang dihadapi rakyat Palestin sekarang. Saya Muslim, tentu saja saya wajib buat apa saja untuk bantu saudara seagama saya. Paling tidak pun, saya doakan agar Allah terus memberi kekuatan dan memberi kemenangan kepada mereka."
"Tengok dalam tv, asyik-asyik cerita pasal bom di Gaza. Apa kaitan dengan kita di sini?
"Kita semua manusia, bukan? Sukakah kalau rumah awak kena bom, awak dihalau dari rumah, anak awak mati terkena tembakan sasar? Ingat kawan, perang Gaza ini isu kemanusiaan, bukan isu agama!"

"Betulkah tuhan awak tolong? Apa buktinya?"
"Buktinya sudah lama perang Gaza berlangsung tapi pihak yang lebih kuat dan serba canggih dari segi peralatan perang masih belum dapat kemenangan. Ikut logik, jika guna senjata tercanggih dan perisik hebat, tentu mudah menang, bukan? Tapi hakikatnya, tidak. Allah Maha Berkuasa, Dia yang tentukan segala yang berlaku dan bakal berlaku. Sekarang ini pun, negara-negara yang kuat menyokong musuh Palestin itu dilanda pelbagai bencana alam yang dikawal oleh Allah swt. Kemurkaan Allah tidak semestinya jatuh di tanah Palestin itu sendiri dengan menghantar burung-burung sama seperti di Perang Uhud tetapi boleh dalam bentuk lain yang sama dasyhat."

Refleksi kendiri:
Saya ingat lagi, semasa kelahiran Ikram  pada Mei 2010, dunia heboh dengan berita serangan puak Zionis ke atas kapal bantuan kemanusiaan di Gaza. Pelbagai pihak mengecam tindakan ganas itu, lama-lama api kemarahan itu semakin malap.Kini anak saya sudahpun berumur 2 tahun 5 bulan, berlaku kekecohan di sana lagi. Genjatan senjata baru diumumkan, tetapi adakah ini juga bermakna bantuan kemanusiaan dan perhatian dunia terhadap kesengsaraan penduduk Palestin akan juga beralih arah ke isu lain?

Wednesday, November 7

PROMOSI PENYEBARAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH; PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH

PERHATIAN ibu bapa yang ada anak di Tahun 1,2 dan Tingkatan 1 tahun 2012.. 
maklumat tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan diadakan di Seberang Jaya minggu ini.. dibawa khas oleh Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang.
Jikalau ada sebarang kemusykilan atau inginkan maklumat terbaru tentang penilaian baru ini yang akan menggantikan PMR tahun 2014 nanti, datanglah ke sini.
Boleh dapatkan
maklumat terus daripada pegawai Jabatan Pelajaran Negeri.
Mai jangan tak mai..masa depan anak-anak kita gakkkk...

{saya copy terus dari website JPNPP}

PROMOSI PENYEBARAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH & PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH
JABATAN PELAJARAN NEGERI PULAU PINANG

TARIKH :9 DAN 10 NOV 2012 (JUMAAT DAN SABTU)

TEMPAT :TINGKAT 1
SUNWAY CARNIVAL MALL
SEBERANG JAYA, PERAI
PULAU PINANG
MASA : JUMAAT (10.30 PAGI-10.00 MALAM )
SABTU (10.30 PAGI-5.00 PTG )


PELANCARAN OLEH TN. HJ. AHMAD TARMIZI BIN KAMARUDDIN PADA 9 NOVEMBER JAM 10.30 PAGI.

TUJUAN ADALAH UNTUK MENYEBARKAN MAKLUMAT DAN MEMBERI KHIDMAT NASIHAT KEPADA MASYARAKAT UMUM MENGENAI PERLAKSANAAN TRANFORMASI PENDIDIKAN KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR) DAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)