“Siapakah yang lebih berhak menerima perkhidmatanku? Lalu Rasulullah menjawab, ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi, ‘Kemudian siapa’? Rasulullah menjawab, ‘Kemudian ibumu’. ‘Kemudian siapakah lagi?’ Soal lelaki itu lagi. Jawab Rasulullah saw, ‘Ibumu’. ‘Kemudian siapakah lagi?’ Soal lelaki itu. Rasulullah menjawab: ‘Bapamu’.(Muttafaq Alaihi)
"Tapi Bapa awak, takkan nak biarkan dia merempat? Awak tak nak jagakah?"
"Saya utamakan Ibu sebab Ibu yang lebih banyak bersusah payah membesarkan saya. Bapa cuma ada di rumah sekali sebulan sebab kerja di tempat lain. Dia tak pernah ambil tahu kehidupan senang susah kami. Masa kami sakit, Ibu yang jaga. Bila jiran fitnah Ibu ada kekasih gelap, Bapa terus mengamuk dan tak balik langsung selama 10 tahun. Ibu merendam air mata sehingga meninggal dunia kerana rindukan Bapa. Awak nak saya terima Bapa balik semudah ini, setelah apa yang dia lakukan terhadap kami semua?"
"Bukankah memberi maaf itu lebih baik daripada berdendam? Lagipun dia tetap bapa kandung awak."
"Saya maafkan dia tapi saya tak nak tengok muka dia lagi."
Bagi kita yang memandang dari jauh, memang mudah untuk menunding jari dan menyatakan,"Tak patut si anak layan bapa atau ibu kandungnya dengan tinggalkannya di rumah orang tua. Berdosa derhaka pada ibu bapa." Mudah bagi kita orang biasa menunding jari dan mengutuk si anak.
Namun mereka yang telah mengalami pengalaman pahit ditinggalkan atau didera oleh orang yang sepatutnya menjaga dan menyayangi mereka semasa kecil, bukan mudah untuk mereka memaafkan perbuatan lalu dan menerima orang tua mereka semula. Ia mengambil masa, dan memerlukan pengetahuan agama dan kekuatan jiwa untuk memaafkan segala perbuatan lampau si bapa atau ibu.Lebih-lebih lagi anak-anak yang ibu bapanya bercerai dan dibesarkan oleh ibu tunggal.
Memang, Islam menuntut anak-anak untuk berbuat baik kepada ibu bapa.
“Redha Allah itu berada dalam redha kedua orang tua dan murka Allah itu berada dalam murka kedua orang tua”.(Riwayat Abdullah bin ‘Amr).
Bukan sedikit ayat dalam hadis dan alQuran yang menyentuh bab ini. Saya percaya mereka yang mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa juga tahu tentang ini tetapi hati dan perasaan mereka tetap mengahalang daripada memaafkan dan menerima semula orang tua itu. Benar sekali pernyataan bahawa meminta maaf dan memberi maaf dua perbuatan yang sukar sekali bagi manusia biasa. Sebaik-baiknya bila kita baca atau dengar kisah sebegini, doakanlah agar terbuka hati anak-anak tersebut untuk memaafkan orang tua mereka dan menerima/jaga mereka semula di hari tua. Bukan sekadar mengutuk perbuatannya kemudian lupakan sahaja kisah itu.
Oleh itu, wahai mereka yang bergelar si bapa, laksanakanlah segala tanggungjawab anda sebagai ketua keluarga dengan baik dan adil. Pada waktu anda kuat dan gagah mungkin anda akan berkata dengan megah,"Saya bapa kamu, kamu mesi patuh dan ikut suruhan saya." tetapi bila anda dah tua dan uzur, hanya kasih sayang dan didikan baik kepada anak-anak yang bakal membolehkan mereka mengambil tugas menjaga anda pula. Lapanglah masa untuk bermesra dengan isteri serta anak-anak, dan bina kefahaman mereka membentuk jati diri Muslim yang sejati. Di samping itu, layanlah isteri anda juga ibu mereka dengan penuh kasih sayang dan perhatian di hadapan anak-anak kerana pengaruh isteri anda terhadap anak-anak jangan dipandang ringan. Jika kasih sayang isteri yang mendidik dan membesarkan anak-anak itu bertukar menjadi benci, kemungkinan besar itu juga perasaan yang akan dirasai oleh anak-anak, tak kiralah betapa sayangnya anda pada mereka.
Ibu-ibu juga, jagalah hubungan anda dengan suami yakni bapa kepada anak-anak anda. Mereka mungkin tidak menyuarakan tetapi mereka lihat dan dengar segala yang kita lakukan serta nyatakan. Andalah model kekeluargaan bagi mereka. Jadilah muslimah yang baik, isteri yang solehah dan ibu yang membesarkan serta mendidik anak-anak dalam bentuk Islam. Jikalau kasih sayang dan saling hormat-menghormati yang mereka lihat dalam hubungan ibu-bapa mereka, itulah jua yang bakal mereka bawa ke gerbang perkahwinan mereka sendiri kelak, insyaAllah.
Pendek kata, sama-sama kita berusaha membentuk keluarga Muslim yang utuh, yang rohnya adalah Islam. Jagalah hati dan perasaan sesama ahli keluarga, tunaikan dan hak tanggungjawab masing-masing dengan sebaiknya. Semoga semua ahli keluarga kita itu bakal bertemu semula di syurga Firdaus kelak, insyaAllah.