Sunday, October 2

DIA BOLEH LULUS

Cikgu Baharudin tersenyum lebar sambil berjalan masuk ke bilik guru..
"Syamsul (bukan nama sebenar) lulus Matematik," katanya dengan bangga.
Kami semua terkejut.
"Syamsul, budak 6 Harapan yang tak boleh tulis namanya dengan betul tu? Tak caya la," kata Cikgu Kamariah.
"Aku taulah awak takkan 'caya, sebab tu aku bawa slip keputusan UPSR dia," jawab Cikgu Baharudin sambil menunjukkan slip itu kepada kami di bilik guru.
Kami semua yang berada dalam bilik itu segera menerpa ke arah meja.
"Betullah, Syamsul lulus Matematik. Tu saja subjek yang dia lulus dalam UPSR," Cikgu Kamariah akhirnya mengaku. Dia masih terkejut dengan berita itu.
"Din, apa ilmu yang awak pakai? Berbuih mulut aku ajar BM, dia tak lulus pun," ujar Cikgu Rozita pula.
"Dia tu memang lemah, tapi ikut cakap. Aku suruh dia hitamkan semua B dalam kertas jawapan," Cikgu Baharudin ketawa penuh makna.

Bila sebut sahaja UPSR, saya akan terkenangkan kisah Syamsul. Itu tahun 90-an, semasa semua soalan UPSR berbentuk pelbagai pilihan, yang sekadar memerlukan calon menghitamkan jawapan yang betul pada kertas jawapan.
Setiap tahun, kami guru-guru terutamanya yang mengajar kelas Tahun 6 pasti tertekan apabila mengajar pelajar kelas terakhir. Pasti ada yang masih belum menguasai 3M, walaupun mereka dihantar ke kelas pemulihan. Ada yang sampai nama sendiri pun tulis tak betul. Ya lah, itu sekolah luar bandar, dan ramai pelajar hanya bergantung pada guru sekolah untuk peningkatan dalam akademik. Kebanyakan ibu bapa pula serah bulat-bulat kepada pihak sekolah untuk pendidikan anak-anak. Oleh yang demikian, pelbagai kaedah dan teknik digunakan untuk membantu mereka agar lulus dalam peperiksaan umum itu.

Pihak PPD menekan guru besar. Guru Besar pula menekan guru-guru. Guru-guru akhirnya menekan murid. Namun alhamdulillah, sepanjang perkhidmatan saya di sekolah rendah [1992-2006], tak pernah kami warga sekolah menghalang pelajar daripada mengambil UPSR. Walaupun kami tahu bukan semua yang akan lulus.
Sebaliknya kami yang kalut setiap hari sepanjang musim peperiksaan. Takut ada pelajar yang tidak hadir. Membilang dan membilang jumlah mereka yang bakal masuk ke dalam dewan peperiksaan. Malah pernah guru bertugas mengetuk pintu rumah pelajar yang tidak datang ke sekolah pada awal pagi. Dia didapati tertidur. Mujurlah sempat menduduki kertas tersebiut walaupun lewat beberapa minit.

Berita terbaru tentang pelajar-pelajar Tahun 6 yang dihalang daripada menduduki UPSR amat mengecewakan saya. Terdapat guru yang tergamak menghalang anak didik mereka sendiri daripada mengambil peperiksaan umum itu. Semuanya gara-gara nak jaga prestasi sekolah, dan mengejar KPI yang tinggi.
Jikalau itu adalah anak mereka sendiri, apakah perasaan mereka pula?

2 comments:

  1. To me the state of our education is t a stage that reflects the saying 'too many cooks spoil the broth'. The rot starts from the head. We have placed our emphasis on everything but the well being of ALL pupils, especially the less privileged ones, many of whom are back in the suburban areas. It hurts me to witness the wrongdoings which I have no means of correcting them. Nevertheless I do what I can as my contribution to society. And I hope you, being trained teachers, will sincerely and honestly do what you can.

    ReplyDelete
  2. Dear al-Manar,
    I agree with you. Always teach the students, not just teach the subject.InsyaAllah what goes around comes around- if we do our best for somebody's child, somebody else will do their best for our own offspring, don't you agree?

    ReplyDelete