Monday, August 30

JAWAPAN SAYA

Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh,

Saya mohon maaf kerana baru hari ini berkesempatan online setelah menulis pos yang lalu. Banyak urusan lain yang memerlukan perhatian termasuklah menjaga si Ikram yang mempunyai kulit sensitif. Batuk dah berkurangan tetapi ruam panas pula yang timbul. Hmmm, Ramadhan kali ini benar-benar menguji kesabaran saya.

Sebenarnya soalan-soalan yang ditulis itu merupakan sebahagian daripada perkara yang dibincangkan baru-baru ini dengan beberapa orang nonMuslim yang berminat memeluk Islam. Mungkin banyak lagi soalan yang belum dikemukakan oleh mereka, maka saya masukkan dalam blog dengan harapan mereka melayari blog ini dan mendapat pandangan daripada saudara-saudari Muslim yang lain, insyaAllah.

Berikut adalah pandangan peribadi saya:

1. Agama Islam agama yang benar, bagi umat Islam. Oleh itu, tidak menjadi masalah bagi kami yang yakin dengan kebenaran agama Islam untuk melakukan segala yang disyariatkan. Iman yang kuat insyaAllah akan memberi kekuatan untuk kita berpuasa, mendirikan solat 5 waktu sehari semalam, dan sebagainya demi mendapatkan keredhaanNya.
Agama lain mungkin tidak begitu banyak rukunnya. Itupun masih ada yang tidak berjaya mengamalkan ritual keagamaan yang 'lebih mudah' itu. Ia bergantung kepada kesungguhan pengikut agama berkenaan untuk mengikuti segala ajaran agama itu.

2. Islam itu tidak salah, Islam itu sempurna dan tiada kecacatannya. Manusia yang lalai dan berdosa kerana tidak mengikut ajaran agama Islam.
Setiap agama ada segolongan pengikut yang lalai dalam mengerjakan ibadah. Kalau seorang perompak beragama Hindu merompak, adakah kita akan menuduh agama Hindu tidak baik? Kalau Along Cina itu membunuh, adakah kita menuduh agama Buddha yang menjadi anutan Along itu tidak baik? Tentu sekali tidak! Kita tahu membezakan di antara agama dan tingkahlaku manusia yang buruk. Kita juga tidak menyalahkan agama-agama lain sebagai penyumbang kepada tingkahlaku buruk sesetengah pengikutnya.
Begitu juga, ada Mat Rempit, penagih dadah, perompak dan lain-lain lagi yang mengaku beragama Islam. Memang kita marah mereka kerana bukan sahaja menjadi sampah masyarakat dan menyusahkan orang lain, mereka turut memberi imej buruk untuk Melayu dan Islam kepada masyarakat amnya.

3. Manusia ada sifat mahmudah [baik - ikhlas, sabar, rajin, dll] dan mazmummah [buruk - pemdendam, ego, pemarah,dll ]. Kita mesti mengawal sifat mazmummah di samping menyuburkan sifat mahmudah dalam jiwa. Pergaduhan, permusuhan dan perpecahan berlaku di antara umat Islam hari ini kerana merebaknya sifat mazmummah di antara manusia sehingga kurang ruang untuk menambahkan kebaikan pada diri sendiri.

4. Pergaduhan, pembunuhan dan jenayah lain juga melibatkan penganut agama lain. Contohnya, siapa Adolf Hitler? Siapa puak Zionist? Mereka bukan penganut agama Islam tetapi mereka merupakan penjenayah antarabangsa kerana membunuh ramai manusia yang tidak bersalah, bukan?
Islam membenarkan pengikutnya berperang untuk mempertahankan agama, keluarga, dan negara. Perang bukan dimulakan dengan Muslim tetapi seorang Muslim berhak mempertahankan maruah agama, keluarga dan negaranya jikalau diserang.

4b. Kalau dahulu memang susah. Tetapi alhamdulillah dengan bertambahnya bilangan saudara baru dan kesedaran sesetengah pihak, kini terdapat banyak bantuan untuk perlindungan saudara baru yang memeluk Islam. Hidayah Centre, serta rumah transit untuk saudara baru adalah tempat perlindungan sementara.
Bagi mereka yang masih belajar di IPTA, institusi pengajian itu adalah tempat yang selamat
untuk mualaf/saudara baru. Boleh terus menetap di asrama dan memohon bantuan pinjaman daripada pihak universiti jikalau dibuang keluarga. Boleh juga tinggal dengan keluarga angkat Islam yang boleh dipercayai dan bertanggungjawab.

5. Ia bergantung kepada keadaan dan penerimaan keluarga. Jikalau mereka sangat negatif, lebih baik beritahu SELEPAS memeluk Islam. Selepas menjadi Muslim/Muslimah, bolehlah berusaha menjadi anak yang lebih baik, mudah-mudahan dapat melembutkan hati mereka terhadap kebaikan dalam ajaran Islam.
Perkongsian kisah dengan mereka yang tidak jadi memeluk Islam, sebab utama mereka membatalkan hasrat itu adalah kerana bantahan keluarga. Ingat, pintu hidayah bukan sentiasa terbuka untuk seseorang memeluk Islam. Ramai juga yang akhirnya mati sebagai kafir kerana membelakangkan agama Islam kerana tentangan keluarga.
Tapi jikalau beritahu keluarga dulu, itu lebih baik dan digalakkan.

6. Bukan menipu tetapi sebagai strategi untuk melembutkan hati ibu bapa yang amat berkemungkinan bertindak agresif jikalau mengetahui anak telah masuk Islam tanpa pengetahuan mereka. Sebaik-baiknya berniat dalam hati ketika masuk Islam [tanpa memberitahu keluarga] bahawa tindakan merahsiakan keIslaman sendiri adalah untuk tempoh yang singkat sahaja, dan turut berdoa kepada Allah swt agar memudahkan urusan anda memberitahu ahli keluarga apabila tiba masanya. Dan dalam tempoh berahsia itu, berusahalah menjadi anak yang lebih baik berbanding sebelum memeluk Islam.
Kebiasaannya, apabila ahli keluarga menyedari bahawa anak telah memeluk Islam setelah sekian lama berahsia, mereka mengaku bahawa anak mereka telah menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya.

7. Bersabar dan sedar bahawa ajal adalah ketentuan Allah swt. Di akhirat hanya Allah yang maha berkuasa. Bukankah lebih baik membalas budi dengan menjadi anak yang melayan ibu bapa dengan sebaiknya ketika mereka masih hidup, walaupun berlainan agama daripada menjadi anak yang tidak mempedulikan orang tua dan menyakitkan hati mereka ketika hidup tetapi melakukan ritual sempena kematian mereka kerana adat? MasyaAllah, sudah ramai ibu bapa yang pada awal menentang pengislaman anak mereka akhirnya lebih menyayangi anak serta menantu mereka yang beragama Islam kerana mereka berkata, anak menantu Muslim lebih menghormati mereka dan melayan dengan lebih baik dan mesra berbanding anak yang kekal dengan agama asal keluarga.

8. Pekakkan telinga dengan tuduhan orang. Yang akan membantu kita apabila kita di akhirat nanti bukan manusia-manusia tersebut tetapi ucapan 2 kalimah syahadah kita yang membolehkan diterimanya amal soleh kita, ilmu yang diberikan serta doa anak soleh untuk ibu bapanya. Benar ibu bapa berjasa membesarkan kita tetapi siapakah yang memberi rezeki kepada ibu bapa, datuk moyang kita kalau bukan Allah swt? Siapa yang menciptakan ibu bapa kita? Kita sayang dan hormat pada ibu bapa tetapi kita lebih menyayangi Allah dan RasulNya. Hubungan kekeluargaan tetap tidak terputus apabila seseorang masuk Islam.

9. Masuk Islam tetapi tidak perlu menjadi Melayu. Kita masih boleh kekalkan kebudayaan dan adat resam sendiri selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam. Misalnya boleh bertutur dalam bahasa ibunda, berpakaian adat yang menutup aurat, masak makanan tradisional yang halal dan berekreasi seperti senaman taichi, tarian singa, brush painting, dan sebagainya.

10. Lihatlah diri sendiri, betapa halus dan sempurna ciptaan kita. Setiap saat, darah dalam badan kita mengalir, jantung berdenyut, pernafsan berlaku tanpa kita sedari. Siapa yang mencipta kita kecuali Yang Amat Berkuasa? Dan Dia adalah Yang Maha Esa, tiada yang serupa denganNya. [bayangkanlah kalau banyak tuhan, apa tuhan yang lebih utama, tentulah akan berlaku percanggahan] Boleh rujuk al-Quran untuk penerangan lanjut :)

Semoga kita terus dibimbing dan diberkatiNya, ameen.

insyaAllah akan bersambung nanti

No comments:

Post a Comment