Wednesday, December 23

KUIH EE

"Alamak, patutlah!"
Kuih ee yang dibuat tidak menjadi. Syukurlah buat pun hanya 100g. Puas saya cuba ingat semula langkah-langkah yang saya lakukan semasa membuatnya. Maklumlah dah 4 tahun tak masak sejak saya memeluk Islam, resipi pun dari ingatan sahaja. Tambahan dalam keadaan mengandung, memang mudah lupa, hahaha.
Ahhhh, rupa-rupanya saya tersilap tepung!
Patutnya guna tepung pulut, tetapi saya terguna tepung beras. Terlupa bahawa nama Inggeris untuk kuih ee adalah glutinous rice balls. Patutlah kuih ee keras macam batu, tak masak-masak dalam periuk, hahahaha. Akhirnya masukkan ke dalam tong sampah saja.

Semalam adalah Perayaan Winter Solstice atau dalam bahasa Mandarin, Dong Zhi. Mak Tok saya juga menggelarnya sebagai 'Chinese Christmas' kerana ia menandakan musim sejuk, menjelangnya akhir tahun untuk orang China. Selepas itu, akan tibalah Tahun Baru Cina pada musim bunga. Ia adalah tempoh yang paling sejuk di China dan secara tradisinya ahli keluarga akan berkumpul dan makan bersama. Lalu kuih atau dessert yang berbentuk bulat ini dihidangkan sebagai simbol kesatuan keluarga.

Memasak Kuih Ee [kuih ee dalam Hokkien bermaksud kuih bulat] atau nama mandarinnya, Tang Yuan [bermaksud sup bulat] bukan susah, cuma perlu menguli tepung dengan air panas, kemudian biarkan seketika sebelum merebusnya dalam air. Kemudian apabila ia timbul, direndam seketika ke dalam air sejuk kemudian barulah dimasukkan ke dalam periuk berisi air sirap. Secara tradisi, keluarga saya berketurunan Nyonya Peranakan memasak air sirapnya menggunakan halia tua dan gula batu dengan sedikit daun pandan. Rasanya? Macam air halia manis dengan bau pandan.

Ketika saya remaja, setiap malam menjelang 22 Disember, Mak saya akan mengerah saya untuk membuat kuih ee. Dulang bulat dengan diameter sehasta akan dikeluarkan untuk menjadi tempat menyimpan bebola kuih ee yang telah siap. Kebiasaannya mereka akan membeli doh dari gerai yang dibuka sempena perayaan ini [ saya yang mulakan tradisi membuat doh sendiri selepas berkahwin]. Secubit demi secubit doh yang berwarna merah, putih, dan hijau akan diletakkan di atas pinggan besar. Saya akan menguli [roll] doh dengan tapak tangan sehingga menjadi bulat. Pernah kami buat sehingga 3kg doh tepung. Lenguh tangan! Untuk nak cepat, 3 atau 4 cubit doh akan diuli sekali. Cabarannya setiap bebola yang bulat tidak boleh bersentuhan dengan yang lain [untuk pasikan kekal bulat]; sebab itulah dulang besar digunakan untuk tujuan menjarakkan bebola-bebola tepung itu. Dulang berisi bebola tepung akan disimpan di atas meja semalaman.

Pada awal pagi, Mak akan memasak bebola tepung lalu memasukkannya ke dalam periuk yang berisi air sirap halia. Secara tradisinya, upacara sembahyang akan dilakukan pada pagi tersebut. Meja tokong akan diletakkan kuih ee bersama-sama kek, nasi putih, lauk-lauk dan sebagainya. Hidangan untuk menjamu roh nenek moyang. Kebiasaannya saya akan hanya melihat dari jauh tanpa melibatkan diri. Kuih ee yang masih tinggal dalam periuk itulah menjadi habuan saya. Tak boleh makan banyak pun kerana tepung kuih ee itu mengenyangkan; cukup semangkuk saja. Kepercayaan orang Cina, bila makan kuih ee, bermaksud bertambahlah umur setahun menjelang Tahun Baru Cina [orang Cina kira umur Cina agak berlainan daripada bangsa lain. Anak-anak yang lahir selepas Dong Zhi tetapi sebelum Tahun Baru Cina tahun berikut, akan dikira sebagai 1 tahun pada waktu kelahirannya, kerana dianggap telah makan kuih ee ketika dalam kandungan ibunya. Maka saya berumur 40 tahun kalendar Cina, 38 tahun kalendar Barat, huhu].

Pernah saya bertanya kepada Mak, mengapa masih amalkan tradisi lama ini menyembah roh nenek moyang sebelah keluarga Ayah sedangkan hubungan kekeluargaan sudah renggang. Kata Mak, itu tradisi, tidak boleh diubah meskipun dia sendiri sudah lama tidak pulang ke kampung Ayah. Walaupun tak pasti samada yang dijamu itu benar-benar roh nenek moyang? Kalau tak sembah makanan tak bolehkah? Mak sekadar mendiamkan diri. [saya memang banyak menyoal dan agak berlainan daripada sepupu perempuan lain yang menurut sahaja, Mak kata itulah bencana didikan sekolah Inggeris :P]

Saya dapati tradisi membuat dan makan kuih ee masih kekal sebagai amalan orang Cina walaupun di kalangan mereka yang bukan lagi beragama Budha. Ia makanan yang mengingatkan kami orang Cina tentang sesuatu tradisi atau peristiwa penting. Kalau Tahun Baru Cina, adalah makanan tradisional keluarga saya. Kalau perayaan Cheng Beng atau perayaan keagamaan lain, ada makanan istimewa lain [saya tak amalkan lagi]. Kalau perkahwinan dan selepas melahirkan anak, ada makanan khas. Kalau Dong Zhi, inilah makanannya.

Nampaknya saya akan membuat kuih ee semula pada kemudian hari, sekiranya masih teringin untuk makan. Mungkin ada hikmahnya ia tak menjadi pada tarikh sepatutnya. Lega juga kerana Mak tinggal agak jauh dan tidak mengharapkan saya menghantar doh [dia beli doh setiap tahun]. Kalau tidak tentu dia akan marah apabila kuih ee saya tidak menjadi untuk disembahkan pada tokong rumah, hehehe. Tahun ini saya tak balik kampung untuk Dong Zhi kerana suami outstation, saya pula tak berani memandu jauh kerana kerap kejang kaki akibat mengandung.

Ada pihak yang menyoal amalan tradisi seolah-olah mereka yang memeluk Islam tidak boleh lagi mengamalkan tradisi turun-temurun. Ingin saya tegaskan bahawa selagi makanan yang dimasak halal dan bukan untuk tujuan penyembahan tokong, ia tidak menjadi kesalahan. Namun begitu, bagi mereka yang pulang ke kampung untuk menyambut perayaan ini, perlulah berhati-hati supaya kuih ee yang dimakan bukanlah yang telah disembahkan pada tokong [amalan keluarga saya, mangkok kecil yang disembah ditinggalkan pada tokong, mangkok besar dituang semula ke dalam periuk]. Dong Zhi adalah perayaan yang mengeratkan siratulrahim antara ahli keluarga dengan makanan khas. Ia tidak patut ditinggalkan semata-mata kerana telah memeluk Islam, oleh itu dinasihatkan agar isteri-isteri yang berkahwin dengan saudara baru berketurunan Cina belajar memasak masakan yang halal ini. Kanak-kanak suka membuatnya dan memberi peluang mereka mengenali kebudayaan Cina.

Gambar: http://www.malaysiabest.net

4 comments:

  1. Assalamualaikum

    sy rase kak aliya patot poskan resepi masakan chinese kt sini. blh kitaorg try buat kan. ngeee... :)

    teringin nk rase.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam olyyn,
    Saya suka masak dessert Cina, bekhasiat,mudah dan sedap :)
    Kuih ee @ tang yuan tak susah nak buat.Ini resipinya, versi tradisional.
    Bahan: tepung pulut, air panas, air biasa, air sejuk, halia tua, gula batu/melaka/merah, daun pandan, pewarna ikut suka.
    Inti bebola[jika mahu]: pes kacang merah/kepingan coklat/kacang tanah yang ditumbuk dengan gula
    Cara membuat:
    1. Gaulkan tepung pulut dengan air panas sehingga membentuk doh lembut, baru campurkan sedikit air biasa untuk mudah menguli.
    Kemudian uli sehingga doh lembut tetapi tak melekat pada tangan. Bahagikan doh kepada beberapa bahagian, bergantung kepada warna yang dihendaki. Biarkan doh asal untuk bebola warna putih.Uli sehingga warna doh itu menjadi sebati. Awas, hanya beberapa titik warna sudah memadai untuk doh.
    2. Gulung doh menjadi panjang dan cubit sedikit lalu uli menjadi bebola sebesar syiling 10 sen.Kalau berinti,bolehlah lebih besar lagi. Kalau nak masukkan inti, perlulah leperkan dahulu,masukkan sedikit pes baru diuli menjadi bebola.Letakkan bebola diatas dulang/pinggan leper, jarakkan supaya bebola tidak bersentuhan.
    3. Untuk sirapnya, rebus gula batu/merah/melaka dengan air dan masukkan sepotong halia yang telah ditumbuk dan daun pandan.Kemanisan mengikut citarasa.
    4. Masukkan bebola tepung ke air mendidih di dalam periuk lain dan rebus sehingga bebola timbul.Angkat dan rendam dalam air sejuk seketika supaya bebola lebih kenyal dan tidak mudah melekat apabila dimasukkan ke dalam peti sejuk.
    5. Hidang bebola yang telah masak dan disejukkan dengan sirap halia.
    Selamat mencuba.

    ReplyDelete
  3. had a bowl too 2days ago. hm, actually two bowls. another bowl an hour later. hehe. mum made it.

    yes kak aliya,u r rite, eating tang yuan is something we hold onto dearly from our childhood days, maka, apa salahnya diteruskan. ;) it is one of the many things i'd like my children to know abt their mother's upbringing.

    this dessert hampir sama dgn 'butir nangko' of kelantan, except the kuah ada santan and halba. nyum!

    -fatihah nur izzati-

    ReplyDelete
  4. fatihah,it's yummy, right. I remember my brother and I used to make doughmen when we got tired of rolling the balls after 1 hour [just to see mom's face change, ha3].
    Oh, I miss kelantan food :(

    ReplyDelete