Tuesday, July 1

DALAM HATI ADA ALLAH

"Kak, saya pergi ke bilik kawan, ya,' kata Kimah [bukan nama sebenar] sambil dia bersiap-siap untuk keluar.
"Ok," jawab saya sambil tersenyum.
Hmmm... nampaknya berbuka puasa seorang diri lagi la.
Kimah, teman sebilik saya yang masih muda remaja (19 tahun, baru lepas STPM) sering tiada di dalam bilik yang kami kongsi berdua. Saya pula ditempatkan di bilik kecil itu selepas memeluk Islam dan permohonan saya untuk bertukar bilik diluluskan.
Kawan-kawannya sering mengajak dia bermalam di bilik mereka. Saya tidak kisah bermalam seorang diri sebab dah biasa. Cuma ada masanya sunyi juga terutama ketika berbuka puasa.
Tahun pertama sebagai seorang muallaf yang menyambut bulan Ramadhan dan perlu berpuasa agak berat bagi sesiapa pun. Tambahan pula seperti saya yang masih mengaji sepenuh masa di universiti; kadangkala perlu berjalan jauh ke bilik kuliah dan ada masanya kuliah berakhir pada jam 6 petang.
Syukur alhamdulillah ketika itu saya masih kuat.
Ya, walaupun kadangkala berseorangan.

Pada tahun 2006, jaringan internet belum begitu laju. FB pun belum aktif seperti sekarang.
Saya merasakan diri keseorangan menyambut Ramadhan walaupun rakan-rakan yang sama kursus ada di sisi. Bukan salah mereka pun. Kami ditempatkan di desasiswa yang berjauhan antara satu sama lain.
Cuma yang melegakan, ada kawan nonmuslim yang sering menumpangkan saya ke bazaar Ramadhan.
Bagi saya, itu sudahpun rahmat Allah.
KimPing [bukan nama sebenar] walaupun bukan Islam tetapi disebabkan dah lama bergaul dengan orang Melayu, dia tidak kekok memandukan kami kawan-kawannya yang berpuasa ke bazaar Ramadhan dengan keretanya untuk membeli juadah berbuka puasa. Jemu dengan makanan di kafe desasiswa, kami berlima akan membeli-belah di gerai-gerai bazar Ramadhan Bayan Baru. Apabila dah puas membeli, barulah kami pulang ke desasiswa masing-masing.
Dapatlah merasa masakan khas seperti nasi kerabu, murtabak dan sup.
Itu merupakan hari-hari yang menyeronokkan ketika berpuasa.
Namun ada kalanya, KimPing sibuk dengan urusan peribadinya. Saya pun belilah makanan yang sesuai di kampus universiti untuk berbuka puasa di bilik sendiri.
Biasanya sebungkus nasi berlauk, sepaket air dan sedikit manisan sahaja. Itu sudah cukup mengenyangkan.
Tidaklah sehebat makanan yang dibeli oleh ramai rakan-rakan lain, hehe.

Kadangkala juga, saya ke masjid USM untuk berbuka puasa dengan kawan-kawan lain yang bukan sekursus dengan saya. Seronok berbuka puasa di sana terutama jikalau staf-staf Pusat Islam yang saya kenal turut bersama. Namun apabila melihat keadaan makanan yang kadangkala cukup-cukup makan sahaja untuk para tetamu yang hadir, saya memilih untuk berbuka puasa di asrama saja sebab kasihan adik-adik yang berbuka puasa di masjid setiap hari. Terasa seolah-olah saya mengambil bahagian mereka sebab saya mampu membeli lauk sendiri.

Untuk sahur pula, disebabkan bilik asrama tiada kemudahan oven dan periuk letrik, saya memilih makanan yang ringkas sahaja. Saya malas untuk turun ke kafe semata-mata untuk membeli nasi dan lauk. Cukuplah beberapa keping roti sandwich, beberapa biji kurma dan secawan air milo, diikuti dengan beberapa gelas air kosong. Bagi saya, itu sudah mencukupi dan alhamdulillah mampu untuk saya bertahan sehingga waktu maghrib.
Saya pula yang hairan apabila diberitahu rakan-rakan melayu bersahur dengan nasi dan lauk serta makanan-makanan lain, sama seperti berbuka puasa.

Tak sunyi kah bersahur dan berbuka puasa seorang diri?
Bagi saya ketika itu,tindakan berani mati dengan memeluk Islam mengucap 2 kalimah syahadah sudah pun memerlukan saya bersendirian. Istilah sunyi tidak releven lagi bagi saya yang bergelar muallaf. Dengan lafaz 2 kalimah syahadah itu sudahpun mengasingkan diri saya daripada sebahagian keluarga saya yang ketika itu masih belum dapat menerima saya bergelar muslimah.
Oleh itu, apalah jika perlu bersahur dan berbuka puasa seorang diri?

Lagipun bukan saya berseorangan pun. Allah swt kan ada. Allah sentiasa menemani saya yang berusaha menetapkan hati untuk menurut perintahNya dengan berpuasa, walaupun secara fizikal badan memberontak sebab tidak pernah dipaksa menahan lapar dan dahaga. Memang lah, bagi seorang revert atau mualaf, kami belajar berpuasa pada usia dewasa iaitu sekurang-kurangnya 18 tahun. Kami tidak pernah dilatih untuk berpuasa sedikit demi sedikit, tidak seperti kanak-kanak belum baligh yang beragama Islam. Tapi insyaAllah hati kami cekal, diri kami tabah... bukan sebab kami mualaf ini spesies luar biasa tapi sebab kami umatNya yang luarbiasa sebab masuk-masuk Islam terus berpuasa wajib... sebab Allah swt jua yang memberi kekuatan kepada kami.


Bagi saya, tak kisahlah apa sahaja,
berbuka puasa beramai-ramai ada pahala
berbuka puasa berseorangan pun tak apa
sebab dalam hati tiada kosong lagi
bila beiman kepada Allah
Dia mengisi ruang hati dengan kasih sayangNya

nota: Selamat berpuasa dan menyambut Ramadhan alMubarak
Dah 4 tahun bersahur dan berbuka puasa, paling kurang bertemankan anak-anak.. bukan lagi sunyi tapi riuh serumah, hehehee..
alhamdulillah :)