Monday, July 13

PERLU ATAU TIDAK?

Saya membelek-belek kerongsang yang berkelipan dengan batu kristal. Cantik.
Lihat pula tanda harganya. Aduh, RM108. Dalam hati mula mencongak-congak. Perlu atau tidak saya tambah kerongsang? Beli satu yang dikatakan berkualiti RM108 atau beli 5 di kedai lain dengan RM100? Kerongsang yang ada dalam simpanan agak mencukupi; satu untuk setiap warna asas. Mudah membuat keputusan- jalan ke tempat lain, hilang hasutan untuk membeli, hehehe.

Wanita! Wanita! Wanita!
Antara satu kelemahan wanita adalah suka berhias.
Wanita manakah yang tidak mahu cantik? Paling kurang pun cantik di hadapan suami.
Tapi berkerongsang RM108 di hadapan suami di rumah sahaja, pelik pula. Kalau memakai di luar rumah, sudah menjadi perhatian lelaki lain yang bukan muhrim, sudah lari dari niat berhias untuk suami.
Mengapa saya berkata begini?

Pernah saya mendengar tazkirah dengan seorang ustaz yang menasihati Muslimah supaya tidak membeli benda secara berlebihan, lebih-lebih lagi yang berbentuk perhiasan seperti kerongsang. Benar juga, yang kita pakai setiap kali keluar rumah pun paling banyak 3 kerongsang - satu di tengah, satu di kanan dan satu di kiri. Tapi bila lihat koleksi kerongsang yang ada - tu dia! Penuh satu laci, boleh buka gerai. Besar macam penumbuk pun ada, ada class bila dipakai. Yang menjadi masalah, berapakah yang dipakai dan berapa yang menjadi koleksi dalam almari, untuk hanya disarungkan setahun sekali?

Setahu saya, bila sesuatu dipakai dengan tujuan menunjuk-nunjuk atau dengan tujuan mendapat pujian, sudah tabarruj namanya. Hukumnya? Haram.
Wanita Islam dilarang mengikut telatah wanita Jahiliah yang suka mempamerkan kecantikan kepada lelaki bukan muhrim, dengan wajah, dengan perhiasan, dengan lengkok badan. Oleh itu, Muslimah mejaga maruah dengan menutup aurat. Itu baik. Tetapi malangnya musuh-musuh Islam belum berputus asa menghasut Muslimah untuk melakukan dosa. Apabila wanita Islam mula memakai tudung dan menutup aurat, diadakan pula bentuk perhiasan lain supaya keuntungan tetap berpihak kepada mereka. Kalau dahulu keongsang hanya kecil dan kurang menarik, kerana tujuan asas adalah untuk mengepinkan tudung dengan kemas, kini sudah banyak bentuk kerongsang yang dijual di pasaran, dengan harga mencecah beratus-ratus ringgit.

Awas supaya niat kita bertudung itu terjaga. Bertudung menutup aurat adalah terpuji tetapi jikalau memakai kerongsang mahal dan besar dengan batu kristal buatan Korea, pastikan niat memakai bukan mendapat pujian ini,"Oh, cantik kerongsang akak."
Nak testing mudah saja, sanggupkah sedekahkan kerongsang yang cantik dan baru dibeli itu kepada orang lain? Kalau tak sanggup, ha... kaji balik niat memakai kerongsang itu.

"Boleh beli hutang dulu, bayar 4 kali ansuran," kata jurujual yang 'pemurah' dengan senyuman manis.
Waduh, satu hal pula. Beli mahal dulu, bayar ansuran. Fikirlah semula mengapa perlu beli kerongsang beratus-ratus ringgit secara ansuran sedangkan ada lain yang lebih murah dan mampu dibayar terus di kedai lain. Keperluan? Apa bakal berlkau jikalau hutang tidak sempat dilangsaikan sebelum diri dijemput malaikat maut?
Kalau beli kerongsang mahal untuk dijadikan koleksi pameran, ia bukan lagi satu keperluan.. maka ketegori apa ekk?

"Ustazah-ustazah lebih glamor daripada orang biasa".
Ayat ini dah biasa didengari. Saya pada mulanya kurang faham tetapi bila dah lama Islam, baru saya tahu maksud mereka. Terkejut besar bila mendapati ada ustazah [mungkin mendapat gelaran itu kerana mengajar Pendidikan Islam di sekolah? ] yang berpakaian agak over. Bagaimana nak tegur, ustazah-ustazah datang dengan tudung sulam kristal ala tirai tingkap, baju satin berkilat, stokin tangan sulaman bunga dan manik, kerongsang kelip-kelip menyilaukan mata dan mekap mengalahkan wanita bukan Islam. Pening, pening.. nak tegur? Dia ustazah, kita ni siapa? Bukankah sepatutnya ilmu agamanya lebih tinggi daripada kita orang biasa?

Tabarruj? Tak berani nak tuduh begitu, tetapi.. alahai, perlukah berketerampilan sampai begitu sekali bila berada di khalayak umum, tambahan yang sudah bergelar isteri? Cuba baca sini dan sini apakah itu tabarruj.

Marilah renungi niat kita berhias, memakai kerongsang dan berpakaian di khalayak ramai.
Semoga Allah swt lindungi kita daripada segala sifat buruk dan membimbing kita ke jalan yang diredhainya.. ameen.



6 comments:

  1. Untuk saya sebagai pelajar, beli yang seringgit dapat 1 sudah mencukupi.. :)

    ReplyDelete
  2. salam..

    nampaknya sekarang ni ustazah2 yang muncul di kaca tv atau media.. dah macam artis...
    gaya pun.. aduhaiiiiiiii.....

    ReplyDelete
  3. Benar, kita perempuan sukakan hiasan. Tapi kena fikirkan keutamaan dan keperluan..

    Begitu juga dengan tudung. Mahal yang melampau. Tutup aurat? Hmmm.. Lebih mahal, lebih jarang dan lebih singkat. Tak wajar..

    Kerana itu saya lebih selesa dengan tudung berharga RM18 dan kerongsang RM10. (Walaupun sebenarnya, sukar nak jumpa tudung yang saya pakai ni) Saya masih rasa konfiden! Rasa anggun dan selamat. Masih ada kawan-kawan yang memuji.

    Tepuk dada tanya iman :)

    ReplyDelete
  4. Hi Aliya,

    Been reading your blog for some time now. It's interesting how you intepret Islam. Quite an eye opener actually. I agree in some of the things you opined, though not all.

    Just out of curiousity...why wouldn't you 'tegur' the uztazah for her flamboyant and extravagant dressing? I mean, to me the lady is just human. If you feel she is not dress appropriately according to the Islamic principles, maybe you should tell her.I do not believe in exclusivity in the sense that just because you have the title 'uztazah', it does NOT make you a leading authority in Islam and you are 'untouchable' in your conduct.

    Anyway, keep on writing.
    Regards,
    May

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam Raudhah, kakseroja, Humyrah,
    Raudhah, lama tak singgah gerai siswi di USM, RM1 dpt satu.. hehehee
    kakseroja, betul, setuju.. itu antara dugaan bila menjadi orang yang popular,Allah uji dalam bentuk lain
    Humyrah, saya jenis yang tak kisah sangat dengan penampilan glamor ni asalkan bersih kemas dan menutup aurat. Tudung bawal mahal kain nipis perlu pula pakai anak tudung di dalam supaya tak nampak leher. Tapi pelajar sekolah, mereka perhati apa guru pakai. Pernah sekali masuk kelas mengajar tetapi soalan pertama mereka tanya adalah,"Cantik kerongsang cikgu, beli di mana?" Saya jawab jika nak, beri rM12, cikgu tolong belikan, hahahaa.

    ReplyDelete
  6. Hi May,
    Sure, you don't have to agree with everything I write here :)
    Well, not all women are as open-minded as I am, or would welcoem a direct teguran from a complete stranger. sometimes it's better to say a silent prayer for her than to create a scene. The usual excuse is that thy could afford to dress up. If I have the opportunity to do a direct 'teguran' insyaAllah I will. Anyway most are married, so it should be their husband's duties to tegur too.

    ReplyDelete