Tuesday, August 14

ALLAH YANG PILIH, NAK SALAHKAN JUGA?

"Alhamdulillah kerana saya diberi ujian poligami!Ia telah mematangkan saya dan menunjukkan kepada saya kebesaran dan kasih sayang Allah," tulis wanita Inggeris dalam ruangan komen blog kawannya.
Saya terus membaca. Subhanallah, betapa mulia hatinya, dan betapa besar ujian yang diberikan kepadanya oleh Yang Maha Berkuasa.
Terasa diri ini kerdil jika dibandingkan dengan dirinya yang dia yang juga merupakan saudara baru Islam, melalui perkahwinannya dengan seorang lelaki bangsa lain. Sudah beberapa minggu saya mengikuti ruangan bicara dalam blog yang menarik itu.
Ya, POLIGAMI.
Satu perkataan yang digeruni para isteri yang beragama Islam, terutamanya di Malaysia bumi bertuah ini.
Dan isu ini insyaAllah, akan saya kupas sebaik mungkin dalam pos kali ini.

****************************************************************************

"Satu perkara yang susah tentang masyarakat Melayu ni, bila nak berkahwin wanita akan disuruh jaga makan minum dan pakaian suami. Macam inilah sebab utama berkahwin, wanita jaga suami. Padahal sebenarnya ikut Islam, suami yang kena bertanggungjawab jaga isteri dan membimbingnya. Tanggungjawab suami itu lebih berat, sebab dia kena pastikan isterinya dan anak-anak hasil perkahwinannya itu sentasa berada di landasan yang benar. Dia kena tanggung makan minum, tempat tinggal, ajar dan bimbing agama keluarganya. Tapi masyarakat Melayu anggap bila kahwin yang kena jaga adala suami. Jika suami buat hal, kahwin lagi isteri itu dituduh tak pandai jaga suami, itu tak betul!" komen seorang sister kepada saya ketika kami menunggu waktu masuk ke kelas masing-masing.
Saya senyum. Saya faham maksudnya.
Dan sebab dia dianggap anak derhaka kerana menolak pinangan sepupunya yang mahukan isteri yang begitu, sehingga hari ini suaminya yang dia pilih sendiri itu tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke rumah ibubapanya bersama suami. MasyaAllah, betapa banyaknya dendam yang masih membara dalam jiwa manusia-manusia itu.

"Gatal! Dah tua kerepok nak kahwin lagi satu! Kesian kat bini dia."
"Bini dia mesti ada masalah, sebab tu dia kahwin lain. Tak pandai jaga suami, jadi ginilah."
"Aku tak faham, anak dah ada, semua yang dia nak saya dah bagi. Habis apa kurang saya, sampai dia nak kahwin dengan janda tu?"
"Ikut hawa nafsu, satu tak cukup nak pasang dua. Padahal bini dia cukup baik, lawa pula tu."

MasyaAllah!
Bila seorang lelaki memilih untuk bernikah dengan gadis pilihannya, perkahwinan itu akan dikatakan sebagai jodoh, ketentuan Allah swt.
Namun apabila lelaki yang sama bernikah sekali lagi dengan wanita lain pada masa perkahwinan pertamanya masih wujud, masyarakat yang sama akan menuduhnya 'gatal, miang' dan tidak menghargai pergorbanan isterinya.
Ke mana perginya istilah jodoh atau ketentuan Allah untuk perkahwinan seterusnya itu?
Adakah hanya perkahwinan monogami sahaja itu jodoh ketentuan Allah, yang selebihnya perkahwinan sebab hawa nafsu?
Ke manakah perginya ilmu yang kita ada dan pelajari selama ini, bahawa semua yang berlaku di dunia ini adalah atas keizinan Allah jua?
Jikalau perkahwinan pertama adalah jodoh, isteri pertama adalah pilihan terbaik untuk suaminya, secara logik perkahwinan seterusnya mestilah juga jodoh dan isteri kedua, ketiga dan keempat adalah juga pilihan terbaik Allah SWT untuk si suami.
Pokoknya, ia juga adalah ketentuan Allah SWT. Allah yang izinkan perkahwinan itu berlaku. Itu kuasaNya.
Oleh itu, siapalah kita manusia yang serba kerdil dan jahil untuk mempersoalkan ketentuan Allah SWT dalam bab perkahwinan kedua, ketiga atau keempat si suami ataupun lelaki lain?
Hanya sebab kita isteri pertama?
Sebab kita kasihan pada isteri yang sedia ada?
Usahlah perbodohkan diri kita yang masih ego ini dengan mengatakan perkahwinan seorang wanita dengan suami orang adalah sebab nafsu. Kita marah, kita herdik, kita umpat dan kita sebarkan gosip untuk mengapi-apikan lagi keadaan.
Kita tuduh wanita yang baru dikahwini itu sebagai perampas, perosak keluarga dan perempuan tak malu, sedangkan dia menikah secara betul, perkahwinan sah dari hukum syariat.
Bila kita diberitahu tentang kisah keluarga poligami yang bahagia, kita senang-senang pula menuduh si suami mengamalkan ilmu tertentu.

Lebih teruk lagi, jika kita biras, kita pulaukan isteri baru itu daripada ahli keluarga yang lain ataupun kita hasut supaya dia tidak diterima dalam keluarga suami.
Padahal Islam mengajar umatnya untuk sentiasa berlaku adil walaupun terhadap musuh sekalipun.
Islam suruh kita mengamalkan kasih sayang semata-mata kerana orang itu saudara seagama, dia solat berkiblat yang sama. Dia mengucap 2 kalimah syahadah sama seperti kita semua.
Cuma bezanya, Allah dah tentukan dia menjadi isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat suaminya.
Ke mana pergi iman dan amalan kita sebagai orang yang mengakui dirinya Muslim? Yang berpegang pada ajaran alQuran dan Rasulullah SAW jikalau kita bertindak kasar atau buruk terhadap semata-mata kerana status isteri itu bukan yang pertama?

Ya, kita faham bahawa poligami satu ujian yang berat terutamanya bagi isteri pertama.
Sebab dia isteri pertama, dia yang terdahulu dikahwini.
Dia tak biasa berkongsi suami. Dia tak biasa berkongsi kasih sayang dan perhatian suaminya dengan wanita lain.
Sebab itulah saya katakan poligami ini ujian yang amat berat, sebab itulah Allah SWT yang Maha Bijaksana tidak memberikan ujian ini kepada semua wanita yang bergelar isteri. Dia uji hanya wanita-wanita tertentu sahaja.
Oleh itu, jikalau kita diuji dengan poligami atau kita tahu ada kawan kita yang diberi ujian ini, bersabarlah. Yakin bahawa Allah SWT tidak pernah membuat pilihan yang salah. Dia yang Maha Bijak, Maha Mengetahi dan Maha Penyayang. Tentu ada hikmahnya dia memberikan isteri baru kepada suami kita. Tentu ada sebab Dia mengizinkan perkahwinan suami yang kedua, ketiga atau keempat itu berlangsung.

Masalahnya, kita wanita ni memang makhluk yang lemah. Sebab itulah wanita susah nak terima poligami. Susah dan sakit bila mengetahui suami berkahwin lagi. Susah nak berkongsi. Susah nak bergilir. Susah nak bersyukur dengan ujian yang Allah berikan ini.
Bersyukur sebab Allah suruh isteri berkongsi suami?
Ya, bersyukur. Walaupun pahit ditelan, bersyukur, sebab bukan diceraikan. Walaupun isteri mungkin kurang berjumpa lagi dengan suami tersayang, isteri masih diberi pahala setiap kali dia berbakti kepada lelaki yang bergelar suaminya yang sah. Masih mendapat pahala setiap kali dia bersabar bila timbul masalah. Masih mendapat perlindungan seorang suami.

Allah berikan poligami kepada isteri bukan untuk isteri itu semakin jauh daripadaNya, untuk isteri manyalahkan takdir dan menyalahkan suami serta madunya. Allah pilihkan madu untuk isteri untuk dikongsikan kasih sayang sebab Allah SWT sayangkan isteri yang terpaksa bermadu. Ya, walaupun pahit tetapi ia ubat yang manis sekiranya isteri itu mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Jadikan Allah SWT sebagai tempat dia mencurahkan kasih sayang dan tempat dia bergantung. Bukan lagi bergantung kepada suami semata-mata.
Bukankah cemburu Allah itu lebih hebat daipada cemburu manusia biasa?

Marahkan suami yang gagal berlaku adil dalam poligami?
Itu masalah suami, insyaAllah yakinlah bahawa Allah Maha Adil. Allah akan balas setiap kejahatan dan penganiayaan itu. Jika suami jahat, tidak adil, yakinlah bahawa pembalasannya akan tetap ada. Bukankah itu janji Allah dalam kitab sucinya? Lagipun tiada hijab antara Allah dngan orang yang dianiayai. Yakinlah akan perkara itu.

Masalah isteri-isteri yang masih belum boleh terima poligami, tak kiralah isteri nombor satu, dua , tiga atau empat adalah hati. Hati yang sakit. Hati yang berpenyakit. Hati yang masih ada sifat mazmumah sehingga tidak mahu berkongsi suami dengan wanita lain. Tidak mahu berkongsi rezeki suami dengan wanita lain. Nak bolot semua untuk dirinya sendiri. Namun, sedarilah bahawa dunia dan segalanya yang ada adalah sementara saja. Yang kekal adalah syurga, yang dijanjikan Allah untuk umatNya yang taat?
Tapi bukankah AlQuran telah berkata bahawa kita takkan mengecapi syurga selagi kita belum dapat menyayangi saudara kita sebagaimana kita menyayangi diri kita?

Ujian poligami memang berat tapi yakinlah bahawa Allah tidak akan membebankan seseorang melebihi kemampuannya. Namun janganlah isteri-isteri sendiri pula yang menambah beban dengan melayani emosi yang pelbagai. Jadilah seorang mukmin yang yakin dengan semua ajaran dan janji Allah, bukan hanya menjadi seorang muslimah yang terus melayani hawa nafsu sendiri. Melayani perasaan marah, dendam, dengki, cemburu dan sebagainya yang perlu dikikis secara berterusan daripada hati dan diri kita semua hanya akan terus mneyeksa jiwa batin.
Lebih buruk lagi, ada pula yang marahkan Allah sebab Dia bebankan kita dengan ujian poligami ini, jangan kita salahkan semua pihak sehingga iman kita menjadi rapuh. Dekatilah Allah, mohonlah kasih sayangNya dan insyaAllah Dia akan membantu kita untuk menerima poligami sebaik-baiknya.

nota: - saya tak masukkan hadis dan ayat alquran dalam pos ini sebab terus taip tanpa edit, maaf.
        - lama menyepi sebab ada sedikit maslaah dengan emel gmail saya, tpi alhamdulillah dah ok.

7 comments:

  1. salam..so r u ready for poligami dear :))

    ReplyDelete
  2. susumanis, waalaikumussalam warahmatullah... hahahaa, I promise that I'll answer your question later :D

    ReplyDelete
  3. different opinion... jarang ada org perempuan yg optimis mcm ni bila sembang pasal poligami =p

    saya selalu rasa poligami ialah rahmat kpd perempuan.. tak kiralah apa org nak kata atau fikirkan, sekurang2nya orang perempuan masih berpeluang untuk bersama dgn org yg dicintainya..dan Allah halalkan..

    lain pula bagi lelaki.. sekali wanita yg dicintainya bernikah dengan lelaki lain, maka tertutuplah peluangnya selagi mana suami itu masih ada...

    betul tak?

    ReplyDelete
  4. Banyak2 madu, madu nilah yg pahit bg wanita. Namun dah ni hukum Allah. Terimalah jika ini ditakdirkan. Poligami ni tak salah. Suami yg tak adil itulah yg salah.
    Antara kelebihan isteri pertama dalam poligami. Dia akan dpt payung emas diakhirat. DIa bersama suami dari mula. Dari susah hinggalah senang seperti sekarang. Hingga memungkin poligami..
    Jangan dipandang poligami itu buruk. Pandanglah banyak kebaikannya. Mengelakkan fitnah/zina. Menyelamatkan wanita lain dsbnya.
    Mana lelaki yg tak teringin poligami. Hampir semua suka termasuklah alim ulama' dan saya sendiri(hehehe).
    Tapi kami semua takut xleh adil(wp isteri x kisah pun..). Tera sorg ni pun kekadang ada yg terabai..

    ReplyDelete
  5. Nak jaga satu pun kadang2 tak larat...

    ReplyDelete
  6. Sekiranya lelaki yang hendak berpoligami itu cukup ilmu agama di dada, tiada sebab penolakan..tapi sekiranya hanya nafsu yang di pegang..pikirlah byk kali bagi seorang wanita yang hendak menyambut lamaran berpoligami...

    ReplyDelete
  7. Hikaru Yui,
    betul... tapi sebaik-baiknya bercinta selepas nikah, lebih kemanisannya :)

    joe penang,
    maaf, setahu saya bukti isteri pertama akan dapat payung emas tu tiada dalam Islam. Mungkin untuk menyedapkan hati wanita, tapi memang banyak pahala dan hikmah yang bakal diperolehi jikalau dia menerima perkongsian dengan baik. Hahaha, percayalah bahawa Allah takkan beratkan seseorang melebihi apa yang dia mampu.

    Unknown,
    Memang betul tu, sebab tu tak ramai yang dipertanggungkan dengan dua orang isteri :)

    Islet,
    Bagaimana nak tahu sama ada nafsu atau ilmu agama yang menjadi pegangan? Sebab itulah selidik betul-betul sebelum menikah dengan siapa-siapa pun, tak kira bujang atau suami orang.

    ReplyDelete