ANAK SIAPA TU?

"Ishhh... awat henti tengah jalan?" Saya tekan brek kereta. Hairan bercampur geram. Petang-petang nak pergi ambil anak-anak di taska, tiba-tiba kereta Myvi di depan kereta saya itu berhenti di tengah-tengah jalan. Apasal? Laaaa..... anak siapa tu? Kelihatan seorang kanak-kanak kecil sebaya Ikram berjalan seorang diri di tengah-tengah jalan, hadapan kereta Myvi. Kanak-kanak perempuan berumur kira-kira 2 tahun. Pemandi wanita di dalam kereta Myvi itu melambai-lambai kepada kanak-kanak itu supaya pergi ke tepi. Namun si kecil tidak mengerti; dia tetap berjalan melintasi jalan di hadapan kereta itu. Melihatkan keadaan itu, saya sendiri mulai risau. Mana ibu bapanya? Atau mana pengasuhnya? Tiada seorang dewasa pun berada di jalanraya itu bersama-sama si kecil. Tiada juga kelihatan orang dewasa di hadapan rumah-rumah berdekatan. Alhamdulillah, sebuah motosikal dengan 2 penunggangnya berhenti dekat si kecil lalu penumpang wanita itu turun menghampirinya. Dia memegang tangan si kecil lalu membawanya mesu ke dalam sebuah rumah berdekatan. Mungkinkah itu rumah si kecil? Saya menarik nafas lega. Syukur. Si kecil terlepas daripada bahaya. Fuhhh... itu bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku dekat rumah saya, yang kebetulan berhadapan dengan taman permainan kanak-kanak. Bulan lalu, saya terpaksa brek beberapa kali sebab mahu mengelak daripada terlanggar kanak-kanak tadika yang menunggang basikal di atas jalanraya. Seperti kes tadi, dia seorang diri. Risau saya setiap kali memandu kereta di kawasan rumah pada waktu petang sebab kanak-kanak dibiarkan keluar rumah tanpa pengawasan orang dewasa. Takut terlanggar anak orang! Sebab itulah sekarang jika suami tiada di rumah, saya tak bawa anak-anak ke taman permainan terutama sekali Ikram yang kini 19 bulan. Dia maih belum memahami semua arahan dan tak tahu akan bahaya. Tak larat saya nak kejar dia ke sana ke mari. Biarlah dia bermain di kawasan rumah saja... lebih selamat untuk waktu ini.