Friday, November 21

SEMBANG-SEMBANG DI WAD

Kak Yah memang peramah. Dia di katil bersebelahan dengan saya di hospital. Kak Yah terpaksa dimasukkan ke wad O&G kerana bergelar pesakit diabetis yang mengandung.
"Dah berapa hari dok di sini?" saya bertanya ketika mula-mula masuk wad.
"Masuk 13hb, dah 2 hari Aliya," jawab Kak Yah.
"Oh, apa kata doktor?"
"Kandungan gula masih tinggi. Kena urun kepada bawah paras 7. Doktor juga kata kena pandai cucuk (injection) dulu baru boleh balik rumah," katanya.
"Kalau nak balik rumah, Kak Yah kenalah berani " saya menasihatinya.
"Tu lah, Kak Yah takut. Dok pegang jarum tapi takut nak cucuk diri sendiri," dia mengaku sambil ketawa."Dah ni, kena cucuk 2 kali sehari selama 7 bulan. Selagi tak pandai cucuk sendiri di depan doktor, dia tak bagi keluar."

"Aliya, Kak Yah nak tanya sikit boleh?"
"Tanya apa?"
"Orang Cina ada tak pantang makan kalau lepas bersalin?"
"Ada, setahu saya 2 bulan atau lebih lama lagi 100 hari."
"Oh, lama juga la. Habis makan apa?"
"Yang saya tahu, makan berpantang la. Biasanya makan ikan atau ayam kampung yang dimasak dengan halia dan minyak bijan. Kalau minum pun, kena minum air rebusan herba, bukan air kosong. Ada juga orang tua yang hanya benarkan si ibu mandi selepas 2 minggu., takut masuk angin dalam badan."
"Tak mandi 2 minggu? Kira orang Cina kuat pantang juga ya?"
"Orang dulu-dulu begitulah. Sekarang ramai yang tak amalkan dah, kononnya dah moden.Bila dah tua, barulah rasa sakit-sakit badan."
"Aliya dah bedah nanti, kena berpantang makan juga la ya?"
"Saya sebenarnya dah biasa berpantang. Masa mula-mula datang haid dulu, saya dah pun diajar untuk mengamalkan pemakanan herba oleh keluarga saya. Mak akan rebus herba akar kayu (tongkwai) dengan ayam kampung setiap bulan. Bila dah bersih dari haid, siaplah semangkuk ubat herba tu di atas meja.Bukan mangkuk kecil Kak Yah, tapi mangkuk sup besar."
"Aliya makan seorang sajakah?"
"Dipaksa rela minum, hehehe. Mak akan letak semangkuk sup herba dan sebatang rotan panjang. Pilihlah mana yang kita berkenan.Saya pun belajarlah tutup hidung dengan satu tangan sambil menghirup sup."
"Terukkah baunya?"
"Bagi orang yang tak biasa bau rebusan akar kayu memang kuat la.Tapi alhamdulillah lepas setahun, saya dah boleh minum tanpa sebarang masalah. Sekarang bagi apa saja ubat yang pahit atau berbau pun saya tak kisah, boleh minum."
"Apakah kesan herba yang Aliya minum itu?"
"Oh, dengan mengamalkan tongkwai ni kami wanita Cina jarang sakit senggugut ketika datang bulan. Haid pun mudah dikira sebab datang tetap setiap bulan. Ia dipanggil ginseng wanita. Juga baik untuk wanita yang sudah menopause."
"Oh begitu. Tapi memang la, Kak Yah tengok wanita Cina yang tua-tua lebih kuat daripada wanita Melayu.. mungkin sebab amalan pemakanan kut..."
"Mungkin juga, Kak Yah. Semua yang ada di muka bumi ni Allah swt telah anugerahkan kepada kita dengan pelbagai kebaikan, hanya kita yang perlu mengetahui dan bersyukur. Beza amalan pantang Cina dengan Melayu adalah falsafah di sebalik adat itu. Orang Cina nak wanita itu kembali sihat dan bertenaga dengan cepat manakala Melayu lebih ke arah mengekalkan kecantikan tubuh badan.Masing-masing ada baik buruknya."

Sehari sebelum pembedahan saya, awal-awal pagi lagi Kak Yah bersiap-siap untuk pulang. Siap berbaju kurung, bertudung dan duduk menanti suaminya di atas katil. Macam pengantin perempuan menanti rombongan meminang. Saya dan pesakit lain tak habis-habis mengusiknya.
"Doktor dah benarkan balik. Alhamdulillah semalam 'Misi' yang cucuk tu buat dengan laju pada perut, tak sakit. Kak Yah ikut cara dia pagi tadi, memang tak sakit langsung," jelas Kak Yah dengan gembira.
"Hati-hati Kak Yah, nanti injection lain pula yang diterima di rumah," kami ketawa beramai-ramai.

Saya doakan agar Kak Yah terus ceria dan tabah dan semoga selamat melahirkan anak ketiganya.
image: teczcape.blogspot.com

No comments:

Post a Comment