RAYA HALLOWEEN STESEN TV

remote yang menjadi rebutan
Dia menoleh ke arah Umminya meminta izin. Apabila saya sekadar mendiamkan diri, dia terus menarik pintu kamar lalu keluar ke ruang rehat. Segera dicapainya remote control TV lalu ditekan. Dua kali tekan, terpampanglah imej di skrin. Dia ketawa riang lalu duduk di atas kapet mengadap tv. Ikram oh Ikram.... dah makin besar, makin sukakan gajet. Selesai menyusukan adiknya Ihsan, saya menemani Ikram di depan skrin 32 inci itu. Hmm, cerita entah-apa-apa. Saya segera mencapai remote dari tangan Ikram. Tekan butang forward. Alamak.. iklan sedutan filem Susuk pula, lagi teruk. Tekan butang lagi.. nyanyian. Tekan butang lagi, kartun hantu Casper pula. Ish,ishh, ishhhh... raya apa ini? Hampir semua stesen tv Malaysia pada musim raya Aidilfitri tahun ini menayangkan sama ada filem seram gila-gila, filem seram mengerikan, filem rempit, atau filem lawak bodoh. Filem Susuk, Congkak, Jin Notti, Momok, 4 Madu, KL Drift dan lain-lain.[satu pun saya tak tonton tapi ingat dari iklan berulangan di tv] Hanya beberapa filem yang boleh dikatakan ok saja seperti Nur Kasih dan Syurga Cinta. Yang lain menghampakan. [bagi yang terlepas tonton, jangan risau - tahun depan pasti ada ulang tayang, huhuhuuuu] Raya apakah ini? Takkan pada Aidilfitri stesen tv tak boleh tayangkan filem yang lebih baik sesuai dengan suasana gembira dan berkat ini? Takkan nak jimat bajet? Jika Kong Hee Fatt Choy atau Deepavali, orang Cina dan India tak pernah tayangkan filem seram/hantu sebab dianggap 'soi' dan memalukan pihak penaja. Semua filem pada raya Cina sama ada yang menggembirakan, tak kiralah logik atau jenis slap-stick. Asalkan orang terhibur dan gembira pada akhir filem. Jarang ada unsur hantu dalam tayangan filem perayaan Cina dan India, tak seperti trend terkini sempena Raya. Mereka yang nonMuslim juga berpakaian sesuai dengan musim perayaan mereka masing-masing, bukannya dengan baju tak cukup kain yang diperagakan oleh sesetangah pihak yang mendakwa diri orang Islam. Kadang-kadang rasa malu bila nonMuslim komen mengapa wanita Melayu Islam berpakaian lebih berani daripada wanita bangsa lain.  Di samping itu,tak perlulah saya nyatakan lagi tentang lambakan tayangan nyanyian dan show ala-realiti yang memaparkan orang dewasa berlagak seperti kanak-kanak [lupa apa tajuk show, yang saya ingat, hanya syarifah siapa tu pakai baju ala bidadari barat]. Hodoh sungguh! Mentang-mentanglah sudah tamat bulan puasa dan kewajipan menahan nafsu pelbagai, agaknya bermulalah sekali lagi adegan-adegan bermacam-macam yang boleh ditayangkan semula di skrin tv untuk tontonan ramai.  Mungkin teruja dengan kebebasan syaitan dari pintu neraka sempena berakhirnya bulan Ramadhan, terikut-ikut pula sesetengah pihak manusia dengan pelbagai cara menyerupai mereka itu. Ada hantu, ada orang menyerupai hantu, ada jin, ada benda puaka, dan sebagainya dalam filem yang dihidangkan kepada para penonton setia stesen tv. Macam pesta Halloween di stesen-stesen tv. Kenyanglah mereka-mereka yang leka menonton adegan hantu dan momok serta jin, sambil memakan ketupat rendang dan kuih raya. Raya Halloween la di stesen tv ini sehingga berakhirnya 30 Syawal. Saya terpaksa tutup tayangan tv walaupun Ikram meraung marah. Tak mahu mindanya yang masih suci bersih tercemar dengan apa yang ditontonnya di skrin tv rumah. Hmmm, nampaknya terpaksalah Ummi ini mencari di mana letaknya CD Barney serta CD Upin dan Ipin sebagai hiburan alternatif... aduh!!