CUTI REHAT YANG BUKAN UNTUK REHAT

"Banyak dah kanak-kanak sini yang kena campak, kak," kata pengasuh Ihsan pada bulan lalu.
"Ihsan seorang yang tak kena lagi ni dalam bilik dia."
"Yakah? Oooo..'"saya terdiam. Menghitung hari, dengan harapan jikalau terkena jangkitan campak pun biarlah pada musim cuti sekolah.
Bulan Mac tiba, dan lalu begitu saja. Alhamdulillah Ihsan tak dijangkiti demam campak. Saya lega.Nampaknya Allah belum mahu menguji kami melaluinya.

Sehinggalah pada hari Jumaat 6hb April. Ihsan demam. Ikram pula demam secara tiba-tiba. Saya dan suami bergilir-gilir mengelap badan mereka.
Hampir tengah malam itu, badan Ikram mula naik bintik-bintik merah.
Arrrgghhh... rupa-rupanya demam campak. Chickenpox.
Pada Sabtu pagi, seluruh muka dan badannya dah penuh dengan bintik-bintik merah. Syukurlah jatuh pada hari Sabtu yang saya tak bekerja.
Ubat demam dan tahan gatal segera diberi. Doktor turut memberikan antibiotik.
Alhamdulillah, Ikram anak yang baik, tak banyak meragam melainkan cuba menggaru badannya yang gatal.
Adiknya Ihsan pula dah sihat, dan semakin aktif. Bukan mudah nak asingkan mereka berdua yang sudah semakin mesra dan suka bermain bersama. Akhirnya saya mengalah; jikalau ditakdirkan Ihsan turut dijangkiti, terima sajalah nanti. Lagipun ada kebaikan juga jika anak kena campak semasa kecil. Tak pening lagi ketika mereka bersekolah kelak.

Setiap hari, saya rendamkan Ikram dalam larutan serbuk oat dan tekap badannya sehingga kering selepas itu. Alhamdulillah rawatan ini lebih mujarab daripada calamine lotion yang perlu disapu selepas mandi. Ikram tak garu-garu lagi selepas mandian itu. Daun semambu yang menjadi amalan biasa untuk pesakit demam campak juga kurang berkesan baginya. Hancur daun-daun itu dicarik-cariknya atas katil; terpaksalah saya juga yang bersihkan bilik.

Kini dia dah ok, cuma masih belum boleh dibawa ke taska sebab masih ada bekas lagi di badannya. Takut nanti berjangkit kepada anak-anak lain; lagipun saya tak percaya taskanya mahu terima dia dalam keadaan begini, hahaha..Maka saya dan suami terpaksa bergilir bercuti rehat untuk menemaninya di rumah.
Kasihan lihat wajahnya yang penuh dengan bintik-bintik campak yang belum tanggal. Saya juga risau, tkut-takut nanti berparut pula wajah sebab dia suka garu. Harap-harap losyen vitamin E dapat menyembuhkan parut-parut nanti.
Ahhhh... nama saja cuti rehat, tapi sebenarnya bukan untuk berehat. Itupun atas budi bicara ketua jabatan, jika dia tak ok, tak dapat juga cuti itu.
Itulah masalah bila anak sakit dan tiada bibik di rumah untuk tolong jaga.
Bersabar sajalah... sekurang-kurangnya lega Ikram dah terkena measles serta chickenpox sebelum usianya 2 tahun lagi. Ujian Allah padanya seawal ini tentu ada hikmahnya. InsyaAllah Ikram sihat walafiat hendaknya selepas ini, ameen.

Alhamdulillah... pada mulanya pening bila memikirkan bahawa Sabtu 14hb April in hari sekolah ganti, siapa nak jaga Ikram di rumah...rupa-rupanya hari sekolah ganti itu telah ditunda ke minggu depan 21hb April.. hooorey, selamat kami semua.