Saturday, March 13

WAJARKAH DIJADIKAN BERITA?

Buka berita online, terbaca berita itu. Buka halaman suratkhabar Bahasa Melayu, ada berita itu. Baca surat khabar Bahasa Inggeris, ia tetap terpampang walaupun bukan di halaman pertama.
Ishhh.. ishhh.. ishhh, apa nak jadi dengan dunia sekarang?

Geram. Terkilan. Sedih. Marah pun ada.
Sebab berita itu sengaja disensasikan oleh pihak media. Mentang-mentanglah yang tertuduh itu seorang yang berstatus ustazah, yang rumahnya diserbu pihak pencegah maksiat.
Kalau ya pun, bawalah sahajalah mereka yang tertuduh untuk dihadapkan di mahkamah syariah untuk diadili. Tunggu sehingga hukuman dijatuhkan oleh pihak yang diamanahkan.
Ini tidak, dinyatakan sebagai satu berita sensasi di akhbar-akhbar berbahasa Melayu, kemudian disusuli oleh akhbar bahasa Inggeris yang menyalin berita tersebut lalu diterjemahkan.
Seronoknya mereka. Larisnya jualan akhbar pada hari itu.
Kononnya mahu memberi pengajaran kepada para pembaca bahawa seorang yang berstatus 'itu' dan berpendidikan agama juga tidak lari daripada membuat dosa? Kononnya golongan ini juga tidak bebas daripada bergelumang dengan maksiat? Mungkin juga dengan alasan supaya masyarakat lebih berhati-hati bila berurusan dengan golongan yang beragama?

Mengapakah perlu diketengahkan sangat jawatan yang dipegang 'pesalah-pesalah' itu?
Kalau yang tertuduh itu sekadar pekerja kilang atau pelayan restoran, ada orang ambil peduli? Nak siarkan sebagai berita?
Tak tahukah mereka yang menulis, yang menyiarkan dalam akhbar itu bahawa mereka tetap bertanggungjawab ke atas apa yang ditulis untuk disiarkan kepada pembaca akhbarnya, bahwa mereka tetap akan disoal di akhirat nanti akan apa yang mereka laporkan?
Tak bolehkah sekadar menulis bahawa yang ditangkap itu seorang wanita ?

Itulah masalah besar dalam masyarakat kita.
Yang dituduh belum pun dihukum bersalah,tetapi berita itu sudah pun diheboh-hebohkan, terutama jika yang tertuduh itu mereka yang dikatakan berilmu tinggi dalam agama Islam. Pantang silap sikit, terpampanglah berita dalam akhbar, tak kiralah ustaz, ustazah atau guru.

Fikirlah juga, apakah kesan berita yang disensasikan itu kepada masyarakat yang membaca?
Sedangkan yang tertuduh belum pun diadili di mahkamah dan dijatuhi hukuman, media dan sesetengah pembaca sudahpun menghukum terlebih dahulu. Mendahului hakim.
Kalau yang tertuduh didapati tidak bersalah, apakah yang menyiarkan berita itu akan dihadapkan ke mahkamah pula?
Kalau yang membaca berita itu terdiri daripada para pelajar, apakah tanggapan mereka? Mungkin mereka akan memberi alasan,'ahhh... ustazah berpelajaran tinggi pun boleh kantoi, kita tak payahlah belajar tinggi-tinggi.'
Kalau pembaca itu orang bukan Islam, apakah yang bermain di dalam fikirannya? Tentulah bukan sesuatu yang berpihak kepada Islam.

Memang tidak salah pihak pencegah maksiat melakukan tugas mereka iaitu mencegah kemungkaran. Tetapi pada pendapat saya, kalau dah berjaya tangkap dan ada bukti mereka lakukan maksiat, bawalah dan hadaplah mereka ke muka pengadilan iaitu oleh hakim bertauliah di mahkamah syariah. Tak perlulah bawa sekali pemberita dan biarkan pemberita itu menulis berita sensasi sebelum penghakiman, kecuali ada motif di sebalik penangkapan. Takut nanti yang tertuduh sudahpun bertaubat dan dosanya sudah diampuni Allah swt sedangkan pembaca yang mengutuk pula masih dibebani dosa selagi tidak meminta maaf. Wallahu'alam.

Ingatlah bahawa Allah tidak suka orang-orang Islam membuka aib orang lain.
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya, "Barang siapa membuka aib saudaranya, Allah akan membuka aibnya di akhirat"

5 comments:

  1. dari dua sudut pandangan...kepada 'ustazah' tersebut ia merupakan ujian. kepada 'wartawan' ingatlah firman allah .."apa yg manusia lakukan itu adalah untuk dirinya sendiri" dan "seadil - adil hakim adalah Allah s.w.t". kita yg memerhati kehancuran dunia perlu mahasabah diri.

    ReplyDelete
  2. salam kak aliya. sebab itulah kakchik tidak ambil peluang langsung ke atas berita itu. kalau nak naikkan rating pengunjung ke blog memang boleh tapi berita sebegitu hanya akan menambahkan fitnah kepada agama Islam.

    ReplyDelete
  3. "Takut nanti yang tertuduh sudahpun bertaubat dan dosanya sudah diampuni Allah swt sedangkan pembaca yang mengutuk pula masih dibebani dosa selagi tidak meminta maaf. Wallahu'alam."


    EXACTLY! THUMBS UP FOR THIS!
    <3

    ReplyDelete
  4. aib org kta nampak..aib kita Allah tutup..

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam semua yang komen dalam pos ini,
    Maaf lewat balas komen. Baru balik dari cuti-cuti Malaysia :)
    Sedih juga bila dewasa ini Islam semakin diserang dari semua sudut melalui media massa.. ada-ada sahaja berita yang kurang 'enak' menghentam agama Islam dan penganut-penganutnya.

    ReplyDelete