Wednesday, July 30

SEHEBAT SUTERA

Saya moody hari ini.
Mungkin kesan sampingan ubat yang ditelan hari-hari sejak kebelakangan ini.
Syukur padaNya kerana saya masih mampu mengawal diri dan mampu meneruskan rutin kerja tanpa disedari sesiapapun akan pergolakan yang dialami jiwa ini. Pelajar masih mampu dikawal dan dididik seperti yang dirancangkan walaupun ada masanya saya rasa seperti hendak mencekik mereka yang degil dan tidak mahu mematuhi arahan, huhuhuu.

Syukur alhamdulillah atas segala rahmatNya. Tatkala saya dilanda mood ini, saya teringat rakan-rakan bloggers dan bukan bloggers yang lain. Masing-masing ada cerita sendiri. Masing-masing sedang diujiNya dengan pelbagai jenis ujian di dunia yang sementara ini.
Antaranya:
Kassim Selamat, yang sentiasa ceria dan tabah, saya doakan agar cepat sembuh;
Humyrah, yang telah dan sedang melalui pelbagai dugaan, semoga sentiasa sabar dan tabah;
Raden, yang sedang berjuang dengan kanser, semoga diberi kekuatan dan disembuhkan daripada penyakitnya;
Ija, Aieen, Encik Halim dan 'Aquatik', semoga dipermudahkan segala urusan dalam pengajian PhD masing-masing;
Andre dan PuiSee, saudara baru kita, agar sentiasa teguh dalam iman pada Allah Yang Esa;
Syaima, Masri, Nurulhuda dan adik-adik yang lain, semoga terus berdakwah dan berjaya dalam pengajian masing-masing.
juga Pak Anjang, Umi Jah, Abang Rafas, Myzwar, Muhammad dan lain-lain saudara dan saudari saya, semoga terus menulis dan sudi berkongsi pengalaman dan pengetahuan sesama kita;

10 tahun yang lalu, tiada seorang pun terfikir akan menjadi blogger.
10 tahun yang lalu, kita sendiri tidak menyangka bahawa kehidupan kita akan menjadi lebih bermakna melalui perkongsian dan perkenalan di alam maya.
Itulah kehebatan dan kuasa Allah Subhanallahu Wa' Taala yang Maha Esa. Dialah yang mengatur segalanya.
Mungkin pada zaman ibu bapa kita, umat Islam belum begitu memerlukan maklumat yang dibekalkan melalui internet. Namun ketika ini, internet yang banyak membantu kita mendapatkan sumber bahan tentang Islam, untuk tujuan dakwah dan melengkapkan pengetahuan sendiri.
Mungkin 20 tahun yang lalu, kita masih boleh meneruskan hidup dengan adanya sokongan moral dan bantuan yang dihulurkan oleh kaum keluarga dan saudara mara. Kini keadaan sudah berubah. Manusia masing-masing sibuk dengan hal sendiri, maka dalam alam maya inilah kita mencari rakan, mencari maklumat, berkongsi maklumat, dan sebagainya.
Di alam maya inilah, kita saling membantu, menjadi pendengar setia, menghulurkan nasihat dan bantuan, serta mendoakan saudara saudari seagama kita yang lain, di mana sahaja merek berada di bumi Allah ini.
Yang pasti penggunaan internet bukanlah sesuatu yang terjadi begitu sahaja. Masa dan kemudahan yang wujud sudah pun ditentukanNya. Hanya kita perlu menentukan cara penggunaan bertepatan dengan hukum dan ajaran Islam, agar mendapat manfaat di dunia dan di akhirat.

Saya baru menggosok baju batik sutera untuk dipakai keesokan hari. Alangkah ajaibnya sehelai kain sutera. Hasil bahan sampingan seekor ulat. Daun diproses oleh makhluk jadian Allah Yang Maha Berkuasa menjadi sutera yang kuat, lembut dan halus. Sutera pula dipintal menjadi kain yang berkualiti.

Kelembutan sutera itu juga boleh digambarkan sebagai seorang wanita. Wanita mukminah yang kuat imannya pada Allah, tabah menghadapi segala ujian hidup, namun masih lembut hatinya, lembut budi bahasanya, cantik budi pekertinya dan memberikan keselesaan kepada ibu bapa, suami dan anak-anaknya.
Adakah kita sekuat dan selembut kain sutera tulen?

image:http://www.artemisinc.com/Flower-SilkSatin-L.jpg

6 comments:

  1. Assalammualaikum,
    Kak, dugaan saya tak sehebat saudara-i yang lain. Tapi berkat perkenalan kita di alam maya, saya yakin kita saling mendoakan sesama kita. Kerana kita saling bersaudara.

    Seorang guru saya pernah berkata, 'kain sutera asli sebesar selendang jika dilipat-lipat boleh muat dalam kotak mancis'.. Saya tak pernah cuba sebab tak pernah ada sutera yg asli. Tapi itulah hebatnya sutera..

    Semoga Kak Aliya tabah..

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Aliya,

    semoga tetap sabar dan tabah. Saya tahu Aliya memiliki kedu2nya.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam,
    Entahlah.. turun naik turun naik .. bukan mudah mencari matahari pada hari mendung tetapi hati yakin matahari itu tetap ada :)

    ReplyDelete
  4. humyrah,
    Kata emel kepada saya tetapi takde pun?

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum..akak..semoga terus tabah dalam mengharungi ranjau hidup yang penuh cabaran in..:)

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam wbt. Terima kasih nurhuda..Saya bukanlah sekuat mana tetapi saya sedang mencuba

    ReplyDelete