Monday, July 2

TANYA SAMA ANGIN, MENGAPA BERHABUK..

Assalamualaikum,
Maaf kepada sahabat-sahabat yang berkunjung ke sini. Kebelakangan ini, saya sibuk sehingga tak sempat pun nak pasang komputer untuk online. Macam-macam hal termasuklah kesihatan yang kurang memuaskan.

Di sekolah pula, saya sibuk dengan minggu temasya sukan sekolah. Alhamdulillah dah selesai, walaupun keadaan agak merimaskan sebab terpaksa adakan temasya sukan tersebut di padang terbuka [padang sekolah tidak dapat digunakan sebab sedang dinaiktaraf] dalam cuaca panas dan berjerebu pada Sabtu lalu. Tak tahulah berapa bacaan Indeks Pencemaran Udara pada ketika itu, sebab selagi tiada arahan bertulis daripada Jabatan Pelajaran, temasya sukan tetap dijalankan. Program sekolah bukan mudah nak ditangguh atau dibatalkan. Perlu ada surat menyurat. Memang diakui, kehadiran para pelajar agak kurang pada tahun ini tetapi saya lega, temasya tersebut dah berlangsung. Sekurang-kurangnya tidak perlu adakan latihan sukan pada waktu petang lagi. InsyaAllah, pelajar pun sudah boleh tumpukan perhatian pada pelajaran masing-masing.

Dalam bab jerebu ini. saya tak faham. Seingat saya, dah lama masalah ini berlaku tetapi setiap tahun, kita di utara Semenanjung Malaysia khasnya juga yang sering menjadi dilanda keadaan cuaca yang berjerebu. Hampir setiap tahun, kita sesak nafas apabila ruang udara dicemari habuk dan asap tebal. Bukankah kita sepatutnya semakin bijak dan belajar dari kesilapan lampau? Selalunya kita suka menyalahkan pihak lain, yakni warga asing yang membakar hutan di seberang sana tetapi jikalau ia tetap berulang pada setiap tahun,adakah itu juga sebab kemungkinan kita juga yang lalai sehingga membiarkan ia berulang? Saya masih melihat pihak-pihak tertentu yang membakar sampah-sarap walaupun tindakan itu boleh dikompaun pihak berkuasa tempatan. Nak tegur, nanti silap hari saya pula dibakarnya.. lebih baik diam dan marah dari jauh.

Saya masih ingat, pada lewat tahun 90an, masalah jerebu terlalu dahsyat sehingga pernah berlaku keadaan orangramai keluar rumah dengan memakai topeng, dan semua aktiviti di luar kelas terpaksa dibatalkan di sekolah. Saya masih ingat lagi situasi ketika itu, yang amat menyusahkan semua pihak. Pesakit asma dan kanak-kanak yang paling merana sebab kesihatan mereka yang mudah terjejas. Semoga keadaan itu tidak berulang lagi.

Alhamdulillah, keadaan di Seberang Jaya sudah semakin elok lagi walaupun setiap pagi ketika memandu ke tempat kerja, saya hampir sesak nafas [secara psikologi] melihat langit pagi yang agak suram disebabkan tebalnya jerebu. Terik matahari pula tidak seperti hari-hari biasa. Panas lain macam, seolah-olah di dalam sauna. Tak tahulah bagaimana di tempat lain, tetapi jikalau Jambatan Pulau Pinang pun tak nampak dari seberang, dah dikira teruk la.

buah luohanguo diambil dari http://blog.chinatraveldepot.com
Semenjak diserang laryngitis [jangkitan kerongkong] baru-baru ini, saya adakan stok tertentu di rumah. Beli di kedai sinseh. Alhamdulillah, semenjak amalkan minum segelas sehari, dah berkurangan panas badan. Minuman daripada buah Luohanguo [dalam bahasa Inggeris, dipanggil Buddha's fruit] ni bertindak menyejukkan panas. Tambah dengan bunga kekwa kering, boleh menguatkan sistem pernafasan terutama dalam keadaan berjerebu sekarang, insyaAllah. Hanya masukkan sebiji buah ni dan segenggam bunga kekwa kering, reneh dengan sedikit gula merah.
Hasilnya manis dan sedap.
Oleh sebab ia adalah buah kering dan dikategorikan sebagai herba, tiada masalah tentang halal haram memakannya. Oh ya, jika malas nak reneh setiap hari, sekarang sudah ada paket 3-in-1 yang dijual di kedai sinseh, hanya perlu tambah air panas saja.


Semoga Allah SWT berikan kesihatan yan baik kepada kita semua,ameen.
untuk bacaan Indeks pencemaran udara - singgah di sini http://www.doe.gov.my/apims/




No comments:

Post a Comment