SUAMIKU SUDAH MURTAD?

Kelu lidah saya apabila membaca  emel daripada seorang pengunjung blog beberapa minggu yang lalu. Isu yang tidak pernah saya sangka berlaku sebenarnya sedang berlaku di luar sana, dan alhamdulillah kali ini Allah izinkan saya diketemukan pula dengan seorang muslimah yang sedang menghadapi masalah berat. Husna [bukan nama sebenar] yang sedang menuntut di luar negara telah berkahwin dengan seorang warga negara tersebut. Dia mengaku bahawa suaminya, Hans [juga bukan nama sebenar] belum betul-betul memahami Islam dan telah memeluk agama ini untuk tujuan perkahwinan. Dia juga mengaku lalai sebab kurang membimbing suaminya Hans dalam selok-belok agama Islam yang baru dianuti. Justeru, apabila kawan-kawan Husna yang turut menuntut bersamanya menyoal Hans,"betul ke awak percaya Allah sebagai Tuhan yang Esa? Awak rasa diri awak tu Muslim?Jawab YA atau TIDAK sahaja,tak mahu jawapan tengah-tengah." Hans telah menjawab "Tidak" sebab dia sendiri tidak 100% yakin. Apabila mereka mengajak Hans untuk solat, Hans sekali lagi bertanya mengapa dia perlu solat sedangkan dia tidak faham akan keperluannya. Masyarakat Islam di situ, iaitu mereka yang rapat dengan Husna berkali-kali menyoal Hans tentang kepercayaannya pada Allah Yang Esa. Hans pula yang baru hendak belajar mengenal Allah berkata 'Bolehkah jika 99% percaya?" tetapi mereka mahukan jawapan 100%, yang gagal diberikan oleh Hans. Disebabkan jawapan Hans yang kurang menyakinkan itu, masyarakat Islam di situ sangsi dengan pengislaman Hans lalu membuat kesimpulan bahawa Hans belum lagi Islam ataupun telah murtad. Lebih mengharukan, Husna telah didesak dan kemudian dipisahkan daripada suaminya, Hans. Hans yang keliru dengan keadaan yang berlaku, masih meminta Husna untuk pulang semula ke rumah tetapi Husna teragak-agak. "Saya tidak dapat pulang ke rumah bersama Hans sebab masih tidak mampu meyakinkan mereka bahawa suami saya tidak murtad seperti yang mereka dakwa." "Tak adakah mahkamah syariah atau imam masjid yang dapat membantu Hans untuk kembali semula ke jalan Islam? " saya tanya dalam balasan emel. "Di sini tiada mahkamah syariah sebab masyarakat Islam di sini adalah minoriti. Mereka yang menuduh Hans murtad berkata bahawa mereka tidak mahu memaksa Hans. Jika Hans benar-benar insaf dan ingin belajar tentang Islam, dia yang perlu pergi mendekati dan berguru dengan mereka. Tapi saya tahu Hans tidak berminat berguru. Sekarang mereka tuduh suami saya itu murtad. Saya pula terpaksa berpisah dengan suami sebab tidak dapat yakinkan mereka bahwa suami saya masih Islam. Betulkah suami saya sudah murtad? " " Orang-orang yang mengatakan suami saya itu murtad pun, adalah orang-orang yang penting bagi saya di negara yang asing ini. Saya tak mahu bergaduh dengan mereka. Saya juga tak sanggup berpisah dengan suami dalam keadaan begini, dah sebulan lamanya.
Walaupun masuk Islam sebab kahwin, tetap muslim juga, bukan?
Dan suami saya tu tak belajar apa2 pun, iman lemah. Betulkah dia dah murtad sebab berkata tak 100% percaya pada Allah?"
Saya dah mel beberapa org malaysia(perkim, pguam syarie) tp masih belum dapat jawapan."
*******************************************************************************
Hmmm... geleng kepala sambil membaca emel tersebut. 
Seorang isteri Muslimah dipisahkan daripada suami sebab suami yang memeluk Islam dituduh sudah murtad, oleh sekumpulan masyarakat Islam di sebuah negara majoriti bukan Islam.
Saya nak rujuk siapa pula pada waktu yang singkat - baru selesai tugas mengawas SPM, nak ambil anak-anak daripada taska, nak kemas barang untuk keesokan hari [nak tangguhkan membalas emel, rasa berdosa pula]. Lalu saya ambil pendekatan sebagai seorang isteri dan mualaf lalu balas begini:
Tak baik kita sebagai Muslim untuk terus melabel seseorang terutama yang baru memeluk Islam di sebuah negara minoriti Muslim sebelum kita memberinya peluang untuk mengenali Allah dan Rasul saw. Saya tak mahu menuding jari, yang dah jadi sudahpun berlaku. Sekarang kita perlu cari solusi, bukan teruskan biar suami sis terkapai-kapai begitu dan seterusnya lebih jauh dari Allah dan Islam. Nasihat saya, balik dulu pada suami. Jangan terlalu peduli apa orang sekeliling kata, sebab yang nak tanggung dosa isteri derhaka itu adalah sis. Sebab kita tak pasti sama ada dia benar-benar murtad selagi dia tidak diberi peluang untuk belajar dan mengenal Allah dan Islam. Di Malaysia pun, bukan semua saudara baru 100% yakin bila memeluk Islam, tapi itu bukan kerja kita. Hidayah milik Allah swt, dan kita tak ada hak untuk menyoal berapa % seeorang itu percaya pda Allah sebelum kita sendiri mengajar dan memberi petunjuk padanya. Oleh itulah, apabila seorang peluk Islam, perkara utama yang dia perlu belajar adalah tauhid. Kenal Allah, dan Rasulullah. Saya syorkan sis dapatkan buku-buku tentang Islam yang mudah difahami. Ataupun berikan dia baca tentang keajaiban Islam menurut Sains, seperti persamaan dalam tawaf haji, gerakan jantung dan gerakan planet dalam arah yang sama. Keajaiban air zamzam. Gunakan kebenaran Islam melalui Sains, insyaAllah lebih mudah untuk yakinkannya. Dapatkan tip2 sepertimana mengajar kanak-kanak kecil tentang Allah. Sekarang kita nak selamatkan akidah suami sis itu, bukan terus menjauhkannya daripada komuniti Islam. Jika tidak, dia akan terus sesat dan boleh jadi murtad dengan erti kata sebenar. Masa itu dia benar-benar murtad, bayangkan dosa orang-orang yang tidak membantu dan cuba menariknya kembali pada Islam. Memang mudah bagi orang terutama born Muslim untuk melabel, sedangkan susah untuk mengajar dan meyakinkan orang lain termasuk mualaf tentang kewujudan Allah. And that is actually a challenge for all Muslims in your community, to bring him back to Islam. Nasihat saya, teruskan berjumpa dan berbicara dengan suami. Ingatlah, selagi mahkamah syariah tidak menyatakan suami sis itu murtad dan tiada perceraian secara bertulis, anda masih suami isteri sah. Jangan terus mengalah dengan situasi dan kata-kata orang. Yang tanggung dan melalui masalaah itu semua adalah sis. Masih ada peluang untuk tarik dia semula pada Islam, selagi dia masih mahu berjumpa dengan sis. Gunakanlah peluang itu sebelum hatinya benar-benar tertutup. Jangan mudah mengalah, dan teruskan berdoa pada Allah swt yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui. InsyaAllah, Dia mendengar dan Dia Maha Mengampun. Setiap kita ada ujian masing-masing. Ini ujian sis. Mungkin berjaya, mungkin tidak. Usahalah sebagai isteri yang solehah. Ingatlah bagaimana Asiah isteri Firaun taat, bagaimana puteri Rasulullah taat pada suami dan terus berdoa selagi suami sendiri tidak menyatakan cerai. Mohon doa daripada keluarga terdekat agar perkahwinan sis dengan suami terus kekal dengan izinNya. Semoga Allah swt berkati dan permudahkan sis dalam usaha murni ini, dan semoga Allah swt berikan hidayah pada suami.
======================================================================
Betulkah nasihat yang saya berikan itu?
Ada cadangan lain yang boleh saudara-saudari berikan untuk membantu Husna dan suaminya, Hans?
nota: *** edit sedikit sebanyak sebab emel kami yang sebenar panjang