"Kak, boleh saya pinjam telekung akak? Saya lupa nak bawa," Azura meminta kebenaran.
Saya angguk sambil senyum, "Boleh, ambil saja."
Azura merupakan salah seorang ibu mengandung yang berkongsi bilik berhawa dingin berkatil 3 dengan saya di Wad 9, wad yang dikhaskan untuk ibu mengandung. Kesemuanya seramai 6 orang (5 Melayu, 1 India - Azura, Faiezah, Aishah, Kumareswari, Hayati, Suhaila ) ibu mengandung lain yang masuk silih berganti di dalam bilik kecil nombor 1 itu dalam 5 hari saya sabar menunggu masa untuk menjalani pembedahan cesarean untuk melahirkan Ihsan.
Saya seorang sahaja yang membawa kain sembahyang.
Maklumlah saya yang bakal dibedah c-section tidak turun apa-apa tanda bakal melahirkan, maka masih wajib bagi saya untuk mendirikan solat 5 waktu sehari semalam.
Saya tak pasti mengapa yang lain tidak membawa telekung.Mungkin mereka yang lain tergesa-gesa ke hospital sehingga tertinggal kain telekong sembahyang di rumah. Mungkin juga mereka sudah mendapat tanda mahu bersalin seperti darah, lalu tidak memasukkan kain telekung ke dalam beg. Mungkin juga suami mereka tidak tahu di mana telekung isteri disimpan di rumah lalu gagal membawanya ke hospital [ dalam soal ini, suami saya lulus 100% - alhamdulillah...]
Apa-apa pun alasan mereka, pengalaman awal saya di wad itu sudah memberi gambaran bahawa bukan semua penghuni wad 9 yang beragama Islam akan mendirikan solat semasa mereka menunggu kelahiran anak masing-masing.
Sebab itu juga, saya bersyukur apabila permohonan saya untuk tinggal di dalam bilik berhawa dingin itu diizinkan doktor pakar [ biasanya pesakit darah tinggi tidak dibenarkan tinggal di bilik kelas 1 berhawa dingin kerana dianggap berisiko tinggi dan perlu diawsi di kubikel pemerhatian yang sesak dan hangat].
Dapatlah saya mendirikan solat dengan lebih tenang dan selesa. Aurat juga lebih terjaga berbanding ketika berada di wad biasa.
"Kak, pinjam telekung ya?"
"Ambil la, lepas tu letak saja di atas meja tu," saya memberi cadangan.
Alhamdulillah, pada satu ketika sepasang kain sembahyang dikongsi oleh 3 ibu mengandung yang menunggu saat kelahiran anak masing-masing. Saya bersyukur. Saya tidak perlu bercakap apa-apa pun, sekadar mendirikan solat di atas katil bila tiba waktunya.
Betul kata suami kadang kala tindakan kita sendiri tanpa berkata-kata juag satu bentuk dakwah yang halus.
Saya bersyukur kerana dengan hanya sehelai telekung dan kain sembahyang, saya dapat membantu mereka mendirikan solat [insyaAllah turut memberikan kekuatan dan ketenangan kepada mereka yang bakal melahirkan anak]
Memang terdapat mereka yang tidak meminjam. Tidak sembahyang. Ada yang sekadar diam saja walaupun belum turun apa-apa tanda mahu melahirkan. Saya pun diam saja. Tidak boleh berdakwah secara keras mahupun memaksa pada waktu genting seperti itu. Mereka yang perlu membuat pilihan sendiri.
Alhamdulillah, pengumuman masuknya waktu solat jelas kedengaran di wad 9. Tak perlu kami bertanya kepada jururawat yang bertugas.Mereka mesra dan profesional tetapi sibuk.Bila ditanya di manakah arah kiblat, mereka akan memberitahu.Namun nasihat untuk mendirikan solat bukan kerja mereka.
Mereka juga tidak ada kain telekong untuk dihulurkan kepada pesakit yang memerlukan.
Pesakit sendiri yang perlu membawa kain telekung dari rumah jikalau mahu mendirikan solat di dalam wad.
Surau dengan kain telekung memang ada di hospital tetapi kami ibu mengandung tidak dibenarkan keluar dari wad itu kerana dikhuatiri berlaku sebarang kecelakaan.Mahu tak mahu, kami hanya boleh solat di atas katil atau di atas kerusi plastik di tepi katil.
Namun, bukankah baik jika pihak hospital dapat menyediakan kemudahan kain telekung untuk ibu-ibu beragama Islam yang mengandung di wad 9. InsyaAllah mereka akan lebih tenang dan bersemangat ketika mahu melahirkan anak.
Mungkin ada pihak tertentu yang ingin membuat kebajikan dengan menyumbangkan beberapa helai kain telekong untuk kegunaan bakal ibu Muslimah di hospital kerajaan?
[ InsyaAllah akan turut menyumbang nanti]
** pos ini juga peringatan buat diri sendri - bawa kain sembahyang ke mana-mana dan bila-bila saja.