Tuesday, September 7

SESI BERSALAMAN

Hari terakhir persekolahan sebelum cuti sekolah sempena Hari Raya Aidilfitri dimulakan dengan sesi bersalaman di antara para pendidik dan pelajar sekolah.
Syukur, cuaca yang mendung membolehkan program ini berjalan dengan selesa di tapak perhimpunan.
Saya turut berdiri bersama-sama guru-guru lain untuk bersalaman dengan para pelajar. Kami tak asingkan pelajar; semua pelajar tak kira beragama Islam atau tidak, diberi peluang bersalaman dengan guru.
Bagi pelajar Islam, ia merupakan satu aktiviti yang biasa.

Namun begitu, ia sesuatu yang begitu asing untuk pelajar bukan Islam, terutama mereka yang belajar di SJKC/SJKT sebelum ini.
Pelajar Cina dan India dari sekolah aliran itu tidak tahu apa yang hendak dilakukan, juga tidak tahu apa yang perlu diucapkan kepada para guru yang akan menyambut Aidilfitri.
Segalanya begitu asing bagi mereka.
Ada pelajar Tingkatan 6 yang lalu di hadapan guru dengan senyum simpul dan perlu dipanggil semula untuk diberi latihan baru.
Ada pula pelajar Cina dan India yang mengucapkan "Happy Holidays"kepada guru beragama Islam.
"Ucap 'Selamat Hari Raya,' kepada cikgu beragama Islam, cikgu yang kata 'Happy Holidays' kepada kamu," itulah nasihat para guru kepada mereka yang kelihatan keliru.
"Selamat Hari Raya," ucap mereka yang lebih arif.

"Teacher tak salam dengan pelajar lelaki, ya. Kamu dah besar, dalam Islam tak boleh. Pelajar lelaki ucap saja, tak perlu jabat tangan," jelas saya kepada pelajar lelaki India yang sudah menghulurkan tangan untuk ucap selamat.
Mereka mengangguk tanda faham.
Hmmm.. macam-macam pula yang perlu dibimbing dalam sesi pendek itu.

Para pelajar beragama Islam pula pelbagai ragam.
Ada yang memeluk guru yang disayangi sambil memohon maaf, ada pula yang buat muka tembok saja sambil lalu di hadapan guru.
"Ucap Selamat Hari Raya sahaja? Tak minta maaf zahir dan batin?" usik si cikgu yang prihatin.
Bukan cikgu paksa mereka yang nakal memohon maaf untuk kesilapan dahulu pun tetapi bukankah ia merupakan satu latihan yang baik kepada mereka?
Belajar di sekolah sepatutnya bukan sahaja untuk lulus peperiksaan tetapi yang lebih penting, belajar untuk menjadi seorang insan yang baik.
Lagipun para remaja sekarang begitu berat mulut untuk mengucapkan maaf. Malah 'Assalamualaikum' pun sengaja dipendekkan jadi "A'kum".
Kalau bukan sesi bersalaman dan maaf bermaafan sempena Aidilfitri ini, bilakah lagi mereka yang banyak berdosa pada cikgu berpeluang memohon maaf?

Sesi bersalaman sesama warga sekolah sempena perayaan Aidilfitri merupakan satu cara mengeratkan siratulrahim. Ia juga memberi peluang kepada yang bukan Islam untuk mengenali budaya Melayu dan memahami mengapa orang Islam saling memohon maaf pada Aidilfitri.
Alhamdulillah, sekolah saya mengadakannya.
Bagaimana pula dengan sekolah lain?

2 comments:

  1. dolu-dolu zaman sekolah gila suka salam-salam beratur ramai-ramai panjang-panjang.lagi haru kalau time form5/darjah 6, asyik nak nangis lgu-lagu aja kak. kalau hari raya ada lah jugak suka-suka sana sini.

    minta maaf(d way u write,above) shld be teach,setuju.budak2, kecil2 baiklah dilenturkan.insyaallah, berkekalan

    ;)

    ReplyDelete
  2. teringat zaman masa sek rendah dulu2x.....seronok...erat silaturrahim...even boleh salam dengan cikgu yg tak mengajar kta....hehehhehe......manis nya kenangan lalu....

    ReplyDelete