KUNING

"Cuba akak mandikan dengan air limau purut," wanita muda itu memberikan petua. "Aliya mandikan baby dengan air daun liu, insyaAllah turun nanti." "Boleh cuba guna air mandian asam keping, tapi jangan kena mata, pedih nanti.' Saya dengar, dan berikhtiar juga. Boleh dikatakan hampir semua petua yang diberi sudah kami cuba. Malah diberikan juga air zam-zam, air susu, perahan sengkuang cina [kalau ikut cakap doktor, hanya boleh air susu ibu saja] namun masih juga belum sembuh sepenuhnya si kecil ini. Sudah lebih seminggu Ihsan demam kuning. Penat kami suami isteri berulang ke klinik untuk mengambil bacaan darahnya. Kasihan dia dicucuk di tapak kaki untuk diambil sampel darah. Ketika ini, banyak urusan pejabat yang perlu dibereskan suami; kasihan, tak berehat dia. Kadangkala kerana sibuk dan kesesakan lalulintas, terlambat juga kami ke klinik, maka bertawakkal sajalah padaNya yang Maha Berkuasa. Nampaknya inilah antara ujian Allah pada kami sekeluarga pada Ramadhan ini. Sabar jelah. Saya pun letih, apatah lagi dengan si Ihsan ini lebih banyak menyusu badan pada awal pagi. Jikalau hanya menyusu badan, alamatnya berjam-jamlah saya mendukung dia kerana dia tidak mahu menyusu dalam posisi berbaring. Terpaksa diampu kepalanya seolah-olah memegang bola ragbi barulah dia nak menyusu, huhu. Lenguh tangan. Saya terpaksa perah juga susu badan untuk simpanan stok kerana dia akan meraung apabila mahukan susu. Sekali minum lebih daripada 2 oz. Jika menyusu badan saja, tak buat kerja lainlah saya ni. Syukur kali ini susu badan agak banyak, berbanding ketika melahirkan Ikram dulu. Ni pun syukur abangnya, Ikram kurang meragam. Diperhatikannya sahaja dalam diam ketika saya menyusu Ihsan. Botol susu masih diharamkan untuk Ihsan. Saya suapkan dengan sudu kecil. Letih kerja ini, tapi apa nak buat, demi kebaikannya, terpaksalah dilakukan. Bimbang apabila diberikan botol susu dengan puting, nanti Ihsan keliru puting, langsung ditolaknya susu badan kerana menyusu dengan botol lebih mudah dan cepat baginya. Alhamdulillah, setakat ini, Ihsan masih kuat menyusu badan, dan kuat menyusu dengan susu kecil, hehehe. Kata orang tua-tua, tak boleh guna benda-benda berwarna kuning pada bayi. Kerana akan menaikkan demam kuningnya. Saya setkan minda, tak mahu percayai. Tapi memang kami tak guna pakaian kuning pun bagi Ihsan. Yang ada pun hanya tirai berwarna kuning, itupun tirai bilik tidur. Takut nanti syirik pula jika percaya bahawa warna kuning boleh menyebabkan penyakit, sedangkan sakit sembuh penyakit di tangan Allah swt. Hanya mampu berdoa padaNya agar disembuhkan anak saya ini daripada segala penyakit yang ada di badannya. Risiko demam kuning yang tidak dikawal memang membahayakan. Saya dan suami dah berikhtiar, selebihnya berserah padaNya yang Maha Berkuasa. Semoga Dia permudahkan urusan dan sembuhkan Ihsan daripada demam kuning dan segala penyakitnya dengan mudah dan cepat, ameen.
sudah botak la, ummi..
Alhamdulilah, selesai sudah upacara bercukur kepala Ihsan serta 'membelah mulut' yang dilangsungkan pada hujung minggu. Buat cara ekspres juga memandangkan bulan Ramadhan sudah hampir. Hanya kenduri akikah yang masih belum diadakan; insyaAllah mungkin akan dilangsungkan pada Aidiladha kelak.
ustaz sibuk menyuapkan kurma ke mulut Ihsan, Ikram pula 'keipo' melihat gelagat
Kedatangan Ramadhan kurang terasa tahun ni, mungkin kerana sibuk dengan karenah anak-anak dan sebab masih dalam pantang. Walau bagaimanapun, semoga semua pengunjung blog ini diberkatiNya pada bulan Ramadhan, semoga terus kukuh dalam iman,dan sihat serta kuat mengerjakan ibadah sempena bulan yang mulia ini. Selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak. Antara petua yang diterima untuk sembuhkan anak dari demam kuning/jaundis: Mandi dengan - daun limau purut, daun pokok liu, kucai dan kacang kuda, asam keping Beri minum [jangan beritahu nurse/doktor, k] - air zamzam, titisan susu kambing Si ibu minum - air sengkuang cina